Cinta Akan Indah
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
369

Bacaan






Bab 21

Aku sebatang kara,
tidak bergantung harap,
sentiasa ceria dalam gelisah,
betapa berat mata memandang,
berat lagi bahu yang memikul,
selagi kudrat berdaya.

RIA sedang merengek meminta susu. Aku amat letih baru balik dari kerja terpaksa juga menyediakan susunya walaupun sepanjang perjalanan tadi aku tabahkan hati dengan kerenah anak yang berusia dua tahun lebih itu. Semakin besar, semakin lincah, petah, nakal serta tidak mendengar kata.
Selepas mengambilnya di taska, aku terus menuju ke pasar. Membeli barang keperluan harian yang sudah habis di rumah. Belum dikira lagi gayanya di pasar tadi yang amat memalukan aku. Marwan entah ke mana. Sepatutnya dia yang mengambil Ria di taska. Nasib baik pihak pengurusan taska tersebut menghubungiku segera bila dia tidak muncul.
Aku tahu aku tak mampu menguruskan semuanya. Jalan terbaik adalah dengan bekerja, sementara Marwan meneruskan pengajiannya di universiti dalam pengajian Sarjana Muda Sains Sosial Komunikasi. Aku tahu Marwan kecewa dengan keputusan ini, tapi apa boleh aku buat? Desakan hidup memaksa aku untuk membuat keputusan drastik dalam menentukan perjalanan hidup kami.
Ria... anak kecil itu belum mampu mengerti apa-apa. Sering dimarahiku apabila menerima tekanan di pejabat. Aku tahu hanya kami bertiga sahaja bersaudara di dunia ini. Siapa lagi yang dapat membantu selain darah daging sendiri. Jadi, aku memutuskan untuk menamatkan pengajian yang baru bermula dengan memulakan pelbagai kerja. Sehinggalah aku diterima bekerja sebagai kerani projek di cawangan tapak One’za Holdings.
Sejak awal tahun ini, aku telah ditugaskan ke ibu pejabat sebagai kerani gaji. Aku hanya memegang sijil SPM dan itu tidak membantu untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Sekurang-kurangnya sekarang aku ada nafkah untuk bergantung hidup.
“Assalamualaikum...” Suara memberi salam terdengar.
“Waalaikumussalam... Wan, kenapa tak ambil Ria di taska hari ni?” soalku bila wajah Marwan muncul di pintu rumah.
Rumah ini dulu, milik arwah Abang Victor. Sekarang, aku meneruskan pembayaran bulanannya.
“Wan ada perlawanan bola hari ni, Kak Anis. Kak Anis baru sampai ke?”
Aku merenung adik lelakiku itu. Semakin menyerupai raut wajah ayah. Dia nampak kepenatan dengan beg di bahunya. “Baru juga. Wan pergilah mandi dulu. Lepas tu kita makan. Ria ni, akak mandikan dulu sebelum akak masak. Wan lapar ke sekarang?”
Ria terkulai kepenatan tidak seperti selalu, menerpa kepada Marwan bila dilihatnya datang. Ini tentu disebabkan dia penat ketika di pasar tadi.
“Belum lapar lagi, kak. Tak apa, nanti Wan tolong Kak Anis masak. Tentu Kak Anis penat. Banyak kerja ke, Kak Anis?”
Marwan tahu aku baru berpindah ke ibu pejabat. Tak menang tangan untuk memahami tugas baru tersebut.
“Banyak sangat, lebih-lebih lagi awal tahun begini. Tak lama lagi penerimaan gaji syarikat nak kena buat. Wan pergi­lah mandi dulu.”
Memang selalunya Marwan yang menyediakan makan malam selain mengambil Ria di taska. Aku selalu lewat balik sehingga pukul 9.00 malam berada di pejabat menjalani tugas baru di bahagian kewangan. Marwan berlalu ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Aku mengajak Ria supaya mandi dahulu sebelum menyusu, tapi dia degil. Berdegil lagi!
“Ria, nanti mama buatkan susu. Mandi dulu, ya?” Aku menjaga Ria sejak dia masih merah lagi. Dia tidak banyak ke­renah jika kena pada moodnya pada ketika itu. Kecuali ketika lapar sangat, dia akan menangis selagi tidak diberi susu.
“Mama, mama... nak itik.” Kami sudah di bilik air. Ria suka bermain dengan itik kuning yang akan diapungkan ketika dia mandi.
Selesai menyediakan kelengkapan Ria, aku ke dapur. Marwan sedang memukul telur untuk digoreng.
“Wan dah masak nasi?”
“Belum... Ria mana?”
“Tidur. Tak apa, Kak Anis masak nasi. Wan sediakan lauk untuk malam ni.” Aku berlalu mencuci periuk yang kotor sejak ditinggalkan pagi tadi. Tidak sempat membasuhnya kerana hendak ke taska menghantar Ria dan ke kampus menghantar Marwan. Motornya rosak dan berada di bengkel sedang dibaiki.
“Esok petang kita jadi balik kampung ke, Kak Anis?”
“Lepas Kak Anis habis kerja kita balik kampung. Petang Ahad kita balik sini. Isnin Kak Anis kena kerja. Banyak kerja bila hujung bulan ni. Takut pula nanti dikata ambil kesempat­an,” jelasku. Orang baru seperti aku perlu bekerja keras.
“Kangkung ni, tumis biasa atau tumis belacan?” Marwan mencuci kangkung sebelum dipotong.
“Mana-mana aje, Wan... Kak Anis ni dah lapar sangat. Kak Anis lupa yang motor Wan rosak. Kasihan Ria, dia saja yang tinggal masa Kak Anis ke taska petang tadi. Nasib baik pengurusan taska tu nak tunggu.” Aku menekan suis periuk elektrik. Kemudian memerhatikan Marwan menyediakan sayur kangkung. Di meja makan, aku menompang dagu. Mengingati keadaan Ria ketika di taska tadi. Duduk diam di kerusi permainan menungguku sambil ditemani pengasuhnya. Sejurus kedatanganku dia berlari keriangan.
“Bagus juga Kak Anis kena tarik ke ibu pejabat. Senang sikit Wan nak bergerak bila ada perlawanan. Kak Anis ditempatkan tetap di bahagian kewangan ke?” Marwan masih mahu berbual tentang tugas baruku itu.
“Entahlah... tapi mengikut surat tawaran hari tu, Kak Anis sah jawatan hujung bulan Mac ni. Kalau tak ada aral melintang, insya-ALLAH... Kak Anis pun berharap dapat bertahan di bahagian kewangan. Kak Anis mula suka kerja tu. Bos pun baik,” balasku.
“Harap-harap begitulah. Err... Wan nak minta duit untuk bayar yuranlah, Kak Anis.” Marwan memberitahu dengan teragak-agak. Memang itu sikapnya sejak dulu, tidak mahu memberitahu aku walau kesempitan wang sekali pun. Sekiranya aku tidak menyelidik, dia tidak akan membuka mulut. “Bila?”
“Isnin. Wan malulah, Kak Anis... Wan saja yang belum bayar yuran semester ni.”
“Tak apa... nanti Kak Anis datang berbincang dengan pensyarah Wan. Pinjaman Wan macam mana?” Aku tahu dia ada memohon pinjaman sewaktu memasuki universiti dulu, namun sehingga sekarang jawapan tetap mengecewakan.
“Tak lulus,” beritahu Wan dalam nada kecewa.
“Tak apa... bukan rezeki, Wan. Kak Anis masih mampu. Jangan risau, nanti Kak Anis cari jalan. Wan tumpukan saja pada pelajaran, jangan hampakan Kak Anis, okey?”
Kami berbual sambil menikmati hidangan biasa setiap malam. Walaupun lauk yang berbeza, tapi aku tetap bersyukur kerana Marwan tidak cerewet dan mengerti kehidupan yang terpaksa kami lalui.
Sekali lagi aku perlu memerah otak untuk mencari duit lebih. Aku tahu aku mewarisi geran tanah, tapi geran tersebut tersebut atas nama orang lain. Riz M. Mohamed? Aku sendiri keliru siapa orang asing itu yang berhak menerima semua harta peninggalan ayah. Kebun getah, tanah sawah dan tapak rumah di kampung semuanya atas nama itu. Aku mahu mencari di mana? Mengikut wasiat ayah, aku juga berhak, tapi perlu mendapat persetujuan orang asing itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku