Cinta Akan Indah
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1040

Bacaan






Bab 9

29 Disember 1997, Isnin, 7.03 pagi

Wad Pesakit Khas

SETIAP orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam menilai dan memilih warna kereta kegemaran. Sama ada yang terang atau cukup dengan warna asal kereta berkenaan. Natural! Yang menariknya mengenai warna ini, ia dapat mengambarkan peribadi si pemiliknya. Walau apa pun, tak dapat dinafikan kepentingan warna bagi kehidupan kita. Selain sebagai sebahagian keindahan alam, warna juga berguna untuk memberi petunjuk dan bagi membezakan sesuatu.

Warna hijau sering dikaitkan dengan tumbuhan dan kebaikan. Biarpun begitu, mereka yang meminati warna hijau dikatakan seorang yang pemurah dan tidak lokek dalam soal duit serta baik hati. Jadi, tak hairanlah peminat warna hijau seorang yang sanggup berkorban masa dan tenaga mereka untuk menolong mereka yang memerlukan bantuan. Sebenarnya, mereka ini suka jika dapat membantu orang lain agar hidup gembira.

Prinsip mereka lebih mulia jika menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan. Itu semua antara faktor membuatkan mereka popular di kalangan teman-teman. Cuma kadangkala sikap mereka sukar untuk dibaca dan lebih senang berahsia soal peribadi... aku menghempas majalah itu.

Hatiku sayu bila memikirkan peribadi diriku. Siapa aku? Rahsia peribadi diriku juga masih samar-samar! Hanya dengan berpura-pura membaca majalah begini dapat mengelakkan aku dari menjawab soalan-soalan mereka yang ada di depan aku kini. Aku menatap majalah sambil menjeling sebentar pada mereka yang mengaku sebagai keluargaku! Siapa mereka? Aku tidak ingat langsung apa yang dapat menggambarkan mereka keluargaku, fikiranku kosong! Mengapa aku sukar mengingati di mana aku menemui mereka.

Apa aku buat di sini? Aku memegang kepala, berbalut! Sakitnya berdengung dan berdenyut-denyut. Kenapa dengan kepala aku? Aku hanya memerhatikan lelaki berjubah putih itu memegang pergelangan tanganku. Kemudian dia membeliakkan mataku dan disuluh cahaya lampu picit kecil. Selepas itu dia mencatat sesuatu di atas fail yang disangkut di kaki katil. Apa yang dia buat? Kenapa dia meneliti aku? Alien ke mereka ini? Mereka ingin menakluki bumi! Mataku berkelip-kelip memerhatikan mereka di depanku dengan wajah yang sayu!

“Doktor, macam mana dengan anak saya?” tanya Mohamed pada Dr. Victor setelah melihat sendiri pemeriksaan dan kesakitan yang dialami oleh Lisa.

Doktor itu tersenyum. “Pak cik jangan susah hati keadaannya tidak membimbangkan. Saya pasti anak pak cik kuat untuk menghadapinya! Cuma gegaran yang dialami­nya..... Pak cik, sila ikut saya ke ofis!” pinta Dr. Victor tidak selesa membicarakan hal itu di depan pesakit. Dia tidak mahu kata-katanya nanti membawa komplikasi kepada pesakit itu sendiri. Dia pasti Lisa mengalami amnesia! Mereka berlalu...

Siapa namaku? Apa yang dimaksudkan oleh doktor tersebut. Namaku? Oh! Sangat teruk, penat... aku sangat penat! Tiba-tiba aku rasa penat datang dan aku tak tahu mana satu yang betul. Apa aku buat di sini? Apa yang mereka buat di sini? Kenapa mereka tidak beredar lagi?

Persoalan demi persoalan berlegar-legar di fikiranku tanpa henti. Apa aku buat di sini yang penuh dengan manusia berbaju yang sama? Putih! Bersih, suci. Itu yang aku baca tadi. Katil dan selimutku juga putih, sebelah katil juga putih. Orang-orang yang baring di atasnya juga memakai baju putih! Hospital? Adakah aku dalam hospital? Apa aku buat di sini? Soalan bertubi-tubi di kepalaku menujah dan menyakitkan. Aku mengerang kesakitan amat sangat! Aku melihat kelibat doktor tadi sebelum rebah.

“Doktor... macam mana dengan anak saya?” tanya Mohamed kepada Dr. Victor yang memeriksa Lisa selepas kejadian kebakaran di bilik Lina.

“Pak cik jangan susah hati, keadaannya stabil. Saya pasti anak pak cik kuat untuk menghadapinya. Cuma gegaran yang dialaminya...” Dr. Victor terhenti, tidak sampai hati berbicara.

“Bagaimana Doktor?” soal Encik Mohamed dengan sabar. Sudah sebulan Anis Malisa tidak sedar dan kini dia berkeadaan begini sebaik sahaja sedar. Resahnya masih belum berkurang­an melihat begitu. Lisa rebah kali ketiga.

“Saya harap pak cik banyakkan bersabar, apa yang ingin saya katakan ni tak mengejutkan pak cik...” Dr. Victor menghela nafas perlahan. “Otak anak pak cik mengalami gegaran akibat hentakan yang diterima oleh kepalanya. Lisa bernasib baik kerana sedar awal, tetapi tanda-tanda lain yang akan menyusul. Saya harap pak cik sekeluarga dapat menerima­nya. Kesan hentakan dan gegaran pada otaknya membuatkan dia berada dalam kesakitan berperingkat.

Dia mungkin hilang ingatan jangka panjang. Saya perlu pastikan hal ini. Harap pak cik sekeluarga dapat membantunya mengingat siapa dirinya. Saya lihat dia seperti tertanya-tanya siapa dirinya. Itu satu tanda awal perkembangan otaknya selepas sedar!” Wajah Mohamed di depannya ditenung. Kedut-kedut tua jelas kelihatan di pandangan matanya apabila melihat pak cik itu mengeluh.

“Maksud doktor, anak saya hilang ingatan?” Kekeruhan di wajah Mohamed menggambarkan perasaannya selama ini. Lisa hilang ingatan dan Lina pula walaupun sihat tetapi sebenarnya sakit. Ujian apakah ini? Ya, Allah!

“Ya, maksud saya Lisa mengalami amnesia tetapi saya perlu memastikannya dulu. Tunggu sehingga keadaan otak Lisa stabil.” Dr. Victor melurut rambutnya ke belakang dan membetulkan letak cermin matanya. Dia juga khuatir Lisa mengalami amnesia dengan kesan kesakitan yang boleh membawa maut. Tipis harapannya untuk sembuh bila Anis Malisa tenat.

“Baiklah. Apa kesannya pada Lisa di masa akan datang?” soal Mohamed setelah getaran jiwanya reda seketika. Walaupun bilik itu sejuk, tetapi dia berpeluh. Keresahannya semakin serius. Keadaannya juga di tahap kurang baik sebenarnya. Dia juga tidak sihat akhir-akhir ini.

“Begini pak cik... akibat hentakan yang kuat di bahagian kepala Lisa, gegaran otak Lisa menyebabkan dia hilang ingatan lama bersama kesan sakit berpanjangan. Usaha untuk memulihkan ingatan Lisa adalah bergantung pada usaha pak cik sekeluarga. Biasanya amnesia dapat dipulihkan melalui cara rawatan terapi iaitu dengan membuatkan pesakit ber­usaha sendiri mengingati identiti dirinya. Tetapi saya takut Lisa tidak tahan sakit. Pesakit akan ditidurkan dan akan cuba disoal mengenai dirinya sehingga tiba satu peringkat di mana pesakit sendiri akan bercakap tanpa panduan.” Dr. Victor menghela nafas.

“Selain itu, pak cik juga boleh usahakan seperti berbual-bual dengan Lisa tentang masa silamnya, membawanya melawat ke tempat-tempat yang pernah dilawatinya dan gambar-gambar yang diambil ketika dia kecil dulu atau sesekali membuat kejutan untuknya. Tetapi ini bergantung pada tempoh amnesia itu. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan!” Dr. Victor menuturkannya lembut. Dia bersimpati pada nasib keluarga Mohamed. Dia yakin Lisa mengalami amnesia jangka panjang.

“Berapa lama?” Keluhan kecil keluar dari mulut Mohamed.

“Pesakit yang hilang ingatan jangka pendek, seketika selepas hentakan dan biasanya bila sedar pesakit begini akan mengingati semula segalanya, tetapi perlahan dalam sehari atau dua akan stabil semula. Pesakit amnesia jangka panjang pula, sukar untuk mengingati secara cepat. Biasanya me­reka ini, akan lambat ingat dan mungkin akibat satu kejutan pesakit ini akan mengingati dengan sendiri. Pesakit tidak boleh menerima tekanan yang berat, ini mengakibatkan pesakit sukar mencari identiti mereka sendiri. Dan bagi kes Lisa, dia mungkin akan ingat semula tetapi kesakitan tersebut akan mengganggunya.” Dr. Victor menerangkan amnesia dengan lebih terperinci.

“Adakah harapan Lisa untuk pulih sediakala?”

“Saya yakin sekiranya Lisa pulih, ingatan ni tak mempengaruhinya. Tetapi, semua ini bergantung dengan apa yang akan dilalui Lisa sepanjang hidupnya. Mungkin dia akan ingat ingatan orang lain, mungkin juga dia ingat dirinya ketika setakat darjah enam sahaja. Cuma buat masa ini saya nasihatkan pak cik sekeluarga jangan beri tekanan kepadanya. Dan sekiranya perlu turuti segala kemahuannya. Kita tunggu dan lihat perkembangan Lisa bersama,” ujar Dr. Victor.

Mohamed menerimanya dengan redha.

“AYAH!” Suara gembira Lisa menyapa cuping telinganya, menyentak ingatan Mohamed pada kejadian dua tahun yang lalu ketika Dr. Victor merawat Lisa.

Segera dia menguruskan prosedur keluar untuk Lisa kerana keadaan kembarnya iaitu Lina di kampung sedang tenat. Lisa perlu segera diberitahu kejadian sebenarnya yang berlaku, cuma masa tidak sesuai.

Menurut Dr. Zila yang merawatnya kali ini, Lisa tidak mengenali sahabatnya, malah sering bertanya mengenai keluarganya sejak dia dimasukkan ke wad pagi ini. Mohamed tahu Lisa hanya ingat nama Lina di hatinya dan itu menjadi satu kekuatan kepada Lisa. Andainya Lisa diminta mengingati kejadian silam kesakitan di kepalanya tidak dapat ditahan azabnya. Walaupun dia gembira Lisa telah pulih daripada amnesia, tetapi dia khuatir kerana Lisa tidak seperti sebelum­nya. Lisa hilang memori semasa dalam amnesia. Dugaan apakah yang perlu Lisa lalui sekali lagi?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku