Cinta Akan Indah
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
392

Bacaan






Bab 12

Pohon beringin daunnya rendang,

lebatnya hingga cecah ke bumi,

aku ingin hidup bahagia,

akulah anak yatim piatu.

DI RUANG tamu rumah Dr. Victor Abdullah, kelihatan Mohamed terganggu emosinya. Ditambah lagi kesihatannya yang terjejas sejak dahulu lagi. Bukan niatnya untuk menyembunyikan segalanya daripada pengetahuan isteri yang dicintai, cuma isterinya yang tidak akan bertolak ansur membuat dia membatalkan niat untuk berterus terang. Namun sejak dia sakit tak menentu, banyak yang difikirkannya perlu dibuat segera sebelum terlambat. Terlalu banyak dosa yang dilakukannya.

Sebenarnya, dia mahu isterinya menerima cadangan itu sejak dari dulu. Cuma sikap isterinya yang suka cakap main lepas membuatkan dia memutuskan untuk menutup hal tersebut dengan kematian. Sesungguhnya, peristiwa itu juga menggores perasaannya sedikit demi sedikit. Bila zuriat sendiri tidak pernah mempedulikan perasaannya, menganggap dirinya tidak pernah wujud, dia mula insaf dengan kealpaannya selama ini.

Namun tekanan perasaan akibat penerimaan anaknya, dia perlu juga menceritakan semua ini kepada isterinya. Kesihatannya juga tidak mengizinkan untuk hidup lebih lama. Eloklah hal tersebut diberitahu semasa dia masih hidup. Dia takut nanti hal itu menyusahkan mereka. Lagipun dia ingin meninggalkan mereka dalam keadaan yang berterus terang dan jelas akan segala-gala yang berlaku.

Dan dia tidak pernah menduga begitu sekali penerimaan isterinya, manakala Eliza hanya diam membisu membiarkan mereka membicarakan hal tersebut dalam keadaan tegang. Tidak pernah tenang!

“Apa salah Mai pada abang? Kenapa abang sanggup menyerahkan anak Mai pada orang lain? Kalau abang tak beritahu hal ni, sampai bila-bila pun Mai tak tahu.” Untuk kesekian kali Maisarah menempelak suaminya.

Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa selama ini, anak lelaki sulungnya, kembar Eliza diserahkan kepada orang lain dan bukannya lemas akibat arus deras banjir. Patutlah sehingga kini mayat anaknya tidak ditemui. Selama ini pun dia tidak pernah percaya kehilangan anaknya itu kerana di­hanyut oleh arus deras banjir.

Pertengkaran yang berlaku sukar dileraikan. Melihat situasi yang semakin tegang, Eliza cuba mendamaikan kedua-dua orang tuanya. Suaminya masih dalam perjalanan pulang. Sengaja dia meminta ibu dan ayah menemaninya pada saat-saat hampir melahirkan anak. Lain yang diharap lain pula jadinya.

Sejak datang menetap di rumah itu, kedua-dua orang tuanya itu tidak berhenti bertekak. Cuma sesekali saja ayah diam tidak membalas kata-kata ibu.

“Maafkan abang kalau benar kesilapan yang abang buat tu besar sangat pada Mai. Bukan maksud abang mahu me­nyembunyikan keadaan sebenar. Abang takut Mai tak mahu menerima keadaannya sebagaimana seperti sekarang,” pujuk Mohamed.

Dia masih menyembunyikan kebenaran, amat pasti mereka tidak dapat menerima semua dengan tenang. Kerana apa yang berlaku dalam perjalanan hidupnya tidak pernah dijangka oleh manusia. Siapa dia sebenarnya?

“Abang sepatutnya tanya pendapat Mai dulu. Abang buat keputusan tanpa berbincang dengan Mai. Entah apa lagi yang abang dah buat!” tuduh Maisarah melulu. Dia tidak pasti adakah hanya hal anaknya itu atau ada hal lain lagi yang disembunyikan suaminya. Entah-entah dia telah dimadukan tanpa pengetahuannya.

“Mai jangan tuduh abang yang bukan-bukan. Tiada apa yang cuba abang sembunyikan. Abang tak mahu Mai menyakiti Riz lagi, itu aje! Mai tahu Riz waktu tu macam mana. Mai sendiri tak mahu mengaku itu anak Mai. Mai sanggup membiarkan Riz terkapai-kapai meminta kasih sayang yang diharapkan.”

Mohamed menyebut nama seseorang. Seseorang yang telah lama lenyap dalam hidup Eliza. Riz? Abang Riz! Kehilangan Abang Riz semasa mereka baru memasuki alam persekolahan darjah satu! Dia diam membisu melihat kedua-dua orang tuanya bertekak.

“Riz tu perlu dibiar begitu untuk mengerti cara berdikari. Mai tak bertujuan untuk menyeksa dia. Mai cuma mahu Riz belajar sesuatu yang sukar, walau dicuba berkali-kali pasti Riz dapat mengatasi kekurangannya. Tapi lihat apa yang abang dah buat. Abang memisahkan anak dengan kasih Mai selama bertahun-tahun. Mai tak dapat terima!” Maisarah menangis semahunya.

“Abang tak tahu pun Mai sayang Riz. Setahu abang selama Riz ada bersama kita dulu, Mai selalu tengking dia. Arah itu dan ini. Kalau Riz tak menurut kata, Mai akan pukul. Jangan Mai ingat abang tak tahu semua tu. Walaupun abang ke kebun getah awal pagi dan balik waktu dah nak senja, abang masih ambil tahu hal rumah tangga kita. Itu yang Mai kata kasih, Mai?”

“Apa lagi yang Mai boleh buat? Mengharap pada pertolong­an abang yang tak pernah ambil peduli hal rumah? Abang, Mai dah lama bertahan dan bersabar dengan abang!”

“Ayah! Ibu!” Eliza berteriak di pintu dapur.

Terhenti seketika pertengkaran sengit. Serentak me­reka berpaling melihat Eliza sedang berpaut pada tiang pintu menahan sakit.

“Kenapa Eliza?” soal Mohamed.

“Nampaknya hampir masa nak lahir!” Maisarah membe­ritahu. Serentak dengan itu Victor muncul di pintu depan.

“Vic, sediakan kereta! Isteri kau nak bersalin ni!” arah Mohamed kepada suami Eliza. Terlupa seketika sengketa yang berlaku.

“Bukan ke duenya dua hari lagi?”

“Lekas! Jangan banyak soal. Sediakan kereta!” arah Mohamed lagi.

Eliza dalam keadaan yang amat sakit cuma memerhati Victor mengangkat tubuhnya. Saat melahirkan hampir tiba. Mengapa awal dua hari? Adakah kerana tekanan daripada cerita yang didengarinya sejak ibu dan ayah datang? Dalam separuh sedar, dia masih mendengar pertengkaran ibu dan ayah yang belum habis.

Keadaan hujan lebat menyukarkan Victor memandu menuju ke hospital, ditambah lagi keadaan mentuanya yang asyik menyalahkan antara satu sama lain. Isterinya di belakang sedang mengerang kesakitan. Dia juga keresahan.

“Jauh lagi ke, bang?” jerit Eliza menahan sakit.

“Hujan lebat ni... abang tak berani pandu laju. Sabar Liz, insya-ALLAH kita selamat sampai ke hospital.” Victor cuba menenangkan isterinya. Dia berpaling sekejap ke belakang.

“Vic!” teriak Encik Mohamed di sebelah.

Namun sudah terlambat, mereka berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Kemalangan yang mengerikan.

Di bilik ICU... nyawa seseorang sedang diselamatkan. Kemalangan yang berlaku sebentar tadi telah mengorbankan tiga nyawa. Hanya seorang wanita yang sedang berusaha diselamatkan kerana bayi di dalam kandungannya masih hidup. Namun, kini ibunya baru sahaja menghembuskan nafas ter­akhir. Pembedahan perlu dilakukan segera.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku