Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
26482

Bacaan






Layla tulis email pada kakak tentang hasrat ibu. Dia menggunakan satu-satunya komputer yang ada dalam rumah itu. Komputer itu ayahnya dapat dari boss barunya. Komputer jenis lama tapi masih elok dan boleh disambung kepada Internet pula. Ayah sambung Internet supaya Layla dan adik-adik dapat belajar lebih baik katanya. Boleh buat banyak rujukan.

Berbalik kepada apa yang Layla katakan pada kakak, kakak cuma gelakkan dia. Dia minta Layla berbual dengannya dalam Yahoo Messenger. Besar gelak kakak dalam chatting itu. Siap ada icon tergolek-golek lagi. Kakak memang suka buat begitu padanya. Mentang-mentanglah dia adik jadi Nura selamba saja dengan nya. Tak kisah langsung Nura kalau-kalau Layla terasa. Kakak kata sejak kecil dia jaga Layla dan dia juga yang basuh kencing dan berak Layla jadi dia sudah biasa sangat dengan nya. Jadi, dia tak kisah Layla terasa atau tidak.

Menurut Nura, mana mungkin ibunya serius untuk mengahwinkan Layla. Mana boleh ibu kahwinkan Layla dalam usia yang muda. 18 tahun pun belum kata kakak. Kakak nasihatkan Layla jangan risau. Lagipun katanya siapalah nak kahwin dengan budak mentah macam Layla, melawa pun belum pandai. Layla tahu, dia masih di zaman sekolah. Tak minat bersolek hanya seadanya sahaja. Gincu pun belum pandai pakai lagi sebab segan nak minta daripada ibu. Nanti ibu mesti perli dia. Masak nasi pun tak pandai ada hati nak bersolek. Nanti lagi rancak ibu gertak untuk kahwinkannya. Kakak kata jangan ibu kawinkan dia dengan orang tua cukup. Macam dengan Pak Mail duda anak tiga di kampong itu.

Layla mintak simpang malaikat 44. Pak Mail itu kalau beli nasi lemak suka duduk lama-lama di van ayahnya. Bercerita itu dan ini manakala matanya melilau pada Layla. Terkenyit-kenyit kadang-kadang. Gelinya Layla. Kakak kata Pak Mail pun bagus juga sebab dia ada banyak kebun. Hartanya tidak habis dua generasi di kampong itu. Anak-anaknya pun dah besar-besar semua. Kalau Layla jadi isterinya dia jadi kaya. Nak-nak kalau Pak Mail mati cepat. Layla jadi janda kaya. Hisyh! Layla letak ikon muka hijau berasap pada ayat chatting nya.Kakak balas dengan orang menari. Kakak memang suka mengusik Layla begitu.

Sedang Layla sedap-sedap berchatting Aisyah datang pula. Minta Layla buatkan susu pulak. Adik-adiknya Musa dan Kamal bukan mahu menolong. Asyik lesap. Entah main apa di kebun ataupun di bawah rumah. Jadi, selalu dia yang perlu jaga Aisyah sementara ibunya buat kerja di dapur.

Layla berhenti chatting dengan kakak lalu memimpin tangan Aisyah dan membawanya ke dapur. Selepas Layla buatkan susu, Aisyah pun berlari pergi merebahkan dirinya di hadapan tv. Kemudian dengan nikmatnya menyoyot botol susu. Srooot!Sroot! bunyinya. Di kala itu Layla terasa alangkah bagusnya kalau Layla jadi Aisyah.Tak perlu menggalas beban yang dipikulkan di bahu nya ini. Boleh duduk tengok tv dan minum susu seharian tanpa berfikir apa-apa.

Layla balik semula ke atas. Ingin menyambung chatting dengan kakak tapi kakak sudahpun offline. Abang Zarif apatah lagi kerana perbezaan masa. Di hari minggu seperti itu kawan baiknya Asha pun tiada. Nama samarannya tidak menyala. Agaknya Asha ke bandar membeli belah dengan keluarganya ataupun tidur agaknya.Asha rakannya yang paling baik. Tempatnya bercerita kisah suka dan duka. Asha menerima nya seadanya. Tak seperti rakan lain yang kadang-kadang berkawan atas dasar yang tidak ikhlas. Contoh macam Muna yang berkawan dengannya kerana dia minatkan abangnya Zarif. Layla tahu abang Zarif macam hero di kampong. Semua gadis sukakan abang Zarif sebab sudahlah dia pandai kacak pulak. Nanti kalau Zarif pulang dialah satu-satunya lulusan luar negeri di kampung itu. Tentu banyak duit dia.Tapi Layla terfikir juga. Ikhlaskah kalau itu sandaran sebuah cinta. Cinta kerana harta. Cinta kerana kedudukan dan cinta kerana material? Malanglah kalau abang Zarif dicintai kerana itu dan bukan sebab dirinya sendiri.

Sejak makan tengahari ayah entah ke mana. Ada panggilan telefon untuknya tiba-tiba. Begitulah ayah bila jadi drebar hartawan itu, Tan Sri Omar Bukhary, boleh dipanggil bila-bila masa sahaja. Kadang-kadang anak-anaknya, kadang-kadang ibu mertuanya. Isteri Tan Sri Omar Bukhari meninggal lima tahun yang lalu. Kalau tidak agaknya dia pun akan memanggil ayah juga. Ayah bukan jadi drebar sahaja.Sudah jadi orang suruhan dan juga body guard kadang-kadang. Dengan wang berbilion yang mereka ada masa ayah jadi tidak berharga. Ayah pula seorang pekerja berdedikasi akan turutkan sahaja. Kadang-kadang Layla merungut juga. Bosan ayah asyik dipanggil sahaja. Tapi kata ayah kalau dipanggil waktu bukan jam kerja ayah akan dapat overtime. Kalau jadi body guard lagilah mahal. Layla cukup tidak setuju bila ayah jadi pak turut sahaja. Sepanjang 5 tahun ayah bekerja dengan keluarga Omar Bukhary, Layla tidak pernah tahu di mana mereka tinggal malahan rupa mereka pun Layla tidak pernah kenal. Layla tahulah Omar Bukhari orang keempat terkaya di Malaysia tapi Layla tak dapat bayangkan kekayaan mereka. Agaknya bagaimana hidup mereka? Makan atas pinggan emas agaknya. Ayah pula tak pernah bercerita. Seolah-olah semua macam rahsia sahaja. Sebab ayah tidak pernah bercerita jadi Layla malas hendak bertanya. Mereka tiada kena mengena dengan nya. Dan Layla tidak sukakan mereka kerana membuat masa ayah kacau bilau.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku