Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
19672

Bacaan






18

"KAU ada format kertas kerja tak?"

Tanya Iris Suhayla sewaktu Siti Hajar sedang leka melayari internet di ruang tamu petang itu. Siti Hajar mengangkat mukanya, mencari kelibat Iris Suhayla yang dirasakan berada dekat namun tidak kelihatan. Dia memanjangkan leher, meninjau di bahagian dapur. Iris Suhayla sedang berjalan menuju ke arahnya sambil membawa mug. Air masak lah tu!

"Kau nak buat apa?"

"Aku nak mintak sumbangan."

Beritahunya. Siti Hajar terus membuka simpanan dokumennya lantas menghulur tangan. Iris Suhayla menghulur mugairnya lantas ditolak Siti Hajar. Iris Suhayla ketawa apabila sangkaannya meleset. Bukan air masak yang diingini Siti Hajar rupanya.

"Kau nak apa?"

"Pendrive lah. Apa lagi?"

"Jangan minum ya air aku ni!"

Larang Iris Suhayla selepas meletakkan mug air di sebelah Siti Hajar. Temannya itu sekadar mencebik.

"Dia ingat aku haus agaknya air masak dia tu. Sesekali buatlah air yang sedap sikit. Air guava ke, asam boi limau kasturi ke."

Tertangkap dek telinganya suara itu menjawab dari luar. Bunyinya kedengaran sinis namun dia tahu Siti Hajar sekadar berjenaka.

"Aku dengar."

Iris Suhayla memberitahu. Siti Hajar menghulur tangannya sekali lagi. Dengan pantas, dia memindahkan salinan kertas kerja Program Jom Pusat Sumber ke dalam pendrive Iris Suhayla.

"Kau nak mintak sumbangan dari siapa? Untuk apa?"

"Aku nak mintak sumbangan dari lelaki kacak terlanjur kaya di Malaysia...untuk tabung prasekolah lah. Kan program tahunan banyak. Kalau dapat sumbangan tu, bolehlah aku simpan untuk keceriaan kelas."

Cerita Iris Suhayla. Siti Hajar segera menghadapnya. Nyata, riak wajah itu begitu terkejut dengan apa yang baru disampaikannya.

"Weh, kau serius ke Su?"

"Kenapa pulak tak serius?"

"Kenapa kau nak bersusah payah sangat nak jumpa CEO kereta tu? Dia di mana, kau di mana?"

"Dia kat KL, kan? Aku kat sini, dengan kau. Orang semenanjung yang tercampak ke Labuan."

Selamba Iris Suhayla menjawab. Siti Hajar mengeleng kepala. Semenjak Izzul Haq diperkenalkan kepada Iris Suhayla tempoh hari, teman serumahnya itu nampak semakin taksub untuk bertemu dengan lelaki itu. Sebelum Iris Suhayla menyulam mimpi yang lebih indah bersama lelaki yang tidak mereka kenali itu, wajar dia sebagai seorang sahabat menamatkan mimpi itu.

"Dia orang kaya, Su. Bukan buat bussiness tepi jalan. Ni orang high class yang tak pandang orang macam kita, Su. Apatah lagi nak berurusan dengan kita."

"Kaya tak kaya. Bussiness tak bussiness. Pada Allah, manusia semuanya hamba. Yang membezakan dia dan aku, iman dan takwa aje. Berani dia tak nak jumpa aku?"

Balas Iris Suhayla, seronok melihat reaksi Siti Hajar yang begitu bersungguh-sungguh menghalang niatnya untuk 'memancing' Izzul Haq. Pendrive yang dipegang oleh Iris Suhayla diambil semula oleh Siti Hajar. Jarinya menekan satu persatu butang di papan kekunci. Berkerut dahi Iris Suhayla apabila Siti Hajar memeriksa kandungan pendrivenya.

"Kau nak buat apa tu?"

"Adalah!"

Jawabnya sambil mengklik tetikus dengan pantas. Iris Suhayla yang duduk di sebelah pun tidak sempat melihat apa yang sedang dikerjakan oleh Siti Hajar. Tidak sampai seminit, pendrivenya dikembalikan.

"Dah siap! Aku dah delete kertas kerja tadi. Ha ha ha."

Beritahunya, terus ketawa. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi komputer riba pula dimatikan. Siti Hajar memeluk komputer ribanya erat-erat, seolah-olah dia berniat hendak merampas. Mata Iris Suhayla bulat merenung Siti Hajar namun dia senyum di akhirnya.

"Kalau aku mintak dari Zack, mesti dia bagi. Simpanlah kertas kerja kau tu. Aku tak kisah."


SEBAIK dihubungi, Zakwan muncul di pintu kelasnya. Senyuman lelaki itu begitu lebar, gembira yang bukan kepalang apabila Iris Suhayla menghubunginya buat pertama kali. Sekurang-kurangnya, sekali dalam seribu, Iris Suhayla memberi respons terhadap dirinya. Tak mengapa! Barangkali ia bermula dengan sesi pinjam-meminjam dahulu. Kemudian, hubungan boleh dilestarikan secara perlahan-lahan. Betullah kata pepatah, hati perempuan ibarat kerak. Jika disirami air, perlahan-lahan ia akan lembut juga. Hanya usaha dan kesabaran yang perlu ditingkatkan.

"Kata tadi ada di kantin. Cepatnya sampai sini."

Tegur Iris Suhayla. Zakwan menyambutnya dengan senyuman. Di tangannya sudah digenggam salinan kertas kerja seperti yang diminta oleh Iris Suhayla.

"Apa sahaja untuk Su."

Balasnya seraya menyerahkan kertas kerja itu ke tangan Iris Suhayla. Walaupun Siti Hajar sempat berbisik supaya tidak dilayani karenah Iris Suhayla ketika mereka bertemu di kantin, namun dia tidak peduli. Selama ini dia bersungguh-sungguh cuba menarik perhatian Iris Suhayla, baru hari ini gadis itu membuka matanya. Nampaknya dia perlu berusaha lebih gigih selepas ini. Mindanya gigih memerah idea, mencari muslihat untuk bersembang lebih panjang dengan Iris Suhayla.

"Terima kasih."

Ucapnya lantas melangkah untuk beredar masuk ke dalam kelas namun Zakwan cepat menghalang.

"Err... Su. Hari tu Kak ida kata Su ada beli cat. Boleh pinjam? Nak cat bilik kaunseling lah."

"Macam sistem butter trade aje Zack ni. Mentang-mentanglah kita pinjam kertas kerja dia."

Ujar Iris Suhayla, berterus-terang. Zakwan ketawa panjang. Dia tidak peduli apa yang bermain di minda gadis itu, asalkan hajatnya membuahkan hasil.

"Boleh ke?"

"Boleh tu boleh tapi cat tu tak banyak sebab hari tu kami dah guna untuk cat kelas."

"Cukuplah sikit pun."

Jawab Zakwan, tersenyum. Dia leka memandang wajah Iris Suhayla yang comel pada matanya. Bukan selalu dia diberi peluang untuk menikmati keindahan ciptaan Allah itu. Selalunya, jika dia mendekati, Iris Suhayla cuba untuk menjauhi. Ada sahaja alasannya untuk menjauhi. Biarlah jika dipergunakan sekali pun. Dia rela asalkan dapat mendekati guru muda itu.

"Mana boleh main kot."

"Apa pulak tak boleh? Kita yang menguruskan penggunaan cat tu. Kalau tak cukup, boleh campur warna lain."

"Terpulanglah Zack. Saya beritahu perkara yang benar aje. Jangan marahkan saya kalau cat tu tak dapat nak tampung dinding di bilik kaunseling tu. Bila nak guna nanti, mintak aje dari Nisa."

Beritahu Iris Suhayla. Sesekali, dia menjeling juga ke kiri kanan. Bimbang jika perbualan mereka disalah erti oleh mata yang memandang.

"Kalau mintak dari Su sendiri, tak boleh ke?"

"Kan dah mintak ni? Takkan nak mintak berkali-kali pulak kot."


"AWAK sihat ke?"

"Alhamdulillah. Awak mimpi apa telefon saya tengah malam ni?"

Tanya Iris Suhayla sebaik menjawab soalan Izzul Haq. Dia ditimpa perasaan. Perasaan aneh apabila lelaki misteri yang jarang-jarang sekali menonjolkan diri, tiba-tiba menghubunginya malam ini.

"Amboi, tiap kali bercakap, nak marah aje! Garang aje suaranya. Berapa bulan dah awak diet?"

Usik Izzul Haq. Walau tidak kelihatan di hadapannya namun dia tahu reaksi yang bakal diberi tunangnya itu.

"Diet? Tak ingin saya menyusahkan diri, berlapar semata-mata nak nampak cantik."

"Ha ha ha. Awak kan nak jadi isteri orang tiga bulan lagi, kenalah persiapkan diri untuk suami awak, kan?"

"Eeee... awak nak cakap apa sebenarnya ni. Saya mengantuk. Nak tidur."

Balas Iris Suhayla, cepat mengalih perbualan mereka. Buat lelaki misteri itu, dia masih tidak betah untuk berbual apatah lagi berjumpa. Bagaimana nasibnya setelah menjadi isteri lelaki itu kelak? Nasib menjadi isteri lelaki kaya. Itupun setelah gambar Izzul Haq dilihat di dada akhbar. Jika tidak, pasti sampai ketika ini pun dia masih tidak tahu siapa tunangannya.

"Tak ada apa. Saja nak bersembang."

"Eeee...buang masa aje."

"Ha ha ha. Sinis dan berterus-terang macam dulu jugak."

"Macam dulu? Awak kenal saya ke?"

Tanyanya, hairan dengan bicara lelaki itu. Seolah-olah Izzul Haq mengenali dirinya suatu ketika dahulu. Ah! Dia tidak pernah mengenali lelaki itu.

"Apa pulak tak kenal? Bakal isteri saya. Dulu, masa di Labuan, bukan macam ni jugak ke sikap awak pada saya? Sinis sepanjang masa."

"Oh, merungutlah ni?"

"Memberitahu."

Balas Izzul Haq, pendek. Iris Suhayla mencebik dari kejauhan.

"Mengguna nama memberitahu untuk merungut."

"Ada beza antara merungut dan memberitahu, terutama nada saya guna. Ada bunyi merengus? Forget about it. Esok, berikan saya alamat emel awak."

Pinta Izzul Haq, malas hendak memanjangkan isu itu. Iris Suhayla ditimpa tanda tanya pula. Tunangnya yang penuh misteri itu meminta alamat emel pula.

"Untuk apa?"

"Nak hantar tiket awak. Kan saya dah janji nak usahakan tiket awak."

"Tak payah susah-susahlah. Saya tak nak balik pun cuti sekolah ni."

Balasnya, memberi alasan yang paling cocok buat penolakan itu. Wajah emak terbayang di ruang mata. Bukan tidak rindu pada emak. Bukan tidak mahu merasa nikmat masakan emak, tapi dirinya masih belum berduit. Jika ada, pasti sudah lama ditempah tiket untuk pulang ke kampung halaman. Tambahan pula, tempoh cuti yang diberi berbaloi untuk perjalanan jauh sepertinya.

"Saya dah beli pun tiket tu. Kalau takut terhutang budi, bayar ajelah bila ada duit nanti."

"Kedekut jugak awak ni."

Komen Iris Suhayla, sengaja memancing kemarahan lelaki itu. Dia ingin tahu setakat mana tahap kesabaran lelaki itu menangani karenahnya.

"Pulak."

"Kata hari tu nak usahakan. Hari ni kata bayar balik pulak."

"Tak jadi. Betul kata awak. Saya kena menabung. Simpanan hari tua, kot-kot nanti ada kecemasan."

Balas Izzul Haq, segera mengetuk pintu memori pada pertemuan akhir mereka. Dia mahu ketawa namun tidak mahu kedengaran mesra di telinga lelaki itu lantas dikemam mulutnya rapat-rapat.

"Esok bagi saya alamat emel awak. Kalau tak dapat, saya sendiri datang jemput awak cuti sekolah ni."

"Tak payah. Saya boleh balik sendiri."

"Kalau macam tu, kita tunggu dan lihatlah. Assalammualaikum."

Ucap lelaki itu sebelum memutuskan talian. Iris Suhayla meletakkan telefon bimbitnya di atas meja sisi. Kelopak mata yang pada mulanya berat kini menjadi ringan. Dia terkenang akan permintaan lelaki itu. Perlu atau tidak menghantar alamat emel kepada lelaki itu? Apa yang pasti, dia tidak rela kepulangannya diiringi lelaki itu.


IRIS Suhayla membelek kertas kerja sumbangan yang bakal dihantar kepada Izzul Haq kelak. Dia nekad bukan kerana hendak mengikis harta lelaki itu tetapi dia ingin menagih tanggungjawab sosial dari syarikat kepunyaan Izzul Haq. Sumbangan itu pula bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk menguruskan perjalanan program tahunan prasekolah.

"Kau nak submit jugak ke kertas kerja sumbangan pada Mamat tu?"

"Mamat? Bukan Izzul ke nama dia?"

Soal Iris Suhayla, lurus pula kali ini. Siti Hajar memicit kepalanya yang tidak sakit. Hari itu dia sempat bertanya akan perkembangan hal kertas kerja kepada Zakwan. Zakwan memberi jawapan positif bersama perasaan yang girang. Dia bercerita pula tentang niatnya meminjam cat dari kelas Iris Suhayla. Bertambah lagi sakit kepalanya.

"Aku ni bukan rajin sangat kot. Tapi tak apalah. Su punya pasal, aku sanggup menggadaikan takat kemalasan aku."

Kata-kata Zakwan itu melekat kuat dan kerap berputar-putar di dalam mindanya. Kini, dia berhadapan dengan Iris Suhayla pula. Baik Iris Suhayla, mahupun Zakwan, kedua-duanya taksub akan orang yang mereka sukai namun kisah mereka ibarat cinta banyak penjuru. Zakwan sukakan Iris Suhayla sedangkan Iris Suhayla sukakan CEO kereta yang kaya-raya lagi bergaya walaupun dia sudah pun menjadi tunangan orang.

"Kau berangan ke Siti? Teringatkan angah aku, ya?"

"Aku? Angah kau? Aku tak sempat fikir untuk diri sendiri pun Su. Aku lebih susah hati dengan masalah kau ni."

Balas Siti Hajar, berterus-terang. Padanya, Iris Suhayla punya pilihan untuk menyelesaikan masalahnya namun dia mengambil jalan berliku sedangkan dia pula, usia mencecah dua puluh sembilan tahun namun masih lagi bersendirian. Siapakah yang lebih beruntung antara mereka berdua.

"Kenapa dengan aku pulak?"

"Iyalah. Kisah cinta kau ni dah tak tahu berapa segi dah. Zakwan minat kat kau tapi kau syok kat CEO tu. CEO tu pulak sibuk bercinta dengan Putri Ariyana. Dahlah kau minat pada orang yang salah, lepas tu nak kahwin pulak dengan orang yang salah. Yang terhegeh-hegeh syokkan kau pun syok pada orang yang salah."

" Ha ah, kan. Bila kau cerita, baru aku nampak betapa rumitnya kisah aku ni tapi aku tak pernah bagi harapan pun pada Zakwan. Ada kau nampak aku berbalas mesej dengan dia atau berbalas panggilan dengan dia? Tak ada, kan? CEO kereta tu? Siapa suruh dia kacak, kaya dan bergaya? Bukan salah aku kalau jatuh hati pada dia. Pasal Putri Ariyana tu? Alah, berapa lama sangat kisah cinta mereka tu? Entah-entah reporteryang berlebihan tak? Pasal tunang aku tu? Kalau dah jodoh, Siti. Apa aku nak kata? Mak aku pilihkan pun, maksudnya dia memang jodoh aku jugak, kan?"

Panjang lebar Iris Suhayla menjawab sehingga akhirnya dia meninggalkan soalan pula untuk dijawab oleh Siti Hajar. Sebenarnya isu timbul akibat dirinya yang tidak berterus-terang. Kalaulah Siti Hajar tahu bahawa CEO kereta itu memang tunangnya, pasti teruk dia dikerjakan.

"Habis tu? Tak ada penyelesaian lah masalah kau ni?"

"Chill sudah. Selagi belum memudaratkan dan menimbulkan fitnah, buat apa aku nak memeningkan kepala, kan? Baik aku fokus pada anak-anak murid aku dulu."

"Ikut kaulah, Su. Asal kau bahagia. Yang penting aku nak makan nasi minyak kau. Tak kiralah siapa pengantin kau pun."

"Betul ni kau tak kisah? Janganlah kau terkejut dan marahkan aku pulak bila kau tengok pengantinnya nanti."

"Kenapa? CEO tu ke pengantin kau nanti?"

"Iyalah. Siapa lagi?"

"Emmm. Loyar buruk. Dahlah! Malas layan kau. Bengkak pulak otak aku nanti."


SEPULUH minit selepas dia menghantar alamat emelnya kepada Izzul Haq, dia menerima satu pesanan ringkas.

"Takut kena jemput ke?"

Dia membaca pesanan ringkas itu di dalam hati. Timbul pula rasa geram apabila muncul pesanan ringkas yang kedua.

" =p "

Mesej smiley dengan lidah terjelir itu membuatkannya menjadi geram. Pasti Izzul Haq dapat membaca fikirannya. Tambahan pula, dia mengambil masa dua hari sebelum menghantar alamat emelnya. Pasti lelaki itu dapat menghidu sikap berhati-hati yang menjadi pilihannya.

"Sukalah tu."

Dia membalas mesej Izzul Haq tanpa berfikir panjang. Kalaulah Izzul Haq berada di hadapannya, pasti sudah lama dikerjakan lelaki itu dengan kata-kata yang sinis dan menyakitkan hati. Biar dia tahu yang dia mencari masalah dengan orang yang salah.

"Which one will recover you fast? =D or ha ha ha?"

Iris Suhayla membaca mesej yang ketiga itu dengan rasa geram yang membuak-buak. Mengapa Izzul Haq tidak berada di sini? Jika tidak, senang pula dia membalas serangan itu

"Jangan lupa print tiket tu. Nanti tak pasal-pasal kena jemput di Labuan pulak."



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku