Cinta Akan Indah
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
684

Bacaan






Bab 10

Kg. Kelumpang Pitas, Sabah

Sehening subuh seceria pagi.

sesegar musim seindah budi,

sesuci cinta seredup kasih,

gelora rindu sepi menanti.

BERITA mengenai kepulangan Lisa dengan ingatan yang pulih walau tidak sepenuhnya disambut gembira oleh keluarga. Cerita yang dituturkan Lisa de­ngan gembira di ruang tamu dan didengarinya de­ngan jelas. Betapa gembira adik kembarnya itu. Walaupun hakikat cerita sebenar hanya dia dan keluarga yang tahu. Lisa percaya dia koma selepas ditolak olehnya dan kemudian terjadi kebakaran di biliknya dulu.

Lisa tidak ingat apa yang pernah dilaluinya selepas itu. Katanya, dia tersedar di hospital setelah koma yang panjang. Dia mendengar dari dalam bilik. Doanya telah dimakbulkan TUHAN. Tiada apa lagi yang ditunggunya setelah dua tahun berlalu.

Cuma satu... ingatan Lisa sebelum pulih. Lisa lupa nama mereka yang ditukarkan. Lisa lupa pada alam universitinya, sesiapa atau sesuatu selama dua tahun sebelum ini. ALLAH Maha Berkusa. DIA mengembalikan Lisa seperti sebelumnya, tapi mengambil ingatan Lisa selepas kejadian itu.

Lisa memasuki biliknya, dan dia hanya berbaring. Dia tahu Lisa sampai di rumah itu semalam. Dalam debaran, dia menunggu kedatangan adik kembarnya itu. Selama ini, dia mendoakan kesihatan Lisa setiap hari. Semoga Lisa sembuh dan datang menemuinya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir!

Ya ALLAH! Aku bersyukur kepada-MU kerana memakbulkan doaku untuk menemui orang yang sama-sama lahir ke dunia ini. Aku bersyukur kerana dia yang aku tunggu telah sampai. Lisa... maafkan aku kerana lemah untuk menanggung beban kecewa ini. Dari ALLAH aku datang, kepada ALLAH jua aku kembali. Hembusan terakhir anak Adam. Perlahan-lahan...

“Ibu!” teriak Lisa.

Segera semua menerpa masuk ke dalam bilik Lina.

Tanah Perkuburan Islam. 4.00 petang

BUAT pertama kali dalam hidup, aku mengerti erti kehilang­an. Kesedihan yang terpaksa ditanggung kerana kehilangan seorang yang sangat aku sayangi dan rapat dengan diriku. Pemergian Aina Malina, aku terima sebagai takdir ALLAH dengan redha. Semoga rohnya dicucuri rahmat di alam sana.

Aku tunduk membisu di pinggir tamu, berwajah suram dilindungi selendang sehingga tidak nampak keseluruhan wajahku yang sembab. Jenazah sudah dimandi dan dikafan­kan. Terbaring sekujur tubuh di ruang tengah rumah. Aku masih menangis walaupun air mata terasa sudah kering. Kak Eliza telah dimaklumkan tentang pemergian Lina. Ketika ini, dia dalam perjalanan pulang dari berbulan madu.

Bacaan surah Yassin berkumandang. Lina yang berba­ring di tengah-tengah ruang tamu rumah hanya kaku di situ. Di satu sudut, ayah dan Marwan sedang diam seribu bahasa. Ibu di sudut lain sedang menangis.

Jenazah Lina sedia dikebumikan, diusung ke kubur. Aku hanya memerhati dari anjung rumah. Tidak sanggup rasanya hendak mengiringi Lina ke kubur. Aku sedih kerana kekuatan fizikal tidak dapat menahan kelukaan hati Lina, kerana cinta dia pergi dan kerana cinta aku kembali. Mengapa aku sedar?

Sebuah kereta berhenti di halaman rumah. Seorang gadis dan pemuda keluar dari kereta tersebut. Aku meng­amati mereka. Merekalah yang bersusah payah sewaktu di hospital dulu. Mengapa mereka datang tiba-tiba? Apa yang mereka buat di sini? Aku kaku di tempat aku berdiri, hanya memerhati tingkah mereka berdua.

Eliza dan suaminya Dr. Victor juga sudah sampai dan terus mengiringi jenazah ke kubur. Orang ramai beransur pulang. Aku hanya memerhatikan dari jauh walaupun puas dipujuk Marwan untuk sama-sama ke kubur. Aku tetap berdiri sepi di anjung rumah. Aku kerah sekuatnya tenaga yang masih bersisa, aku berlari turun menuju ke kubur Lina yang masih merah dan menangis semahu-mahunya di situ. Aku ingat mengenai Lina setiap saat, tapi mengapa aku keliru? Antara ingin percaya atau tidak dengan kenyataan ini?

IRSYAD bersalaman dengan ibu bapa Lina. Meeda juga menurut perbuatan yang dilakukan Irsyad. Tujuan kedatangan mereka pada hari ini adalah untuk melawat Lina yang sakit. Tapi mereka tidak menyangka hanya bertembung dengan keranda saja.

Mereka turut mengiringi jenazah hingga ke kubur, mendengar dan mengaminkan doa imam. Tersentak pe­rasaan mereka bila doa yang dibacakan oleh imam tersebut menyebut nama jenazah sebagai ‘Aina Malina binti Maisarah. Serta-merta air mata Meeda mengalir. Dia berpaling melihat perubahan pada wajah Irsyad. Wajah itu keruh menyimpan perasaan luka yang menghiris. Mereka telah kehilangan seorang sahabat. Tanpa tahu sebab sebenarnya Lina pergi.

Meeda masih teresak-esak. Tangisan yang berlagu pilu sejak dari tadi ditahannya. Irsyad hanya mampu mendiamkan diri, cuba menyabarkan diri. Dia kehilangan seorang sahabat. Lina tidak pernah memberitahu yang dia sakit teruk. Sepanjang mereka bersama, tiada rahsia antara mereka. Rupanya, dia tersilap menilai Lina selama ini. Lina menyimpan rahsia besar sehingga menyebabkan dia menangisi perbuatannya kepada Lina sebelum akhir hayat sahabatnya itu.

Pengebumian telah pun selesai. Orang ramai beransur pulang. Tertunai sudah fardu kifayah yang telah ALLAH perintahkan. Meeda dan Irsyad meminta diri untuk pulang. Tujuan mereka datang cuma sekadar melawat Lina yang sakit tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sama-sama menziarahi tanah perkuburan itu.

Sebuah nafas berat terzahir dari bibir Irsyad. Dia mencintai Lina sepenuh hati. Segenap pelosok perasaannya telah dicurahkan kepada Lina. Dan hari ini tidak disangka keresah­an dan kebimbangannya menjadi nyata. Dia telah kehilang­an orang yang amat dicintai dan mencintainya sepenuh hati. Kekasih hati pergi tanpa penjelasan.

“Tak sangka kau boleh berubah, Irsyad. Dari seorang yang mengejar cinta menjadi pencinta setia,” ucap Meeda sayu.

Cuti semester yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Irsyad telah kehilangan seorang kekasih yang amat memahami. Benarkah ini sedang berlaku dalam hidupnya? Kehidupan perlu diteruskan. Walaupun ada ketika kehilang­an sesuatu akan terjadi, tapi itu tidak menghalang perjalanan yang masih panjang. Untuk apa membebankan diri pada sesuatu yang tidak pasti. Kerana dia tahu bahawa penantian dan kerinduaan itu amat menyeksakan apabila orang yang dirindui telah pergi buat selama-lamanya.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku