Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Bab 30
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Mac 2014
Calon suaminya seorang CEO ternama namun Iris Suhayla langsung tidak mengenalinya.
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
38857

Bacaan






30

IRIS Suhayla tidak dapat melelapkan mata semenjak lampu mula dipadam. Dia kerap memikirkan esok. Setelah seminggu bersama, menjalani kehidupan baharu sebagai suami isteri dan mula menyesuaikan diri dengan keluarga baharu, kehidupannya bakal berubah lagi. Dia akan meninggalkan suami, meninggalkan bumi Semenanjung sekali lagi menuju ke destinasi yang sementara barangkali. Izzul Haq sudah menyisip pesanan. Dia mesti pulang dengan keputusan selepas tiga bulan.

Iris Suhayla mengerdipkan mata, merenung syiling di dalam kepekatan malam. Bolehkah syiling itu membantunya memberi jawapan?

"Aku sayang kerja aku. Aku sayang anak murid aku. Aku sayang kawan-kawan aku."

Luahan itu mahu dilontar kuat-kuat namun dia belum punya kekuatan untuk berbahas tentangnya lalu dibiarkan luahan itu berputaran di dalam hati. Iris Suhayla membuang nafas panjang. Dia mengalihkan badan, mengiring menghadap Izzul Haq. Lelaki itu sudah lena diulit mimpi barangkali, lalu seperti biasa dia akan mencuri lagi. Mencuri pandang suaminya dalam senyap. Dia mahu mencuri pandang lagi dan lagi untuk bekalan selama tiga bulan di Labuan kelak.


TIADA bicara sepanjang sepuluh minit awal penerbangan ke Labuan itu. Kali ini dia berpeluang memilih tempat duduk di tepi tingkap. Menghantar pandangan ke luar bersama minda yang tepu dengan persoalan. Izzul Haq di sebelah tiada suara juga. Sebagai isteri yang mula mencintai suaminya sejak lafaz nikah, banyak pesanan yang ingin dititip. Dan jika mampu, dia ingin meluahkan isi hatinya kepada Izzul Haq.

Suami,

Ketika aku tiada, ukirlah namaku di hatimu

Ketika aku tiada, rindukanlah aku

Ketika aku tiada, sebutlah namaku

Ketika aku tiada, hadirkan aku dalam nafasmu.

Suami,

Ketika aku tiada, tabahlah

Ketika aku tiada, usah kau berduka

Ketika aku tiada, senyumlah

Kerana senyumanmu pengubat hari-hariku.

Tetapi suami,

Tahukah engkau bahawa aku tidak mampu berdiri tanpamu

Walau segaris senyuman tak mampu ku ukir

Pasti setiap detik akan menyebut namamu

Merintih mendoakan kesejahteraanmu

Kerana dirimu bakal jauh beribu batu.

"Kenapa senyap sangat ni?"

Tegur Izzul Haq, memecah kesunyian perjalanan mereka. Iris Suhayla tersenyum sahaja, tidak mampu meluahkan perasaan itu.

"Tak tahu nak cerita apa."

Ujarnya, berterus terang. Izzul Haq menggenggam jemarinya hingga terasa satu perasaan menyusup masuk melalui genggaman itu. Perasaan itu aneh dan membuatkan pipinya merona kemerahan.

"Lepas ni kita akan sibuk dengan kerja masing-masing."

"Ya."

"Mungkin ada hari-hari saya tak dapat dihubungi atau menghubungi awak."

Izzul Haq memberitahu lagi. Iris Suhayla di sebelah tidak berbunyi, hanya riaknya sahaja yang berubah.

"Kadang-kadang saya di dalam, kadang-kadang di luar Malaysia. Siang bekerja, malam pun sibuk juga."

Iris Suhayla tidak mampu menyahut. Dia cuba berimaginasi, melukis watak lelaki itu di dalam mindanya yang ke sana ke mari dengan kesibukan kerjanya. Pasti di sepanjang harinya, Izzul Haq bertemu dengan ramai wanita, ditambah pula dengan statusnya sebagai pemilik syarikat kereta mewah terbesar di Malaysia. Dia memandang wajah si suami lagi. Dia tidak mampu menolak wajah elok lelaki itu namun cintanya pada Izzul Haq bukan kerana rupa yang elok tetapi kerana dia suami yang sah.


"LAPARLAH. Jom makan!"

Ajak Izzul Haq ketika mereka keluar dari balai ketibaan. Iris Suhayla ketawa kecil. Lelaki itu tidak berubah, barangkali memang betul tabiatnya begitu. Dia akan kelaparan setelah keluar dari perut pesawat.

"Baru pukul sebelas. Dah lapar?"

Soalnya pula. Mereka jalan beriringan menyusuri laluan utama di dalam lapangan terbang itu sambil matanya melirik ke kiri kanan. Matanya mencari tempat untuk beristirehat.

"Lapar tak tunggu masa."

"Alah, sebut pasal makan ni saya tak ingat langsung nak belanja along and angah makan. Tak ingat yang gaji pertama saya dah masuk."

Beritahunya apabila ingatannya tiba-tiba melekat pada penyata baki yang disemak sehari sebelum majlis perkahwinannya minggu lepas. Kesibukan menjalani hidup baru menyebabkan dia terus terlupa tentang gaji yang belum diusik sesen pun itu.

"Baru dapat gaji pertama ke?"

"Iya. Prosedurnya begitu. Paling awal, selepas tiga bulan bekerja baru saya akan terima gaji pertama."

Cerita Iris Suhayla serba sedikit. Mereka masuk ke salah sebuah kedai makan yang ada di situ.

"Maknanya saya orang pertama yang dibelanjalah ni?"

Usik Izzul Haq bersama senyuman manisnya. Iris Suhayla menggeleng, enggan begitu.

"Awak dah banyak duit."

"Saya nak berjimat dengan duit saya. Nak simpan untuk kecemasan, untuk hari tua, untuk menunaikan haji sebab saya takkan muda selalu. Betul, tak?"

Perli Izzul Haq. Iris Suhayla hanya ketawa kecil. Teringat akan pertemuan mereka dahulu, dia pernah menyindir suaminya tentang soal duit. Itulah antara pesanannya kepada Izzul Haq. Kecemasan, hari tua, buat haji dan usia muda.

"Kejap lagi saya hantar awak balik, lepas tu saya nak ke airport semula."

"Awak nak balik terus ke?"

Soal Iris Suhayla pula, terganggu dengan penjelasan suaminya. Izzul Haq mengangguk kepala. Perjalanan mereka tadi pasti membuatkan Iris Suhayla berasa letih. Dia hanya mahu isterinya merehatkan diri. Tambahan pula, esok isterinya bakal kembali bertugas. Seminggu yang dihabiskan dengan episod baru pasti tambah meletihkan, sebab itu dia ingin cepat-cepat beredar, supaya Iris Suhayla dapat berehat.

"Saya hantar awak ke airport, ya?"

"Sayang jugak awak kat saya."

Sakat Izzul Haq. Iris Suhayla tidak dapat menjawab. Dia malu bila hal sayang diutarakan dalam perbualan mereka lantas dia menunduk sambil bermain dengan ibu jari.

"Tapi tak perlu bersusah payah. Saya nak awak rehat saja di rumah. Saya boleh balik dengan teksi."

"Tak jauh pun-"

Dia menjawab, perlahan namun jawapannya sampai juga pada pendengaran Izzul Haq lantas lelaki itu terus menyahut.

"Bukan masalah jauh atau dekat. Saya nak awak rehat. Saya tahu sepanjang minggu ni awak letih. Hal perkahwinan, hal suami, hal keluarga. Hari ni awak rehat saja."

"Tapi."

"Ada tapi pulak?"

Iris Suhayla tidak jadi membantah. Dia menundukkan wajah sambil menanti pesanan makanan mereka tiba.


SUDAH lima kali dia mengelilingi meja makan itu semata-mata mahu mengelak sepit tajam Siti Hajar. Siti Hajar marah gara-gara dipermainkan tentang Izzul Haq.

"Cepatlah Su! Mari sini. Aku nak cubit kau sekali aje. Aku dapat cubit kau sekali, puaslah hati aku."

"Mana boleh! Kau simpan kuku panjang. Buat apa aku nak bagi diri aku sakit? Apalah kau ni."

Balas Iris Suhayla, berhenti setentang dengan Siti Hajar. Siti Hajar bercekak pinggang sambil menggigit bibir, tanda geram. Bila agaknya baru aku dapat mencubit isteri Izzul Haq itu. Patutlah selama ini dia begitu bersungguh menyelongkar cerita tentang Izzul Haq, bertanya soalan yang kadang-kadang tak terjawab juga. Rupa-rupanya CEO kereta itu benar suaminya.

"Memang aku saja. Aku simpan ni memang untuk kau."

"Siti, sorrylah. Kau tahu aku tak bersedia, kan?"

"Ah, aku tak terima helah bela diri kau!"

Jawab Siti Hajar, menolak. Melihat Iris Suhayla berdiri tegak di meja hadapan membuatkan perasaannya bertambah geram. Dapat picit sekali pun cukuplah lalu dia menjingkit, cuba menggapai badan teman serumahnya dari hujung meja. Iris Suhayla ketawa mengekek lalu menapak laju ke belakang.

"Geramnya aku!"

"Aku tolong kau, ya! Aku cubit diri aku sendiri."

Iris Suhayla cuba memujuk. Dia pura-pura memulas lengannya namun Siti Hajar cepat mendapatkannya dari tepi. Iris Suhayla terkejut dan tidak menyangka tindakan pantas Siti Hajar. Sekelip mata, teman serumahnya sudah berada di tepi. Iris Suhayla dapat merasa pinggangnya dipulas lembut. Kemudian diketam sana sini. Dia tidak dapat mengelak lagi lalu menghambur tawa yang sangat kuat. Siti Hajar menepuk lengannya sebelum mereka berpelukan erat.

"Rupa-rupanya, kau berjaya mengatasi segala wanita yang bermimpikan Izzul Haq."

"Bukan aku nak mengatasi mereka, Siti. Aku dah pernah kata sebelum ni. Calon suami aku ditentukan keluarga. Kau ingat aku kenal Izzul Haq kalau tak kerana baca cerita di gerai cendol tu?"

Ulas Iris Suhayla sambil menarik sebuah kerusi. Siti Hajar juga begitu, barangkali kerana ingin menyingkap rahsia, lalu dirinya ditemani di ruang makan itu.

"Kau langsung tak kenal dia?"

"Sebab apa aku nak kenal dia?" Dia kembali bertanya.

"Iyalah, walau dijodohkan sekali pun, takkan kau tak pernah jumpa dia."

"Ada. Gambar dia aku dah tengok. Kau ingat tak kisah lelaki dengan minyak angin dalam flight tu?"

"Dia?"

Tanya Siti Hajar, bagai tidak percaya. Mulutnya separuh melopong. Iris Suhayla senyum dan mengangguk.

"Aku ingat kau sembang gedik santai aje hari tu."

"Itulah kau. Langsung tak menyelami perasaan aku. Berapa hint dah aku bagi kat kau. Kertas kerja aku, kau dah bagi, lepas tu, kau delete. Aku mintak kat Zakwan pun kau halang jugak, kan? Tapi tak apa. Aku tunjukkan kemuliaan hati dan menjemput kau datang ke kenduri hari tu, sebab aku nak kau kenalnya di sana."

"Ha ah. Betullah. Kalau ikut perjalanan cerita kau ni, aku yang jahat sebab kau cuba nak kenali tunang kau, aku pulak yang jadi batu penghalang." Siti Hajar membalas, dengan sedikit rasa kesal.

"Habis tu kau memang betul-betul hantar ke kertas kerja untuk mohon sumbangan tu?"

"Dah kau ingat aku melawak jenaka?"

"Err...dah tu respond Izzul?"

"Usah dikenang kisah yang lalu. Kau ni kan, banyak pulak korek rahsia aku."

"Alah, Su..."

"Tak ada Su-Su...Perut aku memulas ni. Nak termenung kejap."

Iris Suhayla bingkas bangun. Bunyi bilik air dikatup kuat mengajaknya menoleh ke belakang. Teman serumah itu tetap tidak berubah. Agaknya bagaimana hari-harinya nanti tanpa Iris Suhayla di sisi? Pasti sunyi tanpa pelangi.


IZZUL Haq mengetuk pintu rumah Mama Jiya, menanti dengan penuh sabar sebelum pintu rumah benar-benar dibuka oleh tuan rumahnya. Izzul Haq kaget ketika melihat wajah papa di depan pintu, menyambut dirinya yang mungkin disangka sebagai tetamu. Bukan cuma dia, papa juga terkejut akan kehadirannya malam itu. Dia menghulur tangan untuk bersalaman tetapi papa tidak mempedulikannya. Dia masih marah akan Izzul Haq namun tidak pula terdaya hendak menghalau anak itu dari rumahnya. Lantas dibiarkan pintu itu terbuka tetapi tidak pula mengajak anak itu masuk. Dia sendiri sudah menapak beberapa langkah tetapi anak itu memanggilnya pula.

"Papa. Sampai bila ayah nak mengelak dari Iz?"

"Aku tak mengelak tapi malas nak jumpa kau."

Jujur dia meluahkan perasaan yang berbuku di hati. Izzul Haq mendekati papa.

"Kenapa papa marah sangat saya dapat harta arwah atuk?"

"Marah. Memang aku marah sebab kau tu cucu, aku ni anak. Mentang-mentang berbelas tahun kau duduk dengan arwah atuk. Kau hasut dia jangan bagi aku harta, kan?"

Bentak Izhar, mengungkit kisah lama. Barangkali suaranya bergema seisi rumah, Najihah cepat-cepat turun ke bawah.

"Apa yang arwah atuk nak bagi, itu semua kehendak dia. Papa yang tak pandai jaga hati arwah atuk. Berapa kali arwah atuk telefon papa suruh ayah balik kampung? Ada papa balik? Lepas papa tinggalkan saya di kampung, ada papa tunjuk muka? Bukan setakat tunjuk muka, duit pun tak pernah hantar. Makan pakai saya arwah atuk yang tanggung. Bila papa muncul? Papa muncul lepas saya dah habis sekolah. Bila saya dah pandai cari duit poket sendiri. Senanglah papa, kan? Satu sen pun tak keluar duit untuk sara saya. Bila arwah atuk tinggal harta untuk saya, papa sakit hati pulak."

Luahnya, sebal. Izhar tidak menyahut serta-merta. Dia menyusun kelengkapan untuk melancar serangan pula. Bukan Izzul Haq sahaja yang boleh mengungkit tetapi dia boleh melakukan lebih dari itu.

"Kau tahu kenapa aku hantar kau balik kampung? Sebab kau hanya bebanan. Aku sara kau, apa aku dapat? Aku dapat susah. Aku menderita. Sebab apa? Sebab kau yang buat mak kau mati! Kau tanggunglah semua."

Jerkah Izhar. Izzul Haq terkedu. Terus lembaran silam terselak kembali. Terbayang di tubir mata bagaimana isterinya meraung meminta tolong ketika rumah mereka dijilat api. Dia tidak dapat kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan isterinya selepas berjaya menyelamatkan Izzul Haq. Barangkali Izzul Haq tidak mengingati peristiwa itu tetapi tidak baginya. Kerana menyelamatkan Izzul Haq, isterinya kehilangan nyawa. Sampai putus nyawa pun dia takkan melupai peristiwa itu.

"Kenapa kau senyap? Dah habis modal?"

"Atuk kata..."

"Atuk kata mak kau mati kemalangan?"

Sindir Izhar lagi. Izzul Haq mengangkat wajahnya yang hampir tidak berwarna dek tekaan itu. Raut wajah ibu yang hanya samar-samar di ingatannya mula terbayang. Benarkah dia yang menyebabkan kematian mama?

"Kalau tak sebab kau, Zahra tak mati rentung dalam rumah tu, tahu?"

Sambung Izhar lagi. Dia tidak menunggu lagi sebaliknya terus mendaki tangga menuju ke kamar tidurnya di tingkat atas. Najihah yang menjadi pemerhati sejak tadi tidak mampu terus berdiri. Pertempuran anak beranak itulah yang paling ditakutinya selama ini. Dia bergegas mendapatkan Izzul Haq yang berdiri tegak bagaikan patung di tengah-tengah ruang itu. Mama Jiya memeluk bahunya namun anak itu tidak membalas.

"Iz balik dulu Mama Jiya."

"Iz, tunggulah. Jangan ambil hati dengan papa. Papa tengah marah tu. Mama Jiya tahu papa tak maksudkan apa yang papa cakap tadi."

Ujar Mama Jiya, cuba menenangkan hatinya yang sangat berduka dengan perkhabaran itu.


DIA melihat Izzul Haq duduk termenung di sebuah bangku lalu dihampiri lelaki itu. Jam lima pagi, Izzul Haq sudah berada di Labuan. Iris Suhayla bergegas menyiapkan diri, memandu di lorong sepi ketika suaminya memberitahu tentang ketibaannya di Labuan. Suaranya kedengaran lemah. Dia tahu ada sesuatu yang membawa suaminya ke mari.

"Izzul!"

Izzul Haq mengangkat wajah ketika namanya diseru. Melihat kelibat isteri, dirinya kembali ceria.

Iris Suhayla mendekati lalu duduk di sebelahnya. Tidak sempat hendak menyapa, Izzul Haq terlebih dahulu memeluk dirinya. Iris Suhayla kehairanan. Firasatnya memberitahu bahawa lelaki itu sedang berdepan masalah. Benarkah?

"Iz."

"Saya perlukan awak, Iris."

Akui Izzul Haq. Dia baru tiba di Kuala Lumpur semalam namun perbalahan dengan ayah menyebabkan dia menerima tamparan hebat, lalu dia membawa diri ke situ ketika diri mencari dahan untuk berpaut. Dia terasa dirinya sedang jatuh ke dalam gaung yang dalam tetapi wajah isteri seakan memanggilnya ke sini. Lantas dia mengambil penerbangan akhir ke Labuan dan tidak sabar lagi menunggu isterinya berada di sisi. Dia ingin melepaskan bebanan perasaan melalui pelukan itu. Ternyata perasaan itu benar. Dia lega dapat memeluk Iris Suhayla erat-erat. Hilang segala bebanan perasaan yang dibawa bersama ke Labuan.

"Kenapa ni?"

"Saja. Saya rindukan awak."

Dalih Izzul Haq. Dia sudah mereka alasan itu semenjak di dalam penerbangan lagi. Dia tidak mahu Iris Suhayla khuatir kerana di kala kesedihan, dia hanya mahu pelukan itu. Biarlah dia berhabis duit semata-mata untuk mendapat pelukan itu.

"Awak bohong, kan?"

Tanyanya, musykil. Izzul Haq ketawa kecil lantas meleraikan pelukan mereka. Dahi si isteri dikucup sekali.

"Kalau bohong, takkan saya di sini?"

Tanya Izzul Haq pula. Iris Suhayla ketawa kecil. Dia tidak menolak ketika Izzul Haq menjadikan pahanya sebagai alas kepala walaupun ada mata yang melihat aksi mereka. Manakan tidak, lapangan terbang Labuan itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran manusia walaupun jam di tangan hampir lima setengah pagi.

Sebentar nanti, sesi persekolahan suku kedua bakal bermula dan Iris Suhayla sedang berfikir bagaimana hendak menghadapi hari itu sedangkan Izzul Haq baru berbaring di atas ribanya. Hendak disuruh pulang, dia tidak tergamak. Tambahan pula, lelaki itu melakukan perjalanan ke Labuan sebanyak dua kali hanya untuk hari itu sahaja. Hendak meminta lelaki itu supaya tinggal dengannya buat beberapa hari, dia tidak sanggup juga memandangkan masing-masing punya tanggungjawab untuk digalas.

"Saya nak tidur sekejap. Nanti saya hantar awak ke sekolah. Lepas tu saya balik."

Ujar Izzul Haq seraya memejam mata. Isterinya bagai dapat menghidu kekeliruan yang sedang dihadapinya.

"Sekejap aje."

Ulangnya lagi. Kemudian, tertangkap dek telinganya dengkuran halus. Iris Suhayla tersenyum. Dia dapat mencuri pandang lagi wajah Izzul Haq yang sedang tidur. Tangannya lantas mengelus rambut lelaki itu sebagai tanda kasih. Kasih yang mula mengalir dari hatinya yang ikhlas.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku