Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 32
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
21176

Bacaan






    “ Layla, kalau Layla bosan pergilah shopping”. Kata Tan Sri tiba-tiba di satu petang. Petang itu Tan Sri dan Tok Zauyah mengajak Layla minum petang di taman bersama-sama. Tan Sri pula memang suka minum petang bersama Layla kerana gadis itu seorang peneman dan pendengar yang baik. Bila bersama Layla, Tan Sri rasa ada orang yang ambil berat tentangnya. Layla sebenarnya simpati pada Tan Sri yang sering keseorangan bila minum petang. Anak-anaknya selalu tiada tapi kalau adapun mereka seolah menjauhkan diri dari Tan Sri pula kerana sibuk dengan hal masing-masing. Layla mengganggap Tan Sri seperti bapanya dan dia sering terhibur mendengar cerita Tan Sri itu. Kadang-kadang tentang kenangan-kenangan manis dulu-dulu semasa Faris masih kecil dan juga tentang syarikatnya. Tok Zauyah pun turut bersama-sama- petang itu duduk berbual sambil merasakan keenakan kuih-kuih melayu yang dibuat oleh Mak Neng itu.

Entah kenapa petang itu juga Tok Zauyah saja bercerita padanya tentang Faris semasa kecil dengan menunjukkan album-album lama. Layla bukan berminat sangat tapi bila melihat Tok Zauyah yang bersungguh tak sampai hati pula dia untuk melahirkan perasaan tidak sukanya untuk mengetahui tentang lelaki itu dengan lebih lanjut. 

Kisah semalam masih terbayang di ingatan. Perasaan menyampah dan geram masih terasa. Walaubagaimanapun dia hadap juga gambar-gambar Faris dari kecil sehinggalah remaja. Faris memang dianugerahkan dengan wajahnya yang comel semasa kecil. Namun dia hairan bagaimana seorang budak yang comel itu boleh berubah menjadi seorang raksasa yang bengis seperti yang dia kenal sekarang. Agaknya semasa membesar Faris terkena bahan radioaktif lantas menjadi mutant agaknya. Fikir Layla nakal. 

Ada juga wajah Faris berambut kembang persis seperti hero kartun dragon ball. Rasa mahu tergelak pun ada melihat wajah kelakar Faris di dalam gambar lama itu. Ada juga gambar Faris di sekolah menengah di Australia dan menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di Harvard University. Gambar-gambarnya dalam era itu selalunya dikelilingi ramai perempuan. Setiap gambarnya pasti ada perempuan. Huh! Dasar player! Sebab itulah agaknya jadi perasan tak tentu hala.

      “Nanti ayah bagi satu kad kredit dan bila-bila nak pergi bagi tahu saja driver kita tu. Kalau nak bawa kereta pun boleh. Ambik saja Mini Cooper ayah tu. Kalau tak BMW X1 tu” Ujar Tan Sri padanya. Kata-kata itu menyebabkan lamunan Layla terhenti. Layla tersenyum. Biar betul bapa mertuanya itu percayakan dia untuk memandu kereta-kereta mahal seperti itu untuk pergi shopping. Terharu dengan kata-kata lelaki itu yang ambil berat tentangnya. Tapi masalahnya Layla bukan suka sangat bershopping. Nak-nak pula menggunakan duit Tan Sri begitu. Dia tidak mahu orang kata dia mengambil kesempatan. Tan Sri pula kasihankan Layla yang sering keseorangan di rumah hanya bertemankan Tok Zauyah.

        “ Tak apalah Ayah. Saya lebih suka duduk kat rumah sahaja. Lagipun saya bukan pandai memandu pun.” Ujar Layla mengaku.

       “ Oh ye ke? “ ujar Tan Sri Omar bagai tidak percaya. “ Kalau macam tu sementara tak ada apa ni bolehlah Layla pergi ambil lesen memandu. Nanti ayah call kan syarikat memandu tu. Bagus juga Layla belajar driving. Bagaimana? Setuju?” Layla terdiam. Tapi menarik juga kalau dia ambil tawaran Tan Sri itu. Sekurang-kurangnya ada juga perkara berfaedah yang boleh dia lakukan dan tidaklah bosan seharian.

      “ Boleh juga. Terima kasih ayah.” Balas Layla seronok. Tak sabar dia untuk belajar memandu. Selama ini dia hanya teruja melihat Faris membawa kereta sportnya. Mesti lain rasanya bawa kereta seperti itu. Fikir Layla ceria. Tapi keceriaannya terbantut bila kereta Faris menjalar masuk ke perkarangan. Hah! Raksasa itu sudah balik! Layla melihat jam di tangan. Baru 5.30 petang? Kenapa dia balik cepat pulak? Selalunya selagi tak larut malam lelaki itu tak akan pulang.

Melihatkan Faris yang keluar dari keretanya Tan Sri mengajak Faris minum petang. Faris tidak berkata apa-apa tetapi melangkah ke arah mereka. Memandang Layla sekilas sebelum mengambil tempat di hadapan gadis itu. Serta merta selera Layla terbantut. Kuih yang tadi sedap terasa hambar. Kalau boleh dia mahu bangun dan pergi tapi akan nampak ketara sangat ketidakselesaanya terhadap Faris. Tok Zauyah dan Tan Sri berpandangan sambl tersenyum. Nampaknya ada sedikit perubahan tentang Faris. Tiba-tiba sahaja balik awal. Perkembangan yang sangat baik, desis hati Tok Zauyah suka.

      “Wah, kuih keria. Sedap ni! ujar Faris lantas mengambil sekeping kuih keria dan mengunyahnya.

      “ Ambik Faris. Banyak lagi kat dalam tu. Layla, kuih keria memang favorite Faris tau. Bila-bila bolehlah Layla belajar buat kuih untuk Faris ye..” kata Tok Zauyah pada Layla. Huh! Tak ingin dia. Tapi Layla tersenyum juga pada Tok Zauyah walaupun tak ikhlas tapi senyuman itu terhapus apabila mendapati Faris merenung padanya. Ishh! Pandang-pandang pulak! Menyampahnya dia pada lelaki itu!. 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku