Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(26 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
21909

Bacaan






9

CINCIN tanda dirinya sudah diikat sudah lama ditanggalkan. Namun malam itu, dia terpanggil juga untuk melihat bentuk cincin itu dengan lebih dekat. Kalau emak tahu yang dia telah menanggalkan cincin itu dari jarinya, pasti sudah lama dirinya dicuci dengan bersih, namun hal itu tidak perlu diceritakan kepada emak. Bukan emak tidak tahu yang dia tidak sukakan ikatan itu namun emak berkeras juga. Jadi, bukan salahnya jika dia membuang ikatan itu dalam senyap.

Tempoh enam bulan yang diberi oleh keluarga lelaki akan digunakan sebaiknya untuk 'meleraikan' ikatan itu. Tambahan pula, jarak mereka sangat jauh. Inilah masa buat dirinya bertindak menyelamatkan diri sebelum menjadi mangsa dan menurut perintah orang yang tidak dikenali dalam sebuah ikatan perkahwinan. Dia sedar, ada hikmah yang terlindung di sebalik penempatannya di Labuan.

"Terima kasih, Ya Allah!"

Lafaznya, perlahan lantas meletakkan cincin itu kembali ke dalam bekasnya. Biarpun Mak Su Dianah, emak dan Afiqah memuji pilihan cincin yang cantik, namun itu belum cukup untuk melembutkan hatinya. Dan, walaupun tunangnya seorang lelaki budiman yang kacak lagi bergaya, itu juga belum mampu menambat hatinya.

Lantas, apa yang dicari pada seorang lelaki? Romantik? Oh, ngerinya! Dia tidak suka lelaki romantik. Dia sukakan seorang lelaki bersahaja, yang boleh membuatkan dirinya ketawa dan berada di sampingnya ketika dia berduka. Pendengar yang setia serta menyayangi dia seadanya.

"Su, dah tidur ke?"

Terdengar suara di luar menyapanya. Iris Suhayla cepat-cepat bangun lalu membuka daun pintu.

"Belum, kenapa?"

"Tak ada apa-apa. Nak bersembang aje, tapi kalau kau nak tidur, tak apalah!"

"Eleh, drama pulak!Masuklah!"

Pelawa Iris mendahului Siti Hajar menuju ke kamarnya. Dia berbaring, Siti Hajar juga begitu. Tiada cerita atau suara. Yang kedengaran cuma bunyi bilah-bilah kipas yang berputar, menyebar angin di seluruh pelusuk bilik.

"Aku perasan ke, memang perasaan aku? Kau tidur malam memang tak tutup tingkap, ya?"

"Emm, dah terbiasalah Siti! Selalunya kat kampung ayah aku yang ingatkan tiap-tiap malam. Tutup tingkap tu! Nyamuk banyak tengah malam ni,"

Jelasnya sambil mengajuk pesan ayah, membuat suara garau. Siti Hajar ketawa kecil. Mungkin begitu asal sikap Iris Suhayla, degil dan nakal.

"Selalu aku tutup tingkap bila kena marah. Kat sini tak ada orang nak marah pulak, sudahnya sampai ke pagilah tingkap ni terbuka,"

Tambah Iris Suhayla lagi.

"Aku bukan nak menakutkan kau, Su! Tapi kita ni perempuan. Berhati-hatilah!Kat kampung mungkin tempat kita membesar, dah faham dengan selok-belok kampung, tapi sini bukan tempat kita. Kita singgah aje! Siapa orang di sekeliling kita, apa mereka buat? Semua tu bukan dalam pengetahuan kita,"

"Isy kau ni, menakutkanlah pulak!"

Tingkah Iris Suhayla, dengan dahi berkerut-kerut. Dia bingkas bangun dan berjalan ke arah tingkap. Seperti mana yang sering dipesan oleh Siti Hajar, dia akur, lantas daun tingkap itu ditarik dengan segala kudrat.


IRIS Suhayla tiba awal di sekolah pagi itu. Dia tiba bersama Siti Hajar. Ketika dia tiba di sekolah, hanya beberapa orang murid yang tiba dengan pakaian baru. Teringat zaman sekolah rendahnya dahulu. Ayahlah orang yang menghantar dan menjemputnya setiap hari sedangkan Riyad dan Hafiy balik dan pulang dari sekolah hanya berbasikal. Kadangkala terdengar juga keluhan abang yang berdua itu namun apalah ertinya rungutan itu kepada seorang anak kecil.

"Assalammualaikum, cikgu!"

Sapa dua orang murid, hampir serentak ketika mereka berjalan di tepi koridor menuju ke pejabat. Iris Suhayla tersenyum sambil menjawab salam itu. Kali pertama diberi salam seperti itu, terasa nikmat menjadi guru.

"Panjang senyum!"

Usik Siti Hajar di sebelah. Iris Suhayla senyum sahaja, tidak membalas senda teman serumahnya.

"Tahun pertama seorang guru baru!"

Tambahnya lagi. Kali ini pantas Iris Suhayla bertindak dengan menepuk lengannya. Mereka sama-sama ketawa. Mungkin apa yang pernah berlaku kepada Iris Suhayla pernah terjadi kepada Siti Hajar ketika tahun pertamanya bergelar seorang guru. Salam yang diberi anak murid bagai azimat berduri. Iris Suhayla dan Siti Hajar mendaki anak tangga ke laluan pejabat dengan berhati-hati.

"Assalammualaikum!"

Ucap Siti Hajar ketika mereka tiba di pejabat.

"Selamat kembali bertugas, Cikgu Siti dan Cikgu Iris!"

Ucap guru besar yang menyambut ketibaan mereka pagi itu. Terkejut Iris Suhayla melihat sikap guru besar yang ceria menyambut kedatangan mereka pada hari pertama itu.

"Kami ingat kami awal, rupanya guru besar awal lagi!"

Kata Siti Hajar kepada Puan Hajjah Aminah. Tersenyum guru besar dengan pujian Siti Hajar.

"Bukan senang nak jadi ketua ni, Siti! Lebih susah nak memberi pimpinan melalui teladan. Inilah yang sedang saya praktikkan,"

"Betul tu, puan! Teladan tulah yang kita nak contohi,"

Jawab Iris Suhayla menambah apabila dirasakan perlu. Lagipun apa yang dilakukan oleh guru besar memang tepat. Tidaklah ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.

"Iya. Untuk Cikgu Iris, selamat menempuh alam pendidikan! Kalau ada yang hendak ditanya, rujuklah mana-mana guru yang lebih berpengalaman,"

Pesan guru besar sebelum mereka berdua meninggalkan pejabat. Ketika melepasi pintu pejabat, Iris Suhayla terlanggar seseorang yang kebetulan hendak masuk ke dalam pejabat.

"Maaf!"

Ucap Iris Suhayla sambil menundukkan kepala tanda maaf. Semalam dia dirempuh orang, hari ini tiba giliran dia pula merempuh bahu orang. Ketika dia mengangkat wajah, lelaki semalam tersenyum kepadanya.

"Su!"

Katanya sepatah. Iris Suhayla tidak menjawab sebaliknya dia memberi laluan kepada lelaki itu untuk masuk ke dalam pejabat sebelum dia melepasi pintu utama itu. Siti Hajar yang menunggu di luar, mengangkat keningnya, bertanya tentang lelaki itu.

"Entah!"


IZZUL Haq masuk ke dalam bilik mesyuarat dengan beberapa buah fail di tangan. Seperti yang dijanjikan, tepat pukul sembilan pagi, mesyuarat pegurusan kali pertama dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari dirinya yang juga merangkap pengerusi majlis. Kemudian, dia meminta seorang pegawai yang sangat dikenali dengan kepetahannya membaca doa.

"Amin, amin Ya Rabbal Alamin. Alhamdulillah, pagi ini merupakan kali pertama kita berkumpul setelah tahun 2013 melabuhkan tirainya. Banyak agenda yang telah dirancang dan bakal dilaksanakan tahun ini untuk mengukuhkan lagi prestasi syarikat di pasaran automobil, khususnya untuk pasaran Malaysia. Berita baik untuk semua, saya telah berbincang dengan lembaga pengarah untuk mendaftarkan syarikat kita di pasaran saham. InsyaAllah, mulai pertengahan tahun 2014, orang awam sudah boleh membeli saham dan melabur terus kepada syarikat kita, iaitu The Speeds Sendirian Berhad."

Ujar Izzul Haq, sebagai mukadimah pada pagi itu. Sorakan dan tepukan gemuruh diterima selepas dia mengumumkan berita baik itu.

"Ini bermakna, syarikat kita sudah mendaki selangkah lagi tangga ke atas untuk mara sebagai peneraju kereta mewah terbesar di Malaysia."

Tambahnya lagi, terus mencuri tumpuan warga mesyuarat itu. Izzul Haq ikut tersenyum. Tidak dapat dinafikan usaha kerasnya selama ini mula membuahkan hasil, lantas perasaan gembira memang tidak dapat dilindungi lagi.

"Saya dan lembaga pengarah telah bersetuju untuk memberi bonus satu bulan gaji kepada semua pegawai dan kakitangan The Speeds sebagai penghargaan di atas usaha kalian semua. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua, kita mampu berdiri megah seperti ini."

Ucapnya, disambut dengan tepukan dan sorakan yang semakin rancak.

"Cayalah bos! Terima kasih, bos! Bonus satu bulan gaji. Yeehaaa!!!"

Kedengaran suara pegawainya bersorak, cukup bergembira di atas pengumuman yang disampaikan oleh Izzul Haq.

"Itu sahaja sebenarnya untuk hari ini. Oh, sebelum saya terlupa, malam ni, semua staf bersama keluarga di jemput ke Hotel Vistana. Kita dinner di sana. Jangan lupa bagi jumlah ahli yang nak dibawa untuk tempahan kepada Aina."

"Alhamdulillah, bos belanja kita makan. Rezeki, rezeki! Pukul berapa tu bos?"

"Lepas Maghriblah. Sembahyang jemaah dulu dengan ahli keluarga, lepas tu baru enjoy the dines."

"Walla, cantik sekali masa yang bos pilih!"

Sahut Shafee dari hujung. Izzul Haq ketawa kecil. Jika dia di tempat mereka, dia juga inginkan penghargaan sebagai pekerja.

"Pukul lapan malam kita jumpa. Kalau tak ada apa-apa, Assalammualaikum warahmatullahita'alawabarakatuh. Mesyuarat kita pada hari ini ditangguhkan!"

kata Izzul Haq sebelum berdiri. Suasana di bilik mesyuarat itu masih meriah dengan suara-suara kakitangannya. Barangkali mereka sangat gembira dengan perkhabaran itu.


JAM di dinding hampir menunjukkan angka lapan pagi. Akan bermula waktu pengajarannya yang pertama untuk hari itu. Walaupun dimaklumkan dia masih keseorangan pada hari ini, kemunculan pembantu yang tidak disangka-sangka melegakan perasaannya. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu memikirkan soal makanan murid pada pagi itu.

"Cikgu Osman kata Kak Nisa alahan teruk. Dah okey ke sekarang?"

Tanya Iris Suhayla, ketika menunggu murid-murid beratur. Nisa yang berdiri di sebelahnya tidak terus menjawab, sebaliknya dia membantu beberapa orang kanak-kanak yang masih terkial-kial, tidak tahu apa yang harus dilakukan apabila guru memberi arahan supaya beratur.

"Masih alahan lagi, Iris! Sia hilang selera makan, hidu bau makanan pun ndaboleh."

"Oh, habis tu macam mana Kak Nisa nak masak nanti?"

"Nak buat macam mana? Ini juga kerja sia memasak ni. Kalau rasa mo muntah, sia muntah saja. Apa susah."

Jawab Nisa, lemah. Terpandang akannya seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menggigit jari. Kanak-kanak itu kelihatan seperti hendak menangis, lantas dipanggil kanak-kanak itu supaya dekat dengannya.

"Baiklah murid-murid, seperti semalam, sebentar lagi kita akan bersarapan. Sebelum bersarapan, apa yang perlu kita buat?"

"Baca doa makan!"

Sebut Syahmi, berani seperti sebelumnya. Iris Suhayla senyum sahaja.

"Bukan, sebelum baca doa makan, kita cuci ta-?"

"Tangan!"

Jawab mereka serentak. Iris Suhayla membimbing murid-murid untuk mencuci tangan di luar kelas. Seorang demi seorang, hingga tiba giliran Saufi. Lama murid itu merenungnya, seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada Iris Suhayla.

"Kenapa?"

"Kita dah cuci tangan tadi,"

"Tadi? Bila?"

Tanya Iris Suhayla pula, kehairanan.

"Tadi, kat rumah!"

"Oh, itu tadi. Sekarang kena cuci lagi. Setiap kali nak makan, Saufi kena cuci tangan tau!"

Ujar Iris Suhayla, membetulkan tanggapan anak kecil itu. Dia memaut bahu Saufi, membongkokkan sedikit badan anak itu supaya mudah buatnya mencuci tangan.


"HAI, Su!

Sapa seseorang di belakang. Iris Suhayla menoleh namun tidak gembira melihat wajah Zakwan di belakangnya. Semalam, Siti Hajar sempat berbisik bahawa lelaki itu merupakan guru baru yang menggantikan tempat seorang guru kaunseling yang memohon untuk bertukar ke Sabah.

"Emm,"

Jawab Iris Suhayla, ringkas sebelum bergegas masuk ke perpustakaan. Dia mencari kelibat Siti Hajar yang memang ditugaskan sebagai guru media di Sekolah Kebangsaan Seri Layang bermula tahun 2014.

"Su, kenapalah sombong sangat Su yang seorang ni? Kita kan seangkatan, mana boleh sombong-sombong!"

Tegur Zakwan, agak kuat sedang Iris Suhayla pura-pura tidak mendengar. Tidak nampak kelibat Siti Hajar, dia menunggu rakannya di atas sofa. Sebuah akhbar tempatan diambil lalu diselak satu halaman demi satu halaman.

"Iris Suhayla, Iris Suhayla, Iris Suhayla! Takkan marah lagi pasal terlanggar air awak tu kot,"

"Tak marah pun!"

Jawabnya ringkas. Zakwan mula mengambil tempat, duduk berhadapan dengannya. Akhbar yang sedang dibacanya ditarik perlahan oleh Zakwan, hingga tiada lagi sempadan antara mereka berdua. Geram akan sikap yang ditonjolkan Zakwan, dia bangun lalu meletakkan akhbar itu di sebelah Zakwan.

"Habis tu? Asal tegur aje, menyombong, tegur aje, menyombong! Besar sangat ke salah saya pada awak?"

"Nama pun TERlanggar, buat apa nak marah?"

Soalnya pula, menegaskan bunyi terlanggar itu. Kali ini giliran Zakwan pula bangun, meletakkan kembali akhbar yang diusik dari Iris Suhayla, kembali kepada tuan yang membacanya. Iris Suhayla membuat mimik tidak senangnya akan Zakwan. Jika bukan kerana Siti Hajar, sudah lama ditinggalkan Zakwan di situ.

"Ehemmm!"

Tertangkap dek telinganya deheman seseorang lantas Iris Suhayla mencari datangnya bunyi dengan ekor matanya. Siti Hajar melambai dari muka pintu dengan senyuman. Zakwan juga menoleh ke arah Siti Hajar.

"Ada tetamu rupanya. Kalau tahu meriah begini, dah lama aku order pizza buat jamu kau orang berdua,"

"Eh, tak apa! Esok ada lagi. Esok aku datang lagi, ya?"

"Datanglah kalau rajin nak memanjat tingkat tiga ni,"

Pelawa Siti Hajar, bersama peringatan. Kedudukan pusat sumber yang jauh di atas, membuatkan tidak ramai guru mengunjunginya. Sesekali sahaja mereka menerima kunjungan dari guru yang membawa murid membaca di perpustakaan. Selebihnya, ia dikunjungi oleh pengawas perpustakaan yang bertugas mengikut jadual.

"Kau buat apa dengan perpustakaan ni, Siti?"

Tanya Zakwan, seolah-olah sedang membaca fikirannya ketika itu.

"Kenapa dengan aku?"

"Lengang aje. Budak tak berminat nak membaca di perpustakaan ke?"

"Aku baru ambil alih aje pusat sumber ni. Tahun lepas orang lain yang pegang. Lagipun baru tiga hari sekolah buka, tak sempat lagi nak buat promosi,"

"Aku tolong kau, nak? Kita buat promosi Jom Pusat Sumber!"

"Betul kau nak tolong?"

"Iyalah! Tapi satu syarat, pesan kat Iris, jangan sombong sangat dengan aku! Tak baik!"

"Oh, itu masalah kecil!"

Jawab Siti Hajar sambil melirik ke arah Iris Suhayla. Dia ketawa apabila Iris Suhayla menjegilkan matanya.

KUMPULAN promosi dan jualan sudah mengambil tempat masing-masing di dalam bilik mesyuarat itu. masing-masing sudah bersedia dengan pen dan kertas sebagai catatan.

"Barangkali sebahagian dari kamu sudah sedia maklum namun ingin saya maklumkan sekali lagi bahawa kita akan adakan pelancaran model baru Porsche pada hujung bulan depan. Sebagai persiapan awal, saya mahukan idea kreatif sebagai gimik pelancaran. Model bersama kereta sudah kerap sangat kita persembahkan sebagai gimik. Apa selainnya?"

Ujarnya, terus kepada pokok perbincangan mereka pada hari itu. Dari suasana sepi, bilik mesyuarat itu mula hangat dengan pelbagai suara. Ada yang berbincang dengan rakan di sebelah, ada yang sedang berbisik. Izzul Haq sebagai ketua hanya melihat reaksi mereka dari meja yang paling hujung.

"Bos, apa kata kita buat siaran langsung perlumbaan kereta model Porsche baru dengan kereta lain. At least two other cars in the game. Apa cara sekali pun, Porsche mesti menang dan garisan penamatnya adalah di bilik showroom nanti, terus naik ke kotak parking,"

Cadang Kevin, rancak bercerita tentang ideanya. Terdengar suara yang bersetuju, tidak kurang dengan suara-suara sumbang yang mentertawakan idea itu.

"Tapi ini bukan kereta lumba. Sesuai ke? Tak mengganggu audiens ke?"

"Bos kata nak kelainan. Cubalah."

"Saya rasa kan, idea Kevin tu kita boleh cuba, lagi pun kita nak mengetengahkan jenama syarikat, The Speeds. Kita pakai konsep Kevin tapi dengan sedikit penambahan, misalnya pelancaran dibuat di atas litar. Banyak aspek yang perlu difikir kalau nak buat penamat perlumbaan di showroom. Paling penting keselesaan audiens. Alah, bos kan minat lumba kereta, bos jadilah pelakon utama. Kemudian, berganding aje dengan mana-mana selebriti. Comfirm mendapat sambutan!"

Sambut Shahrul dengan penambahan ideanya. Kali ini, suasana sesi brain storming lebih hangat. Izzul Haq yang mendengar cadangan Shahrul berkerut kening. Pada mulanya dia bersetuju juga dengan konsep pelancaran di atas litar, namun apabila dirinya dikaitkan, seratus kali pula dia berfikir.

"Kenapa saya pulak yang nak kena berlakon? Kalau betul nak buat gimik begitu, saya rasa baik panggil pelumba profesional terus."

"Marketing strategy lah, bos! Mesti ramai yang teruja nak tengok bos beraksi di atas litar. Bos gunalah Audi R8 tu. The Targa will be drove by a woman celebrity,"

"Aku suka idea tu, Shahrul!"

Sahut kevin pula. Kemudian terdengar suara yang hampir semuanya bersetuju dengan cadangan yang diketengahkan oleh Shahrul.

"Zulaika dan Sheena uruskan bahagian PC!"

Sampuk Fazli yang duduk di tengah-tengah Kevin.

"Saya setuju dengan gimik yang kamu pilih, tapi dengan syarat, Audi R8 will be drove by orang lain."

"Tak setuju tu, bos! Apa yang kita nak tonjolkan ialah kemewahan dan gaya, bukan sahaja dari aspek kereta, tapi dari sudut pemandunya juga. Ini yang saya maksudkan bos! Sebab tu saya cadangkan supaya bos yang menjadi another man in the race. Aura yang ada pada bos tu yang kita nak tampilkan,"

"Setuju semua?"

Tanya Shahrul lagi kepada rakan-rakannya. Hampir semua mengangkat tangan tanda bersetuju hingga Izzul Haq menepuk dahinya kerana menjadi 'mangsa' tiba-tiba.

"Menyesal saya mintak buat gimik!"



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku