Cinta Akan Indah
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
560

Bacaan






Bab 17

Kasih,

kita bina impian palsu,

bersemi umpama musim salju,

musim indah yang berlalu,

di persimpangan ini aku keluh,

bisu dan keliru.

SEBAIK sahaja keluar dari bilik Irsyad, Meeda me­rungut geram dengan layanan lelaki itu terhadapnya. Dia tahu Irsyad hanya menganggapnya sahabat, tak lebih daripada itu. Dia tahu juga sukar untuk memenangi hati lelaki itu semula.

Aisya yang berada di luar kecut melihat reaksi Meeda yang amat berlainan hari ini. Biasanya mood gadis itu baik bila sudah bertemu bosnya. Mungkin permintaannya kali ini ditolak! Dia menjongket bahu melihat gaya Meeda, tidak mahu ambil tahu hal peribadi bosnya. Yang penting dia buat kerja. Serik dia ditengking hanya kerana kesalahan remeh!

Meeda berjalan menghentakkan kasut tumitnya bising daripada biasa. Bunyi itu menarik perhatian beberapa orang pekerja di sekitar. Namun, mereka sudah maklum kerana aksi dan lakonan gadis itu yang penuh duri kepura-puraan. Meeda geram, kenapa Zainal mesti muncul semula?

Sampai saja di tingkat bawah menara syarikat, dia menuju ke Café Hafsah. Kemarahannya harus dilampiaskan pada seseorang. Dengan kasar dia menarik kerusi dan duduk di depan Zainal yang seakan asyik dengan khayalan sendiri. Dia tidak peduli dengan pandangan beberapa pelanggan di situ.

“Well... well... well. Apa you buat kat sini?” soal Zainal yang terganggu dengan kedatangan Meeda secara tiba-tiba.

“Sepatutnya I yang tanya you. You buat apa kat sini? You tak pernah puas selagi you tak dapat, kan?” rengus Meeda marah. Dia terasa dengan sindiran itu.

“Hmm... seperti yang you maklum. Kerja I ni selalu outstation, tak tetap. Tak sangka pula hari ni I bertuah terse­rempak dengan you!” Sinis sindiran tajam Zainal menusuk ke telinga. Ada pekung di dada yang sukar dibuka. Ada cerita yang belum selesai dan ada hati yang telah lama terluka.

“Tak kuasa I nak layan. I tahu you intip segala pergerakan I selama ni, kan? Itu sebab you tak lepaskan Irsyad! Cukuplah, I tak mahu you terlalu mengharap!” Suasana tegang mula menyelubungi wajah keruh Meeda.

“Intip you? Dari mana you dapat idea gila ni? Irsyad dan I dah lama kenal. Dia sahabat I sejak kecil lagi,” balas Zainal masih seperti tadi. Simpati pada Meeda sudah lama terkubur sejak gadis itu mempersendakan perasaannya.

“You tak ada sejak setahun lalu. You ke mana? Tiba-tiba you muncul semula depan I.” Meeda mendesak. Hatinya juga masih ada kasih, namun ditutupi dengan sikap tamaknya untuk menguasai kesetiaan cinta milik Irsyad.

“Supaya senang you lakonkan watak you bersama Irsyad.” Zainal cuba mengeraskan hati daripada tersentuh dengan belaian kata-kata Meeda.

“Jangan sindir I! Siapa yang hilangkan diri tanpa khabar berita? Siapa yang berjanji, tapi mungkir?” bentak Meeda tanpa mempedulikan orang sekeliling.

“Hendak seribu daya, Meeda... I tak ke mana, cuma tenangkan hati kat Johor. Irsyad nak I uruskan salah satu cawangan projek One’za kat sana,” tutur Zainal tenang. Dia tahu, dia tidak sepatutnya mengikut rentak gadis di depannya itu. Dia meneliti Meeda yang diam. Wajah itu yang menjadi kegilaan Irsyad suatu waktu dulu dan wajah itu juga yang merobek hatinya!

“Kenapa you tak pernah hubungi I? Sekurang-kurangnya you beritahu I you di mana.” Meeda mula membicarakan soal hatinya yang meruntun pilu.

“I tak mahu menambah cuka pada luka, Meeda. Biarlah I rawat hati I sendiri daripada merawat luka orang lain. Seksa rasanya melepaskan perasaan sayang yang pernah kita miliki dulu. You juga tak pernah mengatakan mahu menerima I seadanya. You buat I mengharap pada yang tak sudi. Biarlah I pergi, I tak sanggup berdepan dengan kerenah you tiap saat,” luah Zainal penuh perasaan. Biar Meeda tahu betapa hatinya merindui kehadiran gadis itu.

“Dan I, you biarkan meniti hari semanis semalam ke­seorangan. Kenapa dulu you sanggup merawat? Dan melepaskannya ketika I mula menerima you? Kenapa sekarang you takut?” Meeda mula berlembut, tiada lagi benci. Hanya harapan semoga Zainal sudi menerima dirinya semula yang telah ternoda. Hatinya juga tidak sabar, penuh kasih semalam.

“You sendiri kata pada I, you nak kembali pada Khairul. Daripada I jadi lelaki dayus, lebih baik I lepaskan you pergi.”

“Dengan membiarkan I tercari-cari ke mana you menghilang?”

“Terpulang bagaimana you mahu mentafsirkannya. Itu juga yang you mahu selama ni, bebaskan diri you daripada cengkaman I,” sindir Zainal lagi, memulang paku buah keras. Dia sudah bosan dengan kerenah Meeda bila bertembung di mana-mana. Pasti mereka akan bertekak. Tak pun bermasam muka sepanjang masa. Hatinya tergores luka dengan sikap Meeda itu.

Meeda diam. Keruh wajahnya berubah riak. Seketika terdengar esakan kecil gadis itu. Zainal pula leka melayan panggilan telefon tanpa menyedari kata-katanya sebentar tadi amat menggores perasaan Meeda. Inikah yang difikirkan Zainal selama ini? Dia fikir aku sanggup perjudikan cinta pada si Khairul keparat?

“Okey, I naik sekarang. I tak apa-apa. I minum aje kat kafe ni... cuma rimas sikit dengan gangguan kat sini.” Zainal mengerling Meeda di depan. Baru dia menyedari wajah manis itu kusut dan basah. Dengan segera dia menghentikan perbualan dengan Irsyad.

“Jadi maksud you, selama kita bersama... you tak ada perasaan pada I?” Meeda teresak pilu. Terasa pahit menelan kata-kata Zainal itu.

“You...” Zainal serba salah, tidak tahu apa yang perlu dikatakan.

“I sedar, I pun bukannya gadis yang baik. Malah, mungkin tak sesuai untuk lelaki baik seperti you. Tapi tu bukan bererti you boleh hina I sesuka hati. I masih ada hati dan pe­rasaan.” Kesedihan hati Meeda sukar diucap. Cukuplah sekali Khairul menghinanya.

“I tak bermaksud apa-apa.” Zainal cuba memujuk. Dia menyedari kesilapan tutur katanya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata sukar ditarik balik.

Meeda diam.

“Nampaknya, I terpaksa terangkan perkara sebenar. Bila Lina meninggal, Irsyad berpindah ke Australia. Tinggallah kita berdua di kampus. Dalam erti kata lain, hubungan kita tak serapat ketika Irsyad ada bersama. You juga sejak Irsyad tiada, seolah-olah tak mahu bertemu dengan I. You tahu I terima diri you kerana you ialah Asmeeda Asmadee, bukannya kerana populariti you di kampus! I tahu you kecewa ditinggalkan Khairul, tapi tu tak menghalang I terima you seadanya. Tapi, you tak endahkan perasaan I langsung. You biar I melayan perasaan sorang-sorang! Apa yang I boleh buat?” Zainal menarik nafas menahan gelora rasa.

“I tak mahu dengar apa-apa mengenai Irsyad sekarang!” pinta Meeda mengharap. Dia sendiri sudah dapat menerima keadaan. Jangan disakiti lagi hati dengan mendengar kisah Irsyad yang tidak menentu tu. Itu akan membuatnya rasa bersalah. Bersalah pada arwah Lina, pada Zainal, pada pe­rasaan dan hati sendiri.

“Okey! Kenapa you tiba-tiba marah?”

“Boleh kita mula bicarakan soal kita dengan tenang?”

Tiba-tiba telefon Zainal berdering.

“Sekejap lagi I akan naik. Beri I masa dalam 15 minit,” pinta Zainal pada Irsyad. “I tak apa-apa. Don’t worry!” Bimbang betul sahabatnya itu pada dirinya.

“Ambil berat betul dia pada you?” Meeda menduga, itu panggilan daripada Irsyad.

“Tak ada, cuma dia nak laporan waktu I di Johor,” balas Zainal.

“You cuma ada masa kurang dari 15 minit. Apa kata Sabtu ni kita jumpa?” Meeda memberikan cadangan.

“Buat apa?”

“Jadi teman I untuk undangan makan malam. Jangan lupa datang jemput I di apartment. Hari Sabtu, pukul 7.00 malam!” beritahu Meeda yakin.

“Okey!” Zainal berlalu sambil tersenyum.

Yes! Akhirnya, aku dapat menutup kesilapan aku. Meeda tersenyum. Dia begitu mudah menipu Zainal dengan lakonan dan aksi-aksi palsunya tadi. Jika dia seorang pelakon, tentu banyak anugerah yang dapat digondol. Cuma senyuman Zainal sebelum berlalu pergi kurang disenanginya. Untuk apa senyuman itu? Seperti mengandungi sindiran. Atau ada se­suatu yang sukar untuknya mentafsir? Ah! Pedulikan... yang penting malam esok dia berteman.

Lagipun, Zainal belum kenal dirinya sebenar. Sejak Khairul memutuskan hubungan dengannya, dia tidak lagi akan mempercayai kata-kata manis seorang lelaki. Kerana dia tahu sampai ke akhirnya, perempuan juga yang akan menerima akibat. Kepercayaan pada cinta seorang lelaki telah lama lenyap. Cuma Irsyad telah membuktikan bahawa kematian seseorang tidak akan menguburkan bersama kesetiaan sebuah cinta. Atau ada sesuatu yang tidak diketahuinya?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku