Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
18002

Bacaan






    Susah juga dia mencari rumah Pak Amir tapi dengan menggunakan ‘Waze’ satu aplikasi mobile untuk navigasi, sampai juga dia ke kampung Pak Amir itu. Dari hari Jumaat lagi dia sudah minta setiausahanya dapatkan alamat Pak Amir. Lalu alamat itu ditaip ke dalam aplikasi itu yang seterusnya membawa dia sampai ke kampungyang ekonomi penduduknya rata-rata bergantung pada tanaman padi dan menangkap ikan. Di sana sini Faris melihat batas ban dengan pokok-pokok padi yang masih menghijau. Satu pandangan yang menakjubkan dengan langit biru yang cerah tapi bagi orang seperti Faris ianya tidak membawa makna apa-apa kerana kedatangannya ke situ hanyalah ingin menyelesaikan masalah yang mengusutkan fikirannya sejak beberapa hari. Waze itu akhirnya membawa dia sampai ke sebuah rumah kampung yang agak usang bertangga batu.

Kedatangannya ke situ hanyalah untuk berjumpa Pak Amir dan yang paling penting sekali Layla, gadis yang akan jadi isterinya. Dia mahu bersemuka dengan gadis itu. Ingin tahu bagaimana perasaan gadis itu dan mahu lihat gadis itu dengan mata kepalanya sendiri. Adakah dia gadis yang dia tolak dulu?. Ataupun anak perempuan Pak Amir yang lain. Dia pun tak pasti berapa orang anak perempuan Pak Amir. Dia mahu dengar sendiri dari mulut gadis itu. Kalau boleh dia mahu pujuk gadis itu supaya menolak pinangan Tok Zauyah. Pujuk Pak Amir juga untuk batalkan semua kerja gila ini.

Dan sewaktu Faris datang itu dia dilayan mesra oleh Pak Amir dan Mak Mah. Manakan tidak bakal menantu sudi datang ke rumah. Besar hati Pak Amir dan Mak Mah. Tapi mereka tidak tahu. Faris ada hajat yang lagi besar. Walaupun tertekan, Faris tak sampai hati pula marah-marah pada mereka berdua. Faris berbasa basi bertanya khabar. Hanya sekadar bersopan. Banyak kali dia cuba untuk nyatakan maksud kedatangannya tapi yang peliknya lidahnya tiba-tiba kelu untuk meminta Pak Amir supaya menolak pinangan Tok Zauyah itu. Akhirnya dia hanya boleh berkata bahawa dia datang untuk mengenali bakal isterinya.

     “ Baguslah kalau Faris nak berjumpa Layla. Boleh berkenal-kenalan.” Ujar Pak Amir suka.

      “ Ya betul. Itulah saya nak buat. Rasa tak sedap pulak tak kenal orangnya. ” ujar Faris tersenyum nipis sambil menipu.

Sedang dia berbual-bual dengan Pak Amir dan Mak Mah, seorang gadis naik menghidang minuman. Pada mulanya Faris menyangka yang menghidangkan juadah itu Layla tapi rupa-rupanya Nura. Orangnya kurus tinggi lampai. Lemah lembut bertudung litup.

     “ Saya Nura kakak Layla. Nanti saya panggilkan Layla ye” ujar Nura dapat membaca apa yang bermain di fikiran lelaki itu dan kemudian dia berlalu ke dapur. Tadi sepatutnya Layla yang naik menghidang air tapi Layla suruh dia yang pergi. Dia setuju saja kerana dia juga mahu lihat bagaimanakah bakal suami adiknya itu.

Sebaik turun Nura mendapatkan Layla yang sejak tadi termenung di dapur. Tak ada hati langsung berjumpa dengan Faris. Bila Nura menyuruh Layla ke atas gadis itu masih tidak berganjak. “ Pergilah dik” ujarnya. Mungkin kalau Layla lihat lelaki itu Layla akan terima perkahwinan itu nanti. Masakan tidak, bakal suami adiknya yang dia lihat tadi itu bukan calang-calang orangnya. Kacak sungguh!.

Layla mengeleng-ngeleng. Kalau boleh dia tidak mahu berjumpa dengan bakal suaminya itu. Biarlah jumpa masa pernikahan sahaja. Dia sangat-sangat tidak berminat. Mak Mah akhirnya turun juga kerana lama sangat Layla tidak muncul-muncul. Dia faham perasaan anaknya itu. Tapi apakan daya semua telah dipersetujui. Mak Mah usap-usap badan Layla.

    “Pergilah nak, ayah suruh Layla tengok bakal suami kat atas tu.”. Bila disuruh oleh Mak Mah begitu barulah dia naik. Itupun lambat-lambat. Dia tahu lambat laun dia akan jumpa juga lelaki itu. Mungkin lebih baik juga jika dia jumpa sekarang.

Layla pun menaiki tangga dapur ke ruang tamu perlahan-lahan macam orang hilang semangat. Dari jauh Faris nampak kelibat gadis itu. Tak silap dia itulah gadis yang dia jumpa di KLCC dan dia tolak dahulu. Kecilnya dunia! Kenapa dia berjumpa dengan gadis itu sekali lagi?. Adakah dia Layla? Arrgghh! Apalah nasibnya!. Faris menahan reaksi kecewanya. Faris memerhatikan sahaja gadis bertudung litup berwarna cream serta berbaju kurung warna putih berbunga-bunga kecil. Wajahnya yang bujur nampak muram. Matanya yang galak nampak layu. Layla bersimpuh di tepi Pak Amir berhadapan dengan Faris. Waktu dia duduk itulah Faris perasan pipinya yang licin kemerahan dan bibir penuh berwarna merah jambu tanpa alat solek.Ada tahi lalat halus di atas bibir. Satu dua tiga. Ada tiga semuanya. Terkesima Faris seketika. Dan sewaktu dia duduk bersimpuh itulah juga Faris terperasan jejari Layla yang runcing tapi gebu. Dia terasa kurang selesa tiba-tiba. Apa kena aku ni? Sampai ke situ pula mata ni melihat! Fokus Faris, fokus.... Katanya dalam hati cuba meredakan rasa kurang selesa itu. Pak Amir berdehem. Baru dia tersedar semasa matanya melilau Pak Amir masih ada di situ. Ah malunya!

Bila Pak Amir perkenalkan Layla, Faris perasan mata gadis itu yang sedikit terbelalak memandangnya dan mulutnya berbisik ‘Ya Allah”. Jelas gadis itu terkejut. Sama sepertinya cuma dia terkejut lebih awal. Dia hanya tersenyum sinis. Gadis itu memandang padanya. Matanya yang layu tadi bersinar garang. Macam biasa seolah ingin menelannya.

    “ Er Faris, Layla…ayah turun ke bawah sekejap. Kamu berdua berbuallah. Inilah masa untuk kamu kenal-kenal” ujar Pak Amir sambil tersenyum simpul memberikan ruang pada mereka. Faris hanya mengangguk. Mereka berdua tidak berkata apa-apa sebaik sahaja Pak Amir pergi. Sunyi seketika macam ada malaikat yang lalu.

    “ Saya Faris. Saya pasti awak tahu siapa saya kan? ” ujar Faris menghentikan suasana senyap  itu lantas merenung wajah Layla cuba mendapatkan reaksi. Gadis itu mengangkat muka. Matanya yang tajam memandang wajah Faris.

    “ Ya. Saya tahu. Awaklah orang yang akan memusnahkan impian saya. Biar saya berterus terang ye. Saya ni tak suka awak. Bukan hanya tak suka malahan saya benci awak!.” ujar Layla geram. Bibirnya diketap. Mamat ni rupanya! Ya Allah kenapa dia ni! Faris tergelak sinis.

    “ Baguslah kalau awak tahu siapa saya. Awak ingat awak sorang saja yang tak suka. Saya pun memang tak suka awak. Bahkan lebih lagi. Cuma saya tak tahu macamana awak boleh pikat nenek saya sampai nenek saya paksa saya kawin dengan awak yang kolot ni? Saya tak pernah suka perempuan yang pakai macam awak ni. Rimas saya tengok. Berkelubung macam apa. Saya ni kan kalau nak kawin hanya dengan wanita yang ada kelas sahaja. Jadi awak jangan ingat saya datang ni saja-saja teringin nak kenal-kenal awak. Saya ni kalau boleh nak awak tolak pinangan nenek saya tu !.” Balas Faris panjang lebar dengan sombong dan bangganya. Layla tersentak. Wah! Bukan main lagi mamat itu menghina dia. Kalau ya pun tak suka janganlah sampai menghina dia. Kolot?. Tak ada kelas? Rimas? Amboi, Faris memang melampau! Jadi, semua peminangan itu hanyalah dari Tok Zauyah sahaja? Sedangkan Faris tidak mahu pernikahan itu diteruskan. Argghh! Apa semua ini?

    “ Apa maksud awak?” Tanya Layla untuk mendapatkan kepastian.

    “ Kenapa awak terima pinangan nenek saya. Saya tak pinang awak tau. Oh ya, saya lupa. Siapalah tak mahu kawin dengan saya sebab saya ni anak jutawan kan? Jadi awakni mata duitan lah ye?” Hina Faris lagi dengan gigi diketap.

    “ Awak main wayang sinetron ke apa ni? Saya tak faham“ Tanya Layla kembali. Dia sudahpun bangun.

     “ Awak tu pun sama. Jangan nak berlakon buat-buat tak tahu pulak. Cakap berapa awak nak supaya awak tolak pinangan nenek saya tu? Satu juta, dua juta? ” Ujar Faris yang turut bangun kemudian seolah-olah ingin mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeansnya.

    “ Saya tak perlulah nak berlakon. Ini datang dari lubuk hati saya sendiri. Saya memang tak mahu kawin dengan awak dan tak sukakan awak. Awak tu manusia kasar tak ada hati perut. Saya masih ingat apa awak buat pada ayah saya. Saya hairan kenapa ayah masih layan awak dengan baik tadi. Kalau saya, saya baling kasut suruh awak balik...., jadi tolonglah tarik balik pinangan nenek awak tu.  Oh ya lagi satu simpan sajalah duit awaktu. Saya tak hadaplah dengan harta awak tu. Awak ingat saya tak ada maruahke? Saya mungkin miskin tapi saya bukan mata duitan."

Faris mengetap bibir. Layla menyambung lagi.

    " Lagi satu, kalau awak benci saya kenapa awak tak cakap saja dengan nenek awaktu. Kenapa nak suruh saya pulak yang tolak pinangan?.“ ujar Layla dengan suara meninggi dan marah. 

    “  Kalau saya boleh batalkan perkahwinan itu dah lama saya buat. Tapi masalahnya tak boleh. Banyak yang perlu saya korbankan. Tapi, saya hairan kenapa awak tak tolak pinangan nenek saya? ”

     “ Ayah dan mak saya yang terima. Saya tak boleh buat apa-apa. Kalau awak kata awak terpaksa saya pun sama. Kalau ikut hati saya, saya memang tak ingin langsung dengan awak. Bagi free pun saya tak nak!” Balas Layla membuat Faris terasa terpukul. Free pun tak mahu? Kurang asam! Itulah kali pertama seorang gadis menunjukkan kebencian yang teramat padanya. Tapi dia pun tidak sukakan gadis itu. Terlalu sombong bagi Faris. Terlalu melawan tetapi egonya memang tercalar. 

Nanti kau! Faris merapati Layla selangkah demi selangkah menyebabkan Layla berundur hingga ke dinding. Apa ke hal pulak mamat ni! Desis hati Layla. Cuak pun ada sebab yang lain semuanya di dapur. Kini wajah Faris sudah dekat dengannya sehingga Layla boleh nampak anak matanya yang keperangan. Layla berdebar-debar. Kalau apa-apa berlaku dia nekad untuk menjerit sekuat hati, beri satu tendangan ke tempat ‘private’  dan lari.

Faris tersenyum gelihati melihat wajah cuak gadis itu. Tahu pulak takut budak kecik ni! Dia merapatkan lagi wajahnya. Antara mereka hanya ada jarak seinci. Layla menutup mata tak sanggup melihat wajah Faris sedekat itu. Arrgh! Dia tak rela.

“ Kalau kita kahwin nanti siaplah awak!” Bisik Faris ke telinga Layla. Meremang bulu roma Layla apabila Faris berbisik begitu. Layla terkedu. Dia ingin menendang lelaki itu tetapi bila dia buka mata Faris telah pun berlalu. Faris pergi tanpa bersalam dengan Pak Amir dan Mak Mah pun. Hati Faris mendidih dengan Layla. Bagi free pun tak nak? Geramnya dia! Gadis itu memang membuatkan hatinya panas dan tidak keruan sekali gus. Paling geram misinya gagal hari itu!


Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku