Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
25915

Bacaan






BUNYI riuh rendah di luar mengundang resah dan gelisah. Terdetik juga di hati hendak melarikan diri dari kesulitan itu namun akal warasnya tidak membenarkan. Dia tidaklah begitu degil untuk menidakkan permintaan ibu bapanya walaupun hati kecil keras menolak. Senyumlah walau terpaksa. Barangkali senyuman itu ubat mujarab yang bisa membahagiakan biar cuma seketika.

"Orang lelaki dah datang!"

Beritahu Riyad sambil mengenyit mata buat adiknya. Nampak riak terkejut pada wajah itu namun dia tidak mahu menalah apa yang bermain di fikiran adiknya. Barangkali menerima lebih baik pada ketika itu.

Hafiy mendekati Riyad dari belakang lantas mengangkat tangan, memberi isyarat supaya Iris Suhayla menenangkan diri namun dibalas dengan isyarat ke arah kakinya yang bengkak akibat terseliuh semalam. Hafiy gelak sebelum menutup mulutnya. Kemudian, dia menepuk bahu Riyad, isyarat untuk beredar ke ruang tamu. Selepas itu, Afiqah pula mengambil tempat di celah pintu, mengintai dengan susah payahnya.

"Tak payahlah, bukan nampak apa pun celah pintu tu,"

"Tak dapat tengok pun tak apa, at least dapat dengar!"

Jawabnya bersahaja. Iris cuba mengalih kakinya yang masih membengkak, perlahan-lahan. Penat melabuh sauh di atas tilam empuk, dia mahu beralih sebentar, cuba bergerak walaupun susah. berdikit-dikit dia menapak namun apabila terasa susah dan sakit, dia duduk kembali.

"Menyesalnya aku. Kalau tahu hari ni nak sakit, tak kujejak kaki ke dapur,"

"Buas sangat, tak padan dengan tua! Minggu depan lapor diri pakai tongkatlah kau, ya?"

Usik Afiqah sebelum duduk di sebelah Iris Suhayla. Dia mengeluarkan kamera dari beg sandangnya sebelum mengambil gambar Iris Suhayla. Sekeping, dua keping, tiga keping, gambar mereka berdua dan akhir sekali lensa kamera itu menghala ke kaki Iris Suhayla.

"Aku nak pos gambar kaki ni pada Nad lah! Muka cantik tapi kaki sakit. He he he"

Usik Afiqah lantas Iris bangun spontan untuk merampas kamera yang dipegang Afiqah. Berlaku tolak menolak hingga terkeluar jeritan kecil dari mulut Iris Suhayla.

"Jangan!!!"

Pintu bilik terbuka di saat mereka berdua masih berebutkan kamera itu. Iris Suhayla terkejut. Afiqah terpinga-pinga. Terlupa akan majlis yang sedang berlangsung lantas muka tidak dapat diangkat lagi. Terasa bahang panas menyerbu naik ke muka. Afiqah mengecil lalu memberi laluan pada tetamu yang baru berada di dalam kamar itu.

"Inilah Iris Suhayla, anak dara bertuah saya ni!"

"Manis orangnya! Mari sayang, makcik sarungkan cincin ni sebagai tanda tunangan orang,"

Iris Suhayla mengangkat muka tetapi tidak lama. Rasa malu ketika pintu bilik dibuka tadi pun masih belum padam lagi namun senyuman wanita yang dikira belum mencecah usia lima puluhan itu menyejukkan hati. Bakal ibu mertuakah? Muda dan manis! Ah!

"Salam, Su!"

Bisik Mak Su Dianah di tepi. Iris bagaikan robot, mengikut setiap arahan buat dirinya lantas menyalami tangan wanita berbaju kurung biru itu.

"Kita jumpa enam bulan lagi. InsyaAllah!"

* * * * * * * *

"KITA jumpa enam bulan lagi. InsyaAllah!"

Dari siang hingga ke malam, sebaris ayat itu ibarat rakaman, terputar di dalam kotak fikirannya tanpa henti. Puas dijauhkan, puas diusir namun ia tidak jemu-jemu mengusiknya. Akhirnya Iris Suhayla bangun dari baringan. Dia berjalan menuju ke arah jendela lalu menarik selak yang mengunci jendela itu. Dengan sedikit tenaga, daun tingkap itu ditolaknya.

Irama cengkerik di luar tidak mampu menenangkan fikiran yang sedang berselirat. Dia terus mencongak apa yang bakal berlaku selepas enam bulan itu. Berkahwin, punya suami untuk diuruskan, mengemas rumah, menyapu sampah, memasak. membasuh pakaian. Oh, tidak!

"Aku belum bersedia untuk semua itu. Aku masih remaja!"

Rungutnya. Menggeleng sambil menekup muka. Hendak ditangisi perkara itu, air mata langsung tidak sudi mengalir.

"Tutup tingkap tu! Nyamuk banyak tengah malam ni,"

Suara ayah mengetuk lamunannya. Iris Suhayla mencari kelibat ayah di kiri kanan rumah namun tidak kelihatan.

"Takkan suara ada tuan tak ada? Ishh,"

Komennya sendiri. Dia menggosok bulu roma yang meremang tiba-tiba sebelum laju menutup daun tingkap. Dengan lampu bilik yang tidak tertutup, dia terus berselubung sambil memeluk bantal golek.

* * * * * * * *

PANGGILAN telefon yang berdering segera dijawab. Ada wartawan di luar sedang menunggu untuk menemuramah kata setiuasahanya. Dia menolak sebelum mumutuskan talian.

Pantas berita tersebar. Dia pasti wartawan bukan ingin mendapatkan maklumat mengenai perniagaan sebaliknya mereka berjaya menghidu kisah peribadinya.

Dari mana mereka mendapat tahu? Pasti dari sumber terdekat dengan dirinya sendiri tetapi dia tidak boleh cepat melatah. Semua ini telah diduga dari awal sebenarnya dan dia perlu bersedia untuk menanganinya. Ketukan di luar mengajaknya berhenti mengelamun lantas diizinkan tuan punya diri muncul di hadapannya.

"Kau ada dengar apa yang aku dengar?"

"Apa yang kau dengar?"

"Aku dengar wartawan cari kau tadi. Emm, nak tanya pasal status kau,"

Beritahu Hakimi. Izzul Haq terus ketawa. Walaupun berdebar juga pada mulanya namun dilindungi perasaan itu dengan ledakan tawa.

"Masih lagi bujang. Kenapa? Mereka nak risik aku ke?"

Tanyanya pula kepada Hakimi. Giliran sahabatnya itu pula untuk ketawa. Izzul Haq beralih ke arah sofa. Dia sedang bersedia. Mungkin lebih baik berterus terang tentang hal itu. Sekurang-kurangnya dengan Hakimi.

"Memang aku ada attendmajlis bertunang pun kelmarin,"

"I'm getting more confused. Kau attend sebagai orang yang bertunang ke kau attend sebagai tetamu?"

"Sebagai tetamu....tak jugak! Mungkin lebih tepat sebagai orang yang bertunang,"

Jelas Izzul Haq. Hakimi nyata terkejut sebelum memicit kepala yang tidak sakit. Dia mengambil tempat di hadapan Izzul Haq.

"Kalau betul kau dah bertunang, kenapa mesti menyembunyikan hal yang benar? Takkan kau buat salah kot?"

"Kenapa pulak mesti aku dedahkan hal peribadi aku pada orang luar?"

"Kau kan businessman berjaya!"

Ulas Hakimi, cuba mengukuhkan alasan walau sebenar dia hanya ingin menduga apa yang bermain di fikiran Izzul Haq. Ternyata lelaki itu punya pendirian yang tidak pernah berubah dari dulu lagi.

"Siapa saja boleh tanya aku soal businesstapi bukan hal peribadi aku. Siapa kawan aku, aku tinggal di mana, hujung minggu aku ke mana, dengan siapa aku keluar. Semua tu karut. Nak interview, cerita mesti berkisar pasal kerja. Tak ada temujanji, tak ada masa aku nak layan sembang kosong,"

Jelas Izzul Haq dengan panjang lebar. Hakimi mendengar dengan penuh minat. Dia mendengar penjelasan Izzul Haq sebelum merencana nasihat terbaik buat sahabatnya.

"Aku faham tapi kau pun kena tahu juga situasi kerja wartawan yang sangat sukakan berita segar-bugar untuk melariskan jualan produk mereka,"

"Itu bukan masalah aku,"

"Betul, bukan masalah kau pun tapi aku takut jadi masalah kau jugak satu hari nanti. Ingat, selagi tak dapat selagi tu mereka memburu. Tak suka kena buat cara tak suka. Jangan selalu keluar depan public. Kalau pun nak keluar kena cari pilihan yang terbaik,"

Beritahu Hakimi, cuba memberi peringatan. Besar harapannya agar Izzul Haq memberi perhatian yang serius terhadap perkara itu.

"Pilihan terbaik? Contoh?"

"Keluar secara berkumpulan,"

"Double date maksud kau?"

Sampuk Izzul Haq, cuba memahami saranan Hakimi. Sudah terbayang di layar mindanya tentang pertemuan secara double date! Oh, tidak!

"Taklah sampai double date. Seeloknya ajaklah kawan-kawan keluar sekali. Mungkin keluar bersukan atau keluar makan,"

"Dateapa namanya tu kalau ajak kawan-kawan. Nak bikin malu sama kawan ke?"

Sanggah Izzul Haq, membantah pendapat Hakimi yang dirasa terlalu keanak-anakkan.

"Kata tak suka orang kacau hal peribadi kau!"

"Terima kasih banyak di atas cadangan mesra alam tu. Dah pukul sepuluh pagi. Aku nak keluar sekejap,"

DIA menyuap lagi sesudu aiskrim BR ke dalam mulutnya. Kali ini, dia memilih perisa Mint Chocolate Chip sebagai halwa mulut. Rasanya pedas dingin seperti ubat gigi namun dia sukakan perisa itu.

"Asal keluar aje dengan adik bongsu kita ni, mesti melantak aiskrim dulu. Tengah hari buta ni orang lapar nasi, dia lapar aiskrim,"

Rungut Hafiy kepada Riyad. Iris Suhayla buat-buat tidak dengar tentang rungutan abang sulungnya malahan dia sudah lali dengan rungutan itu kerana ia akan berlaku setiap kali mereka keluar bertiga. Dia tidak kisah dirungutkan berbakul-bakul sekalipun asalkan anak tekaknya dapat dibasahkan dengan kelazatan aiskrim BR!

"Along and angah nak rasa lagi, sedap!"

"Tak mahu aku, rasa ubat gigi,"

Tolak Hafiy cepat-cepat. Mula-mula tadi Iris Suhayla sudah menyuapkan mereka berdua dengan perisa pudina itu. Sekali makan, terasa hingga kini peliknya perisa itu.

"Ha ha ha!Bukan ubat gigi, rasa pudinalah!"

"Sama aje!"

"Kalau begitu, hari ni tak payah gosok gigi dah. Mulut dah wangi."

Iris Suhayla menjawab sambil menyuap sesudu lagi aiskrim itu. Riyad menepuk dahi tanda pusing dengan karenah adik bongsunya.

"Mulut tu tahu nak menjawab aje,"

"Dua je kerja mulut, satu untuk makan, satu lagi untuk menjawab segala tohmahan orang. Tak gitu, angah?"

"Patutlah kau kena kahwin awal Su, along rasa mak dah tak larat nak tutup mulut Su yang tak berhenti-henti menceceh,"

Beritahu Hafiy pula. Walaupun sekadar mengusik namun wajahnya sengaja dikeruhkan, petanda dia benar-benar memaksudkan apa yang dikatakan tadi.

"Itulah, angah pun pelik juga. Umur angah dah dua puluh lapan, along dua puluh sembilan, tak ada pulak sibuk-sibuk mak nak menjodohkan kita. Nampak sangat sebab mulut dia becok ni,"

Tambah Riyad pula. Iris Suhayla terus menyuap aiskrim. Tercuit juga dengan provokasi si abang berdua namun dia berusaha untuk tidak cepat melatah. Baru hendak menjawab, terdengar jeritan buyi di telefon bimbit Riyad.

"Walaikumussalam. Ada, kami dekat Baskin Robbins ni,"

"Okay!"

Jawab Riyad ringkas sebelum mematikan perbualan. Dua pasang mata melihat ke arahnya, meminta penjelasan. Apa kata jika dia buat tidak tahu dahulu. Dengan pantas dia menyedut air yang sudah separuh membasahi anak tekaknya. Kemudian, dia buat-buat sibuk membelek telefon, membaca pesanan ringkas, memadam mana yang perlu hinggalah terdengar sapaan satu suara, terus senyumannya berbunga.

"Assalammualaikum,"

"Walaikumussalam,"

Jawab Riyad dan Hafiy, hampir serentak. Iris Suhayla berhenti menyua aiskrim ke dalam mulutnya. Tertanya-tanya juga di hati, siapakah gerangan lelaki yang memberi salam ketika orang lain sedang menjamu selera. Belum belajar adabkah?

"Eh. tak tahu pulak along kita ada jemputan istimewa hari ni,"

"Su pun tak tahu jugak,"

"Saja, konon-konon nak buat surprise! Perkenalkan bakal adik ipar along and angah, Izzul Haq!"

"Izzul!"

Izzul Haq memperkenalkan dirinya lantas menghulur tangan untuk berjabat dengan Hafiy. Iris Suhayla pula terkedu, mungkin tidak menjangka perjumpaan itu bakal berlaku secepat ini.

"Jemput duduk Izzul! Nak order apa-apa ke? Along belanja tapi harap maklum saja lah, ya. Kedai aiskrim, aiskrim sajalah yang kita boleh makan. Favourite Su katakan,"

Riyad di sebelah ketawa kecil. Iris Suhayla pula semakin terkedu dan tidak tahu bagaimana hendak mendepani situasi baru dan tidak dijangka itu. Terbayang di layar minda bagaimana dua orang abang itu dipulas seratus lapan puluh darjah kelak. Jaga!

"Eh, tak apa! Rasanya last saya makan aiskrim masa kecil-kecil dulu. Lepas tu arwah mama larang dan sampai sekarang saya tak makan lagi,"

"Oh, lega. Selamat duit along!"

Usik Hafiy lantas ketiga-tiga lelaki itu ketawa bersama.

SIARAN televisyen yang sedang ditonton bagai tidak memberi sebarang makna buat dirinya dikala itu. Entah mengapa, kuat benar babak pertemuan bersama Izzul Haq petang tadi. memang tidak dapat dinafikan wajah kacak itu mencuri juga perhatiannya namun cukupkah sekadar berbekalkan wajah? Tidakkah kelak pelayaran bahtera perkahwinan hanya bersandarkan paras rupa tanpa wujud rasa cinta? Abadikah ia? Oh!

"Tengok tv ke tengok Izzul?"

Suara Hafiy kedengaran jelas di tepinya. Usikan merangkap provokasi itu lebih mendatangkan marah lantas perut si abang dipulas tanda geram. Terdengar jeritan kasar Hafiy, Riyad keluar dari biliknya. Rasanya dia tahu apa yang berlaku. Pasti Hafiy mengusik Iris Suhayla.

"Oh, along ingat Su tak tahu? Along yang berpakat dengan angah, kan? Lepas tu, lancar serangan gorila. Bijak, bijak!"

Marah Iris Suhayla lantas menutup butang off pada alat kawalan jauh. Dia mengacah hendak mengetuk kepala Hafiy dengan alat kawalan jauh itu sebelum mencampakkan alat itu ke sebelah tempat duduk Hafiy. Bila dia menapak meninggalkan ruang tamu, tertangkap dek telinganya ketawa dua orang abangnya.

"Alah, padahal Su suka. Sajalah tu buat marah depan kita,"

"Nanti kita buat kejutan lain pulak, along! Tadi kita bagi peluang dia bersembang tadi, mulut murai tiba-tiba jadi mulut simen. Tiba-tiba jadi pemalu. Buang tabiat, buang tabiat!"

Sakat Riyad lagi. Dalam kepalanya, banyak lagi yang hendak direncanakan untuk mengusik Iris Suhayla kelak. Tambahan pula adik bongsunya bakal berlepas ke Labuan seminggu lagi. Dia akan menjadikan hari-hari akhir itu sebagai kenangan manis buat Iris Suhayla.

"Okey! Along setuju. Rupanya ada cara menjinakkan burung merak ni,"

"Letak aje tunang dia kat depan, comfirm terkebil-kebil lagi,"

Riyad menjawab dengan kuat. Hampir melaung. Barangkali dia memang sengaja mahu memberi tekanan ke atas adik bongsunya itu.

"Wah, seronoknya dapat 'menjinakkan' adik kita yang seorang tu!"

Kata Hafiy sambil menepuk tangan. Iris Suhayla bertambah sakit hati. Dia berbaring di atas katil sambil berfikir cara membalas serangan mereka berdua.

"Apa yang dua beradik ni bersembang?"

Puan Aini yang mendengar gelak ketawa dua bersaudara itu datang menjenguk ke runag tamu. Barangkali ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama, tambahan pula dua anak lelakinya pulang ke kampung jarang sekali. Riyad berkerja di Brunei manakala Hafiy bekerja di Miri. Kelak, Iris Suhayla bakal menjejaki abang-abangnya. Yang tinggal nanti hanya dia dan suami. Pasti hari-hari selepas ini lebih sunyi tanpa suara dan keletah anak-anak.

"Tak ada pun, mak! Saja mengusik Su! Bilalah anak mak yang seorang tu nak membesar dengan jayanya?"

"Hai, lain macam aje bunyinya? Tak cukup besar lagi ke adik along tu? Dah nak kahwin pun,"

"Along nampak Su yang dulu lagi, Su sepuluh tahun yang dulu!"

"Baguslah tu, awet muda!"

Jawab Iris Suhayla dari daun pintu biliknya. Dari tadi dia mendengar usikan abang yang berdua itu. Terasa panas cuping telinganya, tak sabar rasanya hendak membalas balik serangan-serangan mulut mereka. Cukup berkesan provokasi mereka hingga dia yang mulanya bertekad malas melayan terpanggil lagi untuk menjawab.

"Eh, ada! Ingat dah bermimpi naik pelamin dengan Izzul,"

Usik Riyad. Hafiy disebelah menyahut sambil tertawa sedang emak cuma menggeleng kepala. Anak-anaknya sedang kecil atau ketika dewasa, sama sahaja nakalnya, tidak cuma Iris Suhayla. Baginya, itulah sifat mereka yang membahagiakan hari-hari tuanya yang jarang-jarang sekali terisi dengan keriuhan keletah anak-anak.

"Yang mengigau nak kahwin sangat tu angah, kan?"

"Su kan? Su malu nak mengaku, kan? Esok angah panggil Izzul lagi, ya?"

"Panggillah kalau berani. Su takkan malu-malu 'mengerjakan' along dengan angah tau kalau angah berani buat macam tu,"



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku