Cinta Akan Indah
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Mac 2014
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2618

Bacaan







Order di Mall.karangkraf

http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=2718


Bab 23

Kuterasa kau ada di sisi,

kuterasa bahang rindu,

kuterasa bisikan syahdu,

gurindam cinta sebuah lagu.

“ANIS, Encik Sulaiman nak jumpa kau sekarang.”

Aku mendongak melihat Bibi bermasam muka. Ini tentu baru lepas kena marah dengan Encik Sulaiman. “Okey!” Aku meninggalkan kerja yang tertangguh. Buku nota dan pen dicapai untuk mencatit apa-apa yang penting.

“Masuk!”

Suara menyusul selepas aku mengetuk pintu bilik. “Encik Sulaiman nak jumpa saya?” soalku sebaik sahaja masuk.

“Ya!” jawab Sulaiman tegas.

Aku duduk apabila dipelawa. Sulaiman tersenyum me­lihat tingkahku. Kacak sungguh akauntan syarikat ini, tapi dah tua-tua pun masih belum berpunya. Apalah agaknya yang sedang ditunggu agaknya?

“Anis dengar tak apa saya cakap ni?” Sulaiman merenung aku, menunggu jawapan. Dia perasan aku sedang berkhayal.

“Apa dia, Encik Sulaiman?” soalku terkesima, tersedar kelakuan melangkaui batas. Apa nak jadi dengan aku ni? Boleh terabai bos di depan bercakap.

“Kan saya dah terangkan tadi, Anis tak dengar ke? Jauh sangat ke jarak kita ni?” Sulaiman bertanya, sukar dia hendak memarahi Anis. Dia tidak sanggup bermasam muka dengan gadis itu, antara pekerja yang paling ringan tulang dan baik hati. Tidak banyak kerenah jika disuruh menyiapkan kerja. Hanya hari ini dia hairan melihat perangai pelik gadis itu. Termenung sana, termenung sini... tak keruan sikapnya.

“Maaf, saya tak ambil perhatian pada penerangan encik tadi.” Agak gugup aku mencari ayat untuk menyelamatkan diri.

“Tak apa, saya nak Anis lengkapkan penyata penyesuaian bank ni semula dan tolong saya semak dan lengkapkan semua penyata akaun penghutang dan pemiutang dalam senarai ni. Petang ni saya ada meeting dengan semua pengurus syarikat.” Sulaiman menghulurkan dokumen.

Aku menyambutnya walaupun keliru. Aku tahu ini tugas Bibi. Tentu Bibi dimarahi Sulaiman kerana sebaik sahaja meneliti dokumen tersebut, ia tidak lengkap dan berserabut.

“Boleh, nanti saya semak semula. Ada apa lagi, encik?”

“Tentang Projek Indah Perkasa, Projek Lanscape di UMS tu. Encik Is mahu butiran lanjut berkenaan perjalanan projek tersebut. Boleh Anis cari bila tarikh dan pembayaran dimulakan? Dia mahu segala butiran awal sehingga projek tersebut tamat.”

Aku dapat melihat kegusaran pada wajah Sulaiman bila nama CEO itu terbit di bibirnya. “Encik mahu bila? Kalau nak cepat, saya sediakan sekarang juga!” Aku menjeling jam tangan, menghampiri pukul 12.30 tengah hari.

Kerja masih bertimbun, ditambah yang ini pula. Mana satu nak disiapkan dulu? Apa boleh buat, aku cuma kuli. Makan gaji. Hati mengeluh. Anis, niat kena ikhlas agar kerja menjadi ringan. Jangan berkira sangat. Hati aku memujuk.

“Anis tahu sajalah, Encik Is tu siapa di syarikat ni. Semua mengenai perjalanan akaun syarikat dia nak semak. Tapi Anis jangan risau. Dia beri masa seminggu untuk siapkan butiran yang diminta. Saya cuma mahu penyata penyesuaian bank dulu Anis sediakan, sebab petang ni saya mahu bawa ke meeting.

Lagi pula Anis orang baru, jadi saya beri peluang untuk mempelajari tugas akaun sedikit demi sedikit. Bila ada peluang nanti, Anis boleh memohon jawatan ni. Ini hanya sikit saja kerja yang saya serahkan pada Anis, selebihnya saya dan kakitangan lain akan buat. Saya tahu Anis banyak kerja, lebih-lebih lagi waktu hujung bulan begini.”

Penerangan Sulaiman membuatkan aku menerima tugas yang diberi dengan senang hati. Inilah sikap yang buat aku sayang padanya.

“Oh, ya... boleh saya tahu? Saya dengar Encik Sulaiman akan berhenti. Dan penggantinya dah ada. Betul ke?” soalku berani. Walaupun selama bekerja di bawah kepimpinan Sulaiman aku tak pernah merungut, tapi risau juga menerima bos baru.

“Kenapa? Anis suka bila saya tiada?” sakat Sulaiman tersenyum senang.

“Saya cuma nak tahu saja.” Aku tersengih.

“Betullah tu apa yang Anis dengar. Saya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat master dalam bidang berkaitan juga. Semoga ketiadaan saya nanti Anis masih rajin seperti sekarang.” Sulaiman memberi kata-kata perangsang.

“Terima kasih atas kepercayaan yang encik berikan. Encik terlalu memuji saya. Sedih pula saya dengar berita encik nak berhenti. Bila encik nak pergi?”

“Macam tak sabar-sabar nak suruh saya pergi aje?” gurau Sulaiman.

“Taklah macam tu...” nafiku. Hati mula terasa lain sa­ngat.

“Lama lagi, Anis. Dalam masa tiga bulan lepas semua tugas saya serahkan pada pengurus kewangan yang baru. Dalam masa tu nanti Anis kena ikut arahan pengurus baru. Saya dah tak ada hak lagi,” beritahu Sulaiman.

“Siapa namanya, Encik Sulaiman? Bila pengurus kewang­an tu datang melaporkan diri?” Aku jadi bersemangat ingin menyelidik.

“Awak ni... semua nak tahu. Mungkin esok Anis akan jumpa dia. Esok saja Anis interview dia banyak-banyak.” Sengaja Sulaiman menyembunyikan hal tersebut kerana menurut Iskandar sewaktu taklimat pagi tadi, ia akan diumum­kan bergantung pada keputusan mesyuarat pada petang ini.

“Baiklah... sekiranya tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Nanti tak siap pula kerja yang diminta.” Aku melangkah keluar. Nampaknya, aku akan kehilangan seorang bos yang bertimbang rasa walaupun ketegasannya sering dipertikai oleh yang lain.

Sebaik sahaja berada di luar, aku menghampiri Dahlia, setiausaha Sulaiman. “Bila Puan Sri serahkan peng­urusan syarikat kepada CEO baru kita tu?” soalku ingin tahu siapa Encik Iskandar sebenarnya. Cerewet, menyusahkan orang.

“Awal tahun ni, sama dengan kau melapor diri. Sama-sama naik satu tingkat jawatan. Kau orang macam ada jodoh.” Dahlia akan bergelar ibu dalam masa dua bulan lagi. Nampak ceria bila bercerita tentang Encik Iskandar. “Tapi sayang, orangnya sombong sikit. Tahulah lulusan luar negera.”

“Kenapa pula kau cakap macam tu? Eh, aku baru tahu Encik Sulaiman nak sambung master dan dalam masa tiga bulan ni kita di bawah pimpinan ketua baru.” Aku mengubah topik.

“Macam mana kau tahu?” Bibi ada sama menyoal balas.

“Aku baru tanya Encik Sulaiman masa jumpa dia tadi,” balasku.

“Sayang rasanya kehilangan bos yang baik macam tu!” Dahlia memuji.

“Walaupun aku baru kerja, tapi aku dapat rasakan Encik Sulaiman tu seorang bos yang baik,” sokongku pada kata-kata Dahlia.

“Baik bagi kau orang, bagi aku tak!” Tiba-tiba Bibi geram.

“Kenapa pula ni? Apa yang tak kena?” soal Dahlia panas hati bila Bibi memburukkan bos kesayangan mereka itu.

“Dia baru marah aku tadi...”

“Memang patut kau kena marah. Kerja kau buat tak lengkap, membebankan orang adalah!” rungutku pada sikap Bibi yang ambil mudah hal kerjanya. Gaji nak, kerja serabut. Aku dahlah sibuk setiap akhir bulan begini. Penyediaan gaji kena lebih teliti, tidak mahu terjadi seperti bulan lalu, menerima aduan kakitangan lain yang tidak puas hati dengan pengiraan gaji mereka.

“Kau kan anak emas dia!”

Pedas kata-kata Bibi menusuk telingaku.

“Hmm... kau orang jangan pula nak bertekak depan aku. Marilah pergi lunch, aku dah lapar,” tegah Dahlia sebelum pertengkaran berlarutan.

“Aku tak ikut kau orang lunch hari ni. Ada kerja perlu disiap segera. Encik Sulaiman mahu sebelum pukul 2.00 petang,” beritahuku.

“Nak aku bungkus nasi untuk kau?” Dahlia bertanya.

“Okey... nasi campur aje,” pintaku.

“Okeylah, kami pergi dulu,” balas Bibi.

Mereka berlalu meninggalkan aku seorang diri di situ, duduk menghadap komputer sepanjang pagi tadi diteruskan. Banyak juga yang aku tak tahu tentang syarikat One’za Holdings ni.

Sebelum ini, aku bertugas di kawasan tapak. Kerja aku lebih pada bahagian projek daripada akaun. Cuma, bila rombakan syarikat dibuat akhir tahun lalu, aku ditarik ke ibu pejabat sebagai kerani bahagian gaji kakitangan sebagai payroll clerk. Banyak juga tugas sampingan yang perlu aku bantu bila orang-orang tertentu mengambil cuti atau kerja tersebut ‘urgent’.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku