Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 5
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2014
Novel ini sudahpun diterbitkan dalam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7383

Bacaan






DR. QASYIFUL menyuap nasi berlaukkan ikan tiga rasa ke dalam mulutnya. “Hmm… sedap juga ikan tiga rasa ni. Pandai kau cari kedai yang menawarkan makanan sedap macam ni, Man,” pujinya sambil mengunyah makanannya. Begitu berselera pemuda kacak itu menikmati makanannya. Dah macam gaya orang setahun tidak makan. Kasihannya!

Dr. Aiman tersengih. Bak kerang busuk sahaja lagaknya. “Well, you know me?Bab-bab mencari kedai makan yang paling sedap, serah aje kat aku. Gerenti aku dapat cari kedai makan yang terbaik punyalah. Haa… lepas ni, bolehlah promote dalam program Jalan-jalan Cari Makan. Wah, bolehlah merasa jadi orang terkenal lepas ni,” guraunya. Dia ketawa besar.

Dr. Qasyiful tersenyum. “Bab nak promote dalam program TV3 tu memang aku setuju seratus-peratus, Man. Makanan kat kedai ni memang sedap sehingga menjilat jari. Tak rugi kita makan kat sini, Man,” balasnya.

Dr. Aiman mengangguk. “Haa… tau tak apa. Akukan kaki makan, sure aku promotepunyalah. Manalah tahu, kot-kot dapat makan free.” Dia ketawa.

Dr. Qasyiful mencebik. “Yalah, bab-bab makan ni serah aje kat kau. Kau makan sampai licin, tak ada satu pun yang tinggal dalam pinggan kau kecuali tulang,” perlinya, selamba.

Dr. Aiman tersengih. “Eh… haruslah macam tu, Qasy. Orang cakap… rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.”

Dr. Qasyiful menggeleng. Aiman… Aiman… “Kau tu memanglah, hantu makan. Tapi aku peliklah, Man,” tambahnya lagi. Segaris senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

Kening Dr. Aiman terangkat sebelah. Siap menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal lagi. “Pelik? Kenapa pula?” soalnya hairan. Aku ada tanduk ke?

Dr. Qasyiful masih lagi tersenyum penuh makna. “Yalah… aku peliklah juga. Badan kau tetap kurus melidi walaupun kau makan macam setahun tak pernah jumpa makanan,” usiknya selamba. Dia ketawa besar.

Mata Dr. Aiman membuntang. “Ewah, suka-suka kau mengutuk aku, ya? Kau kena faham Qasy, itulah keistimewaan aku. Makanlah banyak mana pun, badan tetap kurus melidi dan muka tetap tampan macam pelakon Jericho Rosales,” balasnya selamba. Masuk bakul angkat sendiri.

Dr. Qasyiful mencebik. “Hee, tolonglah! Jangan buat propagandalah, kawan. Ada hati nak jadi macam Jericho Rosales konon! Pirraahhh! Jericho Rosales tu lagi kacak dari Dr. Aiman Adli tau!”

Dr. Aiman tersengih. Keningnya terjungkit sebelah. “Bukan propaganda okey, tapi kenyataan.”

Dr. Qasyiful menggeleng. Kalau berlaga mulut dengan Dr. Aiman, dia memang tidak pernah menang. Argh! “Dahlah, kau menang! Malas aku nak layan kau.”

Dr. Aiman tersengih. “Ha ha ha... pemenangnya adalah Dr. Aiman! 1-0. Horreeyy!” Dia ketawa.

Dr. Qasyiful tidak membalas. Sebaliknya, pemuda kacak itu masih lagi menggeleng apabila melihat sikap gila-gila kawan baiknya itu. Aiman… Aiman… sengal bin ubi keledek betul!

Sejenak mereka terdiam sambil menikmati hidangan yang tersedia di atas meja.

Ehem! Dr. Qasyiful berdehem kecil. “Err… Man?”

Dr. Aiman yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut memandang wajah Dr. Qasyiful. “Apa dia, Qasy?” balasnya ingin tahu.

Dr. Qasyiful melepaskan keluhan kecil. Wajahnya bertukar menjadi pucat lesi, macam kena sedut darah dengan hantu pontianak. “Kau kenal Datuk Harris, kan?” soalnya perlahan.

Dr. Aiman diam. Dia cuba mengingati sebaris nama yang meniti di bibir kawan baiknya itu. “Haa.. ingat! Kenapa dengan dia, Qasy?” balasnya lalu menghirup sedikit air sirap limaunya.

Dr. Qasyiful mengeluh panjang. “Dia nak aku berkahwin dengan anak dia, Erena Amani,” balasnya dengan suara lemah.

Dr. Aiman yang sedang minumnya terus tersedak. Dia menggosok-gosok dadanya.

Dr. Qasyiful serba salah. “Eh, kau okey ke ni?” soalnya sambil menggosok belakang tubuh Dr. Aiman.

Merah mata Dr. Aiman dek kerana terkejut mendengar berita yang disampaikan itu. “Tak, aku tak okey! Qasy, mestilah aku terkejut dengan berita kau ni.”

Dr. Qasyiful mengeluh. “Bukan kau seorang aje, aku pun terkejut, Man. Yalah… angin tak ada, ribut tak ada, taufan jauhlah sekali… tiba-tiba aje Uncle Harris minta aku kahwin dengan anak dia.”

“Datuk Harris dah fikir masak-masak ke, Qasy? Qasy, Rena tu baru 19 tahun sedangkan kau dah 29 tahun. Jauh tau perbezaan umur kau orang. Kenapa Datuk Harris boleh buat keputusan macam tu sekali, Qasy?” soal Dr. Aiman ingin tahu.

Dr. Qasyiful mengeluh. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Entahlah Man, aku sendiri pun tak tahu. Aku pun tertanya-tanya juga. Apa kelebihan aku sampaikan dia boleh buat keputusan drastik macam tu? Aku tahu Man, perbezaan umur kami memang terlalu besar. Aku dah cuba cakap, tapi dia tetap dengan keputusan dia. Dia nak aku kahwin dengan Erena. Aku serba salah, Man. Lagipun, Datuk Harris dah banyak bantu kita.”

Kening Dr. Aiman terangkat sebelah. Sebenarnya, dia lebih tertarik dengan perkataan ‘serba salah’. “Jadi, apa keputusan kau? Kau terima permintaan Datuk Harris atau kau tolak?” soalnya ingin tahu. Siap tayang muka serius lagi.

Dr. Qasyiful mengeluh panjang. Lalu, pemuda kacak itu mengangguk lemah. “Aku terima, Man,” balasnya perlahan.

Dr. Aiman ternganga luas. “Hah?!” Dia terkejut.

ERENA memandang mamanya yang sedang leka menyiapkan juadah makan malam di sebalik dinding dapur. Dia bersandar di tepi dinding itu.

Erena menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mulutnya muncung panjang bak kartun Donald Duck. ‘Betul ke apa yang aku buat ni?’ desisnya keliru.

Spontan, cadangan Fina tempoh hari kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya.

“Kau ni… tu pun boleh nak fikir ke? Apa susah, Rena? Kau minta tolong Auntie Katrina la. Manalah tahu kot-kot mama kau boleh pujuk Uncle Harris,” cadangnya bersungguh-sungguh.

Erena menarik muncung panjang. “Err… nak buat macam mana, Fina? Aku blur la,” balasnya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Fina mendengus geram. “Kawan aku ni, apa pasallah bengap sangat, hah? Rena, kau buat baiklah dengan mama kau. Tolong memasak kat dapur ke, tolong mengurut mama kau ke? Pandai-pandailah kau cari jalan untuk ambil hati mama kau. Takkanlah benda senang macam tu pun kena ajar?” katanya geram. Hisy, otak jammed betul! Ketuk sekali dengan hammer,baru nak elok kot? bebel hatinya geram.

Erena kembali semula ke alam nyata. Dia mengeluh panjang. Sekali lagi dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. ‘Buat baik dengan mama? Err… rancangan Fina ni boleh membuahkan hasil ke?’

Erena mengetuk dagunya, seakan sedang memikirkan sesuatu. “Tak apalah, cuba ajelah. Manalah tahu kot-kot berhasil,” tambahnya lagi.

Erena menarik nafas panjang lalu menghembusnya secara perlahan-lahan. ‘Relax Erena Amani, you can do it! Yes, I can do it!Lagipun, benda ni simple aje, kan? Apa susah, Rena? Kau buat muka babyface aje, gerenti mama cair punyalah,’ pujuk hatinya.

Erena mengatur langkah perlahan menuju ke arah mama yang sedang sibuk memotong ubi kentang. Sekali lagi dia menarik nafas panjang. Tenang, Erena Amani!

Ehem! Dia berdehem. “Mama?” tegurnya lembut. Bibirnya terukir senyuman.

“Hmm, kenapa?” soal Datin Katrina acuh tidak acuh.

Gulp! Erena meneguk liur. Sedaya upaya dia menahan rasa gugupnya. “Err… ada apa-apa ke yang Rena boleh tolong?” tegurnya, lembut. Dia siap tayang muka babyfacenyalagi. Almaklumlah, nak ambil hati mamalah katakan.

Datin Katrina yang sedang memotong kentang, terkejut mendengar pertanyaan itu. Dia memandang Erena. Dahinya berkerut seribu. “Rena nak tolong mama kat dapur? Err… Rena demam ke?” soalnya ingin tahu.

Erena mengetap bibir. Dia tergamam mendengar soalan mamanya. Dush, ambil kau! Kan dah kena sebiji, tepat mengena ke batang hidung sendiri pula tu. Padan dengan muka kau, Erena!

Dia mendengus. Hisy, kalau bukan disebabkan papa, tak adanya aku nak merajinkan diri menolong mama di dapur. Aku bukan suka dengan bau asap, alergi kot, gumam hatinya geram. Argh, semua ni papa punya pasallah.

Erena mengukir senyuman payah. Err... rasa macam tak ikhlas aje. Argh, tak kisahlah! Janji rancangan aku ni berhasil. “Mama ni, ada pula cakap macam tu. Ooo, nak kena tunggu demam dululah, baru boleh tolong? Rena okeylah, mama. Err… kenapa mama tanya macam tu pula?” soalnya sedikit gugup. Sedaya upaya dia berlakon baik di depan mamanya. Harap-harap, mama tak perasanlah.

Datin Katrina tergelak sinis. Keningnya terjungkit sebelah. “Ya ke ni? Rena yang mama kenal, bukan macam ni orangnya. Setahu mamalah, Rena tak pernah tolong mama di dapur. Yalah, Renakan tak suka dengan bau asap, alergi kan? Hari ni, rajin pula nak tolong mama. Ada apa-apa ke ni, Rena?” sindirnya pedas.

Erena tergamam. Eh, mama ni macam tahu-tahu aje. Hah… tak boleh jadi ni! Jangan terkantoi depan mama sudahlah! “Err…. hmm… mana ada, mama. Rena nak tolong mama di dapur aje,” balas Erena tergagap-gagap. Terketar-ketar tangannya membantu mama menyusun hidangan yang sudah siap di atas meja.

Kening Datin Katrina terangkat sebelah. Erena… Erena… ni mesti kes nak minta tolong mama. Jangan berlakon depan mamalah. Mama dapat baca apa yang sedang bersarat dalam kepala Rena, gumamnya di dalam hati.

“Rena, mari sini,” panggil Datin Katrina lembut. Dia melabuhkan duduk di meja makan.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Erena menuruti sahaja permintaan mamanya.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Datin Katrina merenung tajam wajah Erena, sengaja mahu menerbitkan rasa tidak selesa di hati anak perempuannya itu.

Erena tertunduk, merenung lantai. Dia tidak betah berlawan mata dengan mama, bimbang jika niat sebenarnya terbongkar.

Datin Katrina mengukir senyuman penuh makna. “Terus terang ajelah, Rena. Jangan sembunyikannya lagi. Mama dapat tafsir apa sebenarnya yang sedang bermain di fikiran Rena.”

Erena tersentak. “Err…”

Datin Katrina tersenyum sinis. Keningnya terjungkit sebelah. “Tak payah nak err… err… sangatlah, Rena. Mama kenal Rena. Jangan nak berlakon depan mama lagi. Mama tahu, ada sesuatu yang Rena fikirkan,” perlinya lagi.

Erena tergamam. “A... apa maksud mama?”

Datin Katrina tersenyum sinis. “You know what I mean,”perlinya lagi.

Erena terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada mama. Alamak, terkantoi sudah! Mama memang pandai meneka. Ah, mama memang hebat!

Erena mengeluh. Gadis itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Sebenarnya mama… sebenarnya, Rena nak minta tolong mama. Mama tolong pujuk papa supaya batalkan niat untuk mengahwinkan Rena, ya? Mama, Rena tak nak kahwin lagi.”

Datin Katrina tersenyum. “Mama dah agak, mesti ada sesuatu punyalah. Sebab tulah, Rena berpura-pura menolong mama di dapur. Memang ada udang di sebalik mi goreng mamak rupanya,” perli Datin Katrina lagi.

Erena menarik muncung Donald Duck. “Mama, janganlah menyindir Rena lagi. Tolonglah mama, pujuk papa supaya batalkan niat untuk kahwinkan Rena. Rena tak nak kahwin. Tolong ya, mama?” pujuknya bersungguh-sungguh.

Bagaikan polis trafik yang sedang bertugas di jalan raya, Datin Katrina menggoyang jari telunjuknya di hadapan Erena. “Mama tak nak tolong, Rena. Lagipun, mama setuju dengan rancangan papa. Sama ada Rena suka ataupun tidak, Rena bakal berkahwin tidak lama lagi,” balasnya tegas.

Erena menghentak kaki bagaikan kanak-kanak kecil yang mahukan ais krim. “Tolonglah mama, Rena tak nak kahwin! Mama, Rena muda lagi. Tolonglah mama, pujuk papa supaya batalkan rancangan gila ni,” bentaknya.

Datin Katrina tersenyum sinis lalu wanita itu mendekatkan wajahnya dengan wajah Erena. “Betul ke Rena nak mama tolong?” soalnya. Siap menayang muka selamba badaknya lagi.

Beria-ia Erena mengangguk, tanda bahawa dirinya benar-benar memerlukan pertolongan mama. “Please, mama,” rayunya bersungguh-sungguh.

Datin Katrina tersenyum penuh makna. “Cakap sendiri dengan papa, mama tak nak tolong. Sebab mama sendiri pun dah setuju,” balasnya selamba.

Erena tersentak kecil. “Mama!”

Datin Katrina masih lagi tersenyum penuh makna. “The answer is still no!Dahlah, mama nak sambung memasak. Kejap lagi papa balik, Rena cakaplah sendiri dengan papa. Mama tak nak masuk campur,” celahnya selamba. Lalu, wanita itu meneruskan kembali kerjanya yang terbengkalai tadi.

Erena membentak. Siap menghentak kakinya lagi. Bagaikan sedang berkawad. ‘Aduh, mama sendiri pun tak nak tolong! Macam mana ni?’ bentaknya geram.

‘Bagaimana aku nak cari jalan, ya? Aku tak nak kahwin lagi! Tapi… hmm!” keluhnya untuk kesekian kalinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku