Cinta Akan Indah
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
676

Bacaan






Bab 3

KEGELAPAN malam tidak menghalang Meeda untuk meredah jalan, hanya untuk bersemuka dengan Irsyad. Sebentar tadi dia telah menelefon Irsyad. Dia perlu menemui Irsyad malam ini juga, mereka akan bersua muka berdua buat pertama kalinya.

“Kenapa nak jumpa aku?” Suara Irsyad memecahkan keheningan antara mereka. Sebenarnya, dia kurang senang dengan permintaan Meeda untuk menemuinya lewat malam begini. Namun digagahinya juga kerana hatinya meronta-ronta untuk berjumpa gadis idamannya itu.

Mendengar soalan Irsyad begitu, api kemarahan Meeda semakin meluap. Tidak pasal-pasal kerana Irsyad, dia dan Lina bertekak. Kenapa mesti dia mengamuk pada Lina? Sedangkan terang-terangan lelaki di depannya itu yang punya angkara. Marahnya sukar dibendung.

“Ada hutang yang nak diselesaikan!” Meeda mendengus marah.

Irsyad tertanya-tanya apa yang membawa Meeda malam-malam begitu menemuinya. “Kenapa tak esok saja? Hari dah jauh malam. Meeda tak takut ke keluar malam-malam macam ni?”

“Malam... bagi aku sama saja, tetap akan berlalu pergi dengan pelbagai cerita yang berbeza-beza. Macam malam ni, menjadi sejarah dalam hidup aku untuk berjumpa dengan kau. Bukan kerana aku tak mahu tunggu esok, tapi hal yang aku nak selesaikan perlu dilakukan malam ni juga,” balas Meeda.

“Apa?”

“Kenapa kau buat Khairul macam tu?”

“Aku tak faham.” Irsyad keliru.

“Jangan nak berdolak-dalih lagi. Selama ni, bukan aku tak tahu kau dan Lina ada buat rancangan. Tapi aku tak hiraukan. Sebab Lina tu kawan baik aku. Namun, aku tak suka bila hal ni melibatkan Khairul.” Meeda menggigit bibir geram. Suasana depan perpustakaan yang terang itu kelihatan para pelajar duduk bersama mengulangkaji di luar. Namun, lain halnya dengan mereka.

“Melibatkan Khairul? Apa kena-mengena hal Khairul dengan aku?”

“Kau cemburu... sebab bukan kau yang aku pilih. Selama ni usaha kau mengurat aku tak berhasil. Jadi, jalan yang terbaik adalah dengan menghapuskan Khairul,” tuduh Meeda melulu. Marah menguasai mindanya.

“Kau jangan tuduh aku yang bukan-bukan, Meeda. Aku langsung tak tahu apa-apa hal pasal Khairul.” Irysad bingung dengan tingkah Meeda itu.

“Kau cemburu sebab aku tak layan permintaan kau. Kura-kura dalam perahu...”

“Lagilah aku bingung. Lantaklah apa kau nak cakap, yang penting aku nak kau tahu, aku tak ada kena-mengena dengan hal Khairul. Yang kau cari aku ni pasal nak beritahu aku cemburukan Khairul ke? Itu aje?”

“Takkan kau tak faham apa aku cakap? Aku bukannya cakap dalam bahasa Kantonis. Aku guna bahasa Melayu. Mungkin kau akan lebih faham sekiranya aku cakap Tamil agaknya.”

“Sudahlah, Meeda... apa yang kau melalut ni?” Irsyad menggeleng keliru dengan sikap Meeda. Selama ini, semua yang dilihatnya pada gadis itu indah belaka. Entah di mana silapnya malam itu dia melihat segala keburukan Meeda. Menuduh yang entah apa-apa!

“Lina dah terangkan pada aku,” ujar Meeda lagi.

Irsyad diam.

“Aku dah tahu segalanya dari mula hingga akhir. Patutlah aku hairan macam mana kau muncul bila aku ada bersama Lina. Rupanya kau upah dia jadi spy. Sogok dia dengan telefon bimbit!” ungkit Meeda.

“Jangan kau tuduh Lina...” pintas Irsyad, namun dipotong pantas Meeda.

“Dan satu lagi, jangan kau harap aku akan terima cinta kau. Muka tembok! Tak tahu malu. Tak faham bahasa langsung! Aku dah kata tak suka, maksudnya tak sukalah. Benci! Yang kau bela sangat Lina tu, kenapa tak couple aje dengan dia? Kau dengan dia pun dah lama jadi best friend!” cebik Meeda meluat.

“Kita bercakap hal Lina ke Khairul ni?” soal Irsyad kurang senang bila nama Lina dibabitkan sama. Sedangkan sejak awal tadi Meeda marahkannya kerana Khairul. Tapi kenapa?

“Meeda, kau marahkan aku kerana perbuatan aku selama ni. Maafkan aku kiranya aku bersalah. Aku tak pernah paksa kau terima aku. Sejak dari mula perkenalan kita, aku tak tahu kalau aku menyakitkan hati kau. Salah ke seorang lelaki mencintai gadis impiannya?” kata Irsyad tenang walau kata-kata Meeda tadi menyakitkan hatinya. “Kau jumpa aku kerana Khairul. Kenapa dengan Khairul?”

“Tak sakit hati kau kata? Yang kau tersua-sua depan aku selalu tu buat aku benci, tahu? Boleh tak kau tak kacau aku lagi?” Meeda membiarkan pertanyaan Irsyad tanpa jawapan.

“Kau tak sepatutnya kata begitu dengan aku. Kau cakap sesuka hati tanpa mempedulikan perasaan aku. Aku tak marah dengan kata-kata kau, cuma aku kesal dengan cara pemikiran kau. Di mana akal waras yang TUHAN anugerahkan pada kau untuk menilai? Boleh tak aku minta kau redakan dulu kemarahan tu, baru kita bincang. Kalau tak, aku nak pergi dari sini. Malas nak bertekak dengan orang yang bercakap ikut sedap mulut aje.”

Mendengar kata-kata Irsyad itu, Meeda menjadi malu sendiri. Dia mengakui ada betulnya cakap Irsyad. Kenapa kemarahan bermaharajalela dalam dirinya?

Melihat Meeda tidak menunjukkan reaksi, Irsyad menyambung kata-katanya. “Pertama sekali, aku nak minta maaf. Aku tak tahu pula sikap aku ni menjengkelkan orang. Mungkin silapnya pada aku. Kalaulah aku berani meluahkan apa yang berbuku di hati secara berdepan, perkara ni takkan menjadi serumit ni.

Kedua, aku dah tahu sekarang kau tak menaruh pe­rasaan pada aku. Itu dah cukup. Sebenarnya, Lina tiada kena-­mengena dalam hal ni. Aku tak paksa dia untuk membantu, cuma dia yang beria-ia nak tolong. Katanya kau masih solo masa tu, aku tak tahu pula kau sedang bercinta dengan Khairul.”

Ketiga, tentang Khairul... aku tahu dia mengalami kecederaan. Aku tahu perkara ni baru petang tadi. Mungkin kau sangka kecederaan Khairul disebabkan oleh aku. Aku tak pernah berjumpa dengan dia dalam dua hari ni.

Keempat, aku nak kau tahu sesuatu...” Irsyad berhenti mengambil nafas. Dia menjeling sekilas Meeda di sisi yang tunduk membisu. “Aku tak tahu sama ada patut atau tak aku beritahu kau. Aku nak kau tahu, apa yang aku katakan ni bukan nak memburukkan keadaan. Meeda, sebenarnya aku dah lama kenal Khairul. Aku tahu benar siapa Khairul tu. Aku harap kau tak jatuh dalam perangkap dia.

Kelima, aku amat berharap kau mencintai aku se­bagaimana perasaan kau pada Khairul. Tentu terasa amat bahagia bila cinta berbalas, namun sebaliknya yang berlaku. Aku selalu impikan seorang gadis yang mengambil berat tentang diri aku,” terang Irsyad lembut dengan panjang lebar. Intonasinya berubah mengikut tutur kata. Dia sebolehnya tidak mahu Meeda terasa.

“Kau nak bahagia? Kenapa tak terima saja Lina?” Suara Meeda sudah sedikit tenang. Mendengar penerangan Irsyad sebentar tadi, dia sedar telah tersilap tafsir tentang Irsyad. Patutlah Lina sanggup menolong Irsyad. Pandai pujuk orang. Hatinya sudah sejuk sedikit.

“Lina?” soal Irsyad meminta kepastian.

“Ya, dia gadis yang selama ni patut kau impikan,” ujar Meeda yakin.

“Lina sukakan aku? Tapi...” Irsyad ragu-ragu.

“Betullah kau ni buta hati. Mana ada gadis yang tahan selama ni semata-mata nak menerima kerenah kau. Kalaulah aku, dah lama aku tengking kau. Aku kagum dengan kesabar­an Lina menanti kau. Aku tahu sikap dia mengelirukan kau. Sebenarnya dia tak mahu kau tahu dia sangat cintakan kau. Dia takut persahabatan kau dengan dia akan putus.” Meeda menerangkan kedudukan sebenar.

“Lina... Lina... kenapa aku tak pernah fikirkan hal ni?” Irsyad menggeleng berulang kali tidak percaya.

“Sebabnya... kau tak pernah pandang dia sebagai perempuan. Ditambah lagi dengan gaya dia yang ala-ala lelaki itu. Lagi pula, maaf kalau kau tersinggung. Kau terlalu sibuk bertanyakan hal aku pada dia. Sedangkan hakikatnya, kau dan dia serasi. Bila aku tengok kau berdua berbual, seperti ada chemistry,” seloroh Meeda bersahaja.

Irsyad ketawa. “Apasal kau mengamuk pada aku tadi?” soalnya ingin tahu.

“Nanti kau fahamlah. Ragam orang kemaruk cinta.”

“Aku tak mahu kau buat kesilapan. Kau masih ada ruang untuk mengubah keputusan.”

“Mengubahnya mungkin tidak, tapi untuk mempertahan­kan, ya! Inilah satu-satu keputusan rasional yang pernah aku buat. Aku dah fikirkan hal ni berulang kali. Aku pasti tak menyesal memilih untuk mencintai Khairul,” tegas Meeda.

“Mencintai Khairul walaupun nanti kau yang akan merana? Aku tak mahu melihat kau terluka, Meeda.”

“Itu hal kemudian. Yang penting aku nak kau tahu aku tak pernah cinta dan sukakan kau. Hanya Lina yang cinta­kan kau dengan setulus jiwanya, tapi tak pernah mengaku. Dengan aku pun dia selalu sembunyikan. Hati perempuan hanya perempuan yang tahu. Kalau kau tak percaya, jumpa dia esok. Kemungkinan kami tak bersama lagi. Aku bertengkar dengan dia sebelum berjumpa dengan kau.”

“Hal yang sama juga ke?”

“Aku sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba saja aku memarahi dia. Aku baru balik melawat Khairul di hospital. Kecederaan dia parah. Sebelum ni, aku tak pernah bertekak lama-lama. Tapi kali ni aku menuduh dia menjadi batu api. Silap aku! Tak berfikir sebelum bercakap. Seingat aku, semua tentang Lina dah aku ketahui. Jiwanya juga telah aku selami. Tak tahu pula kalau ada sesuatu yang disembunyikan daripada aku. Dia seorang sahabat yang paling baik pernah aku temui.

Mungkin cinta saja yang membuatkan dia diam dan meng­elak bila tiap kali aku utarakan. Dulu, dia cuba matchmakerkan kita...” Meeda tersenyum dan menyambung. “Maaf... aku mengganggu kau malam-malam begini. Seharusnya kita bincangkan hal ni secara tenang.” Dia berdiri, mahu melangkah pergi.

Jamnya menunjukkan pukul 9.36 malam. Taman itu mula sunyi dan sebentar lagi perpustakaan akan ditutup tepat pukul 10.00 malam. Rasanya, dia dah terlalu lama di situ.

“Nanti dulu, aku hantarkan. Terima kasih kerana maklumkan aku tentang Lina.” Irsyad menghalang langkah Meeda.

Meeda tidak menolak. Dia bersetuju menaiki kereta Irsyad untuk pulang.

“Aku harap kau tak lepaskan peluang pikat Lina. Sebab aku tahu Lina tak mudah jatuh cinta. Selama kami menjadi sahabat, tak pernah aku melihat dia keluar dengan lelaki lain selain kau.”

Irsyad yang memandu tenang di sisi Meeda tersenyum.

“Kau tak menyesal lepaskan aku?” Irsyad membelok di bulatan.

Meeda ketawa, terasa geli hati dengan soalan itu. “Kita masih boleh menjalin hubungan...”

“Maksud kau?” Irsyad menoleh sekejap.

“Hei! Jangan pula fikir yang bukan-bukan. Maksud aku hubungan antara sahabatlah. Tak ada soal lepas-melepas, Okey?” balas Meeda setelah tawanya reda. Tak sangka sekarang dia sudah boleh menerima Irsyad.

“Terima kasih sekali lagi sebab sudi terima aku sebagai sahabat. Suatu hari nanti bila kau ada masalah, jangan segan dengan aku. Aku masih sudi terima kau...” Sengaja Irsyad menggantung ayatnya begitu, mahu kenakan Meeda balik.

“Irsyad!” tegah Meeda yang kurang senang mendengarnya.

“Eh, eh... maksud aku, menerima kau sebagai sahabat yang boleh mendengar masalah sahabatnya.”

Meeda memukul bahu kanan Irsyad. “Oh! Nak kenakan aku balik. Hmm... apa rancangan kau tentang Lina?”

“Garang juga kau ni. Nasib baik kau tak pemarah sangat. Aku cakap sikit, kau dah sejuk dan dapat terima penerangan aku. Aku harap kita bersahabat mulai hari ni. Tentang Lina kau cuma perlu sokong aku aje. Tunggu dan lihat,” jawab Irsyad berteka-teki.

“Beritahu aku perkembangannya. Tapi, aku takut!”

“Takut apa pula? Takut Lina marahkan kau balik?”

“Takut kau kecewa. Tak... tak... aku takut Lina tak maafkan aku.”

“Jangan risau. Kau dah kenal Lina lama. Esok aku cuba pujuk dia dulu. Tapi sementara ni jangan beritahu dia kita dah berbaik. Aku nak buat kejutan untuk dia.”

“Thanks, Irsyad!”

“Welcome. Boleh aku tanya sesuatu?”

“Apa dia?”

“Tentang Lina...”

“Apa yang kau nak tahu tentang Lina?”

“Aku nak tahu, dia macam mana orangnya?”

“Aik! Hari-hari yang kau bersama Lina, kau masih tak tahu lagi Lina tu orangnya macam mana?”

“Bukan tu maksud aku. Dia yang aku kenal seorang yang kuat menyimpan rahsia. Sepanjang persahabatan kami, hanya berbual berkisar pelajaran, isu semasa, keadaan cuaca, tak pun mengenai kau,” akui Irsyad jujur.

“Kau tak takut aku marah?” duga Meeda.

“Ingat! Kita sekarang ni dah jadi sahabat.”

“Yalah tu. Aku tak mahu beritahu kau. Aku nak kau sendiri selami hati Lina. Dia seorang yang terlalu baik dan penyabar. Kau tentu bertuah memilikinya.”

“Khairul pun bertuah memiliki kau, Meeda,” ucap Irsyad tiba-tiba.

“Kenapa cakap begitu?”

“Yalah. Kau cantik, baik, peramah, dapat menerima pandangan orang, senang dinasihati, tak pentingkan diri... lagi satu, promosi kawan baik sendiri lagi!”

“Kau keterlaluan mentafsir tentang diri aku dalam satu setengah jam kita berbicara dari hati ke hati. Pujian atau kritikan?”

“Sebenarnya, Lina banyak beritahu aku tentang kau. Yang paling penting sahabat diperlukan untuk saling nasihat-menasihati, ingat-mengingati. Kita dah sampai!” Irsyad memberhentikan keretanya di Aspuri A.

“Hmm... yalah tu. Yang penting sekarang semua dah selesai. No more spy, no more enemy. Jaga baik-baik Lina tu. Sekali kau terlepas, takkan berpeluang untuk selamanya. Ingat pesan aku ni. Berusaha!”

“Itu sudah pasti.”

“Cuma satu yang aku pinta. Kau jaga perhubungan de­ngan Lina tu betul-betul bagai menatang minyak yang penuh. Jangan sampai kau melukai hati dia. Hati dia terlalu lembut, nanti kau berputih mata. Thanks for drive me home!” Meeda turun dari kereta.

“Don’t worry, I’ll try my best. Bye!”

Irsyad meluncur pulang meredah pekat malam. Nampaknya, perjumpaan dengan Meeda membuahkan hasil. Walaupun hasil itu tidak seperti yang diharapkannya. Namun kini dia yakin, Aina Malina... gadis yang ragu-ragu untuk difikirkan, mencintainya setulus jiwa. Kenapa aku mengabaikan masa terluang bersamanya?

“ZAI! Apa pendapat kau tentang Lina?” soal Irsyad pada Zainal yang sibuk menonton TV di ruang tamu. Dia duduk di sebelah dan menepuk paha Zainal.

“Lina? Orangnya baik, menarik dan aku suka sikap dia. Kenapa dengan tiba-tiba kau bertanya tentang dia? Jangan kata kau nak berubah angin. Kau dah mula suka pada dia?” Tumpuan Zainal beralih ke arah Irsyad. Segera TV dimatikan. Sukar nak percaya, Irsyad mahu bersama Lina.

“Kalau ya, kenapa? Lagipun aku lebih mengenali dia daripada Meeda,” tanya Irsyad dengan maksud ingin menduga.

“Kau nak letak Meeda kat mana? Bukan ke selama ni dia yang kau agungkan?”

“Kau tahu? Dia jumpa aku tadi,” beritahu Irsyad.

“Lina? Lina lagi? Kau selalu jumpa dia, apa nak dihairankan. Dah jadi perkara biasa.” Zainal mula tak ambil pu­sing.

Baginya, apa yang baik untuk Irsyad, baik juga untuknya. Lagipun selama ini Irsyad menumpangkannya tinggal bersama-sama di rumah itu. Mama Irsyad jarang berada di rumah. Jadi, Irsyad memintanya untuk tinggal di situ me­nemaninya.

“Bukan Lina, tapi Meeda!” sangkal Irsyad pada tekaan Zainal itu.

“Meeda? Buat apa dia jumpa kau? Selama ni kau dah cuba pelbagai cara nak pikat dia. Dia tak pandang kau pun. Sampai kau membabitkan Lina sama. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba dia jumpa kau. Apasal? Setahu aku, selama ni dia tak mahu jumpa kau kecuali kebetulan. Itu pun aku tengok dia endah tak endah aje nak layan kau.” Panjang lebar pula Zainal bersuara.

“Dia marahkan aku pasal Khairul. Bukan main khuatir aku melihat api kemarahan Meeda tadi.” Perasaan Irsyad sedikit lega setelah berbual dengan Meeda. Mungkin sehingga tamat pengajian dia tak tahu Lina menyimpan perasaan padanya.

Pada pandangannya, Lina tiada kekurangan apa-apa, cuma mungkin cermin mata yang dikenakan menghalang kecantikan Lina terserlah. Pernah sekali sahaja dia melihat Lina menanggalkan cermin matanya, tapi waktu itu hatinya gelisah tentang Meeda. Seperti kata Zainal tadi, Lina baik, tiada kekurangan dan sikap Lina juga menyenangkannya.

“Khairul? Meeda marah kerana Khairul? Aku tak faham. Apa hubungan dia dengan jaguh bola tu?” soal Zainal.

“Meeda marahkan aku sebab kecederaan yang dialami Khairul baru-baru ni. Dia tuduh aku yang rancang semua ni. Termasuklah hal Lina sekali. Mungkin kau masih tak tahu, Meeda cintakan Khairul. Sebab tu selama ni dia tak pandang aku pun,” terang Irsyad.

“Kecederaan Khairul? Kan dia yang cari hal dengan tunang orang. Abang Sheila yang tumbuk Khairul. Kau ada beritahu dia?”

“Aku tak mahu mengeruhkan keadaan. Lagipun masa dia jumpa aku dalam keadaan marah. Aku juga tak mahu masuk campur hal Khairul. Kau sendiri maklum bagaimana sikap Khairul sebenarnya.” Irsyad mengingatkan Zainal kisah zaman sekolah menengah mereka.

Irsyad mengeluh.

“Apa yang tak kena ni? Tiba-tiba mengeluh?” Zainal memasang TV semula, menekan alat kawalan jauh mencari siaran yang menarik. Bosan juga tak ada buah hati. Asyik memerap di rumah tak ke mana-mana.

“Tak ada. Aku sedikit cuak dengan sikap Khairul. Masa kita sekelas dulu dia fitnah kita. Sekarang, aku fikir punca Meeda tuduh aku tadi pun sebab dia yang cakap sesuatu tak betul pada Meeda. Apa yang kau fikirkan?” risik Irsyad ingin tahu.

“Aku fikirkan tentang kita. Bila agaknya kita akan ada kekasih? Kau pun dah lama berusaha memikat Meeda. Nampaknya misi kau gagal. Aku yang tak ada apa-apa ni pun bosan juga. Siapalah yang nak pada Zainal Abdullah ni? Rupa kurang, harta tak ada.”

“Jangan nak mula mengarut.” Irsyad ketawa.

“Betul! Kau tak ingat ke, sejak dulu dalam apa-apa hal antara kita bertiga... aku, kau dan Khairul. Siapa yang mendahului? Mesti Khairul kan? Kau tak rasa tercabar ke?” Zainal ingat sejarah lama mereka.

“Tak. Usah dikenang perkara yang pahit tu. Aku kalau boleh tak ingin semua ni terjadi. Tapi apa daya kita, Khairul pentingkan diri sendiri. Dia memilih untuk putuskan persahabatan daripada mengaku kesilapan sendiri.” Irsyad berfikir. “Aku bimbangkan Meeda!” katanya tiba-tiba.

“Meeda juga yang kau ambil berat. Berbalik pada persoal­an asal, apa yang kamu bualkan? Takkan Meeda jumpa kau marah aje? Satu jam setengah Meeda marah kau. Aku tak percaya. Tentu ada hal lain yang kamu bincangkan,” duga Zainal. Dia faham benar perangai dan tabiat Irsyad. Sejak dulu hingga sekarang, Meeda juga yang mendapat tempat di hatinya.

“Sebagai sahabat aku patut bimbang,” sahut Irsyad.

Zainal memandang dan mengangkat kening. “Sahabat?” Dia tersenyum mengusik.

“Ada modal nak usik akulah tu. Sorry... kali ni tak jadi. Sebabnya mulai saat ni aku dah anggap Meeda hanya sebagai sahabat seperti kau. Apa salahnya memenuhi permintaan orang. Lagipun aku sedar sesuatu...”

“Apa dah jadi?” Zainal begitu terkejut. Irsyad sedang memberitahunya sesuatu yang penting. Buang tabiat ke Irsyad ni? Berita terkini, Meeda dah jadi sahabat pula.

“Kau tak nak bersaing lagi? Aku tetap sokong kau walau apa pun keputusan dan tindakan yang kau lakukan. Kau ja­ngan risau!” Dia menepuk bahu Irsyad.

“Dengan Khairul, maksud kau? Aku bukan jenis orang yang suka memaksa. Kalau sejak dulu lagi Meeda dah jelaskan pada aku, hal ni tak akan jadi sepanjang ni. Aku pun tak perlu buang masa memikat dia. Mungkin juga masa ni aku dah ada steady girlfriend tanpa sedar.

Meeda marahkan aku bersebab walaupun kemarahannya tu dikaitkan dengan kecederaan Khairul. Namun sebenarnya, dia dah terlalu lama menyimpan perasaan tak puas hati de­ngan sikap aku pada dia. Dia tak mahu aku mengganggunya, dia mahu aku sedar daripada terus menunggu buah yang tak gugur. Dia hanya menganggap aku cuma kawan. Dan satu lagi, aku tahu satu perkara yang selama ni aku tertanya-tanya...” Irsyad tersenyum.

Zainal turut tersenyum. “Ini tentu ada kaitan dengan Meeda. Kalau tak, kau tak senyum begitu. Mesti masa kamu berbual, Meeda ada katakan sesuatu sehingga kau sanggup melepaskan dan menganggapnya sebagai sahabat. Aku pun nak tahu juga, ceritalah.”

“Mengenai Lina. Soalnya sekarang, aku sendiri tak pasti apa yang Meeda katakan sebentar tadi betul atau tak. Dalam hal ni, aku nak bantuan kau. Boleh?” pinta Irsyad. Dia terasa haus, berlalu ke peti sejuk mencapai kacang Ngan Yin dan minuman tin untuknya dan Zainal.

“Patutlah kau awal-awal lagi soal aku tentang Lina. Nama penuhnya Aina Malina. Sedap kan nama dia tu? Rupa-rupanya ada udang di sebalik mi. Ada satu yang aku musykil...” Zainal meneguk minuman sambil sebelah tangannya bermain de­ngan janggut yang baru tumbuh. Lagaknya seperti orang yang sedang berfikir sambil tersenyum sumbing.

“Apa dia?”

“Senyuman Lina...”

“Lina jarang tersenyum lebar. Kita jumpa dia selalu pun dia hanya gerakkan bibir buat reaksi memberi senyuman. Tapi... kau pernah nampak dia senyum tak?” Zainal masih dengan persoalannya.

Irsyad hanya mengangguk.

“Takkan kau tak ingat? Kau masih tak perasan apa maksud aku rupanya. Walaupun Lina jarang tersenyum tapi senyumannya yang sekali itu manis, meninggalkan kesan. Wajahnya berseri bila tersenyum dan...” puji Zainal ikhlas.

“Itu aku tahu, tapi kenapa dengan senyuman dia?” soal Irsyad ingin kepastian. “Nasib baik kau ingat. Selama ni aku tak perasan Lina tu jarang senyum. Setiap kali kita jumpa dia, kau teliti ke macam mana Lina tu?” usiknya pula.

“Bukan macam tu... cuma secara kebetulan bila dia berbual dengan kau, aku dibiarkan bersendirian. Aku terperhatikan dia. Dia leka berbual dengan kau. Bila mata kami bertembung, dia pernah tersenyum sekali seingat aku. Itu buat aku terfikir di mana dan bila aku pernah melihat senyuman seperti tu. Dan bila kau cerita tentang sekolah, terus fikiran aku melayang mengenangkan zaman tu. Aku ingat tentang kita bertiga dan Smile.” Zainal menyandar di sofa sambil tangannya dipanggung di kepala.

Irsyad berhenti makan kacang, memandang Zainal tidak berkelip seketika.

“Kenapa diam? Apa yang kau nak aku tolong esok?” soal Zainal bila teringat kata-kata Irsyad tadi.

“Kau akan tahu juga...” Sengaja Irsyad menguji Zainal dengan berkata begitu. Dia bukan tak tahu sikap Zainal, pastinya tak senang duduk dan asyik mendesak kalau nak tahu sesuatu. Selalu pun dia yang kalah. Zainal, Zainal... apa petua sampai aku tak boleh berahsia sikit dengan kau?

“Okey!” Zainal memejamkan mata.

Irsyad terkejut dengan jawapan itu. Apa kena mamat ni?

“Something wrong?” soal Zainal mengulum senyum. Dia tak kuasa mendesak Irsyad. Kali ini biar Irsyad sendiri buka cerita.

Melihat Irsyad kebingungan diam dan menggeleng, ketawa Zainal meletus. Takkan dia nak biarkan peluang baik begini terlepas!

“Apa yang lucu?” Irsyad tak puas hati terkena usikan Zainal.

“Tak ada. Aku tahu kau hairan kenapa aku tak macam selalu. Aku sengaja nak menduga kau. Siapa yang tak kenal Zainal Abdullah?” Zainal bermegah dengan namanya.

“Pandai kau!”

“Sekilas ikan di air, aku dah tahu jantan betinanya. Ini kan pula sahabat aku, Irsyad. Biar aku teka! Esok kau nak mulakan yang mana dulu?”

“Apa?”

“Janganlah macam ni, kawan. Maksud aku... kau mula nak pikat Lina kan? Nak mula dari mana dulu?”

“Macam tahu-tahu aje kau ni!”

“Sebab itulah nama aku Zainal Abdullah.”

“Ceh! Perasan memanjang. Ada aku kata nak tackle Lina esok? Tak, kan? Jadi, jangan pandai-pandai buat andaian.” Irsyad pula ingin menduga. Entah apa akal Zainal lagi.

“Taklah secara direct. Kias-kias kau tadi aku dah faham. Tentu Meeda beritahu kau sesuatu tentang Lina dan kerana itu kau tiba-tiba ubah pendirian menjadikan Meeda sebagai sahabat kau pula. Bercakap tentang Lina sekarang ni pun aku tengok muka kau berubah. Ada apa-apa rahsia ke?” Zainal masih ingin mengusik.

Selama ini, bukan dia tak tahu layanan yang diberikan Lina terhadap Irsyad melebihi sahabat. Tapi Lina pandai menyembunyikan perasaan, sikapnya membatasi. Dia yang pandai membuat orang lain menyangka Lina sekadar bersahabat dengan mereka. Sedangkan jika dibandingkan layanan Lina padanya amat berbeza sekadar berbasa-basi bila berbual. Zainal yakin dengan telahannya dan esok dia akan buktikan.

“Okey, aku mengaku. Selama ni mata aku buta dengan perasaan suka pada Meeda sehingga mempergunakan Lina. Tapi selama bersama dia, aku mula rasa timbul perasaan lain di hati. Pernah sekali aku memerhatikan dia berbual dengan kau rancak. Aku cemburu melihat gaya dia berlawan cakap dengan kau. Entah kenapa hari tu aku boleh marah dia, tapi dia cool aje.

Walaupun kami dah kenal selama satu tahun setengah, tapi banyak yang aku tak tahu tentang dia. Dia tu perahsia sangat. Dibandingkan dengan Meeda yang lebih berterus terang tentang hati dan perasaan. Sekarang aku tahu bahawa aku bukan terpikat pada kecantikan Meeda, sebaliknya aku...”

“Mengaku ajelah kau dah mula sukakan Lina tu. Tak payah panjangkan cerita. Aku pun dah mengantuk,” pintas Zainal. Dia sesekali menguap. Kantuknya tak boleh ditahan lagi.

“Ya, aku mengaku! Aku mula fikirkan tentang Lina, sepanjang perjalanan balik tadi, aku asyik fikirkan kata-kata Meeda. Ada juga betulnya. Lina lain dari yang lain. Lagipun Meeda sendiri mengaku yang dia cintakan Khairul.” Bicara Irsyad terhenti melihat Zainal sudah terlena.

“Hah? Apa kau kata?” Zainal menyedari dia terlelap seketika.

Irsyad ketawa kuat melihat gaya Zainal yang terpisat-pisat menggosok mata, cuba untuk memaksa matanya bertahan.

“Kalau mengantuk, pergilah tidur kat bilik,” dorong Irsyad.

Zainal hanya menurut kata. Diperhatikan Zainal sehingga hilang di sebalik pintu biliknya. Dia sendiri pun dah mengantuk. Dia mengemas kulit kacang dan tin minuman sebelum ke bilik air.

Dia kemudian membaringkan tubuh di katil yang empuk di biliknya sendiri. Bilik yang dekorasinya berubah setiap tahun mengikut cita rasanya. Sejak kematian papa, dia tidak lagi meminta yang bukan-bukan pada mama. Kerana dia mengerti, mama penat menguruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah papa. Ketika itu dia masih kecil. Dia berjanji, bila tiba masanya nanti dia akan mengambil alih syarikat peninggalan arwah papa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku