Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2014
Novel ini sudahpun diterbitkan dalam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(17 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9788

Bacaan






DATUK HARRIS mengukir senyuman penuh makna. Raut wajah lelaki itu juga kelihatan serius bagai nak rak. “Sebenarnya, saya nak jodohkan Rena dengan dia,” balasnya tegas. Nada suaranya juga kedengaran serius.

Erena yang baru sahaja tiba di ruang makan terkejut biawak apabila mendengar kata-kata papa. Matanya membulat besar, mulutnya ternganga luas. “Apa, kahwin?” jeritnya sambil menayang muka terkejut badaknya di hadapan mama dan papa.

Dia menjadi serba tidak kena. Hah… kahwin? Sukar hendak percaya, namun itulah realitinya. Oh my ALLAH…Betul ke apa yang aku dengar ni? Telinga aku tak bersumbat dengan kapas, kan? Hah… di usia aku yang baru setahun jagung ni, papa dengan mama nak aku kahwin? Oh, aku bukan dalam dunia Alice in Wonderland, kan? Aku tak bermimpi di siang hari, kan? Impossible!jerit hatinya sukar hendak percaya.

Datuk Harris mengurut dadanya. Terkejut apabila mendengar jerkahan itu. Masya-ALLAH… Nasib baik aku tak ada penyakit jantung. Kalau tidak… hi hi bye bye la jawabnya. “Rena ni, tak boleh bagi salam dulu ke? Suka sangat main terjah aja. Ingat kita dalam rancangan Melodi TV3 ke, hah? Hisy! Buat papa terkejut ajelah,” marahnya. Geram dengan tingkah laku Erena.

Datin Katrina menggeleng berulang kali. Astaghfirullahalazim… budak nilah! Tak habis-habis dengan perangai kebudak-budakannya tu. Argh! Bilalah Rena nak berubah sikap? Makin lama makin teruk, makin menjadi-jadi, bebel Datin Katrina dalam hati. Risau jadinya apabila memikirkan sikap anak gadisnya itu.

Erena mendengus geram. Ah, itu tidak penting! Isu kahwin ekspres ni lagi penting! Tidak, aku tak nak kahwin!

Lantas, Erena melangkah laju menuju ke meja makan. Matanya tajam menikam wajah Datuk Harris. Nafasnya kedengaran turun naik, macam orang baru lepas bermaraton sebanyak sepuluh pusingan.

Mata Erena tidak ralit dari merenung tajam wajah papa. Wajah itu kelihatan begitu keruh sekali. “Betul ke apa yang Rena dengar ni, papa? Mama dengan papa nak Rena kahwin?” soalnya menginginkan kepastian yang tepat.

Datuk Harris menggeleng. Budak nilah… cuba bawa bersabar sikit. Suka sangat nak jadi wartawan tak bertauliah. Rena… Rena… bebelnya di dalam hati. “Kot iya pun, kita bersarapanlah dulu. Lepas makan, baru kita bincangkan hal ni,” balasnya dengan suara tegas.

Erena menggeleng laju. “Tak nak, Rena tak peduli! Rena nak bincang sekarang juga!” bentaknya lantang.

Tiba-tiba, kedengaran Datin Katrina mendengus geram. “Rena jangan nak mengada-ngada. Dengar cakap papa tu. Kita bersarapan dulu.”

Erena menarik muka cemberut. “Tapi… mama, papa, hal ini melibatkan soal masa depan Rena. Rena tak peduli, Rena nak bincang sekarang juga!” bentaknya lantang. Siap menghentak kaki lagi. Spesis kanak-kanak ribena aje lagaknya. Hisy… hisy…

Datin Katrina berdehem. “Rena sedang bercakap dengan ayah kandung Rena tau. Jadi, tolong hormat orang tua Rena,” tegurnya tegas.

Erena mendengus. Dia menjeling geram. Mulutnya memuncung panjang bak kartun Donald Duck. Dia mengambil sekeping roti bakar yang sudah pun disapu dengan mentega kacang lalu meletakkannya ke dalam pinggan.

Gadis itu merenung roti yang ada di dalam pinggannya. Walaupun roti itu nampak menyelerakan, namun tidak terdetik langsung di hatinya untuk menjamah makanan itu.

Macam mana aku nak makan? Selera aku dah mati! Argh!

DATUK HARRIS merenung lembut wajah comel anaknya, Erena. Dia mengukir senyuman kecil lalu menggeleng. Wajah anak gadisnya itu kelihatan masam mencuka. Macam kena tabur dengan sekilo cuka. Rena… Rena…

“Ehem!” Datuk Harris berdehem. “Cuba senyum sikit, Rena. Anak papa dah tak comel kalau masam mencuka tau,” guraunya. Geli hatinya apabila melihat telatah Erena. Punya terkejut dengan berita yang didengarinya tadi, terus wajah anak gadis kesayangannya itu masam mencuka.

Erena menjeling geram. Gadis cantik itu menarik muka cemberut. “Papa ni, boleh pula buat lawak antarabangsa kat sini? Hisy! Papa tahu tak, Rena dahlah tengah serabut fikirkan hal kahwin. Janganlah menambah keserabutan Rena lagi, papa!” marahnya geram. Grrr… grrr! Benci betullah, argh!

Datuk Harris tergelak kecil. Keningnya terjungkit sebelah. “Kenapa pula? Patutnya, Rena seronok bila dah nak kahwin. Kalau orang lainkan, mesti dah meloncat gembira bila dah nak berumah tangga ni. Bukannya masam macam kena simbah dengan berkilo-kilo tan cuka,” usiknya lagi.

Erena mendengus keras. “Papa, seriuslah! Hisy!” marahnya lantang. Aku? Meloncat gembira? Hisy, tak ada maknanya! Macam mana aku nak seronok kalau nak kahwin pun kena paksa? Aku tak nak kahwin! bentak hatinya lantang.

Serta-merta tawa Datuk Harris meletus kuat. Geli hati dengan telatah Erena yang mencuit hati itu. Erena.. Erena.. umur dah mencecah 21 tahun pun, tapi perangai macam budak 6 tahun. Teruk bebeno perangai anak aku ni.

Sekali lagi Erena menjeling geram. Mukanya semakin masam mencuka. Hisy papa ni, ingat aku tengah buat show dalam pertandingan Raja Lawak ke? Ha ha ha… so funny! Sabar ajalah, hisy! bentak hati Erena lagi.

Gadis cantik itu mendengus geram. Bibirnya terjuih ke depan. “Papa ni… Rena punyalah serius bagai nak rak, tapi papa boleh pula ketawa terguling-guling? Apa yang lawak? Rena rasa, Rena tak buat lawak pun,” bidas Erena lantang.

Kening Datuk Harris terjungkit sebelah. Dia hanya menggeleng. “Papa geli hati bila tengok telatah kamu, Rena. Yalah… umur dah mencecah ke 19 tahun, tapi perangai macam budak prasekolah. Rena… Rena... cubalah berubah sikit. Belajar jadi matang. Tak lama lagi, kamu nak jadi isteri orang tau,” balasnya masih lagi dengan sisa tawanya.

Erena menarik muncung kartun Donald Duck. Argh, sekali lagi papa buka topik ni. Aku benci… benci.. benci padamu. Cewah, dah macam lagu dangdut pula.

Erena membetulkan duduknya. Wajah gadis cantik itu kelihatan serius. “Papa dengar ya, Rena tak nak kahwin!” Dia membalas dengan suara tegas.

Datuk Harris terus terdiam kaku. Serta merta, raut wajah lelaki itu bertukar serius. Barangkali lelaki itu terkejut dengan kata-kata anak gadisnya itu.

Erena memandang wajah papa yang sudah bertukar rupa. Argh, benci betullah bila jadi mangsa keadaan ni! Ah, dirinya terasa umpama pesalah yang sedang menantikan hukuman daripada sang hakim. Tapi, apakah kesalahannya? Argh!

Datuk Harris menayang memek muka serius bagai nak rak. “Bila papa buat keputusan ni, papa tak bergurau. Papa benar-benar serius dengan keputusan papa. Papa tetap nak Rena kahwin sama ada setuju ataupun tidak!” tegasnya serius.

Erena mendengus geram. Hisy, kenapa perlu mendesak aku? Zaman IT macam ni, ada lagi ke perkahwinan yang diatur keluarga? Tidak masuk akal! Argh! “Kahwin? Apa ni, papa? Rena baru 21 tahun tau,” bentaknya bersungguh-sungguh. Dia sedaya upaya membantah kemahuan papa yang langsung tidak masuk akal itu.

Datuk Harris mengukir senyuman sinis. Keningnya terjungkit sebelah. “Kenapa? Papa rasa, tak ada salahnya pun kalau Rena kahwin awal. Lagipun, umur 21 tahun dah layak untuk berumah tangga. Lainlah kalau Rena 15 tahun ke, 17 tahun ke, tu tak apalah. Papa sendiri yang akan menentang tau. Ni dah 21 tahun, dah layak kahwin,” balasnya. Siap tayang muka selamba badaknya lagi.

Erena masam mencuka, bak tertelan sebakul buah limau masam. “Rena belum sedia lagilah, papa. Kahwin ni untuk seumur hidup tau. Perkara ni serius, papa. Tolonglah papa, Rena merayu. Tolong fikirkannya semula,” rayunya bersungguh-sungguh.

Wajah Datuk Harris serius. Langsung tiada segaris senyuman yang meniti di bibirnya “Papa dah fikir masak-masak, Rena. Papa tetap dengan keputusan papa! Sama ada Rena suka ataupun tidak, papa tetap nak Rena kahwin. Muktamad!” balasnya tegas.

Erena terus terdiam. Dia mati kutu. Aduh, macam mana ni? Aku tak nak kahwin! Argh, otak… cepatlah cari alasan yang bernas. Please…

“Papa, Rena belum puas enjoy! Rena masih muda lagi, masih mentah untuk mendirikan rumah tangga. Tolonglah, papa. Rena tak nak kahwin!” bentak Erena lagi.

“Erena Amani, wheither you like it or not, you have to married!”tegas Datuk Harris.

Erena bengang. “Wheither you like it or not, I disagree!”bangkang Erena bersungguh-sungguh.

Datuk Harris tersenyum sinis. “Rena… Rena… Nampaknya, Rena belum kenal lagi siapa papa. Papa akan buat apa aje untuk pastikan Rena berkahwin dengan lelaki pilihan papa. Jangan cabar papa, Rena!” balasnya tegas.

Erena mengeluh geram. “Papa faham ke atau buat-buat tak faham? Rena tetap dengan keputusan Rena! Rena tak nak kahwin!” bentaknya bersungguh-sungguh.

Datuk Harris menjeling geram. “No, you have to married!”tegasnya tidak mahu mengaku kalah.

“But papa, I…”

“Stop!” Bak polis trafik yang sedang mengawal keadaan lalu lintas di jalan raya, Datuk Harris menggewangkan jari telunjuknya di hadapan Erena.

“Papa tak nak dengar apa-apa lagi! Rena kena kahwin dengan lelaki pilihan papa! Muktamad!” tegas Datuk Harris. Sekali gus, lelaki itu bangun dan pergi meninggalkan anak perempuannya sendirian.

Erena mendengus keras. “Huhh, aku tak nak kahwin!” jeritnya bagaikan pontianak menjerit.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku