Cinta Akan Indah
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
887

Bacaan






Bab 5

“AKU tak sangka kau sanggup buat hidup aku begini, Lina. Apa salah aku pada kau? Kenapa kau sanggup membongkarkan segalanya? Kenapa kau jadi batu api antara Khairul de­ngan Irsyad? Sampai hati kau buat Khairul begitu. Kau tak ada perasaan ke?”

Selalunya, ini antara dialog Meeda bila dia tahu aku ada di bilik. Sebaik sahaja pintu ditutup, dia akan memulakan lakonannya. Dia selalu mengangkat dirinya sehebat pelakon Erra Fazira. Tapi kali ini aku tersilap!

Meeda datang dekat padaku yang sedang membaca novel Skandal terbitan Alaf 21. Sehangat cerita novel ini, begitu juga keadaan Meeda sekarang! Dia tercegat di depan aku se­perti ingin menelan aku lagaknya. Kata-kata yang dihamburkannya tadi, dibiarkan sepi. Membebel sesuatu yang sudah aku lali, selain berbual di awal pagi!

“Hello... what are you talking just now? Aku tak faham!” Apa aku dah buat pada Khairul dengan Irsyad? Aku jadi batu? What? Batu api... panas tu! Sepanas hati Meeda ketika ini, situasi yang tidak pernah aku fikirkan sebelum ini.

“Tak faham ke atau buat-buat tak faham?” suara Meeda sukar dikawal. Wajahnya merah menahan marah.

Meeda betul-betul tengah marah! Aku buat-buat tak peduli. Hebat lakonan dia hari ini.

“Betul! Aku tak tahu apa yang cuba kau sampaikan. Apa aku dah buat dengan jaguh bola sepak kau tu? Bercakap de­ngan dia pun tak pernah. Seingat aku cuma sekali di kantin DKP hari tu. Nak ambil tahu hal orang tak kuasa aku. Hal sendiri pun aku belum selesaikan lagi. Buang masa, buang tabiat, buang tenaga! Kau ni kenapa?” Aku dalam mood kurang senang diganggu ketika sedang membaca. Masih tidak mahu mengikut rentak Meeda.

“Aku tahu kau tak bercakap dengan dia, tapi yang kau pergi api-apikan si Irsyad tu buat apa? Jangan nak beritahu aku... kau tak tahu apa-apa. Apa? Kau fikir aku tak tahu? Selama ni kau cuba nak tolong si Irsyad tu. Bukan ke aku dah katakan sejak dari dulu lagi, aku tak berkenan, maknanya aku tak suka. Ingat dia saja yang kaya dan kacak kat sini? Ingat aku tergila-gilakan sangat orang macam dia itu? Sorry... aku tak nak lelaki macam tu. Cakap tak serupa bikin. Tahu hantar spy aje... nak berdepan tak berani. Kalau kau nak, kau ambillah dia tu!” Meeda menghamburkannya dalam sekali nafas.

Marah sehingga tak menyedari dia mengaku sesuatu yang sukar diakuinya sejak dulu. Bertuahnya badan kalau Irsyad suka pada aku. Ini mesti kes simpan dalam hati. Tengok... dah meletup larva gunung berapi. Siap dengan sindirannya lagi.

“Cakap satu-satu...” Aku cuba bertenang. Namun, pantas kata-kataku dipotong Meeda.

“Sayangnya tuah tak pada kau. Dia tak hiraukan pe­rasaan kau, dia cuma nak pergunakan kau untuk pikat aku. Dia tak nakkan kau. Itu yang kau fikirkan. Kalau tak, kau tak akan bersusah payah berbuat baik pada si Irsyad tu semata-mata untuk menambat hati dia dengan rancangan untuk menolong dia memikat aku.

Betul aku cakap ni. Kalau si Irsyad tu suka kat kau, aku lagi gembira. Aku orang pertama yang paling gembira untuk kau. Sekurang-kurangnya, aku tak payah sesakkan fikiran memikirkan gelagat kamu berdua. Hidup aku bebas dari gangguan.” Meeda merampas novel di tanganku.

Ya ALLAH! Baru aku sedar Meeda betul-betul marah. Siapalah punya kerja mengapi-apikan Meeda sampai ‘sembur’ aku tanpa perasaan?

“Cuba kau terangkan pada aku apa yang menjadi masalah. Bukan ke selama ni kau tahu, Irsyad memang minat kat kau, bukan kerana aku. Tentang Khairul aku tak tahu apa-apa. Apa yang kau tahu mengenai Khairul sampai kau mengamuk pada aku ni?” Aku cuba bertenang sebaik mungkin agar tidak mengeruhkan keadaan.

“Kau tahu tak, Khairul cedera. Luka kat muka dan kaki sebab perbuatan si Irsyad tu!” Muka Meeda berubah suram, seraya ingin menangis. Dia duduk di kerusi meja belajar di tepi katilku.

“Sebelum kau buat tuduhan, baik kau selidik betul-betul. Benda ni tak boleh dibuat main, Meeda. Jangan-jangan Khairul sendiri yang cari penyakit, tak pun Khairul sengaja jual nama Irsyad.” Tapi kenapa pula Meeda sakit hati pada aku? Aku cuba untuk tidak membabitkan nama Irsyad. Cuma aku tersilap cakap lagi. Kenapa celopar sangat mulut aku memburukkan Khairul?

“Siapa yang tak sakit hati? Kalau kau sendiri pun sakit hati juga. Melihat keadaan Khairul macam tu... muka lebam, tangan terseliuh, kaki tak tahu patah agaknya... semua ni sebab perbuatan kau beritahu Irsyad untuk memukulnya,” luah Meeda perlahan, tapi masih menyanggah.

“Meeda, bawa bertenang. Siapa yang cakap pada kau kecederaan Khairul tu akibat perbuatan Irsyad?”

“Aku tak peduli. Siapa yang beritahu aku tu tak penting. Tapi kenapa kau sengaja buat aku begini, Lina? Kau tak suka tengok aku senang dengan Khairul!” marah Meeda semula.

Tuduhan Meeda kali ini buat aku sakit hati. “Itu bukan urusan aku! Khairul tak pernah sukakan kau. Dia bersama kau pun sebab nak buat Irsyad cemburu. Kau sendiri tahu mereka bermusuh. Kau saja yang melebih-lebihkan cerita dan aku dah bosan dengan cerita kau tentang Khairul. Aku tak tahu kenapa aku benci sangat pada dia. Kau juga tahu aku benci dia, tapi aku tak pernah halang atau tuduh yang bukan-bukan tentang dia.

Aku ingatkan kau kisah bila aku tak peduli tentang Khairul. Selama ni, kau tak cerita pada aku pun yang kau sering jumpa dia. Macam hari ni, tiba-tiba kau muncul dengan cerita baru. Dah berapa kali aku tengok kau berbual dengan dia dari jauh, tapi aku tak pernah soal kau. Penting sangat ke Khairul tu pada kau hingga perasaan aku kau tak ambil peduli? Siapa aku di hati kau, Meeda?” Kata-kataku se­perti mengiakan tuduhan Meeda sebentar tadi. Aku ber­suara tenang meluahkan apa yang terbuku selama ini.

Meeda keluar mendengus marah. Kasar dia menghempas pintu bilik.

“Sampai bila-bila masalah tak akan selesai kalau ikut perasaan semata-mata. Nampak gayanya, aku kena bersabar lagi!” Aku berkata sendirian.

BUNYI hon kereta mengejutkan aku yang sedang menunggu di kerusi taman. Irsyad tersenyum keluar dari dalam kereta. Segera aku menuju ke arahnya.

“Kenapa lambat? Janji pukul 2.00!” soalku sebaik sahaja kereta meluncur membelah petang yang permai itu.

“Sorry... aku tertidur.” Irsyad mengaku salah.

“Lain kali kalau dah tak boleh kotakan janji, jangan berjanji!” Sebenarnya aku tak kisah sekiranya temu janji petang itu dibatalkan. Aku dapat rasa perubahan pada kelakuan dan sikap Irsyad padaku sejak pagi. Lagipun, ini pertama kali Irsyad ajak aku tanpa Zainal. Dan ajakan yang aku rasa membawa maksud lain.

Sejak pagi tadi Irsyad melayan aku berbeza berbanding hari-hari yang sebelumnya. Aku tak biasa dengan gelagat dan kelakuannya. Senyumannya membuatkan bulu roma aku meremang. Apatah lagi tadi aku bagaikan permaisuri hatinya, dibukakan pintu kereta.

“Marah? Filem mula pukul 4.00, aku dah booking tiket. Rasanya kita masih sempat pergi makan. Aku belum makan lagi, laparlah!” sungut Irsyad dengan mimik muka kasihan.

Sebenarnya, aku pun belum makan lagi. Sibuk menyiapkan tugasan yang akan dihantar minggu depan, sampai lupa pukul 2.00 petang ada seorang jejaka idaman menjemput aku bersiar-siar.

“Bila kau tak muncul tadi aku ingatkan kau batalkan rancangan hari ni. Lagipun Meeda tak ada kat bilik!” Kenyataan aku itu membuat wajah Irsyad berubah. Dia tidak selesa bila aku membicarakan hal Meeda sejak pagi tadi.

Irsyad diam ketika kami memasuki restoran dan kemudian memesan makanan. Keadaan masih bisu sepanjang menjamah makanan. Marahkah Irsyad padaku? Adakah aku tersilap cakap?

Rancangan masih diteruskan. Kami memasuki pawagam dan duduk di barisan atas sekali. Melihat Irsyad khusyuk menonton di sebelah, aku diam membisu. Hanya mata sahaja terkebil-kebil melihat adegan filem di skrin. Bunyi yang kuat dan suasana yang gelap, menyulitkan aku. Aku tidak suka melihat dalam kegelapan begini, pasti mata akan sakit.

Minuman dan popcorn sesekali aku suakan ke mulut. Kenapa hati berombak ganjil? Ada sesuatu yang akan berlaku dalam masa terdekat ini. Aku mula bosan berperasaan begini. Filem yang ditayang tidak lagi menarik perhatian. Kepala penuh dengan pelbagai persoalan tentang Meeda dan kenapa Irsyad mengajak aku keluar. Selain itu, aku juga teringat Anis di kampung. Sabar, esok pasti kami akan bertemu juga. Terasa seperti setahun menunggu!

Aku risau Meeda tak lagi menyapa aku sejak semalam sehingga aku keluar tadi dia belum balik bilik lagi. Aku tidak ada peluang langsung untuk bercakap dengannya sepanjang pagi ini bila dia seakan cuba mengelak untuk berjumpa aku. Aku tak mahu mengeruhkan keadaan, sekiranya itu memang silap aku, aku akan minta maaf padanya.

Seisi pawagam penuh dengan ilai tawa penonton. Aku hanya memandang kosong skrin di depan. Tanpa sedar, entah sejak bila Irsyad menggenggam jemariku erat. Aku menatap wajah Irsyad lama, namun yang kelihatan hanya sisa tawa di wajahnya. Mungkin Irsyad juga tidak menyedari perbuatannya dan aku hanya membiarkan sahaja begitu. Namun...

Perlahan aku cuba menarik tangan dan Irsyad semakin menggenggam erat tanpa mahu melepaskan dan dia begitu asyik sekali menonton. Apa sebenarnya yang Irsyad rancangkan sejak dari mula dia menjemputku sehingga aku menye­ntuh soal Meeda, dia cuma diam membisu? Kini dia tidak segalak dulu sibuk bertanya mengenai Meeda.

Dia tidak seperti Irsyad yang aku kenali. Bila berpeluang berjumpa aku, dia akan seboleh-bolehnya nak tahu sama ada Meeda ada bersama. Dan kini, aku keliru antara perasaan sendiri dengan perasaan Irsyad.

Aku mengerti sekiranya cinta yang aku hulurkan tidak disambut Irsyad kerana baginya cinta itu hanya layak untuk Meeda. Aku tak mahu memaksa seseorang yang aku cintai menerima cinta ini, tapi sekurang-kurangnya dia menerima aku sebagai sahabat yang boleh dibawa berbincang ketika susah dan bergelak ketawa ketika senang.

Aku sanggup membantunya memikat Meeda bukan kerana cinta padanya, tapi kerana perasaan sebagai seorang sahabat. Aku mengerti bagaimana rasa hati yang di­lukai, ke­rana sejarah telah membuktikan bila sekeping hati dihancurkan. Tanpa kekuatan fizikal dan mental ditambah ke­imanan se­seorang yang mencintai dengan tulus pasti akan kecundang. Aku amat pasti tentang hal ini, kerana itu aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Jari-jemari kananku mula terasa lain. Genggaman Irsyad terlalu kuat hingga menyebabkannya kebas. Aku memandang­nya, serentak dia juga merenungku. Kami saling bertatapan. Irsyad tersenyum. Perasaan bahagia menusuk kalbu. Aku menjeling skrin sekilas. Wayang sudah tamat rupanya.

“Tak nak balik?” Irsyad sudah berdiri dan cuba menarik aku bangun.

Aku yang terkejut dengan perbuatan Irsyad dan cuba mengimbangi badan bila penonton di sebelah melanggarku ketika hendak keluar. Aku berusaha agar tidak jatuh, namun apa dayaku. Aku terdorong ke depan dan Irsyad cuba menyambut tubuhku... langsung tidak tersambut, sebaliknya kami sama-sama jatuh.

“Sorry...”

Sedar-sedar aku memeluknya erat dan tersembam di dadanya. Tidak tahu apa yang perlu aku katakan, tiba-tiba berasa segan dengannya. Perbuatan tadi tidak disengajakan. Aku mendongak menatap mata jernihnya, merenung redup ke dalam mataku. Menyedari situasi yang kekok, aku me­leraikan pelukannya di pinggang dan membantunya ba­ngun. Irsyad diam sahaja.

“Irsyad, aku...”

Irsyad masih diam. Aku terasa suaraku tersekat di ke­rongkong, sukar untuk meluahkan kata-kata. Pipi mula terasa merona merah apabila menyedari Irsyad masih merenung aku. Apa sebenarnya yang kami alami? Kenapa dapat aku rasakan Irsyad semakin dekat padaku?

“Jom kita keluar.” Suara Irsyad kedengaran akhirnya. Dia merentap tanganku keluar dari pawagam.

Baru aku sedar rupa-rupanya hanya kami berdua sahaja yang belum keluar. Aku biarkan Irsyad menarik dan menggenggam jari-jemariku erat. Dia seolah-olah tidak mahu melepaskan aku lagi.

“Irsyad!” Panggilanku kali ini membawa Irsyad ke alam sedar. Spontan dia membuka pintu kereta untukku sambil tersenyum. Senyuman yang paling manis pernah dilemparkannya kepada aku.

Irsyad tenang memandu.

“Kita ke Just For You!” Sebaik sahaja memasuki kompleks membeli-belah, Irsyad bersuara. Suaranya normal, tapi kedengaran lembut di telinga.

Kami memasuki lif dan suasana senyap. Lif berhenti di tingkat dua, kami keluar dan menuju ke kedai Just For You.

“Boleh aku tahu, kau beli barang ni sempena apa? Hari jadi? Ulang tahun perkahwinan? Atau...” soalku berlagak biasa, namun tak berjaya melawan arus perasaan yang bergetar hebat.

“Kita lihat dulu, kemudian Syad akan beritahu.” Irsyad serentak menarik aku.

Aku sedikit tersentak dengan perbuatannya. Berlegar-legar di kedai Just For You berdua begini tanpa melepaskan genggaman tangannya. Teruk betullah mamat ini. Takut aku lari kot. Tapi benarkah ini atau cuma khayalan perasaan? Dia terlalu rapat dengan aku dan membahasakan dirinya... Syad?

“Lina suka warna apa?”

Kami berhenti di koleksi hadiah. Irsyad menanti jawapan. Aku melihat apa yang ditunjuknya. Cawan? Buat apa?

“Hmm...” Aku tak mengerti soalannya, berfikir seketika.

“A very simple question, Lina. Lina minat warna apa? Syad nak Lina pilih sebab nak tahu cita rasa Lina.” Irsyad merenung sambil tersenyum.

Sah! Dia dah nyanyuk. Tak pun gila. Beli cawan ni buat apa? Bukan untuk aku pun. Kenapa sibuk pula nak tahu apa yang aku suka? Dulu tak pernah ambil berat pun. Genggaman Irsyad semakin erat dan langsung tak mahu melepaskan ta­ngan aku. Dibelek-belek dan digerak-gerakkan jari-jemarinya adalah. Kenapa dengan Irsyad petang ni? Kena rasuk?

“Helo... melamun dah sampai mana? London? Jepun? Syad masih menunggu lagi!” Pantas Irsyad menegur perbuat­an aku merenung cawan-cawan comel itu.

Perlahan aku melebarkan senyuman. “Syad nak beli ni untuk apa? Kan ada benda penting yang Syad nak beli? Kita pergi beli yang itu dulu.”

“Syad tak nak beritahu, Lina pilih dulu.” Irsyad membelek-belek cawan-cawan comel itu.

“Okey. If you wish for... Lina nak warna biru, mendamaikan mata memandang dan coraknya pun menarik.”

Irsyad mengangkat cawan biru tersebut dan ia berbunyi. Nada muzik yang berbeza berbanding yang selalu aku dengar.

“Hmm... cita rasa yang baik. Syad memang nak warna yang ni. Corak cawan ni memang menarik. Tak sangka kita sama cita rasa. Kita beli dua!” Irsyad meminta gadis jurujual berdekatan membungkus untuknya.

“Satu cukuplah... satu lagi nak buat apa?”

“Rahsia. Kita bayar dulu, nanti tak sempat pula. Takut orang tu menolak.”

Aku tidak dapat menangkap butir bicara Irsyad. Menunggu cawan tersebut dibungkus menjadi hadiah. Betul, hadiah! Sesekali genggaman tangan kami diayun perlahan. Perasaan yang aku alami tidak menentu. Aneh, gembira, keliru... tapi aku tak membantah perbuatan Irsyad itu. Sememangnya aku berharap Irsyad menjadi kekasih aku.

“Betullah tekaan Lina, Syad nak bagi seseorang hadiah...”

“Kita makan dulu, kemudian Syad hantar balik. Okey?” Irsyad membiarkan kata-kataku berlalu tanpa dijawab.

Selama menjadi sahabat Irsyad, aku tidak pernah melihat dia sebegini. Perwatakan dan bicaranya berlainan sekali. Perasaan aneh tadi bertukar menjadi bahagia.

“Esok, Lina balik kampung hati-hati, okey? Sebelum bertolak Irsyad nak jumpa Lina dulu. Syad nak beri sesuatu...” Irsyad mendekatkan diri kepada aku.

Aku memejamkan mata, takut memikirkan Irsyad membuat sesuatu yang aku fikirkan sekarang!

“Be... my... girl!”

Kedengaran bisikan lembut menyapa cuping telinga sebelum dia melangkah pergi. Aku terpinga-pinga di tangga asrama melihat Irsyad berlalu pergi. Aku bergegas masuk, masih tertanya-tanya ayat terakhir Irsyad padaku tadi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku