Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 37
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2014
Novel ini sudahpun diterbitkan dalam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5363

Bacaan






BAUyang enak dari arah dapur menarik perhatian Erena. Dia yang mahu ke ruang tamu terus mematikan niatnya. Dia terus berjalan ke dapur. Dia tersenyum apabila melihat Hajah Kamariah yang sedang sibuk menyiapkan juadah makan tengah hari. “Mak cik masak apa tu?” tegurnya.

Hajah Kamariah yang sedang khusyuk membuat kerjanya tersentak. Dia menoleh ke belakang. Spontan, dia tersenyum. “Oh… kamu rupanya, Amani. Mak cik ingatkan siapalah tadi.”

Erena tergelak. “Apalah mak cik ni, ke situ pula. Mak cik ingat saya ni hantu pontianak ke?” guraunya.

Hajah Kamariah ketawa. Geli hati apabila mendengar gurauan bakal menantunya. “Kalau hantu pontianak tu tak apa lagi, Amani. Kalau penyamun?” balasnya lagi.

Erena tersenyum.

Hajah Kamariah kembali mengacau kuah kari kepala ikan di dalam periuk. “Mak cik tengah masak kari kepala ikan, Amani. Pak cik kamu tu, sibuk sangat suruh mak cik buatkan. Katanya, dah lama tak makan. Tu yang mak cik masak.”

Erena mengangguk. Dia berdiri di sebelah Hajah Kamariah.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Tiba-tiba, satu soalan menjengah ke fikiran Erena. Dia memandang wajah Hajah Kamariah. “Err… mak cik?”

“Hmm… ada apa, Amani?” balas Hajah Kamariah lembut.

“Err… boleh saya tanya sesuatu?” tanya Erena sedikit gugup.

Dahi Hajah Kamariah berkerut seribu. Nak tanya pun, kena minta izin dulu ke? “Tanyalah, Amani. Kalau mak cik boleh jawab, mak cik jawablah. Kalau tak, minta maaflah, ya.”

Erena menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Err… nak tanya ke, tak nak tanya? Aduh! Erena Amani, kenapa sejak dua menjak ni, nama mamat serius 24 jam tu asyik bersarang aje dalam kepala kau? Pelik betullah! ngomel hatinya geram.

Hajah Kamariah semakin hairan. “Amani?”

Erena tersentak. “Haa?” Terpinga-pinga dia memandang wajah bakal ibu mentuanya.

Dahi Hajah Kamariah berkerut seribu. “Kamu okey ke dak ni, Amani? Kamu kata ada soalan nak tanya pada mak cik, apa dia?”

“Err… selain dari ayam masak lemak cili api, apa lagi makanan kegemaran Qasy, mak cik?” tanya Erena kelihatan teragak-agak. Habis merah padam mukanya kerana menahan malu.

Hajah Kamariah tersenyum. “Selain dari ayam masak lemak cili api, Qasy suka makan daging salai, sayur campur, tom yam, macam-macam lagilah. Haa… tapi yang paling Qasy suka, ayam masak lemak cili api dengan daging salai.”

Erena mengangguk. Oh… mamat serius 24 jam ni suka daging salai rupanya, getusnya dalam hati.

Tapi, kalau dia suka daging salai sekalipun, apa kena-mengena dengan kau? Ah… jangan kata kau nak belajar masak daging salai untuk dia, Erena Amani?

“Haa… kebetulan pula Amani ada kat sini, bolehlah tolong mak cik masak.” Tiba-tiba Hajah Kamariah bersuara.

Erena terpempan. Matanya terbeliak luas. Hah? Tolong masak? Dia terasa seperti sesak nafas. Seumur hidup, tak pernah aku rajin-rajin ke dapur tolong mama masak. Sekarang… dunia sudah terbalik ke? Biar tembikai?

Erena menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Err… tapi, saya tak reti masak, mak cik.”

Hajah Kamariah tergelak. “Soal tak reti masak tu, tolak ke tepi, Amani. Mak cik pun bukannya reti masak. Masa mula-mula kahwin dengan pak cik kamu tu, jenuh jugalah mak cik pi rumah mak mentua. Belajar memasak untuk suami dan anak-anak.”

Erena mengetap bibir. Erk?

Hajah Kamariah memegang bahu Erena. “Amani, apa salahnya kalau kita belajar memasak? Lagipun, bukannya untuk orang lain pun, untuk suami kita juga. Eloklah Amani belajar memasak. Qasy tu, dia lebih suka makan kat rumah tau.”

Erena tergamam. Alamak! Dia suka makan kat rumah ke? Jadi… aku kena belajar memasaklah? Aduh! Aku ni… bab-bak nak ke dapur tu, memang payah! Geli dengan bau asap kot! Sekali.. dapat bakal suami yang kaki makan. Ah, kalut!

“Erena, fikirkan apa tu?” tanya Hajah Kamariah hairan.

Erena tersengih. “Err… tak ada apa-apalah, mak cik.”

Hajah Kamariah tersenyum. “Dah, tak payah nak fikir apa lagi. Jom, mak cik ajar Amani masak daging salai.”

Erena ternganga. “Err… tapi, saya…”

“Tak ada tapi-tapi, jom!” Segera Hajah Kamariah memotong percakapan Erena.

Erena mengeluh. Dia bangun dan menolong Hajah Kamariah memasak di dapur. Siap belajar resipi memasak daging salai kegemaran encik tunangnya lagi.

ERENA mengukir senyuman penuh makna. Melihat Dr. Qasyiful yang begitu berselera menjamu selera itu sudah cukup membuat hatinya berasa gembira. Entah mengapa hatinya berasa gembira? Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Kenapa, ya? Hairan bin ajaib!

“Sedapnya mak masak hari ni! Dah lama Qasy tak rasa masakan sesedap ni, mak,” puji Dr. Qasyiful.

Diana spontan mengangguk laju, mengiakan kata-kata abangnya itu. “Betul tu, mak. Sedap betul daging salai yang mak masak ni tau. Lembut aje rasanya tau,” celah Diana dengan makanan penuh di dalam mulut.

“Hisy, Ana ni pengotor betullah! Cuba telan dulu makanan dalam mulut tu, barulah bercakap. Geli abang tengok tau!” marah Shukri.

Diana menjeling. Siap menayang muka sepuluh sen lagi. “Eleh, biarlah… Lagipun Ana cuma puji aje, bukannya ada apa-apa pun.”

Erena tersenyum. Geli hati apabila melihat dua beradik itu. Dia sempat mengerling sekilas Dr. Qasyiful yang berada di sebelahnya. Kalaulah mamat serius 24 jam ni tau yang aku masak daging salai ni untuk dia, apalah agaknya reaksi dia, kan? Terkejut biawak terus agaknya kot, katanya di dalam hati.

Ustaz Kamarul menguntum senyuman lebar. “Saya rasa, makin sedap pula awak masak, Mar. Awak letak apa dalam ni?”

Hajah Kamariah tergelak. “Bukan saya yang masak, bang oii.”

Suapan mereka terhenti. Masing-masing berkerut dahi. Namun, Dr. Qasyiful terus berselera menikmati makan tengah harinya. Erena hanya bertindak sebagai pendengar sahaja, membiarkan Hajah Kamariah sahaja memberitahu pada mereka.

Diana menayang muka hairan. “Habis tu, siapa yang masak?” tanya Diana ingin tahu.

Hajah Kamariah tersenyum penuh makna. Lalu, matanya melirik ke arah Dr. Qasyiful yang masih lagi berselera menikmati hidangan makan tengah harinya. “Amani yang masak.”

Dr. Qasyiful terus tersedak apabila mendengar jawapan emaknya. Dia terus menghirup sedikit air kosongnya itu. Hah? Erena yang masak daging salai ni? Aik, dunia dah terbalik ke? Sejak bila pula tunang manja aku ni pandai masak? gerutu hatinya hairan.

Shukri dan Diana tersengih. Geli hati mereka apabila melihat reaksi Dr. Qasyiful.

“Pandainya Amani masak. Sedap tau!” puji Ustaz Kamarul ikhlas.

Erena menayang senyuman. Malu apabila mendengar pujian itu. “Eh, tak adalah, pak cik. Biasa-biasa aje. Lagipun, mak cik yang ajar saya masak.”

Shukri tergelak. “Apa pula biasa-biasa? Sedap tau! Sama macam mak masak.”

“Betul tu, kak. Sedap sangat!” puji Diana pulak.

Erena tersenyum. “Terima kasih.”

Dr. Qasyiful hanya diam. Tulah kau, Qasy. Punya sedap lauk daging salai ni, sampaikan kau makan tak ingat dunia. Bila tahu Erena yang masak, terus kau jadi terkejut biawak. Hisy, buat malu ajelah! omel hatinya. Tapi, sedap juga dia masak.

Hajah Kamariah memandang Dr. Qasyiful. Bibirnya terukir senyuman penuh makna. “Hah, Qasy, sedap tak masakan bakal isteri kamu ni?”

Erena tersentak. Hah?! Straight forwardpunya soalan. Buat malu aku aje. Bakal isteri? Huhh, tolonglah! Tak kuasa aku nak jadi bakal isteri dia.

Dr. Qasyiful yang seolah-olah baru tersedar daripada mimpinya, terus tersentak. “Hah… apa dia, mak?” tanyanya dengan wajah terpinga-pinga.

Ustaz Kamarul tergelak apabila melihat reaksi Dr. Qasyiful. “Awak ni Mar, sedap sangatlah tu, sampaikan tak tahu nak kata apa lagi dah. Siap menjilat jari lagi,” usiknya.

Dr. Qasyiful tersenyum. “Err… bolehlah. Sedaplah juga.”

Kening Hajah Kamariah bertaut. “Boleh aje?”

Dr. Qasyiful mengangguk.

Erena terkedu. Dia menjeling geram. Hisy! Buat penat aje aku masak untuk dia, bukannya nak puji. Sahlah, kau memang mamat tak ada perasaan, sentiasa serius 24 jam aje. Huh! marah hatinya tidak puas hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku