Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 29
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(27 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
28247

Bacaan






29

"ASSALAMMUALAIKUM warahmatullah hi taala wabarakatuh. Para jemaah yang dimuliakan, hari ini saya akan mengisahkan kepada para jemaah sekalian tentang Jodoh . Pasti ramai yang suka tentang jodoh ni, terutamanya bagi yang belum berjodoh, pasti ingin berjodoh. Yang berjodoh lebih-lebih lagi. Kalau boleh nak dua tiga empat jodohnya."

Ustaz Ubaidullah memulakan bicaranya. Mak Su Dianah tidak mengangkat muka, emak khusyuk mendengar. Iris Suhayla memandang ke arah si suami. Seakan tahu yang dirinya sedang diamati, Izzul Haq menoleh ke belakang lalu menghadiahkan senyuman buatnya.

"Pernah saya ditanya tentang persoalan jodoh ini. Kalau jodoh ditentukan oleh Allah s.w.t, mengapa ada juga manusia yang bercerai-berai. Maka, hari ini saya bawakan topik ini supaya kita sama-sama mengambil perhatian ke atasnya."

"Bismillahirrahmanirrahim... Wamin ayatihi an halaqa lakum min anfusikum azwaa jan litaskunu ilaiha waja'ala bainakum mawaddatan warahmatan innafi dzalika la'ayatin liqau min yatafakkaruna."

" dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir. Surah Ar-Ruum, Ayat 21."

"Para jemaah sekalian, barangkali kita biasa mendengar ayat ini, "jodoh di tangan Tuhan." Atau barangkali begini, "saya berkahwin dengan Polana sebab Polana adalah jodoh saya." Atau mungkin juga begini. "Dia bukan jodoh saya." Tetapi pernahkah kita mendalami atau hanya mendengar tanpa membuat kajian ke atasnya atau kita pakai saut saja. "Buat apa aku fikir, buang masa aku saja."

"Namun apabila kita mendalaminya, kita akan menjumpai pelbagai nas dan hadis tentangnya dan apabila kita membuat perbandingan dan persamaan, kita akan mendapatkan jawapan yang teguh tentang persoalan jodoh. Dari Ubaid bin Sa'ad, Rasulullah s.a.w bersabda:"Siapa yang menyukai fitrahku hendaklah ia bersunnah dengan sunnahku dan termasuk sunnahku adalah menikah. Hadis riwayat 'Alayh.

Yang kedua, disebut oleh Abdullah bin Mas'ud r a, Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai para pemuda, sesiapa di antara kalian yang mampu ba'ah (memberi tempat tinggal) hendaklah ia menikah, kerana sesungguhnya bernikah itu dapat menundukkan pandangan serta menjaga kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu ba'ah, maka hendaklah ia berpuasa, sesungguhnya puasa itu akan menjadi perisai bagimu. Hadis riwayat Muslim"

"Bagaimana tidak, di hujung zaman ini, manusia didedahkan dengan kecanggihan teknologi dan di dalam kecanggihan teknologi itu adanya bahaya yang semakin menular dan mengancam iman manusia. Di dalamnya ada nyanyian gadis-gadis muda, yang memperdengarkan suaranya untuk menjadi artis. Di dalamnya ada media sosial dan manusia saling berlumba untuk menyebar wajah sendiri untuk ditatap oleh khalayak. Di dalamnya juga ada banyak hiburan yang melalaikan dan boleh mendorong manusia berakalkan nafsu."

"Barangkali tuan puan tertanya-tanya apa kaitan jodoh, puasa dan perkembangan teknologi ini. Saya kaitkan sedikit tuan puan. Mengapa Rasulullah menyebut bahawa puasa adalah perisai pemuda ini, yang tidak mampu ba'ah. Manusia ialah sebaik-baik kejadian. Dia tidak sekadar mempunyai akal fikiran tetapi juga dilengkapkan dengan nafsu dan selalunya, nafsu ini yang merajai fikiran. Ditambah dengan unsur-unsur teknologi yang saya sebutkan tadi, gadis-gadis yang menyumbang aurat, yang mendedah aurat dengan pakaian yang menjolok mata berlambak-lambak hingga lebih mudah dilihat dengan adanya media sosial seperti televisyen dan internet ini. Ia bukan membaiki tetapi menambah kerosakan. Itulah bahaya teknologi yang kita gunakan pada hari ini. Sebab itulah Rasulullah meminta pamuda-pemuda yang ba'ah ini agar berpuasa kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menahan keimanan dari panahan dosa."

"Dari Samurah ra, bahawa Rasulullah s.a.w melarang kita daripada tabbatul, iaitu orang yang sengaja membujang untuk selamanya. Ini dipetik dari hadis Ahmad bin Hambal. Hai, biar betul? Nabi kata nikah itu sunnah tetapi kita sengaja nak membujang. Kalau kita ini muslimin yang bijaksana, apakah pilihan kita? Sunnah yang menawarkan pahala atau tabbatul yang mengganjarkan dosa? Bagaimana dengan pendapat-pendapat, "Allah menentukan jodohku?" Sudahkah persoalan ini dileraikan sedikit benangnya?"

"Dari surah al-baqarah ayat 221, Dan janganlah kamu menikahi wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita mukmin lebih baik dari wanita mushrik, walaupun dia menarik perhatianmu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya (perintah-perintahNya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran."

"Seterusnya, kalau tuan puan merujuk surah An Nur, ayat 24:"Lelaki yang berzina tidak menikahi melainkan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dinikahi melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; kerana yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang mukmin."

"dari Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah yang baik agamanya maka engkau akan beruntung. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim."

"Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila datang kepada kalian siapa yang kalian redhai akhlaknya, maka nikahilah ia. Jika tidak, nescaya akan menjadi fitnah dan kerosakan muka bumi yang luas. Hadis riwayat Al-Hakim."

"Dari Anas bin malik ra: Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk ba'ah dan melarang pembujangan dengan larangan yang keras, beliau bersabda:"Nikahilah wanita yang penyayang dan subur (kerana) aku akan melebihi para nabi (jumlahnya) di hari kiamat kelak. Hadis Riwayat Ahmad bin Hambal."

"Tuan puan yang saya kasihi sekalian, begitu banyak nas-nas yang menerangkan tentang pemilihan jodoh tuan puan. Lelaki yang tidak berkemampuan untuk bernikah hendaklah berpuasa, tidak boleh sengaja membujang. Jangan menikahi perempuan musyrik yang mengajak kita ke neraka sebelum mereka beriman. Jangan pula kita menikahi lelaki yang berzina sebelum mereka bertaubat. Nikahilah perempuan kerana empat perkara, iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Bahkan bagi wanita yang kematian suami sekalipun, Allah telah berfirman: "Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian, apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. Surah Al-baqarah ayat 234."

"Ayat ini membawa maksud bahawa wali boleh membenarkan wanita yang kematian suami ini kembali bernikah atau kekal tidak bernikah selepas kematian suaminya, dengan syarat, ia telah melepasi tempoh iddah. Jika jodohnya telah ditetapkan, bukankah suami mati bererti mereka tidak boleh berkahwin lagi kerana jodoh mereka telah habis?"


NASI lemak sedap dimakan,

Makan pulak dengan sambal,

Apa dibuat Cik Hajar di Labuan,

Cik Riyad di sini masih berselimut tebal.

Riyad menaip pantun empat kerat untuk dihantar ke telefon bimbit Siti Hajar. Dia berharap agar pantun itu dapat menceriakan Siti Hajar. Lama juga dia menanti namun mesej yang dihantar belum juga dibalas. Akhirnya dia menolak selimut tebal yang membaluti diri. Melihat jam di dinding. Hampir sepuluh setengah pagi. Dia menggeliat sebelum kembali berguling di atas katil bujang itu.

Hari ini mereka sekeluarga akan menghantar rombongan ke majlis sambut menantu yang diadakan oleh keluarga Izzul Haq. Kemudian, Iris Suhayla akan berangkat semula ke Labuan, menjalani tanggungjawabnya sebagai guru. Di sana juga, ada wajah yang menggamit kehadirannya.

"Angah, tak bangun lagi ke?"

Tanya Iris Suhayla di luar. Riyad tidak menjawab namun hanya memandang ke arah pintu. Kemudian terdengar bunyi pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya.

Masak nasi goreng sayur,

Sayur petola dan sayur peria,

Buanglah selimut, bangkitlah tidur,

Kasihankan selimut, busuk dah ia.

"Ha ha ha ha."

Riyad terkumat-kamit membaca pantun empat kerat yang dibalas Siti Hajar. Kemudian dia ketawa dengan kandungan mesej itu. Dia terus terlupa menyahut panggilan Iris Suhayla sebentar tadi.

"Oi, angah! Orang panggil tak menyahut. Bahan gelak sorang-sorang dalam bilik tu buat apa?"

"Eh, ada lagi ke? Ingatkan tak ada orang dah."

"Cepatlah. Pukul sebelas karang dah nak bertolak dah."

Panggil Iris Suhayla lagi. Riyad bangun juga lambat-lambat. Dia membuka tombol pintu. Adiknya sudah siap berhias dengan gaun pengantin berwarna krim. Riyad tersenyum kerang. Mindanya sudah menyusun sesuatu untuk ditujukan buat si bongsu itu.

"Emm, nah! Tolong basuh! Dah bau hapaklah."

Usik Riyad lantas meletak selimut yang diheretnya tadi ke atas bahu Iris Suhayla. Iris Suhayla terpinga-pinga pada mulanya namun cepat-cepat menggumpal selimut berat itu sebelum mencampaknya kembali ke arah Riyad.

"Sempat lagi. Angah ni memang dengki dengan Su, kan? Tak boleh tengok orang cantik sikit."

Dengusnya, menarik perhatian Hafiy yang kebetulan melintasi bilik tidur Riyad. Adengan baling-membaling sempat dirakam matanya sebentar tadi. Dia singgah sebentar, barangkali ada isu yang boleh dicelah.

"Cantik disolek buat apa? Orang nak cantik asli macam Siti Hajar tu."

"Aikk. Dah pandai buat perbandingan. Ini mesti dah angau dengan Siti ni."

Iris Suhayla meneka. Senyuman Riyad menjawab persoalan itu. Hafiy nampak tidak berpuas hati. Dia kelihatan seperti tertinggal sesuatu.

"Siapa pulak Siti Hajar tu? Macam mana along tak kenal tapi angah dengan Su boleh kenal?"

"Siti Hajar tu housemate Su. Hari tu kan angah ada ke Labuan. Bila dia singgah rumah, Siti Hajar masakkan patin masak tempoyak. Apa lagi, jatuh kasihlah! Eh, dahlah! Pergi bersiap."

Beritahu Iris Suhayla, sambil matanya menjeling jam di dinding. Hampir lima belas minit sebelum rombongan bertolak. Iris Suhayla tidak mahu peduli lagi tentang Riyad ataupun Hafiy. Dia menutup kaunter pertanyaan. Sebarang pertanyaan tidak akan dilayan.


IRIS Suhayla duduk bersama Mama Jiya di ruang tamu usai majlis sambut menantu di kediaman mentuanya sebentar tadi. Menjejakkan kami ke dalam banglo mewah dan berhadapan dengan individu yang baru dikenali membuatkan duduknya serba tidak kena. Mama Jiya nampak keletihan usai majlis itu. Ada lagi saudara mara yang belum beredar dan mereka semua sedang bersembang sesama sendiri di luar rumah.

"Alhamdulillah. Selesai jugak majlis kita hari ni."

Ucap Mama Jiya, memulakan cerita. Iris Suhayla nampak kekok, barangkali masih berasa malu lalu dia sebagai ibu perlu membimbing menantunya itu supaya lebih cepat menyesuaikan diri.

"Tapi Iris jangan terkejut pulak. Akan datang ada satu lagi majlis sambut menantu."

"Eh, ada lagi?"

Ucapnya, tidak dapat mengawal emosi terkejut itu. Izzul Haq tidak pula menyebut tentangnya sebelum ini.

"Tetamu kita hari ni saudara mara sahaja. Kita belum sempat ajak kawan-kawan dan staff Iz, staff papa. Press pun kita belum jemput. Sebab tu kita kena buat satu lagi majlis untuk mereka."

Jelas Mama Jiya lagi. Iris Suhayla mendengar sahaja. Di dalam mindanya, pelbagai soalan tersusun dan minta dijawab, namun ada satu yang bakal ditanya kepada Izzul Haq.

"Kenapa Iris?"

"Err...tak ada apa-apa. Cuma terkejut aje."

Balas Iris Suhayla, apabila disedari yang dirinya kurang memberi respon terhadap perbualan Mama Jiya. Mama Jiya ketawa namun ketawa beransur perlahan apabila ada tetamu yang menghampiri mereka.

"Mak Teh, kami balik dulu. Dah lewat sangat ni."

Beritahu seorang gadis muda, mendahului beberapa orang lagi temannya. Mama Jiya bingkas berdiri, menyambut tangan yang dihulur oleh gadis itu. Senyuman turut dihadiahkan untuknya.

"Iyalah, terima kasih banyak sebab sudi datang. Nanti kita jumpa lagi sekali, ya. Kak Iris, Selamat Pengantin Baharu. Kalau ada masa, jemput ke rumah di Ipoh, ya."

Pelawa gadis muda itu ketika sedang bersalaman dengannya. Temannya yang lain juga turut begitu. Najihah yang mengerti akan riak wajah Iris Suhayla segera memperkenalkan anak-anak buahnya.

"Ini anak-anak buah Mama Jiya. Anak Mak Usu. Mak Usu tak datang hari ni. Dia buat umrah, jadi anak-anaknya saja yang datang."

"Oh, begitu! InsyaAllah, kalau ada kesempatan kami pergi ke Ipoh tapi Kak Iris tak boleh janji. Buat masa sekarang Kak Iris kerja di Labuan. Kalau emmm..."

"Laika, Zulaika. Ini adik-adik Laika, Zarif, Zahira dan yang bongsu Zahin."

"Oh, semua mula dengan huruf Z."

Iris Suhayla mengusik. Dia mengerah minda, cuba mengingat apa yang ingin disampaikan kepada Zulaika dan adik-adiknya namun tiak berhasil.

"Ha ah. Kalau kat sekolah dulu, dah biasa nama kami duduk di hujung-hujung."

"Kak Iris nanti jangan letak nama anak bermula dengan Z pulak. Tak best. Kalau que, selalu kat belakang."

Usik Zulaika, menyelit pengalaman diri. Iris Suhayla dan Mama Jiya ketawa sahaja. Bagi Iris Suhayla, pesanan itu dianggap gurauan sahaja. Dia dan Izzul Haq belum berbincang sejauh itu lagi. Sedang Izzul Haq juga baru dikenali, inikan pula, perihal nama anak-anak.

"Kami gerak dulu, Mama Jiya."

"Iyalah, hati-hati memandu."


USAI solat isyak berjemaah, dia berehat di atas katil, melihat gerak tubuh Iris Suhayla yang sedang berkemas untuk kembali ke Labuan esok. Dia masih belum mendapatkan kata putus daripada isterinya tentang isu yang ditimbulkan tempoh hari. Dia ingin mengungkitnya lagi memandangkan isterinya bakal ke Labuan esok.

"Iris dah fikirkan hal kita?"

Soal Izzul Haq, memulakan bicara. Iris Suhayla berhenti mengemas bagasi. Dia berpusing lalu duduk menghadap sang suami. Dia mencari makna disebalik wajah itu.

"Hal kita?"

"Hal kita. Hal jarak beratus batu. Awak di sana, saya di sini."

Ujar Izzul Haq, ingin memancing reaksi Iris Suhayla. Iris Suhayla hanya mendiamkan diri, tiada kata buat beberapa ketika.

"Kita belum mula pun hal awak di sini, saya di sana, kan?"

"Saya perlukan isteri saya di sini."

Kata Izzul Haq lagi, membuat duduknya serba tidak kena. Iris Suhayla kembali termenung panjang. Menyedari dirinya yang kini sudah menjadi isteri yang tidak sekadar memegang status isteri tetapi perlu menunaikan tanggungjawabnya, Iris Suhayla jadi berbelah bagi. Separuh hatinya, ingin di sini, dan sebahagian lagi memanggil ke sana. Di sana atau di sini? Izzul Haq insan yang baru dikenali lantas dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk.

"Beri saya masa Izzul. Saya perlukan masa."

"Baik. Saya bagi tempoh tiga bulan lagi untuk awak fikirkan. Menjelang bulan enam, awak mesti pulang ke sini dengan keputusan. Di sini atau di sana!"

"Kalau tidak?"

Iris Suhayla sengaja bertanya. Izzul Haq memandang terus ke dalam matanya hingga terkesan sifat serius suaminya di sebalik renungan itu.

"Saya yang akan buat keputusan."

Jawab Izzul Haq, ringkas. Iris Suhayla menelan liur, dadanya terasa sesak dengan kata-kata bak keramat itu namun dia tidak mahu memanjangkan cerita. Entah mengapa, selepas sah bergelar isteri kepada lelaki itu, dia tidak berani bersikap angkuh lagi. Tidak seperti sebelumnya. Dan yang dia perasan, setiap kali bertentang mata dengan Izzul Haq, dadanya berdetak pantas. Serba tak kena dan tidak tentu hala. Barangkali dia mula mencintai lelaki itu. Ah! Begitukah cinta? Serba tidak kena dan tidak tentu hala. Walau berada di depan mata, namun debarannya tak terluah dek kata. Antara sedar dan tidak, kerap juga dia mengintai suaminya dalam diam. Ketika tidurnya, ketika sujudnya, ketika makannya, ketika senyumnya, ketika dia ketawa hatta ketika dia di depan mata sekalipun.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku