Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
19826

Bacaan






Hari itu hari Sabtu.Layla yang kebosanan pada hari Sabtu seperti itu membantu Tok Zauyah di taman atau melayan orang tua itu berbual. Bila ada masa lapang dia akan menelefon keluarganya. Kasihan juga Tok Zauyah melihatkan Layla yang tidak kemana-mana setiap hari minggu. Bila Faris balik dari entah mana petang itu, dia menasihatkan Faris supaya bawa Layla berjalan-jalan di luar esok. Mungkin pergi membeli-belah dan menonton wayang seperti pasangan lain. Jarang dia lihat mereka berdua itu keluar. Hatinya belum yakin tentang hubungan Faris dan Layla.

Faris petang itu merasa panas telinga mendengar nasihat Tok Zauyah. Ada-ada saja orang tua itu. Masih tak puas hati lagi. Sekarang dia mahu Layla di bawa berjalan-jalan pula. Besar kerak betul gadis itu. Mesti dia yang mengadu terperap di rumah saja. Bencinya dia pada gadis itu tuhan sahaja yang tahu. Memang menyusahkan sahaja. Sudahlah mereka perlu berkongsi bilik setiap hari. Berlakon setiap hari dan sekarang perlu bawa dia berjalan-jalan pula.

Satu malam Faris membebel pada Layla tentang permintaan Tok Zauyah itu. Perit telinga gadis itu mendengarnya. Bukan salah dia. Dia tidak pernah mengeluh bosan pun pada Tok Zauyah bila bersama dengan orang tua itu. Malahan dia seoronok dapat habiskan masa bersama wanita yang penyayang itu. Tapi walau apa pun dia tadahkan sahaja telinga. Nanti kalau dia melawan Faris bertindak bengis pula.

Esoknya Faris membawa juga Layla ke Pavilion dengan hati yang berat. Apa dia nak buat dengan gadis itu? Tak kan nak terus bawa pergi makan seawal itu. Tengok wayang? Ah! Wayang apa? Shopping?. Dia benar-benar mati kutu. Seperti biasa Layla menyarung baju kurung. Satu perkara yang Faris bosan sungguh. Baju kurung kapas berwarna lusuh pulak tu. Tidak bolehkah gadis itu berpakaian moden seperti gadis lain? 

Dan tudung itu? Jeleknya dia tengok. Kenapa dia mahu sorokkan rambutnya yang cantik itu? Dia sering nampak rambut gadis itu sewaktu gadis itu tidur. Tapi hari itu semua itu terbungkus dalam tudung putih itu. Malu Faris hendak berjalan dengan gadis itu seolah macam berjalan dengan budak baru habis sekolah. Memanglah betul gadis itu baru sahaja habis sekolah! Faris bosan. Tiada nafsu dia mahu bawa gadis itu ke mana-mana. Tapi apa nak buat kalau dia hantar Layla balik apa pula kata Tok Zauyah.

Layla memang sengaja berpakaian begitu kerana dia memang tak suka berjalan-jalan bersama Faris. Seronok dia tengok Faris yang stress bila berjalan dengannya. Jalannya laju semacam. Layla terasa mahu ketawa geli hati melihat muka Faris. Dia akui betapa tampan dan berkarismanya lelaki itu dengan t-shirt Polo dan jeansnya sehingga apabila dibandingkan dengannya macam langit dan bumi. Dia perasan beberapa gadis tertoleh-toleh pada Faris kemudian memandang hairan padanya. Agaknya mereka hairan kenapa pula dia di situ bersama lelaki penuh gaya itu.

 Memanglah manusia mudah tertarik pada rupa yang elok pada pandangan pertama biarpun belum tahu perangai sebenarnya lagi. Memanglah suaminya itu handsome tapi mereka belum tahu lagi bahawa hodohnya perangai lelaki itu bila sudah jadi suami.

       “ Awak nak pergi mana ni? Ikut hati saya nak hantar awak balik saja. Tak selera nak berjalan dengan awak. Tapi nanti kena marah lagi dengan Tok kesayangan awak tu. Hah cepat bagi tahu.” ujar Faris bila mereka memasuki Pavilion tersebut bersama-sama. Amboi! Faris memang tak jaga hati dia langsung, desis hati Layla. Tapi kalau orang tak suka memang tak boleh dipaksa. Layla pun tak ada mood berjalan dengan Faris sebenarnya.

      “ Hantar saya pergi kedai buku kat sini. Saya akan duduk di situ baca buku. Kalau awak nak pergi mana-mana pergilah. Nanti bila awak nak balik ambiklah saya kat situ.” Layla mencadangkan. Lama dia tidak membeli apa-apa novel sejak berkahwin. Inilah masanya untuk dia meronda sekeliling kedai buku. Rindu betul dia pada buku-buku novel yang selalu dia beli setiap kali bapanya beri wang hasil pertolongannya menjual nasi lemak. Selalunya novel karya dari Damya Hanna dan Aisya Sofea memang kegemarannya. Entah-entah ada novel baharu. Novel-novel di mahligai itu pula novel lama dan banyak pula novel Inggeris.

Ulat buku rupanya! Patutlah membosankan. Komen Faris dalam hati. Dia membawa Layla ke MPH kemudian meninggalkan Layla di situ. Sebelum pergi dia mengeluarkan beberapa not duit 50 ringgit. “ Nah ambik duit ni, nanti kena tangkap shoplifting, siapa jugak yang susah.” Ujar Faris memerli.

     “ Eh saya tak buatlah benda-benda macam tu. Simpanlah duit awaktu. Saya ada duit sendiri.” Layla menolak. Dia masih ada RM100 lagi dalam purse.

      “ Ambik! Jangan nak degil. Kalau ada lebih nanti bagi balik jangan awak pergi beli benda merepek pulak.” Sindir Faris. Layla terpaksa ambil juga bila melihat wajah Faris yang bengis itu tapi dalam hati dia merungut. Nak bagi tapi mulut tu mesti nak bercakap juga untuk menyakitkan hati orang dahlah buruk siku!

Faris meninggalkan Layla di situ. 

     “ Tunggu sini, nanti pukul 5 saya ambil awak. Jangan awak pergi merayau pulak lepas ni. Ingat!” kata Faris tegas. Layla mencebik. 

    “ Yelah Encik Faris oi…saya tunggu sini pukul 5.” Balas gadis itu acuh tak acuh. Mengarah macam apa je!

Faris baharu sahaja meninggalkan Layla di situ dan dan mahu pulang ke pejabat untuk membuat sedikit kerja. Walaupun hari itu hari Ahad tapi sejak akhir-akhir kerja drawingnya untuk sebuah projek di Langkawi mengambil banyak masa. Namun, baru sahaja dia hendak ke parking lot dia ditegur riang oleh seorang wanita mat salleh berskirt pendek. Kaki panjang meruncing bak supermodel. Rambut kuning jagung bermata biru.

      “ Faris dear!” jerit gadis itu. Mata Faris terbelalak tidak percaya. Dia menggosok matanya. Ariel?

      “ Ariel? Is that you?”

      “ Yes honey! Do you miss me?” Gadis itu lantas memeluk Faris. Faris bagai berada di awang-awangan bila dipeluk Ariel yang jelita itu.

     “So much baby. Let’s go somewhere. We sure have a lot to catch up” ujar Faris sambil mengenyit mata. Ariel hanya ketawa seronok.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku