Cinta Akan Indah
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
483

Bacaan






Bab 13

Esoknya...

BANGLO mewah di pinggir kota, tinggal seorang pemuda bersama ibu angkatnya yang menjaga sejak umurnya tujuh tahun lagi. Dia tahu dirinya hanya menumpang kasih pada wanita tua yang banyak menabur budi dalam hidupnya. Dia tahu kerana keadaan diri dan kepincangan tubuh badan dia terlontar di situ.

Itu dulu, sewaktu perasaannya mula-mula menjejakkan kaki ke banglo mewah itu. Kini, kesuraman hidupnya sudah disinari cahaya. Dia ingin memulakan hidup baru kerana sudah memakai kaki palsu. Walaupun selama ini dia hanya berkerusi roda, tapi itu tidak menghalangnya meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah.

Cuma Ibu Hajar tidak mahu dia menyusahkan diri de­ngan berkerusi roda ke pejabat. Ibu Hajar mahu dia memakai kaki palsu. Dan Ibu Hajar tidak pernah membiarkan dirinya merasai kekurangan apatah lagi kesunyian.

“Riz, buat apa tu?” Ibu Hajar datang menghampiri membawa sarapan.

Muhkriz yang duduk di kerusi taman buatan di luar rumah sambil membaca surat khabar berpaling. “Tak ada apa, mak... Riz nak baca surat khabar ni.” Dia tersenyum.

“Ibu tak keluar hari ni?” soalnya pula. Dia memanggil Ibu Hajar dengan panggilan mak. Dia tahu wanita tua itu bukan ibu kandungnya.

“Nanti ada perjumpaan dengan Puan Sri Amnah.” Ibu Hajar duduk di depan Muhkriz, menghulurkan minuman. Kebiasaan sejak dulu.

“Perjumpaan persatuan lagi?” Muhkriz menghirup cawan di tangan sebelum membentang akhbar tadi untuk dibaca.

“Ya. Macam mana dengan kaki baru, Riz? Tak ada kesan apa-apa?” Ibu Hajar membelek kaki palsu Muhkriz.

“Elok aje, mak. Rasa selesa pakai. Tak tahulah pula kalau dah lama...” Muhkriz terhenti apabila melihat tajuk besar akhbar hari ini. Muka depan memaparkan berita kemalangan ngeri yang mengorbankan satu keluarga dan seorang doktor dari hospital. Raut wajahnya berubah pucat, tidak percaya.

Baru dua hari yang lepas Mohamed menemaninya ke hospital untuk memasang kaki palsu. Betulkah kisah tersebut? Tidak sangka itu adalah kali terakhir ayah dilihat sangat gembira dengan penerimaannya. Ayah tak pernah mengabaikannya sejak dulu. Kenapa semua ini terjadi sewaktu dia mula menerima nasib dan sudah tidak lagi menyalahkan perbuatan ayahnya dulu?

“Kenapa Riz? Nampak pucat. Tak sihat?”

Soalan Ibu Hajar dibiar sepi. Muhkriz membisu. Matanya masih menatap berita kemalangan ngeri itu. Segala sendinya longgar dan badannya terasa menggeletar. Apa yang akan terjadi selepas ini?

“Riz, kenapa nak? Jangan buat ibu risau. Kaki kanan Riz sakit lagi ke?” soal Ibu Hajar gusar.

Muhkriz masih membisu. Tidak tahu apa yang perlu diucapkan pada saat dirinya telah menjadi yatim piatu. Tidak disangka sehingga akhir hayat, ibu kandungnya tidak dapat ditemui. Walaupun kebencian merajai hatinya, tapi itu tidak menghalang kasih sayangnya terhadap mereka. Dia masih sayangkan ibunya.

Peristiwa masa silam yang perit! Tidak mungkin dia akan merasainya lagi. Untuk mengulangi sejarah semula juga sukar. Dia bahagia dengan belaian Ibu Hajar selama ini. Dia menerima Ibu Hajar sebagai ibu sendiri. Walaupun dia tahu ayahnya dibayar untuk menyerahkan dirinya. Sebagai bayaran menyerahkan dirinya kepada Ibu Hajar yang kehilang­an anaknya dulu.

Dia tahu ayahnya memerlukan wang untuk rawatan adik kembar perempuannya. Perkara ini baru ayah beritahu bila dia mendesak untuk mengetahui perkara sebenar. Dia sudah dewasa dan mahukan kebenaran daripada ayahnya sendiri.

Hasilnya, dia kehilangan mereka apabila perkara itu di­ketahui, apabila hati yang merajuk sekian lama mula lembut dan sejuk semula. Dia tahu ayahnya datang berkali-kali ke bandar semata-mata untuk memujuk dan menjenguknya. Dia tahu ayahnya kecewa dengan layanannya selama ini.

Dia tahu ayahnya tidak berputus asa memujuknya untuk kembali ke pangkuan keluarga mereka. Ayahnya sering menelefon dan mengkhabarkan perihal keluarganya. Pelbagai masalah telah menimpa dan dia tidak mahu muncul juga. Mungkin ayah kecewa padanya dan...

Dia kecewa! Dia anak yang tidak tahu diuntung. Kebahagiaan apakah lagi yang ingin dikecapi selain berada di sisi orang yang menyayanginya? Dia tahu dia silap, tapi me­ngapa hukuman ini yang perlu dia terima? Mengapa me­reka pergi tanpa mengetahui kewujudannya?

“Riz...”

Panggilan Ibu Hajar tidak lagi diendahkan. Muhkriz segera berlari masuk dan membiarkan wanita tua itu terpinga­-pinga. Dia mahu mereka tahu dirinya lebih rela terseksa oleh ibu sendiri daripada dijual kepada orang lain. Dia rela dirinya dicerca, dipukul, dicubit dan diperlakukan oleh Maisarah daripada menerima berita kematian mereka di dada akhbar. Kini sudah tiba masanya dia melunaskan permintaan ayah untuk menjalankan tanggungjawabnya. Dia lupa seketika dirinya yang berkaki palsu!

“Riz... mahu ke mana?” soal Ibu Hajar yang menyusul di belakang.

“Riz nak ke hospital, nak jumpa mereka buat kali terakhir sebelum dikembalikan pada ALLAH!” Sayu suara Muhkriz.

“Biar ibu temankan...”

“Tak perlulah... ibu kan ada perjumpaan dengan Puan Sri?”

“Tak apa, ibu batalkan saja. Lagipun sebenarnya, ibu mahu kenalkan Riz pada mereka.”

Muhkriz mengangguk. “Kita pergi sekarang.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku