Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
19857

Bacaan






13

"BILA Su nak balik?"

Tanya Aini sebaik anak bongsunya menjawab salam. Si bongsu Iris Suhayla, membalas dengan tawa. Bukan emak seorang yang mempunyai perasaan itu namun dia turut merasa ketiadaan emak di sisi.

"Tak mampu lagi, mak!

"Tak mampu apa pulak? Su kan dah kerja!"

"Dah kerja pun, tiket bukan sepuluh dua, mak!"

Jawabnya, teringat akan harga tiket yang pernah ditinjaunya bulan lepas. Dalam keadaan diri yang masih berjimat-cermat, tabungan untuk pulang ke kampung masih belum dapat disediakan. Dia sendiri masih mendapat tajaan dari angah. Jika bukan angah yang membantu kewangannya dua bulan ini, pasti sukar hidupnya memandangkan gaji belum diterima lagi. Namun, dia sudah berjanji pada angah untuk membayar balik segala 'tajaan' yang diberi apabila menerima gaji pertama kelak.

"Amboi, banyak pulak cekadaknya! Kalau nak tiket sepuluh ringgit...tu, pergi beli kapal terbang sendiri."

Balas Aini, sakit kepala dengan jawapan anak bongsunya. Sudah tua begini pun, masih perlu melayan kerenah Iris Suhayla.

"He he he."

"Balik aje. Nanti mak hantar duit tambang Su."

"Tak naklah! Kenapa mak pulak nak bayarkan tambang Su?"

Tolaknya, tidak mahu lagi menerima bantuan emak setelah memiliki kerjaya sendiri. Mungkin dahulu dia suka dibiayai namun bukan setelah memiliki gaji sendiri.

"Kata tadi tak mampu. Mak rindukan Su! Su baliklah cuti sekolah ni, ya?"

"Kalau mak bayarkan tambang tiket, Su tak mahu balik. Kalau Su nak balik, Su akan ikhtiarkan. Bila Su akan balik pun, mak janganlah tanya."

"Kalau Su tak balik, urusan kahwin Su nanti macam mana? Mana sempat nak uruskan dalam masa dua tiga hari sebelum kahwin!"

Balas emak pula, mengingatkan kembali akan status yang dipegangnya kini. Iris Suhayla mengeluh panjang. Emak masih setia mengingatkan tentang hal perkahwinan yang tidak pernah diingininya.

"Mak kan suka sangat dengan Izzul tu! Mak suruh ajelah dia uruskan semua. Su kan jauh ni. Takkan nak berulang-alik ke sana. Bukannya dekat, mak!"

"Eh, budak bertuah ni! Macam ambil kesempatanlah pulak duduk jauh sana. Baik! Nanti mak mintak Izzul bawak Su balik cuti sekolah ni. Jangan nak pergi mana-mana pulak dan jangan nak bagi alasan. Banyak pulak cekadak dia, ya!"

Marah mak, terus membangunkan Iris Suhayla dari baringannya. Teringat akan sikap lelaki itu yang misteri, muncul dan hilang tiba-tiba, Iris Suhayla menjadi gelisah.

"Su dengar tak ni?"

"Dengar! Mak ni...nak suruh sangat Su balik. Rindulah kononnya, tapi tak lepas jugak pasal kahwin!"

"Su balik cuti sekolah ni, ya?"

Pujuk emak. Suaranya yang keras tadi kembali lentur. Barangkali emak sedar akan sikapnya yang agak kasar sebentar tadi tidak mendatangkan apa-apa manfaat terhadap perbualan itu.

"Su tak janji, mak! Kalau Su ada duit lebih, InsyaAllah, akan Su usahakan."

Iris Suhayla membalas, juga mahu menyejukkan perbualan yang agak panas sebentar tadi. Jarak dan perhubungan sesekali itu harus dijaga agar kekal mesra.

"Mak, ayah ada?"

"Ayah baru balik dari masjid. Su nak cakap dengan ayah ke?"

"Boleh jugak."

"Awak ajelah yang cakap dengan dia. Saya nak cakap apa?"

Tolak ayah, sayup-sayup kedengaran dari jauh. Barangkali emak sudah memberitahu tentang perbualan mereka.

"Ayah tak mahu Su. Ayah kata orang bandar aje yang sesuai cakap dalam telefon ni."

"Ha ha ha."

"Cakap aje pada dia saya sihat. Saya kirim salam. Dah!"

"Ha ha ha."

Iris Suhayla menyambut dengan ketawa yang berpanjangan. Begitulah ayah setiap kali mahu berbicara dengannya. Entah apa yang digelikan sangat berbual dalam talian telefon tetapi Iris Suhayla tidak berkecil hati. Dia tahu ayah hanya nampak dingin namun sangat menyayangi dirinya.


"ASSALAMMUALAIKUM, cikgu!"

"Waalaikumussalam."

Jawab Iris Suhayla sambil menoleh ke arah tetamu yang baru sebentar memberi salam. Dia yang sedang menyusun buku murid di atas rak usai menyemaknya didekati seorang wanita berusia lingkungan pertengahan tiga puluhan. Resah sekali wajah itu kelihatan.

"Ya, puan! Ada yang boleh saya bantu?"

"Cikgu, saya nak tanya. Atif dah balik ke?"

"Atif? Eh, dah lama puan! Dia berbaris sama dengan murid lain. Pembantu murid pun ada mengiring masa murid balik tadi. Saya rasa Kak Nisa pun mungkin masih menungggu di pondok pengawal."

Jawab Iris Suhayla cepat-cepat. Terbayang di dalam kepalanya wajah Atif yang putih kemerahan. Orangnya kecil dan comel. Karenah juga tidak banyak, yang diingat hanya minggu pertama yang penuh dengan tangisan air mata. Kemudian, Atif dapat menyesuaikan diri dengan pantas di kelas barunya.

"Oh, saya sebenarnya dari pondok pengawal juga. Nisa yang minta saya ke sini. Katanya mungkin Atif ke tandas."

"Setahu saya, tak ada murid yang masuk semula ke sini tadi tapi mungkin jugak saya tak perasan. Sekejap saya tengokkan, ya?"

Irsi Suhayla bergegas ke tandas. Dia mengetuk pintu tandas satu per satu namun tidak ada murid yang menjawabnya. Ibu Atif yang berada di belakangnya turut menolak pintu tandas perlahan-lahan. Panjang lehernya menjenguk anak yang disangkakan berada dalam tandas di kelas itu.

"Tak adalah, puan!"

"Ke mana pulak budak ni pergi?"

Rungut ibu Atif sambil mengikut Iris Suhayla kembali ke ruang kelas.

"Rumah puan jauh tak? Maksud saya, ada kemungkinan tak dia balik ke rumah sendiri?"

"Rumah saya dekat saja tapi biasanya dia tunggu saya di pondok pengawal, cikgu. Tak apalah, cikgu! Saya tengok dia di rumah. Takut-takut dia balik sendiri. Terima kasih, cikgu!"

"Sama-sama. Kalau ada apa-apa, puan tolong beritahu saya segera, ya?"

Pinta wanita berbadan sederhana lebar itu. Mukanya nampak keruh sekali. Barangkali khuatirkan keadaan Atif yang tidak menampakkan diri.

"InsyaAllah. Assalammualaikum!"

"Waalaikumussalam."

Jawab Iris Suhayla, pantas menyambut tangan yang dihulur ibu Atif untuk bersalam dengannnya.


IRIS Suhayla tiba di sekolah pagi itu dengan kejutan yang amat besar. Anak muridnya dilaporkan hilang selepas waktu persekolahan semalam. Berita itu disampaikan sendiri oleh guru besar yang memang menunggu ketibaannya pagi itu.

"Semalam Atif memang hadir ke sekolah, cikgu. Dalam kelas pun, sikapnya macam biasa. Tak ada yang pelik. Dia pulang dalam barisan, bersama murid lain. Nisa akan hantar sehingga ke pondok pengawal, kemudian Nisa akan menunggu di sana lebih kurang lima belas minit untuk pastikan murid pulang bersama penjaga masing-masing."

Terang Iris Suhayla selepas ditanya mengenai keadaan Atif di kelas semalam. Menurut guru besar, dia dan Nisa merupakan orang terakhir yang dilihat bersama Atif semalam.

"Saya bukan nak menakutkan Cikgu Iris tapi saya harap Cikgu Iris bersedia untuk menghadapi masalah ini. Beruntung murid tidak hilang semasa waktu persekolahan. Tetapi saya tetap mahu ingatkan cikgu, cikgu kena bersedia untuk menjawab sebarang soalan jika murid masih belum ditemui hari ni."

Jelas guru besar, tidak mengalih sedikit pun perhatian darinya. Kemudian, lambat-lambat wajah itu mengukir senyuman. Dirinya didekati lantas bahunya dipaut mesra.

"Saya faham perasaan, cikgu. Saya pun tak mahu anak buah saya ditimpa masalah. Tujuan saya panggil cikgu hari ni bukan sebab nak menakut-nakutkan cikgu tapi saya mahu cikgu bersedia fizikal dan mental."

Tambah guru besar lagi. Iris Suhayla dari tadi mengunci mulutnya. Hanya Allah yang tahu betapa gusar dirinya saat diberitakan tentang kehilangan Atif. Anak murid yang sangat rajin berusaha itu sedang bergelut dalam musibah. Allah, selamatkanlah dia.

"Terima kasih atas keprihatinan, puan. InsyaAllah, saya akan buat apa yang termampu."

"Pertama sekali, cikgu kena bertenang. InsyaAllah, bila cikgu boleh atasi emosi sendiri, urusan yang lain akan bertambah mudah."

BAIK Iris Suhayla mahupun Nisa, mereka berdua sama-sama tidak ceria seperti selalu. Masing-masing barangkali sedang melayani emosi sendiri. Jika satu sekolah gempar dengan berita kehilangan seorang murid prasekolah, mereka berdua yang secara langsung berhadapan dengan situasi itu lebih merasainya lagi. Pagi tadi, dia tiba di kelas prasekolah bersama linangan air mata yang tidak semena-mena tumpah. Pertanyaan anak murid yang hairan dengan sikap guru mereka yang tiba-tiba berubah suram juga langsung tidak dihiraukan.

Salam yang diberi oleh anak-anak murid hanya dijawab dengan anggukan. Kemudian dia meneruskan pelajaran tanpa hati dan keinginan sehinggalah tamat sesi persekolahan.

"Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam."

Jawabnya perlahan sambil melihat kelibat tetamu di muka pintu. Siti Hajar menapak ke arahnya bersama Zakwan.

"Su okay ke?"

Tanya Zakwan apabila berada betul-betul di hadapan Iris Suhayla. Jelas sekali gadis itu terkesan dengan peristiwa yang sedang berlaku.Wajah itu nampak kusut benar.

"Okay."

"Tak semangat aje."

Sampuk Siti Hajar pula.

"Emm... Tengah sakit kepala."

"Dah makan ubat ke?"

Tanya Zakwan, mencari jawapan di sebalik wajah muram itu. Gusar hati melihat tingkah laku Iris Suhayla begitu. Dia lebih rela melihat wajah yang masam kerana marahkannya dari melihat wajah yang muram kerana dibebani masalah. Siti Hajar menoleh ke arah Zakwan sebelum mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya.

"Nah, makan ubat tahan sakit ni dulu! Kejap lagi okaylah tu."

"Aku nak melawat keluarga Atif boleh tak?"

Tanyanya, tidak mengendahkan nasihat teman serumah apatah lagi menyambut ubat yang diberi. Zakwan dan Siti Hajar saling berpandangan.

"Guru besar dah pergi melawat pagi tadi. Kalau kau nak melawat jugak, biar aku temankan, ya?"

"Saya pun boleh temankan."

"Emm... Saya nak ajak Kak Nisa jugak. Rasanya Kak Nisa mesti nak melawat jugak."

"Mana Kak Nisa?"

Tanya Zakwan apabila dia sedar Iris Suhayla keseorangan di dalam kelas itu.

"Ada ni. Baru ja hantar budak-budak ke pondok pengawal."

Sahut Nisa dari jauh. Dia masih berdiri kaku di muka pintu. Antara mahu masuk dan tidak, namun kaki melangkah ke dalam jua.


SETIBA di pejabat, dia dipanggil masuk ke dalam bilik mesyuarat bersama Nisa. Hajat hendak melawat keluarga Atif tidak kesampaian. Ketika melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, dia dapat melihat beberapa orang lelaki berada bersama guru besar. Iris Suhayla dan Nisa saling berpandangan. Seakan dapat menduga apa yang bakal berlaku sebentar lagi, mereka berdua meneruskan langkah sehingga dipersilakan duduk oleh guru besar. Debaran jantung semakin kencang apabila guru besar memperkenalkan dua orang lelaki itu sebagai pegawai polis yang bakal mengambil keterangan mereka berdua mengenai kehilangan Atif.

"Barangkali cikgu dan pembantu murid sedia maklum akan kes yang sedang pihak polis siasat sekarang. Untuk makluman Cikgu Iris Suhayla dan Puan Annisa, anda berdua merupakan orang terakhir yang berada bersama mangsa sebelum kehilangan berlaku."

"Cikgu tolong ceritakan sedikit tentang hari terakhir mangsa di sekolah? Bagaimana sikapnya atau perkembangannya pada hari kejadian."

Tanya seorang pegawai polis yang memakai tanda nama Sulaiman. Rambutnya pendek dan disikat kemas namun kekemasan itu belum dapat melegakan perasaannya yang sedang kacau bilau sekarang. Baru bertugas selama dua bulan, dia sudah diduga dengan satu ujian yang dikira besar buat dirinya.

"Emm... saya nak mulakan bagaimana?"

"Ceritakan sahaja apa yang mangsa buat pada hari tersebut atau lebih tepat sikapnya di dalam kelas. Barangkali mangsa ada menyebut nama sesiapa atau bercerita tentang sesiapa dengan cikgu."

"Murid seorang yang kuat berusaha, sama seperti hari-hari sebelumnya. Dia bergaul dengan rakan-rakan seperti biasa, sentiasa patuh pada arahan. Saya tak nampak sebarang perubahan pada dirinya sebab tu saya sangat terkejut dengan berita yang saya terima pagi tadi."

"Mangsa tak pernah bercerita pada cikgu tentang pergaulannya di luar waktu persekolahan? Dengan siapa dia bermain atau berkawan?"

Tanya pegawai polis itu lagi. Iris Suhayla mengerutkan keningnya tanda cuba mengingat sesuatu.

"Tak ada, encik. Dia sangat suka bermain dengan rakan-rakannya dan kebanyakan murid yang berada di dalam kelas saya tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Jadi, murid-murid ini jugalah yang jadi teman sepermainan mangsa di luar waktu persekolahan."

"Cikgu pernah menghantar murid ke pondok pengawal?"

"Sekali atau dua kali dalam tempoh seminggu."

Jawabnya sambil memandang wajah pegawai polis yang sedang menyoalnya.

"Bagaimana dengan hari selebihnya?"

"Puan Annisa yang menghantar dan menunggu murid di pondok pengawal."

"Mungkin Puan Annisa boleh menerangkan pada saya tentang tugas puan di pondok pengawal."

Giliran Nisa pula disoal oleh pegawai polis tersebut. Nisa tidak terus menjawab tetapi memandang wajahnya terlebih dahulu. Dia mengangguk, cuba memberi keyakinan dan semangat disebalik itu. Sesekali pandangannya beralih pada guru besar yang setia mendengar dari awal. Tidak sekalipun beliau mencampuri keterangan mereka berdua.

"Selepas murid berkumpul dan berbaris untuk pulang, saya akan ambil alih untuk menghantar dan menunggu murid di pondok pengawal. Di sana, saya akan menunggu murid sekurang-kurangnya lima belas sehingga dua puluh minit untuk memastikan murid pulang dengan penjaga masing-masing."

Terang Nisa sambil keterangannya dicatat oleh seorang lagi anggota polis. Barangkali memang itu tugasannya, mencatat keterangan saksi bagi kes yang sedang disiasat.

"Dalam tempoh lima belas sehingga dua puluh minit, adakah semua murid diambil oleh penjaga masing-masing?"

"Biasanya akan ada kurang atau sehingga lima orang murid yang belum diambil oleh penjaga mereka."

"Selepas dua puluh minit?"

"Saya akan kembali ke kelas untuk meneruskan kerja-kerja yang lain."

"Maksudnya, murid yang belum diambil oleh penjaga akan ditinggalkan di pondok pengawal?"

"Ya!"

Jawab Nisa, lancar.

"Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengambil anak masing-masing selepas waktu persekolahan. Waktu persekolahan bagi murid prasekolah telah ditetapkan dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari dan waktu tersebut telah dinyatakan dalam surat edaran kepada ibu bapa."

Tambah Nisa lagi. Ada nada keras dari suaranya. Barangkali Nisa juga rasa tertekan dengan soalan-soalan yang seakan mahu menjeratnya. Pegawai polis yang menyoalnya mengangkat wajah dengan senyuman. Faham barangkali dengan emosi saksi yang disoalnya.

"Terima kasih Cikgu Iris dan Puan Annisa atas keterangan dan kerjasama yang diberi. Itu sahaja soalan dari saya."

"Tapi kalau cikgu atau puan ada maklumat tambahan baru yang cikgu dan puan rasa boleh membantu siasatan kes ini, tolong hubungi saya secepatnya."

Beritahu pegawai polis itu sambil menghulur kad namanya. Iris Suhayla menyambut tanpa sebarang suara.


"SU, makan jom!"

Biliknya diketuk berkali-kali. Suara Siti Hajar memanggil lagi buat kali yang seterusnya. Akhirnya, dia bangun walau perut tidak berasa lapar apatah lagi hendak menjamah makanan. Wajah Atif masih bermain di dalam kotak memorinya. Walau hanya seorang guru yang mengajar, tempias musibah itu turut menghantuinya.

"Iris, cepatlah keluar. Tengok berita ni cepat. Kes anak murid kau masuk berita ni."

Laung Siti Hajar lagi. Kemudian, dia terdengar laras suara televisyen dikuatkan. Lambat-lambat dia memulas tombol pintu.

"Menurut satu sumber, mangsa dipercayai mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berjalan pulang ke rumah. Mangsa dilaporkan tidak mahu menunggu ibunya yang kerap menjemputnya lewat di sekolah."

Suara pemberita itu jelas kedengaran di seluruh pelusuk rumah. Iris Suhayla mengambil kusyen kecil lantas berbaring di atas sofa. Dia menekup muka dengan kusyen itu sambil mematikan siaran televisyen dengan alat kawalan jauh.

"Sorry, Su!"

Ucap Siti Hajar apabila dia perasan akan sikap teman serumah yang agak tertekan dengan berita tersebut. Barangkali dia tidak prihatin akan ketenangan yang diperlukan oleh Iris Suhayla. Pagi petang berdepan dengan asakan soalan dari rakan sejawatan. Bukan itu sahaja, Iris Suhayla juga telah disiasat oleh pihak polis berkenaan kes kehilangan muridnya.

"Aku penatlah, Siti! Aku masuk tidur dulu, ya?"

Balasnya, bangun lalu berjalan perlahan sambil berjalan lemah ke arah pintu bilik tidurnya.

"Su, sorry ya!"

Ujar Siti Hajar lagi, tidak berputus asa.

"Okay!"

Jawabnya sambil menutup pintu biliknya. Dia menghempas badan, kemudian melayani emosi duka namun deringan telefon membangkit kembali emosi sedarnya.

"Assalammualaikum, Su."

"Waalaikumussalam."

"Su, Zack ni! Su okay ke?"

Tanya Zakwan sebaik memperkenalkan diri. Iris Suhayla hanya mendiamkan diri. Dia tidak perlukan Zakwan ketika ini namun lelaki itu tidak pernah berputus asa biar layanan darinya dingin.

"Okay! Mana awak dapat nombor telefon saya?"

"Pejabat."

"Kalau awak nak tanya keadaan saya, saya okay. Terima kasih!"

"Saya tengok berita tadi. Teringatkan Su, mesti Su tengah susah hati sekarang."

Terang Zakwan. Iris Suhayla kembali menyepi. Jika itu yang mahu disembangkan oleh Zakwan, lebih rela menutup mata dan dibuai mimpi. Telinganya bingit dengan pertanyaan tanpa henti tentang apa yang sedang berlaku. Tidakkah mereka faham perasaannya yang inginkan privasi?

"Zack. Su nak tidur. Maaf ya. Assalammualaikum."

"Oh, waalaikumus-"

Iris Suhayla terus memutuskan talian tanpa menunggu Zakwan menjawab salam sepenuhnya. Kemudian, dia menutup terus telefonnya sebelum memejam mata. Dia mahu tidur dengan lena tanpa gangguan sesiapa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku