Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
20011

Bacaan






15

"HARI ini hari apa?"

Tanyanya sambil memegang carta. Suasana sunyi serta-merta. Keletah murid yang pelbagai mula dipamerkan. Ada yang mengetuk dagu dengan jari, ada yang memintal rambut. Tidak kurang juga dengan telatah menundukkan kepala. Berdebar barangkali. Manalah tahu kalau namanya bakal dipanggil guru jika mengangkat kepala.

"Amboi, macamlah cikgu tanya soalan SPM!"

Rungutnya sambil mata melirik secara rawak, mencari sasaran untuk memberi jawapan buat soalan yang baru diutarakannya. Terlihat kelibat hero di kelas itu yang cuba untuk memasukkan jari ke dalam hidung. Iris Suhayla memakukan pandangannya ke arah Awang Putih. Dia harus bertindak cepat sebelum jari jemari kecil itu memusing-musing di dalam rongga hidungnya.

"Astaghfirullahhalazim! Awang, korek apa tu?"

Tanyanya, kuat. Seisi kelas menoleh ke arah Awang Putih. Tidak bersalah sekali lagak Awang Putih. Nisa yang duduk di belakang barisan murid menahan ketawa sambil menggosok perutnya yang semakin menampakkan diri.

"Hidung!"

"Ee, kotorlah Awang ni!"

Syahmi yang terkenal dengan sikap berterus-terangnya kembali menyerang. Iris Suhayla menepuk dadanya berkali-kali, meminta diri bersabar dengan karenah anak-anak kecil itu.

"Awang, pergi basuh tangan tu! Basuh sehingga bersih. Kalau rasa hidung pun tak selesa, bersihkan hidung juga. Lepas ni jawab soalan cikgu,"

Perintah Iris Suhayla. Akur, Awang Putih bangun lantas menapak ke bilik air. Sambil menanti Awang Putih, Iris Suhayla menarik kerusi guru lantas duduk di hadapan murid-muridnya. Setiap pasang mata ditenungnya bergilir-gilir. Ternampak akan kelibat Atif di antara mereka, Iris Suhayla cepat menundukkan kepalanya. Sebak memenuhi segenap ruang dada. Jika ada Atif bersama mereka, pasti murid itu akan meminta dinyanyikan lagu Rama-rama. Boleh dikatakan hampir setiap hari di penghujung usianya, murid itu meminta untuk menyanyi lagu itu yang dikira cukup diminati oleh Muhammad Atif.

"Dari Ulat Jadi Kepompong,

Tidur nyenyak dalam kelonsong,

Cukup masa kelonsong pecah,

Pom!Pom!

Jadilah rama-rama yang indah,

Rama-rama terbang merata,

Hisap madu di pohon bunga

Sungguh cantik aneka warna...

Nyanyiannya semakin perlahan dan tersekat-sekat. Semakin ditahan semakin laju pula titik-titik jernih menitis di pipinya. Dia menyambung juga lagu itu walau terasa payah.

"Tapi sayang hidup tak lama,

Begitulah hidup manusia,

Pada Allah kita berdoa,

Agar jadi insan mulia,

Tapi sayang...hidup tak lama

"Cikgu nangis ka?"

Tanya pemilik satu suara. Awang Putih berdiri di hadapannya sambil menunjukkan sepuluh jarinya yang telah dibasuh. Cepat-cepat dia mengesat air mata yang mengalir tak semena-mena itu. Nisa yang tadinya hanya duduk di belakang terus berdiri lantas mendekati sahabat merangkap guru di kelas itu. Terkesan juga dengan sikap Iris Suhayla yang berubah tiba-tiba. Bahu guru muda itu dirangkulnya erat. Barangkali bukan kekuatan yang bisa diberi, namun sokongan moral pasti tidak berbelah bagi buat Iris Suhayla.

Iris Suhayla cuba mengumpul segala kekuatan yang ada dalam dirinya untuk menyampaikan sebuah cerita yang benar.

"Lagu ni sangat disukai oleh Atif."

"Saya pun, cikgu!""

"Saya pun!"

Saya pun!"

Sampuk Syahmi, diikuti oleh hampir semua murid. Iris Suhayla kembali senyum.

"Tapi hari ni, Atif tak bersama kita. Esok, lusa, sampai bila-bila pun kita tak akan berjumpa Atif lagi."

"Cikgu, mak saya kata Atif suda mati."

"Mak saya pun cakap macam tu."

Ain memberitahu. Dia disokong oleh Sofea. Iris Suhayla memandang Nisa di sebelahnya. Barangkali berita itu tersebar meluas di sekitar Labuan memandangkan wilayah itu amat kecil dengan jumlah penduduk sekitar dua ratus ribu orang sahaja. Tambahan pula, pengaruh media yang semakin berkembang, ceruk dunia juga boleh menerima berita itu.

"Betul. Kalau kamu faham tentang mati, kawan kita Atif dah meninggal dunia. Dia dah mati."

"Hah? Mati?"

"Dia kan kecil lagi, cikgu. Macam mana dia buleh mati?"

Tanya Syahmi yang dari tadi kelihatan tidak sabar-sabar lagi untuk mencelah. Lama dia mengangkat tangan, meminta izin untuk berbicara dan bila diizinkan, mulutnya bertanya soalan yang sangat sukar untuk dijawab. Jika dia menjelaskan, fahamkah mereka? Tahukah mereka apa itu mati?

"Syahmi, kita semua akan mati. Cikgu, Syahmi, Awang, Ain, Sofea, mak kita, ayah kita, kakak kita, abang kita, adik kita, datuk, nenek, kawan-kawan, pakcik, makcik. Semua orang akan mati. Kalau bukan hari ni, esok. Kalau bukan esok lain kali tapi janji Allah itu pasti. Semua orang yang hidup akan mati. Kalau masa kecil kita tak mati, besar nanti kita mati juga."

"Kanapa kana mati, cikgu?"

Tanya Awang Putih pula. Iris Suhayla tidak terus menjawab sebaliknya mendongak ke arah Nisa yang masih setia berdiri di sisinya.

"Speechless!"


"KIMI, stressaje aku tengok kau sebulan dua ni. What's wrong?"

Kevin menyapa sambil menarik kerusi. Biar tidak dipelawa, dia duduk dengan selamba. Hakimi mencebik sedang Kevin ketawa, seolah-olah geli hati dengan reaksi Hakimi.

"Aku tengok kau macam dah tak ngam dengan boss. Kau berdua ada bergaduh ke?"

"Tak ada pun."

Jawabnya, malas.

"Dulu, mana-mana pergi, macam apa? Belangkas? Sekarang you north, he's south."

Tanya Kevin dalam pelat Cinanya. Hakim mengangkat muka. Jika tidak berada di kafeteria, pasti sudah hilang kesabarannya.

"Dah, takkan nak bersama selamanya? Baik aku jadi bini dia."

Bentak Hakimi, terganggu dengan kata-kata Kevin. Panas juga hatinya 'diusik' tak semena-mena. Kevin ketawa lagi.

"Kalau kau jadi bini dia, jadi berita satu Malaya lah. Ha ha ha."

"Hemm...Hujung minggu ni launch, you buat apa?"

"Kau Kevin, pagi-pagi dah buat aku marah. Aku hutang apa dengan kau?"

"Kuatnya suara kau, Hakimi! Marahkan siapa?"

Sapa Izzul Haq, bertanya. Dari jauh, suara Hakimi yang marah-marah kedengaran di telinganya lantas dia mendekati. Sebetulnya ada beberapa perkara yang hendak dibincangkan dengan Hakimi namun keberadaan Kevin di situ membantutkan niatnya.

"Boss ada hal sama Hakimi ke? I sambung kerja dulu."

"Okay!"

Balas Izzul Haq, mengangguk sahaja. Hakimi tidak membalas. Soalan Izzul Haq sebentar tadi pun tidak dijawabnya, apatah lagi hendak memaniskan mukanya.

"Aku nak reshuffle staff, Mi."

Beritahu Izzul Haq, berterus-terang. Hakimi mengangkat mukanya. Dia tidak menyangka Izzul Haq bakal mengambil keputusan itu tambahan pula tiada 'sembang-sembang kedai kopi' antara mereka berdua sebelum ini sedangkan dia orang kanan Izzul Haq. Selalunya Izzul Haq akan meminta pendapatnya terlebih dahulu sebelum membawa sesuatu hal ke dalam mesyuarat pentadbiran.

"Bila?"

"Very soon."

Ujar Izzul Haq. Dia tidak mahu terlalu berterus-terang di tempat yang terbuka ini. Jika boleh dia mahu bertemu dua mata dengan Hakimi namun dia gagal menghubungi Hakim lantas dia mengambil keputusan untuk mencari Hakimi sahaja.

"Kenapa tiba-tiba?"

"Bukan tiba-tiba tapi dah lama aku fikirkan. Rasanya ini masa yang paling sesuai."

"Kalau kau rasa itu keputusan yang paling tepat, teruskan aje."

Balas Hakimi walaupun dalam hatinya penuh kecelaruan dan tanda tanya tentang tindakan yang mahu diambil oleh Izzul Haq itu.

"Aku nak mintak bantuan kau. Jangan pulak kau menolak, ya?"

"Apa pulak?"

Tanya Hakimi, semakin gelisah dengan sikap Izzul Haq yang banyak membelakanginya sejak akhir-akhir ini. Barangkali dia juga antara staf yang disebut oleh Izzul Haq sebentar tadi. Hakimi terus menentang wajah Izzul Haq. Dia cuba membaca minda lelaki itu walau tidak pasti apa yang bakal ditemuinya.

"Tolong lead unit logistik!"

"Unit logistik? Biar betul?"

"Unfortunately, yes! Aku rasa kau lah calon yang paling sesuai kat situ,"


PONNNNNNNNNNNNNNNN!!!

Hakimi menekan hon di stereng keretanya, lama. Kereta yang berada di hadapannya bergerak perlahan. Marah dengan kereta yang dipandu perlahan di hadapannya, dia memintas di sebelah kiri. Ketika memintas kereta Perodua Kelisa berwarna perak itu, dia menekan hon lagi sebanyak dua kali sebelum memecut laju. Hakim menekan butang unlock cermin kereta lantas menjerit sekuat-kuat hatinya.

"Celaka punya kawan! Mentang-mentanglah bos. Kau tukar aku?"

"Tak apa, tak apa! Hari ni hari kau. Esok lusa hari aku pulak!"

Rengusnya, bersisa kemarahan. Masih terngiang di cuping telinganya tentang keputusan yang dibuat oleh Izzul Haq pagi tadi. Dek kerana terpaksa dipendam kemarahan itu terlalu lama, dia memuntahkannya kini, di atas sebatang jalan yang sesak dengan penggunanya.


KAD undangan Majlis Pelancaran Porsche 911 Targa 4 dan Porsche 911 Targa 4S baru tiba di mejanya. Terdetik tentang tetamu yang bakal diundang, dia menghubungi Aina, meminta pula bantuan dari Aina untuk menghubungi Zulaikha. Kad berwarna biru itu dibeleknya beberapa kali sebelum terdengar bunyi pintu diketuk. Belumpun sempat memberi arahan, susuk tubuh Zulaikha sudah berada di hadapannya.

"Bos panggil saya?"

Tanya Zulaikha, berbasa-basi. Izzul Haq menunjuk ke arah kerusi, memberi isyarat supaya staf berbaju kurung merah jambu itu untuk duduk.

"Thank you, bos!"

"Emm, macam mana kad undangan tu?"

"Semua tetamu dah dijemput, bos."

Terang Zulaikha secara ringkas. Dia bersedia untuk soalan seterusnya dari Izzul Haq yang muda lagi berjaya itu. Dia pasti kerana dahi itu berkerut-kerut seperti masih belum mengerti akan sesuatu.

"Siapa?"

"Lembaga pengarah, media, your business partner, dan lain-lain macam yang selalu saya buat."

"Bila awak bagi undangan ni?"

"Dah lama, bos. Dalam dua minggu lepas."

Jawab Zulaikha, cuba mengingati dengan tepat masa edaran undangan tersebut. Sebelum undangan rasmi dibuat, beberapa kali dia berbincang empat mata dengan Shahrul, selaku penyelaras majlis pelancaran kali ini. Senarai jemputan juga sudah disemak sebanyak tiga kali dan peringkat terakhir, semakan tersebut dibuat bersama-sama Shahrul dan Sheena.

"Awak dah hantar undangan rasmi ke Persatuan Automotif Asean?"

"Beres semua bos. Itu masuk senarai top three tu. Sebulan yang lepas saya dah hantar."

"Macam mana dengan respons mereka?"

"Bos jangan risau. Semua jemputan VVIP beri respons positif. Tinggal hari acara aje. Emm...Bos pulak macam mana? Dah ready ke nak race dengan Putri Ariyana?"

Izzul Haq mengangkat mukanya. Dia tersenyum dengan soalan yang dikira bakal menjerat diri jika tidak berhati-hati menanganinya. Barangkali dia tidak perlu terlalu menyusun kata-kata.

"Pandai awak pusing cerita. Saya tak habis tanya lagi."

" Ha ha ha. Ada lagi ke bos? Saya teruja nak tunggu hari perasmian tu."

"Saya panggil awak ni bukan apa. Saya nak tahu kenapa lambat sangat kad undangan ni sampai ke meja saya? Saya ni dah habis memikir, kenapa lambat sangat undangan dihantar pada jemputan kita."

"Oh, pasal tu."

Perlahan suara Zulaikha menyebut. Kemudian dia tersengih, menyampaikan makna yang seakan dapat difahami oleh Izzul Haq.

"Sorry, bos. Saya lupa nak bagi satu salinan pada bos. Itu yang bos baru tengok tu. He he he. Sebenarnya kad undangan tu dah lama siap."

Beritahu Zulaikha dengan sengih yang panjang.


MENITIK air matanya apabila dia melihat kembali video rakaman yang diambil oleh Nisa ketika almarhum Atif menyanyikan lagu Rama-rama. Begitu bersungguh komitmen yang diberi oleh Atif sehingga berjaya membawa pulang hadiah teddy bear seperti yang dijanjikan oleh Iris Suhayla sebelumnya. Gambar Atif, Iris Suhayla dan teddy bear juga sempat dirakam oleh Kak Nisa. Ketika gambar itu diambil, tiada siapa yang menyangka itu kenangan terakhir mereka bersama arwah Atif. Dan kini, bila gambar itu ditatap kembali, dia terasa ingin kembali pada saat dan masa gambar itu diambil.

"Allah sayang lagi sama dia, Iris."

Ujar Kak Nisa apabila melihat Iris Suhayla amat leka menatap gambar yang diberikannya pagi tadi, sebagai hadiah kenang-kenangan buat Iris Suhayla. Tak disangka pula kenangan itu meninggalkan kesan buat Iris Suhayla.

"Ya, kak. Tapi rasanya belum puas saya mengenali Atif. Hanya beberapa ketika dia bersama kita. Sekarang, dia pergi untuk selama-lamanya."

"Hidup kita ni sekejap ja bah. Alam dunia bukan alam abadi. Yang abadi, alam mahsyar."

"Betul tu, Kak Nisa. Minta maaf saya emosi sikit hari ni. Arwah kan pernah menjadi anak murid saya. Tambahan pulak, dia meninggal dengan cara begitu. Lagi buat saya sedih."

Jawab Iris Suhanyla lantas mengesat air mata yang bersisa di pipinya. Ketika dia membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan, tak pernah sekali terlintas di benaknya bahawa cabaran yang digalas oleh seorang guru amat berat. Yang terdengar dek telinganya cuma bebanan tugas guru yang semakin bertambah dewasa ini.

"Assalammualaikum."

Sapa seseorang. Iris Suhayla dan Kak Nisa sama-sama menjenguk ke luar dan apabila dilihat Cikgu Fatimah berdiri di depan pintu, cepat-cepat Iris Suhayla bangun sebelum menyahut salam guru yang mungkin berusia di penghujung tiga puluhan itu.

"Waalaikumussalam."

"Iris, akak mengganggu ke?"

"Eh, tak adalah! Budak-budak dah balik, adalah masa senggang sikit, kak."

"Eh, Iris menangis ke?"

Soalnya, hairan melihat mata Iris Suhayla yang masih basah dan kemerahan. Wajah Iris Suhayla yang putih tanpa alat solekan pasti sahaja mudah dikesan jika berubah begitu.

"Aaa? Emosi sikit, kak."

"Emm, janganlah sedih-sedih sangat. Tak lawa."

Kata Cikgu Fatimah. Sempat juga dia mengusik anak dara yang menjadi pujaan Zakwan itu. Iris Suhayla terus ketawa.

"Akak ke sini sebab nak sampaikan panggilan."

"Panggilan?"

"Emm, panggilan mesyuarat! Iris tak initial pun dekat senarai nama guru yang dipanggil ke mesyuarat. Akak rasa Iris tak tahu kot, that's why akak ke sini."

"Lah, iya ke? Tak perasan pulak saya ada memo di pejabat."

Balasnya, berterus-terang. Barangkali kerana terburu-buru mengejar masa untuk masuk ke kelas pagi tadi. Akibatnya, dia terlupa untuk melihat memo di pejabat. Selepas menandatangani panggilan mesyuarat itu, Cikgu Fatimah meminta izin untuk beredar.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku