Cinta Akan Indah
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
538

Bacaan






Bab 16

Tirai Januari 2004, 9.38 pagi

Bilik CEO, One’za Holdings

Kurindu wajah dan senyumanmu,

memberikan cahaya,

di dalam setiap mimpi-mimpiku,

kau pergi membawa hati ini,

tinggalkan aku sendiri dalam sepi.

JATUH cinta sesingkat itu. Irsyad juga putus kasih dalam sekelip cuma bersama pemilik sebuah nama Aina Malina... Lina... satu nama yang telah sebati dengan rutin hariannya di kampus. Nama itu juga mendapat satu tempat istimewa jauh di lubuk hatinya.

Walaupun jika dilihat dengan mata kasar mereka hanya bersahabat, namun tiada siapa yang tahu hatinya selama ini menafikan bahawa dia terpikat dengan keistimewaan Lina sejak dulu, sejak mereka berkenalan.

Dia jatuh cinta untuk kesekian kali. Kala ini dia pasti ia adalah cinta pertama dan terakhir untuknya. Wow! Tapi... mahukah Lina menerimanya setelah apa yang telah berlaku? Setelah semua yang mereka lakukan pada sahabat Lina sen­diri? Dia juga tidak percaya, memikat Meeda tapi terpikat pada temannya!

Irsyad bersandar lesu pada kerusi CEO yang diwarisi daripada mamanya. Dia memejamkan mata, cuba mencari ketenangan. Fikiran berserabut penuh dengan kenangan, persoalan dan yang penting permintaan mama. Sejak dulu, mama hidup bersendirian selepas pemergian papa yang terlibat dalam nahas kapal terbang di Los Angeles. Dia tahu mama tidak mahu bersuami lagi kerana membesarkannya.

Kini, sudah tiba masa dia memenuhi impian mama yang lebih pada permintaan dan perintah seorang ibu. Dia sudah mengambil alih tampuk pemerintahan syarikat One’za Holding. Apa lagi yang mama tidak puas hati?

Mama mahu dia mengakhiri zaman bujang walaupun mama tahu hatinya masih teguh untuk membuang kenangan cinta ini. Masih terasa seperti baru semalam Lina menuturkan kata cinta kepadanya. Hatinya sukar untuk menghilangkan nama Lina yang terlekat kukuh di hati.

Silapnya juga. Sekiranya dulu dia tidak terlalu sibuk bertanya hal Meeda dan mengambil berat hal Lina, pasti kini dia tahu apa punca sebenarnya Lina pergi. Waktu di kampus dulu, Lina sering dijenguk ayahnya setiap sebulan sekali. Bila mereka memasuki tahun kedua, ayah Lina tidak lagi datang sekerap tahun sebelumnya. Cuma hanya beberapa kali itu saat terakhir yang menjadi sejarah hidup.

Sudah empat tahun peristiwa itu berlalu, namun kenang­an masih segar di ingatan. Hati seakan kesal kerana lambat menyedari cinta mereka. Sehingga hari ini, hidup yang dinikmatinya masih begini. Sunyi dan sepi menjadi peneman rindu yang tidak kesampaian. Rindu yang diucapkannya setiap hari pada batang tubuh yang telah lama dimamah tanah. Sanggupkah dia begini membiarkan harapan mama­nya terbang bersama angin pagi yang redup?

Dulu dia senang memberitahu mama apa yang berlaku padanya. Dia akan meluahkan dan membincangkan banyak perkara bersama mama. Mama pula amat memahami kehendak hatinya, tapi tidak sekarang.

Masalahnya bertambah rumit lagi bila permintaan Meeda yang sejak akhir-akhir ini melampaui batas persahabatan mereka. Meminta perhatian lebih daripadanya. Mungkin juga Meeda tahu mama ingin menjodohkan mereka. Atau ini memang rancangan mama dengan Meeda?

Dia menatap siling pejabatnya. Ini pejabat arwah papanya dulu. Di sinilah selalu papa bawa dia sewaktu kecil dan mama akan menegahnya mengusik barang-barang di atas meja ini. Selepas kematian papa, dia jarang ke sini lagi. Mama mendaftarkannya ke sekolah berasrama. Mama mengambil alih dan menguruskan segalanya sehingga dia tamatkan pengajian.

Dia mengeluh. Perasaan itu sudah lama terkubur bersama kekecewaan dan kehampaannya. Sejak tadi cek-cek yang perlu ditandatangani belum disentuh. Walaupun telah berkali­-kali Aisya, setiausahanya mengingatkan bahawa tarikh pembayaran hampir tamat!

Semua yang ditatapnya kosong dan tidak bermakna, namun kehidupan perlu diteruskan. Beginilah rutin hariannya, berulang-alik ke pejabat dan ke rumah. Dia sudah tidak tahu bersosial lagi. Dia seakan melupakan kegiatannya dulu.

Sebenarnya, berat hati untuk mengakui bahawa Meeda mula menerima dirinya dan mencintainya. Dapat dilihat jelas melalui bahasa tubuh gadis itu. Sedangkan dahulu, terlalu banyak cara dan teknik dilakukan untuk mendekati Meeda sehingga membabitkan Lina. Tanpa sedar dia mula merindui gadis itu pula. Gadis yang bermata bundar dan jarang sekali mempamerkan senyuman. Kali terakhir dia bersama Lina adalah saat indah yang akan dikenangi hingga ke akhir usia.

Dia tidak lupa reaksi Lina bila pertama kali dia menuturkan kata-kata cinta. Diluahkan perasaan pada Lina dan juga ketakutan untuk ditinggalkan. Namun, akhirnya dia ditinggal pergi. Dia menatap cawan berwarna biru di mejanya, yang menjadi hiasan sejak dia dilantik menjadi CEO. Tiada siapa tahu cawan itu ada kenangannya. Dia tidak mahu sesiapa pun mengalih atau mengusik cawan tersebut. Mengangkatnya pun jangan kerana muziknya memilukan hati.

Setelah hati terluka, cinta Meeda hadir tanpa salam. Keadaan yang ketandusan kasih seorang Hawa yang memerlukan sokongan bimbingan seorang Adam. Biarlah dia bersendirian, cinta yang Meeda hulurkan tidak membantunya berubah. Mungkin Meeda jatuh cinta padanya setelah melihat kesetiaannya yang tidak berbelah bagi pada arwah Lina. Setelah kesetiaan Meeda pada Khairul dikhianati.

“Good morning, Encik Iskandar.”

Lampu interkom menyala. Suara Aisya kedengaran.

“Ya, Aisya... kenapa?” soalnya acuh tak acuh, panggilan itu mengganggu.

“Cik Meeda nak jumpa. Dia ada di luar sekarang ni.”

“Tak apa, Aisya... suruh dia masuk!” Irsyad mematikan interkom. Dia dapat mengesan nada suara Aisya yang kelam-kabut. Mesti Meeda buat hal di luar lagi. Sikap Meeda telah jauh berubah sejak ditinggalkan Khairul.

Dia duduk menegak menanti kemunculan gadis idaman mamanya itu. Hatinya sudah tawar. Meeda juga meninggalkan sahabat baiknya, Zainal.

“Hai, Syad... sibuk ke?” sapa Meeda sebaik sahaja muncul di pintu bilik.

Irsyad ketika itu tunduk berpura-pura menyemak dokumen di atas meja. “Helo, Meeda... taklah sibuk sangat. Cuma nak sign cek-cek ni untuk payment. Mereka dah bising I lambat bayar.” Dia menghentikan perbuatannya. Meeda nampak ‘daring’ hari ini.

“I faham... tapi I nak syad teman I shopping petang ni,” balas Meeda manja.

“Shopping? Untuk apa? Kenapa pelawa I? Kenapa tak bawa rakan-rakan you?” Perkara kecil macam ni pun nak dia yang temankan. Betul-betul nak tarik perhatiannya. Meeda jauh benar berubah!

“Pura-pura pula you ni. Takkan tak tahu I nak shopping untuk kita juga.” Meeda mengigit bibir.

Entah kenapa dia tergoda dengan keagungan cinta Irsyad yang tidak berubah pada arwah Lina. Sebenarnya, dia menyesal menolak cinta yang dihulur Irsyad dulu. Benarlah kata-kata arwah Lina, tak rugi kiranya dia menerima Irsyad. Setelah dia menerima hinaan Khairul, hatinya tergores luka. Cinta yang disemai putus tanpa dipinta. Nasibnya baik kerana Lina telah pergi. Kalau tidak, tak ada peluang dia rapat de­ngan Irsyad kini. Peluang yang tidak pernah difikirkannya.

“Untuk kita? What do you mean? I don’t understand!” Irsyad menghidu maksud Meeda. Ada sesuatu yang telah dirancang oleh mama. Ini tentu ada kaitan dengannya.

“Well... mama you call I baru saja tadi minta bawa Syad pergi shopping.” Meeda mengelak untuk menerangkan kedudukan sebenarnya. Sedangkan hakikatnya, dia sendiri yang sibuk-sibuk menelefon Puan Sri Amnah. Tak sangka mama Irsyad tu baik orangnya. Disuruh dia membawa Irsyad sebagai teman majlis makan malam hari Sabtu ini.

“Mama I call you? Impossible!” Irsyad terangkat kening.

Ketukan di pintu menghentikan tingkah Meeda.

“Syad, aku ada surprise untuk kau!” Zainal muncul mendepangkan tangan dengan wajah ceria. Seketika kemudian matanya tertuju pada gadis yang duduk menghadap Irsyad. “Hai, Meeda... kau pun ada sama? Nampaknya tak kena masa aku berjumpa dengan Syad. Aku keluar dulu. Maaf mengganggu.” Segera dia berpaling, tidak jadi mengkhabarkan berita gembira itu bila Meeda dilihat menjeling tajam ke arahnya. Dia faham benar maksud jelingan itu.

“Zai! Tunggu! Apa dia?”

Panggilan Irsyad menghalang langkah Zainal.

“Tak apa, nanti kita lunch aku cerita. Bukannya penting sangat!” Zainal berlalu juga, dengan hati yang panas!

“Tak penting tapi surprise,” sindir Meeda kurang senang dengan gangguan itu. Tidak sangka Zainal yang masih wujud itu kerja dengan Irsyad juga!

“You jangan ambil hati. Zai memang macam tu, suka sakat I. Apa kata minta Zai temankan you shopping?” cadang Irsyad.

“Tak nak! I mahu you yang temankan juga,” bantah Meeda keras.

“Maaf, Meeda... nanti I ada meeting dengan klien!”

“Jangan nak bohong. Tadi I tanya setiausaha you. Aisya kata, petang ni you free,” tukas Meeda pantas.

“Hal ni peribadi. Aisya tak tahu, sebab tu tak ada dalam appointment list. Penting sangat ke you shopping hari ni? Sampai tak boleh tunggu hari cuti? Apa kata kita pergi Ahad ni?” Sengaja Irsyad memancing kata.

“Ahad? Makan malam tu Sabtu ni. Itu sebab I minta you temankan I shopping. You pasangan I malam tu nanti. Oh! I belum beritahu mengenai jemputan makan malam tu dengan you, kan? Ya ALLAH... I lupa!” Meeda menepuk dahi tanda menyesali kealpaannya. Berpura-pura adalah satu lakonannya untuk menunjukkan bakat.

“Makan malam? Kenapa you tak cari pasangan lain? I tak senang malam Sabtu ni. You dah lupa?” Irsyad cuba me­ngelak untuk terus rapat dengan Meeda.

“I ingat, tapi I rasa kita masih sempat lagi. Kan makan malam tu mula pukul 8.00. You pergi awal pagi, tengah hari tentu dah sampai sini balik.” Bagaimana pula Meeda boleh lupa untuk mengunjungi kubur Lina di kampung? Dia tidak pernah lupa itu rutin Irsyad yang sanggup berulang alik ke sana sejak balik dari luar negara, hanya untuk menziarahi kubur bekas gadis kesayangannya. Sampai mati pun Lina masih mengganggunya.

“Kalau you nak pergi juga, you carilah orang lain. I penat!” Irsyad menolak ajakan Meeda. Dia dapat rasakan ba­hang keresahan Zainal.

“Tak apa. I cari orang lain. Sampaikan salam I pada mama you.” Meeda sakit hati dan merajuk. Dia terus berlalu pergi.

Irsyad tidak menghiraukan. Punat interkom ditekan. “Aisya, call Zainal untuk I.” Dia tahu Zainal tiada di biliknya. Pasti sekali lagi sahabatnya itu menjeruk rasa melihat Meeda di situ bersamanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku