Cinta Akan Indah
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
834

Bacaan






Bab 11

Selaut intan, seluas bumi,

musim duka menjadi sejarah,

arca kenangan kejar impian,

sehangat kisah kasih semalam.

PELBAGAI perjalanan cerita di setiap titian jalan sudah ditempuhi tanpa Lina. Aku perlu meneruskan kehidupan walaupun terasa goyah dan tiada keyakinan. Namun untuk berpatah arang, berkerat rotan tidak sesekali. Kerana aku tahu, di satu jalan akan ada hikmah yang menanti, sebagai seorang gadis yang sedang meningkat dewasa aku perlu melalui proses kematangan.

Permainan emosi akan sentiasa menguasai ruang lingkup hidupku. Aku cuba menerima hakikat bahawa aku hidup keseorangan tanpa Lina di sisi. Aku akan memulakan kehidupan baru, meninggalkan segala-galanya yang pernah aku lalui. Walaupun aku ingin membuang jauh semua kenang­an, tentu hati ini masih keras menentang. Sesungguhnya, pemergian Lina menyedarkan aku akan kata-katanya padaku suatu waktu dulu.

“Mencintai dan dicintai adalah keinginan dan impian setiap insan. Sekiranya takdir jodoh berpanjangan, pasti akan bersama hingga ke akhir usia. Mencintai seseorang tidak semestinya memiliki. Cukuplah sekadar dapat mendoakan kebahagiaannya. Kerana ia lebih mulia dari mendoakan yang tidak baik. Jadi, aku memutuskan untuk pergi.”

Maksud kata-katanya sungguh mendalam. Aku tidak dapat memisahkan kenangannya bersama. Akan kukenang dan mendoakan rohnya aman di alam barzakh.

AKU sibuk mengemas barang-barang yang perlu dibawa sepanjang mengikuti pengajian. Setelah sekian lama, akhir­nya aku setuju untuk menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford. Kehidupan perlu diteruskan. Aku pergi kerana ingin meninggalkan kenangan itu supaya hilang di hati, terubat luka rindu dan rintihan yang akan mengambil masa untuk menjadi parut. Marwan akan pergi bersamaku untuk mengikuti pengajian di Fakulti Komunikasi Massa pengkhususan dalam bidang penyiaran di universiti yang sama.

Aku membelek buku-buku yang ingin dibawa. Semua barang yang diperlukan ketika di sana dimasukkan ke dalam beg berbeza saiz. Dalam sibuk mengemas, kucapai sebuah cawan biru yang terletak di atas meja lampu di tepi katil. Aku cuba mengingati di mana aku membelinya. Terlintas di fikiran satu ucapan, ‘Warna biru mendamaikan dan coraknya juga menarik’. Bila diangkat, cawan itu akan menghasilkan bunyi.

Ah! Aku sudah lupa. Mungkin hadiah daripada seseorang. Mungkin juga daripada teman-teman sewaktu berpindah sekolah dahulu. Ada kisah yang aku tahu dengan jelas dan segelintirnya aku keliru. Ayah menasihatiku untuk mengingatinya secara beransur-ansur. Dan, penyakit ayah juga semakin teruk. Doaku setiap saat, semoga ayah sentiasa sihat dan dapat melihat aku memegang segulung ijazah.

Dalam kamus hidupku saat ini, aku bernama Anis, mempunyai seorang ayah bernama Mohamed, seorang ibu bernama Maisarah, seorang kakak bernama Eliza, abang iparku Dr. Victor dan adik kesayangan yang degil, Marwan. Mengenangkan kisah silam, membuatku bertekad untuk memulakan hidup baru.

Aku tahu, memulakan sesuatu adalah amat sukar. Namun berkat kesabaran dan ketabahan, badai yang melanda pasti dapat ditembusi. Hadapi kenyataan dengan kesabaran. Azamku mahukan perubahan dan biarlah perkara silam menjadi sejarah yang tiada sesiapa pun dapat ungkapkan penjelasannya. Aku mahu satu kehidupan dan identiti yang baru.

“ANIS, banyak sangat ke nak kemas?” Ayah muncul di pintu bilik. “Tak siap-siap lagi?” sambungnya apabila melihat aku masih membelek cawan biru itu di tangan. Bunyinya memikat jiwa yang kerinduan.

“Dah siap pun, ayah. Anis tak ingat bila Anis terima cawan biru ni.” Aku menghulurkan cawan itu kepada ayah.

Ayah tersenyum dan membelek cawan tersebut. “Anis nak bawa cawan ini sekali ke?”

“Anis tengah fikirlah ni, tapi tak ingat siapa yang beri.” Mungkin ada kenangan yang terpendam.

“Tak usahlah bawa. Benda-benda macam ni tentu ba­nyak kat sana. Anis belilah nanti kat sana tanda Anis pernah ke sana. Tinggalkan aje kat bilik ni. Nanti ayah bagitau ibu ja­ngan usik barang-barang Anis.” Ayah menghulurkan kembali cawan itu.

Aku meletakkan cawan tersebut di atas meja sudut di tepi katilku. Buat kali terakhir aku merenung cawan tersebut, perasaan terasa sayu entah kenapa. Kami keluar dari bilik itu dan ayah membawa dua beg besar yang berisi barang-barangku. Satu beg kuangkat sebagai beg galas.

“Ayah, Wan dah siap ke?” soalku pada ayah bila berada di ruang tamu.

“Eleh, Kak Anis ni... dari tadi Wan tunggu. Dah siap makan kat dapur. Entah apa yang Kak Anis buat lama-lama kat bilik tu.” Marwan muncul di belakang ayah dari arah dapur.

Ayah membiarkan kami dan berlalu mengangkat beg ke kereta.

“Beg Wan mana?” soalku hairan melihat aksi Marwan yang selamba.

“Ada tu kat depan, di beranda tu...”

“Wah... banyaknya barang-barang Wan. Nak terus menetap kat sana ke?” sindirku.

“Kak Anis ni... kita dekat sana bukannya sehari dua. Kita pergi sana lima tahun Kak Anis oi!” Serentak dengan cakap Marwan itu, ibu muncul dari dapur.

“Itu Kak Anis tahu. Apa yang Wan bawa? Kalau setakat benda-benda yang boleh kita dapat kat sana, tak payahlah bawa. Ini sampai tiga beg besar! Tengok Kak Anis, dua beg besar dan satu beg ni!” Aku menepuk beg galas dan tak akan berhenti mengkritiknya.

“Apa yang Kak Anis tahu, hal lelaki.” Marwan menjawab.

“Macam perempuan. Mengalahkan perempuan Wan ni. Kak Anis bawa pakaian aje, Wan bawa apa dalam tiga beg tu? Takkan nak tukar baju setiap saat.”

“Kamu ni, Anis... tak boleh berhenti nak mengata Marwan kalau tak ditegah.” Ibu masuk campur. Ibu selalu begini, suka sangat potong cakap aku.

“Yeah... padan muka Kak Anis, tak dapat kenakan Wan kali ni.” Marwan menjelirkan lidah mengejek.

Aku merengus perlahan. Ibu ketawa. Tercuit hatiku mendengar ketawa ibu.

“Tak ada yang tinggal?” soal ibu setelah ketawanya reda.

Kami menggeleng serentak mengiakan pertanyaan itu.

“Kalau macam tu, marilah kita ke airport. Abang Vic dan Kak Eliza kamu dah lama tunggu kat kereta.”

Aku dan ibu menolong Marwan mengheret beg beroda­nya. Begitu lama aku menjeruk rasa dengan sikap ibu. Sejak kecil sehingga memasuki alam persekolahan, aku se­perti dianaktirikan. Lina ditatang bagai minyak yang penuh. Namun kini sikap ibu sudah jauh berubah. Tidak lagi kuat merungut tentang sikapku atau mungkin aku sudah berubah perangai dan juga mungkin disebabkan Lina telah tiada.

Benar kata-kata pujangga, ada hikmah di sebalik kejadian. Tapi aku sering bertanya apa hikmah semua ini berlaku? Aku tahu ada sesuatu yang pernah berlaku pada ibu dulu. Dan kini, ibu sudah menerima dengan lapang hati. Persoalannya, apa yang menimpanya dulu?

Aku melemparkan pandangan ke luar tingkap kereta yang dipandu Abang Victor. Untuk sekian kalinya, aku menatap pemandangan sepanjang perjalanan dari kampungku ini. Untuk pertama kalinya, aku akan meninggalkan keluarga dan negara tercinta ini. Selamat tinggal bumi bertuah Malaysia! Moga kita berjumpa lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku