Cinta Akan Indah
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
461

Bacaan






Bab 14

KINI Muhkriz ada tugas yang perlu dibuat. Mengikut laporan akhbar, mangsa yang terbabit hanyalah ibu bapa dan seorang anak mereka termasuk seorang doktor iaitu menantu keluarga itu. Jadi, di mana mereka yang lain? Dia perlu menemui adik kandungnya dan seorang anak buah perempuannya.

Dia perlu menyelesaikan hutang pada adik-adiknya. Tanggungjawab yang sudah lama ayah inginkan daripadanya sejak dulu lagi perlu dilaksanakan. Walaupun dia tahu mudah untuknya menjejaki mereka, tapi tentu sukar untuk mereka menerima dirinya. Dia... seseorang yang tidak pernah disedari kewujudannya di bumi! Dia tahu ini akibat daripada kedegilannya, akhirnya dia dibelit oleh penyesalan.

Dia ingat tiap baris patah perkataan dalam setiap surat yang sengaja ayah tuliskan untuknya. Kata ayah, sekadar kenangan pada masa akan datang. Manalah tahu suatu hari nanti dia tergerak hati untuk menemui mereka.

Dia malu pada dirinya sendiri. Cacat! Dari dulu sehingga kini, itu satu-satu perasaannya yang tidak dapat dihilangkan. Dia tahu apa yang telah terjadi dalam keluarganya. Bermula dengan kehilangannya dan diikuti pelbagai lagi cerita Anis dan Lina sehingga akhirnya noktah pada kematian mereka.

Ego! Itu adalah kelemahannya. Ego yang mengheret dirinya pada penyesalan yang tidak berkesudahan. Ego untuk mengakui kasih sayangnya pada arwah ayah. Pada mereka sekeluarga.

Kehilangannya ditutupi dengan satu kematian, Eliza sakit, kebakaran, amnesia, pertukaran identiti adik kembar perempuannya dan semuanya yang dia ketahui. Arwah ayah yang tidak mengenal erti putus asa memujuk untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga. Segalanya akan dipastikan berakhir! Itu janjinya.

Ada gelombang resah di hujung rindu.

Tirai Januari 2002

London

MENDUNG tak bererti hujan, cerah tak selalunya baik. Begitu jugalah perjalanan hidupku. Aku sangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Sekali lagi aku dilanda musibah besar yang mencabar iman dan ketabahanku.

Aku tidak mengerti mengapa semua ini mesti menimpaku ketika saat bahagia mula menjelma semula. Ketika aku meniti hari-hari mendatang dengan kenangan silam yang sukar untuk dilenyapkan. Mengapa mendung tetap memba­yangi kecerahan hari? Mengapa kebahagiaan yang aku kecapi cuma sebentar? Apa salahku?

Aku tidak tahu hikmah atau musibah apa yang berlaku pada masa akan datang. Sekali lagi imanku goyah dan sekali lagi merasai keperitan hilangnya kasih tempat bergantung.

Belum puas aku mengecapi kasih sayang mereka. Kini mereka juga pergi meninggalkan aku di padang pasir yang tandus dan kering ini. Air mata kembali menjadi peneman duka. Aku bingung dan tidak berdaya untuk meneruskan apa yang ada di sini. Oxford... bunga duka sepanjang titian jalan hidupku!

Tahun baru membawa cerita baru, menguburkan cerita lama. Cuma bezanya padaku, tahun baru juga membawa rentetan cerita dukaku kembali. Aku kembali sepi. Sepi tanpa kasih, sepi kerana rindu pada mereka yang telah tiada. Walau hati disayat pilu, hanya kesabaran membatasi. Hanya ini satu-satunya harta yang aku ada. Setelah pemergian Lina, aku menerima dugaan itu dengan ketabahan dan keredhaan.

Dan kini, aku kehilangan sekali lagi! Keluarga tercinta tempat berpaut kasih pergi menyahut panggilan ILAHI. Aku menangisi nasib diri. Mengapa? Di mana hendak kucari ganti? Peristiwa yang masih segar di ingatan. Ketika menerima berita duka itu, aku berada jauh di mata mereka. Sedang menjalani rutin hidup sebagai pelajar. Berita yang sememangnya memerlukan kesabaran dan ketabahanku berlipat ganda untuk kali kedua. Aku perlu tabah dan kuat menahan dugaan ini semula.

Jill menghampiriku sayu dan menggamit untuk sama-sama ke pejabat pentadbiran kolej. Resah dan ekspresi wajahnya menjadi tanda tanya. Sebentar tadi kami bergelak tawa. Sebaik menerima khabar dari Malaysia, perasaanku tak menentu.

Benarkah semua ini telah berlaku? Dalam sekelip mata kebahagiaan yang aku kecapi diragut kembali. Sekejap rasa­nya merasai kasih sayang mereka, akhirnya aku menjadi yatim piatu! Aku menangis semahunya di situ sebaik menerima berita yang menyayat hati. Tangisan yang telah lama hilang sejak pemergian Lina. Berat rasanya dugaan kali ini. Aku menghapuskan air mata di pipi. Aku perlu lebih tabah daripada Marwan.

Mungkin juga silapku. Pergi untuk mencari kedamaian di jiwa, melupakan perkara yang melukakan. Sebaliknya, parut yang semakin tertutup terbuka luas dan semakin bernanah. Pilu dan sebak menyelubungi perasaan.

Aku memutuskan untuk berhenti daripada pengajian. Orang yang membiayai pengajianku dan Marwan telah tiada. Walaupun Marwan berkeras untuk setia di sini, namun aku telah membuat keputusan yang terbaik agar aku tidak kehilangan orang yang aku sayangi lagi! Keadaan merunsingkan aku, ada nyawa yang perlu kujaga. Marwan juga perlu dimaklumkan hal ini.

“Wan, Kak Anis nak maklumkan satu berita sedih. Harap Wan dapat bersabar. Kak Anis sendiri sukar untuk menerima kenyataan. Sekali lagi Kak Anis kehilangan!” Sebak dan tangisan masih terus berlagu di jiwa. Aku tidak peduli pada setiap mata yang memandang ketika ini.

Kesedihan menguasai daya fikir. Aku menangis semahunya di sisi Marwan di taman itu. Marwan yang tidak tahu apa-apa kebingungan melihat aku menitiskan air mata dalam keadaan mata yang bengkak.

“Kenapa Kak Anis menangis seteruk ni? Apa yang berlaku?” Marwan bimbang melihat keadaan kakaknya yang tidak ubah seperti peristiwa kehilangan Lina. Malah lebih teruk lagi keadaannya itu.

“Kak Anis tak tahu, Wan... apa salah Kak Anis? Mengapa Kak Anis merasai kesedihan ni? Mengapa kebahagiaan yang dikecapi hanya sementara saja?”

“Apa yang Kak Anis cuba cakap ni?”

“Ibu dah tak ada! Ayah juga. Abang Vic dan Kak Eliza telah pergi. Mereka meninggalkan kita, Wan. Mereka pergi...” Aku menangis semula, terlalu sukar untuk aku menahan perasaan kecewa kali ini. Tersedu-sedan seiring dengan getaran pilu di jiwa berkocak.

“Apa yang berlaku?” Marwan menahan gelora hatinya sendiri. Khabar duka ketika dirinya di perantauan. Dia bertanya walau sudah dapat menduga maksud kata-kata kakaknya itu. Kak Anis tidak akan menangis sebegitu teruk jika ia bukan melibatkan keluarga mereka. Dia tahu!

“Keluarga Wan terlibat dalam kemalangan masa menghantar Kak Eliza ke hospital.” Jill menyambung kata, cuba membantu untuk menenangkan perasaanku.

“Apa?” Marwan diam dan tertunduk lesu. Semangatnya hilang.

“Kak Anis tak tahu nak buat apa, Wan. Kita balik malam ni juga. Kak Eliza sempat melahirkan anak sebelum pergi. Kita perlu menguruskan pengebumian mereka. Sekurang-kurangnya kita ada di sana.” Sekali lagi aku ditinggal pergi. Dan kali ini aku benar-benar hilang arah. Dahan tempatku berpaut telah patah!

HARI ini, tanah yang merah dan masih baru itu sudah mencecah hari kelima. Mereka telah selamat disemadikan. Tanah perkuburan itu telah ditinggalkan.

Aku masuk ke dalam bilik tidurku. Keadaannya masih sama sebelum aku berangkat ke luar negara. Perhiasan dan barang-barang masih tersusun. Aku duduk di birai katil dan menangis untuk kesekian kali.

Mereka pergi tanpa penjelasan sebagaimana pemergian Lina dulu. Aku tertunduk membisu. Air mata yang telah kering mengalir lesu di pipi. Ada tanggungjawab besar perlu dipikul! Aku perlu mengetuai keluarga ini! Aku menjadi harapan dan tempat bergantung Eman Marwan dan Liz Victoria.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku