Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
18845

Bacaan






Sudah seminggu kenduri perkahwinannya berlalu. Majlis di sebelah Faris dibuat besar-besaran di hotel terkemuka. Manakan tidak anak jutawan yang kahwin. Memang meriah majlis tersebut yang dibuat mengikut tema English garden. Entah berapa banyak baju pengantin disalinkan. Penat Layla dan Faris. Penat lagi bila terpaksa juga melayan jemputan yang ramai. Layla yang walaupun jarang bergaul dengan orang seperti itu cuba juga berbasa-basi dan ramah entah pada siapa. Dia ikutkan sahaja rentak Faris. Faris pun seolah dapat merasakan kekekokan Layla dengan orang-orang kenamaan terutama apabila ada golongan di raja. Mata Faris seolah memberi isyarat supaya mengikutnya sahaja. Mujur Tok Zauyah sudahpun mengajar Layla semua protokol dengan orang-orang kenamaan. Walaupun kekok, Lyla masih boleh mengawal dirinya untuk tidak membuat sesuatu yang memalukan.

Tan Sri Omar sebenarnya telahpun menguruskan bulan madu mereka di Paris tapi masing-masing menolak. Layla minta mereka pergi di dalam negeri sahaja dan Faris memang sangat setuju. Dia faham Layla pun tak mahu berseorangan dengannya macam dia juga. Faris rasa gembira kerana Layla macam dia juga. Bijak bersandiwara. Dia tak sangka semuanya berjalan baik. Dia rasa semuanya akan berjaya. Mereka tidak berbulan madu pun. Bila tiba ke destinasi mereka Faris sewa bilik berasingan dan akhirnya Layla menghabiskan masa berseorangan di bilik hotel untuk hujung minggu itu sedangkan Faris entah ke mana. Layla tidak kisah. Dia faham. Itu adalah perjanjian mereka. Jadi dia tidak marah dan tidak juga dapatkan penjelasan dari Faris. Dan apabila mereka pulang semua orang ingat mereka habiskan masa bersama sedangkan Layla pun tidak tahu Faris pergi ke mana pun.

Atas permintaan Tok Zauyah, Layla terpaksa tinggal di mahligai Bukhari yang sunyi itu. Dah beberapa minggu dia di situ. Duduk sebilik dengan Faris tapi tidur berasingan. Di luar dari bilik mereka berdua berlakon seperti suami isteri yang lain tapi bila di dalam bilik kedua-duanya mengasingkan diri. Bercakap pun tidak. Mula-mula dia masuk ke bilik itu Faris sudah menetapkan beberapa syarat. Layla hanya boleh tidur di sofa. Setiap pagi selepas bangun dia perlu pastikan semua bantal dan selimutnya dikemas kembali ke dalam almari supaya tiada siapa pun tahu mereka tidur berasingan.

Faris juga menetapkan semasa dia mahu tidur semua lampu perlu dipadamkan dan juga semua baju Layla perlu diasingkan dari pakaiannya di bilik persalinan. Layla diberikan satu ruang kecil di dalam bilik itu untuk barang-barangnya. Mujurlah dia hanya membawa sedikit barang sahaja kalau tidak, di mana pula hendak dia letakkan barang-barang itu semua. Barang-barang Faris memang banyak memenuhi tiga suku ruang bilik persalinan itu. Sesuatu yang Layla tidak pernah bayangkan bagaimana seorang lelaki mempunyai begitu banyak baju, seluar, kasut dan entah apa-apa lagi. Tapi semuanya tersusun kemas. Ikut warna lagi!

Layla juga tidak dibenarkan menyalin baju di situ dan di bilik kecuali di dalam bilik air sahaja. Hah! Takut tergoda ke apa? Desis hati Layla mendengar syarat itu. Macamlah dia akan tukar baju merata-rata. Sungguh dia tak ingin!

Sepanjang masa juga Faris mahu biliknya kemas dan teratur. Dia tidak mahu satu benda pun berubah dari tempatnya. Mula-mula Layla masuk ke bilik tersergam itu dia terasa seperti berada di hospital. Katilnya yang bersaiz king bercadar putih dan bedspreadnya juga putih. Semuanya dalam bilik itu berwarna putih dan nampak maskulin. Memang sungguh kemas bilik itu tapi kaku dan dingin. Sekaku dan dingin seperti pemiliknya mungkin.

Kalau mengikut syarat yang Faris tetapkan, Layla akan tidur di sofa kulit di dalam bilik itu. Mujurlah sofa itu besar juga jadi dengan tubuh Layla yang kecil itu dia boleh tidur dengan selesa tambahan pula nyaman dengan alat penghawa dingin terpasang sepanjang masa. Bilik airnya yang luas mempunyai dinding, sink dan lantai dari kemasan marmar Itali, kelihatan mewah dan berjacuzzi pula. Boleh pilih untuk gunakan shower atau berendam sahaja di dalam jacuzzi aka tab mandi.

Patutlah Faris memang tidak betah tinggal di rumah kayu Pak Amir itu dahulu. Sudah tentulah lelaki itu tidak selesa. Panas dan rengsa hanya ada kipas sahaja. Di tambah lagi dengan Layla agaknya. Dia sudah biasa duduk di mahligai itu yang cukup serba-serbi. Tak seperti rumah Layla yang semua orang terpaksa berkongi satu bilik mandi. Toilet pula di luar. Sekeliling rumah pula penuh dengan ayam itik. Kadang-kadang ada yang masuk ke rumah. Dia perasan Faris macam geli walaupun dalam rumah Layla semuanya bersih. Dua hari sahaja lelaki itu dapat bertahan. Hari ke tiga dia sudah menyiapkan begnya. Alasannya dia ada urusan di syarikat sedangkan kenduri sebelahnya hanya akan berlangsung minggu hadapannya. Layla pula di suruh tinggal sahaja dan akan dijemputnya kembali sebelum majlis sebelahnya pula.

Rasa menyampah pula dia rasa dengan perangai Faris itu. Takut juga kalau ibu bapanya terasa tetapi macam Faris dia juga beri alasan yang Faris ciptakan supaya orang tua berdua itu tidak pelik kenapa menantu mereka mahu pulang awal. Dia pula seolah membantu Faris 'melarikan diri' dari situ sebab dia pun tidak selesa bila Faris ada. Badannya sakit kerana terpaksa tidur di lantai. Sudahlah begitu dia menyampah bila lihat Faris yang tidak pernah solat pun. Sesungguhnya sejak dia tinggal sebilik dengan Faris di kampung dan sekarang di mahligai itu, dia tidak pernah lihat Faris solat mana-mana waktu. Apatah lagi subuh. Setiap masa bila dia bangun dia lihat lelaki itu nyenyak tidur. Mahu saja dia baling tuala ke muka lelaki itu supaya dia bangun subuh. Kalau dia buat macam tu ada pulak yang makan penampar pulak pagi-pagi itu. Lantaran itu, niatnya itu tidaklah dia teruskan kerana takut juga kalau Faris bertindak ganas menjadi gergasi pula bila tidurnya terganggu. Ada juga beberapa kali dia cuba membaca Al-Quran dan terjemahannya kuat-kuat terutamanya ayat tentang solat dan balasan tidak solat tapi lelaki itu hanya merengus seketika sebelum menutup wajahnya dengan bantal dan kembali tidur nyenyak.

Itulah sebabnya Layla tidak impikan untuk hidup bersama Faris selamanya sebab kalau dari segi ciri-ciri lelaki idaman Faris sudah gagal dalam kriteria pertamanya iaitu cukup solat lima waktu. Dan entah apa lagi yang Faris pernah buat agaknya. Dia tidak hairan kalau Faris pernah minum dan tidur dengan perempuan sebab solat pun dia berani abaikan. Jelas dia tidak takut pada hukum Allah Taala pada orang yang tidak bersolat. Jadi, bila pulang ke mahligai Bukhari dan Faris tidak mengendahkannya, dia buat hal sendiri kerana antara dia dan Faris hanyalah sementara.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku