Cinta Akan Indah
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
785

Bacaan






Bab 2

“HAI! Dah lama tunggu?” sapa Meeda yang tiba-tiba muncul mengejutkan aku.

“Kau ingat aku ni statue kat library ni?” Aku mengurut dada meredakan kejut­an. Aku marah dengan sikap Meeda yang membiarkan aku menunggu lama di situ.

“Sorry, okay?” Meeda bersuara lemah. Wajahnya mempamerkan reaksi orang yang sedang menahan sakit.

Selepas ujian pagi dibatalkan, kelas lain juga ditunda hari ini. Satu hari tak ada kuliah, tak sangka semua yang berlaku secara kebetulan. Meeda menyuruh aku pergi ke perpustakaan dulu kerana dia nak ke tandas sebentar. Sejam aku menunggu itu yang Meeda maksudkan sebentar.

“Kau ni kenapa? Kenapa lewat sampai?” soalku yang mula menyedari perubahan Meeda hari itu. Dia seakan mula merunsingkan kepala aku semula.

“Aku sakit perut sejak pagi, sekarang baru okey. Tadi perut aku meragam. Jadi, aku lama kat tandas. Tersangkut!” Meeda me­nerangkan kedudukan sebenar. Dia masih seperti menahan sesuatu, keningnya berkerut-kerut. Wajahnya pucat. Pucat?

“Dah okey atau nak masuk semula?” soalku setelah gelora di dada reda. Aku terlalu memikirkan segala kemungkinan yang buruk sahaja. Kenapa, ya?

Meeda menggeleng.

“Geleng tu tanda apa? Tak okey atau tak nak ke tandas lagi?” Aku meminta kepastian.

“Hmm... dah okey, tak perlu masuk tandas. Dan perut ni dah boleh terima makanan semula. Nasib baik ujian Statistik ditunda dua hari lewat. Tak sia-sia aku tidur awal semalam. Berkat juga doa aku ni, ya?” Meeda cuba meredakan keresahanku dengan berkata begitu. Dia tersenyum tanpa menyedari gelora perasaanku yang risau bagai disentap-sentap untuk pulang.

“Banyaklah kau punya doa. Kau tak silap makan ke? Aku takut kau kena keracunan sarapan pagi tadi kat kantin. Tak nak makan ubat? Jom, kita masuk. Aku banyak benda lagi nak cari.”

Meeda diam tak bersuara. Mungkin menyedari moodku kurang baik pagi ini. Kebimbanganku berasas. Kesibukan mencari maklumat untuk tugasan Undang-undang Perniagaan membuatkan kami lupa pada masa yang telah menganjak ke tengah hari. Aku melihat Meeda memberi isyarat keluar.

Akhirnya, kehangatan matahari yang menyengat kulit tidak dihiraukan oleh kami berdua. Kesejukan penghawa dingin di dalam perpustakaan tadi melawan arus perubahan cuaca di luarnya. Kami bercadang menuju ke Maju Cafe di Dewan Kuliah Pusat disingkatkan menjadi DKP. Pantas kami berjalan, perut yang minta diisi menjadi keutamaan.

“Kau nak makan apa?” soalku, walaupun sedia maklum menu Meeda di Maju Café.

“Macam tak biasa pula. Macam selalu bila kita makan di sini.” Meeda menegakkan duduknya.

“Kau tak muak ke?” Aku memprotes kurang senang dengan menunya.

“Kau ni macam mak aku, bising selalu bila aku ambil mudah hal-hal tentang makanan ni. Aku bukannya apa, saja tak nak beratkan kepala pilih makanan yang belum tentu khasiatnya.” Meeda tersenyum sambil memberi tumpuan.

“Jadi, nasi ayam tu berkhasiatlah? Pasal tu tadi kau sakit perut. Lain kali ambil mudah lagi bab-bab makanan ni. Perut kita ni, Cik Meeda oi... bukannya tong sampah!” Geramnya aku dengan sikap Meeda ni.

“Bila pula aku cakap perut kita tong sampah? Sudahlah... jangan pula kau yang emosional sangat bab makanan. Pergi ajelah order, aku lapar ni. Aku ada satu cadangan.”

“Apa dia?”

“Apa kata kau cuba menu nasi ayam Maju Café ni?”

“Tak kuasa aku, ingatkan apalah tadi. Kau nak aku ikut menu kau. Tak ke nanti gemuk gedempol aku jadinya? Aku tahulah kau makan apa pun badan tetap maintain macam tu juga. Aku lainlah, asal silap makan mulalah nak demam. Entahlah, Meeda... dulu aku tak begini. Makanlah apa saja asalkan yang bukan memudaratkan dan dijamin halal. Dulu, berat badan aku tak mudah berubah dan sakit-sakit seperti sekarang,” keluhku yang entah ke berapa kali kepada Meeda bila soal makan kami bicarakan.

“Nak dengar kau bersyarah ke nak makan ni? Pergilah beli air, aku dah haus ni.” Untuk kesekian kalinya Meeda meremehkan keluhanku. Perhatiannya tertumpu pada Khairul yang sedang melintas dari seberang jalan.

“Okeylah... minum macam biasa juga ke?”

“Fresh orange. Cepatlah pergi, aku haus sangat ni. Orang tengah ramai tu,” gesa Meeda.

“Sabarlah... aku nak pergilah ni,” kataku sambil berlalu.

Semua kafe kat universiti ni berkonsepkan bayar dulu baru makan. Pada pendapat aku, ada masalah tentang konsep ini. Sebabnya bila makanan yang kita makan tak sedap, tentunya dah tak boleh minta balik duit bayaran tu. Lagipun dah diletakkan tanda peringatan, makanan yang dibeli dari kafe ni tak boleh ditukar atau dikembalikan. Betul-betul nak cari keuntungan semata-mata.

“Kenapa lama sangat?” rungut Meeda, lalu segera menyedut minumannya. Haus sangat nampaknya.

“Kot ia pun, minumlah perlahan-lahan.” Aku menegah perbuatannya.

“Aku tengok kau mesra dengan staf kafe ni. Ada apa-apa ke?”

“Tak adalah... manalah tahu, kita berbuat baik akan dibalas baik juga. Tak macam orang tu.”

“Menyindir nampak...”

“Terasa ke?” Kata-kataku tiba-tiba terhenti. Seseorang datang menghampiri meja kami dari arah belakang Meeda.

“Hai, berdua aje?” tegur Khairul tiba-tiba.

Meeda berpaling menoleh pada gerangan suara yang memang dikenalinya itu.

“Tak... sebenarnya kami tunggu kawan.” Aku mencebik.

Meeda pula tersenyum manis.

“Boleh aku join?” Khairul sudah pun duduk dipelawa Meeda.

Geram! Depan Khairul, kawan sendiri yang macam gajah tak nampak. Si Khairul yang ramping macam pinggang kerengga tu juga yang diutamakannya. Ni mesti kes balas dendam. Tak apa, ada ubi ada batas. Ada lori ada bas. Ha! Itu pun Irsyad dan Zainal datang. Dari jauh aku melambaikan tangan ke arah mereka. Biar Meeda rasa apa yang aku rasa.

“Hai, apa hal? Nak belanja kita orang ke?” soal Zainal.

“Sorrylah, kawan... kita orang pun kantung kosong!” jawabku.

“Dah makan?” soal Meeda berbahasa, satu sikap Meeda yang aku hormati.

Kenapa Khairul sering mengelak bila berdepan dengan Irsyad? Dia terus berlalu dari situ tanpa berkata apa.

“Belum lagi,” jawab Irsyad yang sejak tadi merenung gelagat Meeda sambil menghulur not merah kepada Zainal.

“Untuk aku?” Zainal tersengih, faham sangat bila Irsyad berbuat begitu. Nak suruh order makanan.

Aku memerhatikan gelagat mereka berdua. Handsome juga Zainal ni. Zainal berlalu memesan makanan untuk me­reka berdua.

“Kenapa dengan Khairul?” Irsyad angkat kening memberi isyarat mata terarah kepadaku mengharapkan jawapan.

Aku minum sedikit Milo ais. “Entah! Tiba-tiba aje hari ni dia tegur kami. Kan, Meeda?” Aku tersengih, sengaja menafikan perkara sebenarnya.

“Kau ni kenapa, Lina? Tersengih-sengih. Apa yang me­narik boleh kita kongsi sama?” Meeda cuba menghilangkan rasa sakit hati atas perbuatan Lina ‘menghalau’ Khairul dari situ.

“Betul ni kau minat nak tahu apa yang aku fikirkan?” soalku dalam nada mengugut.

Meeda dan Irsyad tersenyum sama, mungkin mengerti maksudku cuma mengusik.

“Aku pun nak tahu juga apa yang menarik tu.” Irsyad memancing kata.

Aku menggeleng menahan tawa yang nak pecah melihat wajah Meeda yang kalut seketika. Terperangkap dengan soalannya sendiri.

“Oh ya... tadi kau dari mana?” Meeda berpaling ke arah Irsyad, mengalihkan topik perbualan kami. Dia cuma mahu menghilangkan rasa malunya.

“Laa... takkan tu pun nak tahu. Dari rumah dialah, mana lagi. Tanyalah yang lain pula, bukannya selalu kau orang dapat berbual macam ni,” sampukku belum puas hati.

Meeda kelihatan gelisah dan tidak senang duduk.

“Tak baik Lina buat kawan macam tu. Nanti kecik hati dia. Apa salahnya dia tanya. Tak salah dia nak tahu aku dari mana. Jangan ambil hati ya, Meeda. Lina ni ikut sedap mulut aje bercakap.”

“Sorry, Cik Meeda. Jangan ambil hati, nanti parah!” Aku berseloroh, mengakibatkan kami bertiga ketawa.

“Mana Zainal ni? Lamanya... aku dah lapar, tadi tak sarapan.”

Sungutan Irsyad mendapat perhatianku. “Aku tolong kau cari si Zainal tu. Kau duduk dulu berbual-bual dengan Meeda.” Aku baru hendak berdiri, kelihatan Zainal datang menghampiri bersama dulang makanannya.

“Apasal kau lambat?” tanya Irsyad, sibuk mengalihkan makanan untuknya.

“Tu... tak nampak ke ramai orang beratur,” balas Zainal, membawa pandangan kami ke kaunter pembayaran. Dia mengambil tempat duduk di sebelah kiriku, menghadap Meeda. Macam pasangan kekasih dua sejoli pula.

“Ha... makanlah, apa tunggu lagi. Tadi kata tak sarapan pagi.” Aku menegur Irsyad yang tidak menyentuh makanannya. “Kenapa?”

“Panas!”

Kami menjadi perhatian empat mata. Meeda dan Zainal sedang merenung melihat kerenah kami.

“Nak aku tiupkan ke?” Aku mendapat akal mengenakan mereka yang kelihatan kaget dengan kata-kataku. Terlopong tanpa suara, tapi meneruskan menjamah makanan.

“Boleh juga,” jawab Irsyad main-main. Dia menyedari situasi sekeliling.

Meeda dan Zainal berpandangan, mungkin meng­erti kami mengenakan mereka. Suasana sepi seketika bila masing­-masing mula menghabiskan makanan. Mahu juga Meeda dan Irsyad makan bersama akhirnya. Selalunya jangan harap, dia asyik menolak aje bila aku ajak.

Walaupun di kafe saja, tapi hari ini sama ada nasib Irsyad yang baik atau kerana kena dengan mood Meeda. Duduk bergandingan pula tu. Betul-betul macam pengantin yang duduk di pelamin seperti mimpi yang diceritakan Meeda pagi tadi.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku