Cinta Akan Indah
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
569

Bacaan






Bab 19

Hari-hari berlalu hanya biasa,
penantian yang tidak berakhir,
mungkin tidak kunjung tiba,
apa yang kucari untuk secangkir jawapan.

“ENCIK ISKANDAR... ada panggilan masuk!” Aisya memberitahu Irsyad.
“Siapa? Zainal?” Irsyad menekan punat interkom. Dia memang menantikan panggil­an Zainal. Sejak pagi dia mencari sahabatnya itu.
“Bukan, Puan Sri online...” beritahu Aisya lagi.
“Okey, sambungkan...” Lantas Irsyad mengangkat ga­gang telefon. “Helo, mama... ada apa hal?” soalnya sebaik sahaja mendengar suara Puan Sri Amnah.
“Syad ada masa tak petang ni?”
“Ada,” jawab Irsyad lemah.
“Mama nak jumpa Syad pukul 2.00 nanti. Syad dah lupa tentang perjumpaan yang mama aturkan?”
“Oh ya... Syad lupa!”
“Mama ada kata nak temukan Syad dengan pengurus kewangan yang baru petang ni.” Puan Sri Amnah mengingat­kan tentang perbualan mereka malam tadi. Bagaimana Irsyad boleh lupa?
“Oh, ya! Maaf, mama... Syad benar-benar lupa. Bila mereka sampai? Mama kat mana ni?” soalnya pula. Dia baru ingat, Puan Sri Amnah ingin merombak organisasi syarikat dan mengekalkan orang-orang lama. Tapi dibantu sebahagian orang muda. Cuma kata mama semalam, pengurus kewangan yang baru ini istimewa. Dia tidak tahu mengapa mama berkata begitu.
“Mama kat butik ni. Okeylah, Syad... jumpa nanti!” Puan Sri Amnah memutuskan talian.
Irsyad bersandar lesu, memikirkan apa yang perlu dilakukannya. Bosan dengan rutin harian yang dihadapinya. Seharian di pejabat, kemudian balik ke rumah. Tiada kemanis­an hidup!
Dia masih ingat satu kata Lina. Learning! Itu juga yang dikatakan mama kepadanya.
“Jangan cakap yang bukan-bukan, Syad. You know I’m still here! I terima you seadanya dan berharap you akan terima I juga!”
Jaminan yang diberikan Lina tidak terlunas. Kata-kata itu tinggal kata-kata. Yang terseksa adalah dirinya. Bagaimana dia mahu melupakan segala kenangan itu bila setiap butir bicara Lina masih di ingatan.
I love you, Aina! And miss you more than I can say! Suara hatinya melaung.
“Assalammualaikum... termenung lagi? Kau ni tak habis-habis melamun. Pintu kau dah aku ketuk berkali-kali, tapi kau tak menyahut juga. Apa kena kau ni? Masih tak mahu berubah?” Zainal membebel, mengambil tempat duduk di depan Irsyad.
“Apa hal kau nak jumpa aku?” soal Irsyad setelah menjawab salam yang diberi.
“Aik? Macam tak suka saja aku datang? Bukan ke kau sedang cari aku tadi? Aku ada berita baru!” Zainal berkecil hati melihat penerimaan Irsyad.
“Kau tu, ada-ada saja modal nak bebelkan aku!” bantah Irsyad perlahan, menghilangkan rasa terkejut dengan kemunculan Zainal.
“Kau tentu tak percaya, kita dapat tender Arca tu!”
“Betul ke ni? Kau tak bohong?”
“Betullah! Takkan aku nak bohong benda nilai berjuta macam tu. Nora baru inform aku, waktu sampai tadi.” Zainal baru sampai bila Nora, setiausahanya memberitahu Irsyad mencarinya sejak pagi.
“Syukur, alhamdulillah... Aku ingatkan kita tak dapat. Lama sangat tunggu keputusannya. Kau ke mana dari pagi lagi aku tunggu? Bila aku call, handset kau tutup.” Irsyad ingin tahu.
“Maaf... aku accident pagi tadi!”
Kenyataan Zainal mengejutkan Irsyad. “Kau tak apa-apa? Kenapa kau tak call aku?” Cemas dia menerima berita itu.
“Aku okey! Kalau tak, takkan aku wujud depan kau sekarang. Handset aku habis bateri. Lupa cas semalam.” Zainal kelihatan biasa.
“Macam mana kau boleh accident?”
“Letih sangat agaknya. Aku cuma terlanggar bahu jalan. Aku tak apa-apa, tapi kereta aku kemek! Masuk bengkel, itu sebab aku lambat!” Zainal hampir terlupa memberitahu Irsyad tentang kemalangan itu.
“Kenapa kau cuai sangat? Kalau letih, kau berehatlah kat rumah. Call aku, beritahu. Itulah... dulu aku suruh ambil cuti selepas ke Johor, kau tak mahu!” Irsyad tahu Zainal bersusah payah membantunya menguruskan syarikat. Zainal juga yang selalu menggantikannya ke mana-mana. Jika ada sesuatu berlaku kepada sahabatnya itu, dia akan menyesal seumur hidup!
“Macam mana kau datang ke sini?” soalnya apabila melihat Zainal diam.
“Naik teksi. Kau dah lunch?” Zainal menyedari sudah tiba waktu makan tengah hari, tapi Irsyad masih tidak keluar.
“Tak apa, aku masih kenyang lagi. Sarapan tadi lewat. Kalau kau lapar, kau pergilah makan, tak perlu susahkan diri kerana aku. Lagipun mama aku nak datang.”
Sebaik sahaja kata-kata itu habis, Puan Sri Amnah berdiri di ambang pintu sambil tersenyum. Dia melangkah masuk bersama seorang lelaki yang tidak dikenali. Yang menarik perhatian, lelaki tersebut berjalan tidak seimbang. Seakan sebelah kakinya tidak mencecah lantai. Tempang?
“Assalamualaikum...” sapa Puan Sri Amnah.
Irsyad berdiri diikuti Zainal. Mereka menghampiri tetamu yang ditunggu sejak tadi.
“Apa khabar, auntie?” soal Zainal. Dia juga mengamati lelaki itu sama.
“Auntie sihat. Kenalkan... Encik Mukhriz Mohamed, pengurus kewangan kita yang baru!” Mereka saling bertukar senyuman dan berjabat tangan sebelum beralih ke sofa di sudut bilik itu.
“Kita pernah kenal ke?” soal Mukhriz kepada Irsyad.
“Rasanya, kita tak pernah berjumpa. Ini pertemuan pertama kita,” jawab Irsyad sangsi. Sejak dari awal tadi Mukhriz memerhatikannya.
“Selamat datang ke keluarga One’za!” ucap Zainal, memintas perbualan mereka.
“Zainal, lama tak ke rumah auntie?” soal Puan Sri Amnah.
“Ada tugas tertunggak yang masih belum saya selesaikan. Lagipun, auntie tahu saya baru saja balik dari Johor meng­uruskan projek yang baru bermula tu,” terang Zainal agar Puan Sri Amnah tidak berkecil hati.
“Auntie faham. Kalau senang, datanglah selalu ke rumah. Syad ni tak ligat lagi. Kalau Zainal datang, ada juga teman dia berborak,” cadang Puan Sri Amnah.
“Insya-ALLAH, auntie...” janji Zainal sebelum Puan Sri Amnah keluar meninggalkannya berdua bersama Irsyad semula.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku