Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
24943

Bacaan






10

"SIBUK bah? Mo sia tolong?"

Tanya Nisa ketika dia sibuk mewarna gambar untuk dijadikan bahan pengajaran pada hari esok. Jam di dinding telah menunjukkan angka dua petang namun dia masih belum berganjak dari meja guru.

"Tak apa, saya buat dulu mana yang boleh, nanti kalau ada bantuan yang saya perlu dari Kak Nisa, saya beritahu kemudian."

Ujar Iris Suhayla, menyudahkan sentuhan terakhir pada gambar anggota badan itu. Beberapa kad perkataan tentang anggota badan sudah disiapkan dan tersusun molek di hadapan Iris Suhayla. Nisa akan berasa bersalah jika tidak menawarkan diri untuk membantu Iris Suhayla. Tambahan pula, membantu guru membuat bahan pengajaran merupakan sebahagian dari fail mejanya.

"Saya nak perkenalkan huruf sahaja. Minggu lepas, saya sempat uji murid secara rawak. Boleh dikatakan semua murid belum mengenal abjad."

Beritahu Iris Suhayla kepada Nisa yang masih setia berdiri di hadapannya. Teringat akan keadaan kesihatan Nisa, Iris Suhayla menyorong kerusi lantas mempelawa Nisa untuk duduk bersamanya.

"Terima kasih, Iris!"

"Sama-sama."

"Kalau ikut pengalaman lepas, lepas bulan empat baru murid akan kenal abjad sepenuhnya. Itu pun belum termasuk murid yang malas dan yang ada masalah pembelajaran."

Ulas Nisa, menceritakan sedikit pengalaman semenjak dia menceburkan diri sebagai Pembantu Pengurusan Murid. Lima tahun. Barangkali masa itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan masa yang dihabiskan oleh seorang guru untuk mendidik anak muridnya mengenal abjad, dan membaca namun sedikit sebanyak, ada juga ilmu yang boleh dikongsi bersama.

"Bulan empat? Lama jugak tu!"

"Lama, tahun pertama posting, masa tu di Sarawak. Boleh dikatakan cikgu buat kelas intensif bacaan setiap hari, setiap pagi, karana mahukan muridnya boleh membaca."

"Itu yang bulan keempat baru budak boleh membaca, ya?"

"Emm, cikgu tu memang rajin tapi berdepan karenah budak, kan? Ada yang malas, ada yang kerap tak hadir sekolah, ada yang pemalu. Semua tu jadi halangan juga."

Cerita Nisa lagi. Iris Suhayla tekun mendengar cerita yang disampaikan oleh Nisa lalu dia memadankan situasi itu persekitaran murid di dalam kelasnya.

"Betul, tengok aje murid dalam kelas kita. Yang tak mahu bukak mulut, mengenal huruf, ada beberapa orang jugak. Belum kira yang kuat bercakap tapi pemalu bila ke depan."

"Pendek kata, beginilah ragam yang perlu kita tempuh setiap tahun. Cikgulah yang paling banyak berdepan cabaran, dapat murid zero pada awal tahun tapi menjelang hujung tahun, mereka sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Awal tahun depan, zero lagi. Mo bintuk yang zero tu yang susa. Makan masa, kadang-kadang stress juga kiturang."

Beritahu Nisa lagi. Bukan berniat untuk menakut-nakutkan Iris Suhayla, tetapi ia kenyataan namun boleh dijadikan panduan.

"Saya nak cari projektor bila ada kemampuan nanti,"

"Mungkin gambar kartun yang berwarna-warni boleh menarik perhatian mereka lagi,"

Luah Iris Suhayla, memikirkan jalan keluar dari masalah itu. Nisa senyum sahaja. Jika itu yang terbaik pada Iris Suhayla, dia pasti akan menyokong.

"Setakat ni, belum mampu lagi selain kertas dan warna!"

"Selamatlah niat Iris tu,"

"Amin."


AINI duduk di atas katil Iris Suhayla. Rasanya semenjak berlepas ke Labuan, baru dua kali Iris Suhayla menghubunginya. Pernah juga dia meluahkan hal itu kepada si suami, namun tidak mendapat reaksi yang sepatutnya.

"Dia sibuklah tu!"

"Malam pun sibuk jugak ke, abang?"

"Dah siang penat bekerja, malam dia tidur awallah agaknya."

Balas si suami lagi. Barangkali hendak menyejukkan hatinya yang kerap gusar akan anak bongsunya yang jauh di mata.

"Abang pun penat jugak bekerja, malam ada jugak masa ke masjid."

"Eh, awak ni! Samakan dengan saya pulak. Saya ni buat kerja kampung, berkebun aje. Janganlah samakan dengan orang yang memerah otak di bandar."

"Sama aje. Bekerja jugak!"

"Patutlah anak degil, menurut emak dia rupanya,"

Sindir suaminya, perlahan namun pedih juga telinga mendengar sindiran itu. Kemudian, suaminya ketawa melihat riak wajahnya yang berubah bila dikata begitu.

"Sampai hati abang kata saya degil."

"Alah, bergurau sekali-sekala. Anak tu tak lupakan awak. Janganlah dirunsingkan sangat! Belum sampai masa untuk kita khuatir lagi. Lagipun, Su dah besar, bukan anak kecil yang awak dukung dulu-dulu tu,"

"Dah besar pun, dia tu anak dara, abang!"

Jawabnya lagi. Kali ini lebih perlahan. Bimbang juga jika dia dicop degil buat kali kedua.

Aini bangun lalu menuju ke almari pakaian anaknya. Hampir kosong almari itu kecuali pakaian yang dipakainya ketika bertunang. Pakaian itu tergantung elok di dalam almari itu. Teringat kenangan lalu ketika dia menunjukkan pakaian itu kepada Iris Suhayla, namun anak itu memandang kosong. Tiada perasaan. Kini, ketika dia memandang baju itu, wajah 'kosong' anak itu pula bagai menari-nari di tubir matanya.

"Jangan dikenang sangat orang yang jauh. Dia bukan pergi gali kubur pun, kan dia pergi berbakti pada anak bangsa! Awak tak bangga anak awak jadi pendidik?"

"Bukan persoalan tentang bangga, abang! Persoalan sekarang, saya rindukan dia!"

"Janganlah ikutkan sangat perasaan tu, sampai masa nanti, baliklah dia."

Pesan Idris, lembut. Dalam diam dia dapat mengesan sikap isterinya yang terlalu bimbang. Bukan kali pertama Iris Suhayla duduk berjauhan dari mereka namun pemergian anak itu kali ini lebih jauh dari yang dijangka. Bukan sedikit duit yang perlu mereka labur jika ingin melawat anak itu satu masa nanti. Dan bukan sebarang kenderaan juga yang boleh tiba ke sana. Barangkali isterinya belum membiasakan diri dengan hal itu. Dia pasti, lama-lama nama anak itu pasti tidak sekerap ini disebutnya.


DIANAH hanya memandang ketika suaminya membuka kasut di muka pintu. Jika ditanya, pasti suaminya akan menghamburkan kemarahan seperti selalu, namun sebagai isteri, dia ingin juga mendapat jawapan tentang pemergian suami yang terlalu kerap dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

"Abang dah makan?"

Tanya Dianah, menyalami lantas mencium tangan itu namun dengan pantas suaminya mengelak.

"Emm,"

"Abang nak minum? Saya buatkan air, ya?"

"Tak payah, dah penuh!"

Kasar suara itu menjawab. Dianah tidak bertanya lagi. Bimbang juga jika suaminya naik angin jika terlalu banyak yang ditanya. Namun, itu sahajalah masa yang dia punya untuk berbual-bual dengan suaminya. Selain itu, suaminya sangat kerap menghabiskan masa di luar. Jika ditanya, jawapannya sama. Sunyi duduk di rumah. Anak pun tiada.

Bila kerap diungkit begitu, naluri perempuannya tersentuh juga. Bukan itu yang dipinta, namun siapalah dia hendak melawan ketentuan itu apabila disahkan tidak boleh mengandung dan melahirkan. Pada siapa lagi dia hendak berkongsi kesengsaraan itu jika bukan dengan suami, namun suami pula semakin hari semakin menjauh. Dua belas tahun usia perkahwinan mereka namun selama itu mereka hidup berdua. Bukan tidak ada usaha untuk mendapatkan zuriat, malah puluhan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk mendapatkan anak, sehinggalah pada suatu hari, dia dikhabarkan menghidap penyakit.

Tidak ada peluang buat dirinya mendapat zuriat, kata seorang pakar sakit puan. Setelah menerima perkhabaran itu, Bakri lah orang yang paling kecewa. Bakri mula memencilkan diri, kadang kala menunding jari menyalahkannya. Kekecewaan yang dirasa bukan sedikit malah berganda dengan layanan buruk yang diberi suami, namun dia bertekad untuk tidak membiarkan kekecewaan terus menyakitinya.

"Abang nak ke mana?"

Tanya Dianah apabila melihat suaminya menuruni anak tangga dengan pakaian yang baru diganti. Rumah ibarat bilik persalinan buat Bakri.

"Ke mana saya pergi, bukan urusan awak!"

"Bukan urusan saya? Tapi saya isteri abang?"

"Isteri di atas kertas. Kalau betul isteri, kenapa tak boleh bagi anak pada aku?"

Soal Bakri, memandang tajam ke arahnya. Dianah menundukkan wajahnya ke bawah.

"Bukan kehendak saya, abang!"

Jawab Dianah, masih menundukkan wajah. Tidak berani dia menetang wajah penuh amarah itu.

"Habis tu, kehendak aku?"

Soal suaminya semula sebelum keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Dianah duduk di atas sofa dengan esakan yang tidak dapat ditahan. Ingin sekali dia berkongsi cerita itu namun tidak tahu kepada siapa harus diadu.


IRIS Suhayla membuka mata apabila dirasakan sudah cukup lama dia tidur sepanjang malam. Dia bangun dari baringan dengan rasa malas namun masih belum berganjak dari katil itu. Jam di dinding, dilihat sekali imbas. Hampir sembilan pagi! Patutlah tidurnya terasa begitu panjang, rupa-rupanya, kapal yang dikemudi terlajak beberapa pulau dari perhentian yang sepatutnya.

"Su, cepat basuh muka! Sarapan jom!"

"Sarapan? Tunggulah aku mandi dulu. Takkan nak pergi kedai cuci muka aje kot. Bau badan yang dah hapak ni?"

Soal Iris Suhayla, mengundang senyuman teman serumah. Tidak dipedulikan reaksi Siti Hajar, sebaliknya dia terus membuat pusingan U dan masuk semula ke dalam bilik. Tuala merah jambu sudah disangkut di atas bahu kanan lantas dia berjalan menuju ke arah bilik mandi.

"Tak payah mandilah! Aku dah masak ni, nasi lemak dengan sambal petai."

"Hah? Sambal petai? Nasi lemak? Wah, bestnya! Tunggu kejap, aku cuci muka dulu,"

"Itulah, dari tadi lagi aku dah pesan, cuci muka aje. Sombong! Kalau tidak, dah lima minit lepas perut kita berisi makanan. Cepat, aku bilang sampai lima. Lambat, aku ngap dulu!"

"Satu, dua, tiga, empat, empat poin kosong lima, empat poin sepuluh, empat poin lima belas, empat poin dua puluh, tetttttttt! Tata, aku makan dulu,"

Ujar Siti Hajar, berpura-pura menekan loceng. Dia sengaja menarik perhatian Iris Suhayla yang sedang mecuci muka di dalam bilik. Dengan pantas dia berlari lalu duduk di hadapan sahabatnya. Dia menggosok-gosok tangannya tanda suka dengan hidangan mereka pada pagi Sabtu itu. Siti Hajar sudahpun makan suku pinggan sedang dia baru menghidu aroma sambal petai yang memang menjadi kesukaannya sejak dulu.

"Sambal petai ni cuma boleh makan hari Sabtu aje."

"Kenapa pulak?"

"Iyalah, kalau makan hari Ahad, nanti mulut berbau. Malu dengan anak murid."

Jelas Siti Hajar, membuatkan Iris Suhayla ketawa. Ingatkan malu dengan rakan-rakan, rupanya malu dengan anak murid.

"Tak apa. Anak murid aku kecil lagi."

"Weh, yang kecil tu bahaya! Dia orang ni mulut cili padi, tak ada insurans kata orang tua-tua. Silap haribulan, dengan mak bapak pun dia cerita pasal kau. Pakai baju terbalik ke, kain koyak ke, selipar besar sebelah ke. Baik kau jaga-jaga!"

Pesan Siti Hajar selesai mengunyah makanan di dalam mulutnya. Kemudian, dia menyua sesuap lagi nasi. menikmatinya dengan penuh keterujaan.

"Ha ah, kan! Betul jugak lah apa yang kau kata. Hari tu pun budak-budak tu boleh tanya aku, Cikgu, kenapa cikgu pakai selipar datang sekolah? Malu aku dibuatnya."

"Dah tu, lagi nak makan petai hari Ahad? Nanti ada pulak yang datang tanya, cikgu, kenapa mulut cikgu busuk? Cikgu tak gosok gigi ke?"

"Ha ha ha!"

Iris Suhayla menghamburkan tawa. Entah mengapa bayangan wajah Syahmi yang muncul sebagai murid yang bertanya tentang mulut busuk itu. Barangkali kerana kepetahan dan sikap berani Syahmi yang sentiasa mahu mencuba tak kira betul atau salah jawapannya.

"Dahlah, ketawa banyak-banyak, terlekat pulak biji petai tu!"

Tegur Siti Hajar, sambil menambah nasi buat kali yang kedua. Iris Suhayla tidak mahu ketinggalan. Dia ikut menambah selepas menghabiskan suapan yang terakhir.

"Sedaplah, Siti! Pandai jugak kau masak, ya?"

"Eh, nama aku Siti Hajar lah! Nama klasik! Tak pandai masak, tak boleh jadi Siti,"

"Ada ke? Tak logik langsung!"

"Ha ha ha! Tak logik ke? Bandingkan pulak dengan nama kau, Iris Suhayla! Nama moden kemain, sebab tu kau tak pandai ke dapur kan, buat makanan sendiri?"

Usik Siti Hajar. Kali ini Iris Suhayla pula yang ketawa. Benar apa yang dikata Siti Hajar kepadanya. Dia tidak pernah memasak ketika berada di kampung sedangkan emaknya tenaga pengajar masakan di KEMAS.

"Nilah resepi mak aku. Nanti kalau balik Semenanjung, jemput singgah ke Temerloh. Boleh cuba patin masak tempoyak pulak!"

"Wah, menarik tu!"


FAIL-fail pengurusan prasekolah telah siap dilabelkan. Sedang Nisa sibuk melabel, dia pula menyemak satu persatu isi kandungan fail tersebut. Ada isinya yang telah tujuh atau lapan tahun disimpan di dalam fail tersebut. Walaupun itu kali pertama dia terlibat dengan pengurusan fail, namun sempat juga dia merujuk Encik Osman pagi tadi. Encik Osman senyum sahaja bila ditanya tempoh sepatutnya dokumen-dokumen disimpan dalam fail.

"Nak lebih tepat Cikgu Iris boleh rujuk Arkib Negara untuk tujuan pelupusan, tapi sebenarnya kandungan dalam fail tak sepatutnya lebih dari tiga tahun. Umur dah tua, kita pencenkan aje dia. Buat menyemak aje mata memandang. Ada orang terlebih rajin, dokumen berwarna coklat pun masih nak simpan. Ingat Muzium Negara ke apa fail-fail tu?"

Soal Encik Osman, menghabiskan penjelasannya dengan soalan khusus untuk dijawab sendiri oleh Iris Suhayla. Entah mengapa topik ini agak sensitif buat Encik Osman. Selalunya, GPK Pentadbiran amat ramah menjawab setiap pertanyaannya. Kali ini, penjelasannya agak keras lantas dia berterima kasih sebelum beredar dari bilik Encik Osman.

"Esok saya nak balut fail-fail ni dengan pembalut putih. Hari ni kita sort isi aje dulu,"

"Nanti sia belikan pembalut tu. Berapa keping?"

"Kak Nisa nak tolong belikan, ya? Boleh jugak! Kak Nisa beli sebanyak fail yang ada nilah, ya?"

"Okay! Esok kita balut fail, ya? Habis tu, dokumen-dokumen lama ni Iris nak lupus ka, mo simpan lagi?"

Tanya Nisa, tidak pasti dengan tindakan yang bakal diambil oleh Iris Suhayla terhadap dokumen-dokumen itu. Iris Suhayla tersenyum sambil mengangkat semua dokumen lama itu lantas memakai selipar di luar kelas. Sekejap sahaja dia keluar dari kawasan pagar prasekolah. Ketika dia mencari tong sampah yang paling berhampiran, ternampak Zakwan dan beberapa orang guru lelaki yang kelihatan sedang menunjuk sesuatu ke arah tangga blok A yang paling atas. Dia melambatkan langkah sambil mengintai apa yang ditunjuk-tunjuk oleh sekumpulan guru lelaki itu. Ops, besarnya sarang tebuan!

"Su jangan guna laluan tangga tu, ya? Kita tutup sementara."

Ujar Zakwan yang perasan akan kehadirannya di situ. Cikgu Nizam turut menoleh ke arahnya. Begitu juga dengan dua orang lagi guru lelaki yang kurang dipastikan nama mereka. Raut wajah miang keladi Cikgu Nizam nyata tidak disenangi Iris Suhayla.

"Cikgu Iris! Lama nda jumpa bah."

"Tak lamalah, Cikgu Nizam."

Tingkahnya pula. Zakwan hilang fokus tentang isu sarang tebuan sebaliknya sibuk memerhati gelagat sahabatnya, Cikgu Nizam.

"Banyak urusan? Oh! Sia tolong mo tak?"

"Tak ada. Terima kasih!"

Tolaknya, ringkas. Kumpulan guru lelaki itu dilintasinya sebelum dia berpatah balik untuk menuju ke kelas prasekolah.

"Jangan layan sangat Cikgu Nizam tu, Su! Kerja dia banyak tapi sibuk nak tolong orang,"

Seorang guru lelaki di sebelah kiri Zakwan berpesan. Kemudian, dia menangkap gelak ketawa kumpulan itu. Zakwan tidak menokok perbualan itu tetapi leka memerhati Iris Suhayla dari tadi. Comelnya! Entah bila dia dapat mendekati Iris Suhayla yang mahal itu.


PAGI ini dia tiba ke sekolah lebih awal, bertujuan untuk memastikan tiada murid prasekolah yang melalui kawasan sarang tebuan itu. Yang paling dikhutirkan ialah sarang tebuan. Dia tidak mahu bertanggungjawab tanpa sebab.

"Eh, mana sarang tebuan tu?"

"Kami dah panggil orang yang mahir untuk halau tebuan-tebuan tu petang semalam."

Jawab seseorang, barangkali mendengar soalan yang ditanya untuk diri sendiri. Bila dia memusingkan badan, Zakwan sedang menghampiri. Oh, lelaki ini!

"Iya ke? Alhamdulillah. Dah hilang satu ancaman."

"Eh, lain macam aje bunyinya. Hilang satu ancaman? Ada beberapa ancaman ke sebelum ni?"

"Mungkin."

"Seperti?"

"Seperti lelaki miang keladi."

"Seperti?"

Soal Zakwan semula. Iris Suhayla tersenyum. Barangkali ini masa untuk mengenakan Zakwan, memandangkan lelaki itu kerap melempar pandangan menggusarkan hati perempuannya.

"Seperti siapa-siapa sahaja yang difikirkan sesuai,"

"Cikgu Nizam kot!"

Selamba Zakwan menjawab. Iris Suhayla kemam mulutnya rapat-rapat. Dia ingin menghambur tawa namun ditahannya, tidak mahu kelihatan begitu mesra pada pandangan Zakwan.

"Tak kisahlah siapa pun, asalkan tahu batas."

"Tapi saya belum kahwin lagi, Su! Takkan saya pun ancaman jugak?"

"Assalammualaikum, Cikgu Iris! Suami cikgu ke ni?"

Syahmi menyapa di celah perbualan Iris Suhayla dan Zakwan. Zakwan ketawa sedang Iris Suhayla berkerut kening mendengar soalan yang tidak disangka-sangka itu. Kemudian teringat kata Siti Hajar, mereka ini kecil cili padi. Mulut tak ada insurans

"Waalaikumussalam, Syahmi. Ini bukan suami cikgu! Cikgu belum kahwin lagi."

"Kalau Cikgu Zack jadi calon suami Cikgu Iris pun, apa salahnya, kan?"

Tambah Zakwan, mengusik sambil ingin melihat reaksi Iris Suhayla. Nyata gadis itu tidak mudah diusik. Riak iris Suhayla tidak mudah berubah, tambah pula jika yang mengusik itu adalah dirinya.

"Jom Syahmi, kita ke kelas!"

Ajak Iris Suhayla. Syahmi mengangguk, lalu dia memaut bahu anak kecil itu menuju ke kelas mereka, nun di hujung sekolah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku