Cinta Akan Indah
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1344

Bacaan






HUJAN yang turun renyai-renyai membasahi bumi, membasmi bumi TUHAN daripada noda-noda dan kelumpuhan diri manusia dalam menjalani hidup seharian. Setiap kejadian disingkap hikmah dan rahsianya, seperti hujan yang merupakan rahmat dan rezeki yang diturunkan oleh TUHAN kerana hujan membantu ekosistem bumi. Dunia tanpa hujan umpama hidup tanpa haluan, keliru dan terasing di bumi sendiri. Ah! Falsafah kehidupan memang sukar untuk difahami.

Suasana redup dan dingin. Pagi yang sejuk membuat aku masih berselimut dan diulit mimpi. Rasa malas hendak ke kuliah menyerang kembali. Kalau tak kerana ada ujian pagi ini, sanggup aku ponteng kuliah. Tapi markah ujian ini masuk mata kredit akhir semester nanti. Ujian... bengangnya otak aku ni. Banyak sangat formula yang perlu dihafal. Subjek Statistik ini satu-satunya subjek yang membuat aku sangkut selalu. Subjek ngeri untuk aku.

Hmm... mengantuknya. Inilah akibatnya belajar saat-saat akhir, tidur cuma beberapa jam. Bayangkan aku terlelap kira-kira pukul 3.30 pagi dan kena bangun awal untuk sembahyang subuh. Mana tak mengantuk?

Ada satu hal yang buat aku lewat tidur semalam. Sejak ada telefon bimbit pemberian Irsyad, dia asyik mengganggu sepanjang masa. Sekiranya orang tak kenal aku, tentu mereka ingat aku ‘couple’ dengan dia. Hakikatnya, semalaman aku terpaksa menjawab soalan-soalannya yang tak masuk akal mengenai seorang minah cute ni.

Aku ni pun satu juga, yang sibuk hal dia orang tu buat apa? Asyik sibuk nak selesaikan hal orang, sedangkan hasrat di hati lagi rumit. Kenapalah budak bernama Irsyad ni suka sangat menyusahkan satu-satunya girlfriend dia kat dalam kampus ni? Aku tahulah dia tu pemalu, tapi bawa-bawalah bersabar.

Aku tersenyum mengenangkan sikap Meeda sepanjang aku mengenalinya sejak menjejakkan kaki di kampus ini. Ditakdirkan kami satu dorm pula! Hmm... macam-macam kerenah. Orangnya sombong sedikit. Tahulah dia cantik.

Tapi bila dah lama mengenali Meeda, dia seorang yang baik sebenarnya. Walau macam mana pun aku buat silap, dia hanya akan berkata, “It’s okay... siapa yang tak pernah buat silap?” Kata-kata yang selalu dia ulang sehingga aku sering menyambung bila dia dah memulakan mukadimahnya.

Kulitnya putih melepak macam kulit orang Cina yang putih gebu. Matanya bersinar bundar macam mata pelakon Zarina Zainuddin. Bibirnya kemerahan kecil mongel dan keningnya bagai diukir hitam dan terletak bentuknya. Cantik Meeda ni. Memang dia cantik! Bukan setakat rupa, tapi juga dari segi peribadi.

Aku memang kalah dari segi saiz tubuh dan ketinggian. Rupa aku pun boleh tahan, tapi perangai aku agaknya yang ala-ala tomboy buat Irsyad tak pandang aku. Kalau ia pun, cintailah aku setulus jiwa, baru kau tahu siapa aku sebenar­nya yang cuba sedaya upaya untuk berselindung daripada sifat sebenarku.

“HOI! Apasal kau cakap sorang-sorang, hah?”

Meeda berteriak perlahan membawa aku ke alam sedar. Nyata semua yang difikirkan tadi melayang begitu saja. Sebiji bantal tepat dibaling ke arahku. Aku sedang mengelus-ngelus rambut yang baru dipotong pendek sambil berdialog sendiri. Bila masa minah cute ni bangun?

“Aku bercakap sorang-sorang? Tak ada pun. Perasaan kau aje kot!” Aku menafikannya setelah menangkap kemas baling­an bantal Meeda dan melontarkannya kembali.

“Tak payah tipu, aku dengar apa yang kau katakan tadi. Kenapa segan dengan aku? Bukannya sesiapa pun. Ingatkan si dia ke? Semalam aku tengok kau layan dia hingga larut malam sampai tak ingat nak tidur.” Meeda sudah bingkas duduk tegak.

“Itu pun sebab kau juga. Takkan tak faham-faham? Apa mimpi kau bangun awal hari ni?” soalku hairan melihat perubahan Meeda pada pagi itu sambil menyembunyikan perasaan maluku ditegur Meeda sebentar tadi. Kena ‘tangkap basah’.

“Eh! Bangun awal pun salah ke? Aku sebenarnya tak nak menyusahkan kau menyumbangkan suara di pagi hari. Lagipun aku termimpikan kau.” Meeda memulang paku buah keras.

Dia sedar rupanya selama ini aku selalu teriak di telinga­nya. Tapi selamba aje aku tengok dia bangun! Aku menggaru kepala yang tidak gatal. “Mengada-ngadalah! Nak mulalah tu...” Meeda ni aku faham benar perangainya. Makin dilayan makin menjadi kerenah. Yang teruknya, aku kena pujuk bila dia merajuk. Mengalahkan budak kecil!

“Hai, mimpi pun salah ke?” soal Meeda selamba.

“Tak adalah, cuma...” Aku cuba menafikan.

“Cuma apa? Takut kena batang hidung sendiri?” Meeda memotong pantas cakapku sambil mempamerkan wajah mengusik.

“Silau kornea mata aku tengok sengihan kerang kau tu. Dahlah busuk, tak menarik perhatian langsung.” Entah dari mana aku dapat ayat ‘power’ ni.

“Sampainya hati kata senyuman aku tak menarik. Tak apa... yang penting Khairul tertarik. Aku ada cerita menarik untuk kau.” Meeda ketawa.

Lucu sangatlah tu ketawa sendiri. Gila agaknya minah ni. Dahlah bangun awal, tiba-tiba pula bercerita di awal pagi. Buang tabiatlah tu.

“Hmm... apa dia? Nak mula usik aku?” Aku menunjukkan minat. Hakikatnya, aku tertanya-tanya kenapa Meeda beria-ia nak cerita sesuatu kepada aku.

“Kau tak nak tahu apa yang aku mimpi sebelum bangun tadi? Menarik tau!” Meeda cuba memancing tumpuan. “Kau nak dengar ke tak nak?” Dia menunjukkan geram.

“Hmm...” Itu saja jawapan yang sempat diberi kerana pantas dipotong Meeda.

“Nak tahu? Aku mimpikan tentang perkahwinan!” Bersemangat Meeda menuturkannya.

“Perkahwinan?” soalku pelik bila hal perkahwinan diperbualkan oleh Meeda. Dah nak kahwin ke minah ni? Harap-harap bukan dengan Khairul.

“Sebabnya perkahwinan tu tentang kau.”

“Perkahwinan aku?”

“Tak sporting langsung!” Muncung Meeda yang panjang sedepa dah mula dah!

“Okey! Okey! Aku tak akan kacau sampai kau habis cerita. Tapi aku tak boleh janji jika mulut celopar aku ni nak terbuka membebel untuk berkata-kata,” pujukku konon. Macam adegan Uda pujuk Dara pula. Tak kuasa hamba!

“Macam tulah kawan namanya. Aku mimpi kau sedang bersanding! Kau bersanding di pelamin anganku musnah bersama Irsyad. Lelaki yang aku jengkelkan akhirnya menjadi suami best friend aku. Tapi aku tak kisah. Lagipun aku tahu hanya dia satu-satunya lelaki yang berjaya menakluki segenap perasaan kau. Hanya dia yang menarik perhatian gadis yang tidak kenal erti cinta sejak memasuki alam remajanya. Kau jatuh cinta pada Irsyad. Itu aku tahu, tapi aku tak pasti apa makna mimpi aku tu kerana seperti yang kau sedia maklum, sehingga ke hari ni Irsyad tu terkejar-kejar memikat hatiku!” Meeda tersengih mengingati perkara yang berlaku akhir-akhir ini.

“Irsyad?”

Meeda mengangguk mengiakan pertanyaan. Tak mustahil!

“Sampai macam tu sekali mimpi kau? Aku sedang bersanding dengan Irsyad? Dan watak kau pula apa masa tu? Cuma penonton ke?” gurauku tanpa sengaja menarik Meeda sama-sama untuk bercerita.

“Kau dan Irsyad sedang bersanding. Dan aku pula jemputan khas. Semua tetamu tersenyum gembira melihat pa­sangan dua sejoli selamat diijabkabulkan dan sedang duduk di pelamin! Apa perasaan kau?” Meeda mengenyit mata mengusikku.

“Patut pun kau nak sangat bercerita. Ada modal nak kenakan akulah ni!”

Meeda tersenyum menang! “Don’t disturb okay! Aku belum habis cerita lagi.”

“Klimaksnya kau dah cerita awal-awal. Apa lagi yang kau nak aku tahu? Kau buat aku benar-benar ‘terkejut’. Okey, teruskan cerita!” Aku memotong sekali lagi cakapnya.

“Tiba-tiba Zainal datang.” Meeda memberi aksi yang membuatkan tawaku meletus akhirnya.

“Ini betul-betul menarik! Jangan nak kata Zainal kawan baik Irsyad tu,” tekaku masih tergelak melihat aksi muka selamba Meeda yang mengangguk.

“Let me finish the story first!” protes Meeda pantas.

“Ya, Zainal kawan karib si Irsyad tu. Aku tak silap, malah aku sangat pasti sebab aku tak sukakan dia. Dia datang merangkul pinggang aku. Yang peliknya, aku tersenyum gembira, membalas rangkulan manjanya itu. Aku tak pasti kenapa aku ketika tu tak marah dan nampak bahagia sangat.

Tapi sesuatu di luar jangkaan. Tiba-tiba entah dari mana munculnya Khairul datang menghampiri kami. Tapi terhenti apabila melihat kemesraan antara aku dan Zainal, dia cepat-cepat memohon pulang selepas bersalaman dengan pengantin.

P.E.N.G.A.N.T.I.N! Aku termenung dan entah apa terjadi selepas tu aku dah terbangun disebabkan oleh satu suara yang memanggil. Ketika tu aku tengok kau sedang tersenyum dan bercakap sendirian. Pelik!” Wajah Meeda mempamerkan reaksi dungu cuba mengingati mimpinya sebelum bangun tadi. Siap diberinya aku ejaan perkataan pengantin lagi. Hai! Meeda ni ada-ada aje.

“Pelik. Tapi aku tak nafikan kau mungkin hebat bergandingan dengan Zainal. Cuba kau ingat apa yang telah membuat kau terbangun. Selalunya, tak sah kalau aku tak simbah!”

“Oh, ya! Baru aku ingat. Seorang kanak-kanak lelaki datang berlari mendapatkan aku dan memanggil aku dengan panggilan mama!” Kerut wajah Meeda menampakkan reaksi rimasnya. Terperangkap dengan mimpi sendiri!

“Hebat! Kau dah ada anak dengan Zainal. Tak sangka... dia yang kau sibuk nak satukan dengan aku, akhirnya kena batang hidung kau sendiri. Pelik sungguh mimpi kau. Tuan empunya badan sedang peluk Zainal dan aku sedang bersanding. Hei! Kau mimpi persandingan aku dengan Irsyad tandanya ada sesuatu yang pelik. Memang pelik!” Aku ketawa melihat Meeda merajuk.

“Ini cuma mimpilah, kawan. Tak perlu percaya seratus peratus.” Meeda ketawa.

“Tanpa mimpi, impian tak jadi kenyataan.”

“Impian tetap impian... walaupun tanpa mimpi. Kenyataannya, aku tak pernah cintakan Irsyad dan tak mungkin bersama Zainal,” tegas Meeda padaku.

“Dah fikir panjang ke, minah oi! Jangan-jangan nanti kau sendiri yang tersungkur. Terimalah cinta Irsyad, Meeda. Lepas ni, mungkin kau tak akan ada peluang lagi.” Aku memujuk.

“Tersungkur mungkin, tapi untuk mencintai Irsyad, aku rasa mustahil. Entah kenapa sejak berkenalan dan tahu perasaan Irsyad pada aku, aku mula benci sesuatu yang bersangkut paut dengan dirinya.” Meeda menyatakan perasaannya selama ini.

Aku inginkan kepastian. “Termasuklah sahabat kau yang satu ni?”

“Apa-apa aje berkait dengannya. Tentulah kau terkecuali. Aku masih boleh terima.”

“Kenapa tak nak terima dia secara perlahan-lahan?” soalku ingin tahu dan supaya Meeda dapat menerima bahawa persahabatan boleh dijalin berlandaskan cinta. Mungkin cinta Irsyad akan menjadi satu persahabatan di mata Meeda. Siapa tahu? Tapi susah nak fahamkan cik minah cute ni.

“Dia tak ada kurang, cuma ini melibatkan soal hati. Cara dia meluahkan perasaan, aku tak suka. Cubalah kau nasihatkan boyfriend kau tu supaya berani cakap kat aku secara berdepan. Face to face! Macam Khairul... berani depan rakan-rakan sepasukannya mengisytiharkan aku kepunyaan dia.”

“Manusia kan tak sempurna? Aku sebenarnya tak kisah, Meeda... sesiapapun kau pilih, kita tetap sahabat sampai ke akhir hayat dan sahabat akan sentiasa ingat-mengingati termasuklah mencampuri urusan peribadi sahabatnya.” Sengaja aku menuturkan kata-kata yang berbelit bertujuan supaya Meeda memahami maksud tersiratnya.

“Mencampuri?” Meeda angkat kening tak setuju.

“Jangan silap, okey! Maksud aku, mencampuri tu adalah tak kira susah atau senang, kita tetap bersama-sama mengharunginya dan aku akan menyokong sesiapa jua pilihan kau.”

“Suka sangat cakap berbelit-belit. Kau cuma nak aku terima Irsyad. Apa salahnya kau terima dia? Cuba pujuk dia dan berubah. Rebut hati dia pula.”

“Sorry... sayangnya dia tak nak kat aku. Aku yang menghabiskan masa dengan dia ke hulu ke hilir di kampus tetap tak dapat menawan hatinya. Aku percaya, sebab di hatinya sudah ada yang punya dan tertulis dengan ukiran indah nama kau. Tiada tempat lagi untuk nama aku.” Aku cuba menafikan perasaan terluka. Aku memang begini, selalu menolak sebelum segalanya bermula lagi.

“Khairul tetap di hati. Irsyad aje yang perasan lebih-lebih. Kau aje yang tak usaha lebih. Cakap tak serupa bikin!” bebel Meeda yang mula bergerak mengemas katilnya yang berselerak.

“Jangan marah Meeda, nanti aku jual kat Irsyad. Aku kawan kau, bukannya musuh. Tak ada sebab aku nak kau mendapat keburukan. Kawan kau ni tetap akan membantu yang mana baik untuk kawannya yang comel loteh ni. Jangan marah, nanti kau cepat tua... Khairul pun lari!” balasku cuba menyakiti hati Meeda.

“Kau ajelah ambil si Irsyad tu. Tamat cerita!” balas Meeda ingin berlalu.

“Bila dia dah aku ambil, jangan pula kau kebas balik!” kataku olok-olok, masih dalam mood bergurau. Siapa suruh kau bawa cerita yang memang aku nantikan dari mulut kau? Peluang, mungkin ini yang tidak ada pada Irsyad. Kau langsung tak pernah memberi peluang Irsyad mengenali diri kau, Meeda.

“No! tak mainlah kebas-kebas dalam kamus hidup aku. Kalau benar seperti yang kau katakan dia nak kat kau, cinta­kan kau, aku rela serela-relanya tak akan kebas kerana hati aku dah terpaut pada Khairul sejak dulu lagi!” Tegas bunyi kata-kata Meeda menusuk telinga.

“Apa salahnya kau cuba selami perasaan dia, Meeda? Kenali dirinya, setelah lebih satu tahun setengah aku mengenalinya, sehingga hari ni pun dia tetap teguh menunggu kau menerima dia. Aku tak mahu bila dah terlewat, baru kau tengadah.”

“Kalau dalam dunia ni sekalipun tinggal dia seorang, aku lebih rela tak kahwin daripada terima cinta dia. Lina, aku dah kenal dia...” Sengaja Meeda menggantung ayatnya begitu.

“Macam mana kau kenal dia? Selama ni pun kau asyik mengelak daripada berjumpa dengan dia. Tak pernah sekali pun seingat aku, kau terima ajakannya sehingga hari ni.”

“Daripada siapa lagi kalau bukan daripada kau. Irsyad itu, Irsyad ini, Irsyad yang nak... dan macam-macam lagi berita hot lagi sensasi daripada kau setiap hari. Sejak dari dulu tak sah kalau tak ada berita tentang Irsyad keluar daripada mulut kau setiap saat. Aku cadangkan kau cuba pikat dia pula. Hmm... setakat ni aku dah kenal dia. Biarlah dia dengan diri­nya tu.” Meeda tersenyum mencapai tuala.

“Jangan cakap macam tu, tak luak pun kalau kau berkenalan dengan dia dulu. Dia dah lama menunggu. Kau boleh tambah kenalan, tambah koleksi dan banyak juga kau tahu tentang hati budi orang. Don’t stick to one person only. Dalam erti kata lainnya, kalau kau masih tak faham-faham... don’t jugde the book by its cover!”

Meeda berlalu ke bilik air tanpa jawapan yang pasti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku