Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 36
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
23737

Bacaan






Pagi itu apabila Layla bangun waktu subuh dia melihat Faris yang tertidur di katilnya. Hairan juga dia sebab selalunya malam-malam minggu Faris tidak akan pulang ke rumah. Entah ke rumah siapa. Layla memerhatikan lelaki itu yang berseluar setakat lutut dan berbaju singlet itu tidur meniarap di katil. Tubuhnya yang sasa itu hampir memenuhi katil king itu bila kedua tangannya di depangkan. Wajahnya pula disembamkan diatas bantal. Kakinya terjuntai keluar dari katil. Nyata dia tidur begitu lena. 

Layla perhatikan lelaki itu. Seorang lelaki yang telah ditakdirkan menjadi suaminya. Dia masih menyampah dengan apa yang dilakukan oleh lelaki itu semalam. Menuduh dia bukan-bukan. Kemudian suka-suka sahaja mencium pipinya menyebabkan dia jadi sangat marah dan malu pada masa yang sama. Lama dia memerap dalam bilik air semalam. Takut-takut lelaki itu ada. Mujurlah bila dia keluar senyap-senyap dia lihat lelaki itu telah pun beredar. Leganya dia.

Subuh masih ada tetapi lelaki itu masih nyenyak tidur. Layla telahpun cuba mengejutkannya tadi tetapi hanya dengusan marah sahaja kedengaran seperti biasa. Kalau ikut hatinya mahu sahaja dia goncang kuat-kuat seperti adik-adiknya tetapi takut mengamuk pulak lelaki itu. Mengapalah agaknya susah benar lelaki itu untuk bangun solat subuh yang hanya dua rakaat itu?. Lima minit pun tidak sampai. Tidur pula meniarap begitu satu posisi tidur yang tidak baik dari segi kesihatan dan agama. Tidur syaitan kata orang-orang tua. Bukan subuh sahaja yang dia tidak solat malahan kesemua waktu. 

Hairan bagaimana seorang manusia beragama Islam seperti Faris tidak solat langsung. Tidak terdetik kah di hatinya tentang tangungjawab itu? Tidak resah dan kosongkah kah hatinya bila tidak bersolat? Entahlah, Layla yang sejak dulu diajar bersolat akan terasa resah bila dia lambat bersolat apatah lagi kalau meninggalkannya. Sudah tentu akan rasa seperti satu kehilangan. Seperti ada ruang kosong di dalam hati. Tetapi agaknya kalau sudah biasa mungkin tidak rasa apa-apa. Tetapi rugilah kerana pada waktu itu sudah tentu makin jauh hubungan hati hamba tersebut dengan Penciptanya.

Layla pandang lagi lelaki itu sambil terfikir tentang perkahwinannya dengan Faris. Dia tertanya-tanya sendiri. Apakah erti perkahwinan seperti ini? Bukankah perkahwinan sepatutnya membawa bahagia? Tapi kenapa derita yang dia rasa? Setiap hari dia rasa sedih kerana layanan kasar Faris terhadapnya. Begitu juga melihat perangai Faris yang jauh dari nilai-nilai Islam. Impiannya untuk seorang suami itu bukan yang macam Faris tetapi apakan daya Faris adalah takdirnya. Air mata terasa mengalir. 

Layla berharap suatu hari semua itu akan berakhir. Semoga ada penyelesaian yang baik untuk dia dan Faris. Selalunya orang kata seorang gadis akan lambat laun jatuh cinta pada suaminya tapi tidak bagi Layla setakat ini. Malahan dia makin benci. Benci melihat perangai Faris. Layla menghela nafas panjang. Bagaimana boleh ku terima dia dengan hati yang benci? Astaghfirullahilazimmm!

Sewaktu usai solat subuh tadi dia berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku, kalaulah dia bukan yang terbaik untukku janganlah Kau panjangkan jodohku dengannya. Sesungguhnya aku tahu Ya Allah yang Kau tidak akan menguji hambaMu dengan sesuatu yang tidak mampu hambaMu ini tanggung. Mungkin ini yang terbaik untukku tetapi kalau bukan yang terbaik, kau tunjukkanlah aku jalanMu yang lurus. Ya Allah ya Mujib. Sesungguhnya cinta yang hakiki hanyalah untuk Mu Ya Allah”, doa Layla dalam hati. Ya cinta yang hakiki hanyalah pada Allah yang satu, bisik Layla lirih.

Mesej di telefon tangannya menyentak Layla dari lamunan. Sejak malam tadi lagi Rafi menulis mesej padanya. Mengajak untuk berjumpa lagi. Entah apa yang dimahukan oleh Rafi.Layla macam tak senang duduk.Tapi hari minggu begitu kalau Faris tidak kemana-mana pasti tiada peluang untuk Layla keluar. Kecuali kalau Faris ke padang Golf atau berjumpa rakannya. Layla melihat mesej. Rafi menulis mesej ucapan selamat pagi. Layla tersentak. Ada sayang pula dihujungnya. Layla mengeleng sendiri.

 Dia tidak faham kenapa Rafi menganggap dia telah menerima Rafi sedangkan dia tidak pernah mengatakan apa-apa. Malah Rafi seolah tidak mahu mendengar penjelasan. Dia mahu membuktikan keseriusannya kepada Layla. Itu yang buat Layla pening. Dia sukakan Rafi. Memang dia suka. Kalaulah tidak kerana perkahwinan itu sudah tentu dia sudah membalasnya tapi apakan daya. Ya Allah kenapalah dia ditemukan dengan Rafi bila dia telahpun dimiliki oleh Faris Nabhan Omar yang tidak berperasaan itu?.

Layla termenung lagi. Jam baru pukul 7.00 pagi. Mahu saja dia turun sarapan tapi Faris pasti marah. Kalau dia ada, Faris memang tetapkan Layla mesti sarapan dengannya. Kadang-kadang dia meluat dengan perangai Faris yang suka memaksanya begitu. Ada saja yang tak kena.

Mesej Rafi datang lagi. Kali itu dengan senyuman sahaja. Ni sorang lagi! Pening juga kepala Layla. Mungkin hari itu dia perlu beritahu Rafi siapa dia sebenarnya. Supaya Rafi tidak mengharap dan akhirnya kecewa sendiri. Tapi walau apa pun dia perlu menunggu Faris. Dia berdoa supaya hari itu Faris keluar rumah supaya dia dapat berjumpa Rafi. Apa-apapun sebelum Faris bangun dia perlu mandi dulu dan bersiap-siap. Manalah tahu hari itu dia dapat berjumpa Rafi. Hati Layla berdegup tiba-tiba. Sedikit teruja memikirkan kalau dia dapat berjumpa dengan lelaki itu. Oh aku jatuh cintakah? Gila! Akukan isteri orang!. Layla semat rapat-rapat dalam hatinya tentang niatnya berjumpa dengan Rafi adalah untuk menceritakan hal sebenar supaya Rafi tidak salah faham. Layla terfikir sendiri. Terkejutkah lelaki itu nanti sekiranya dia tahu siapa Layla yang sebenarnya?.

Keluar sahaja dari bilik mandi Faris masih lagi tidur. Layla kebosanan. Tidur macam kayu mati! Sumpah Layla dalam hati. Dahlah subuh pun tak bangun! Marahnya dalam hati. Itu yang buat dia lebih angin. Argghh…dia memang bosan dengan Faris. Selepas siap dengan tudung dan berpakaian lengkap Layla duduk di wing chair sebelah katil itu. Dia mencapai telefon tangan. Ada lagi mesej dari Rafi. Layla tak senang duduk. Mahu saja dia mencampakkan bantal kepada Faris supaya bangun tapi dia takut juga kalau Faris bangun mengamuk pulak menjerit macam halilintar kalau tak pun macam dinasor tua! Ye dinasor tua! Layla gelak sendiri. Dia tidak dapat bayangkan dinasor tua berwajah Faris. Arggh! Benci! Sumpah Layla dalam hati lagi. Perlukah aku siram dengan air? Mungkin sebelum itu ikat kaki dan tangannya dulu dan tutup mulutnya. Baru siram dengan air. Layla hampir tergelak lagi. Oh jahatnya fikiran nya ini, getus hati Layla. Namun hati kecilnya berkata ‘Tak baik fikir macam tu, diakan suami kau. Buruk baik pun dia itu suami kau ooppss…”

Rafi hantar mesej lagi. Layla terus baca. Hati Layla makin galau. Kalaulah dia bukan isteri orang mesti dia sudah merasa thrill dapat mesej begitu. Rafi yang pandai memujuk dan romantik sungguh. Hmm apalah nasib kau Rafi! Jatuh cinta dengan isteri orang. Tapi Rafi bukan tahu dia isteri orang pun. Itulah sebabnya hari itu dia perlu bersemuka dan beritahu hal sebenar. Kalau Rafi serius, Rafi boleh tunggu dia bila dia bercerai. Oh kelakar pula kalau berkata seperti itu. Seolah mempermainkan sebuah ikatan perkahwinan. Tapi perkahwinan inipun satu sandiwara. Jadi apa yang sinisnya. Inilah realiti perkahwinan dia dengan Faris. Satu hakikat yang sementara sahaja.

Faris akhirnya bangun juga. Leganya hati Layla. Tanpa bercakap apa-apa dengan Layla dia terus sahaja ke bilik air. Layla sudah biasa dengan kebisuan mereka apabila berduaan dalam bilik itu. Kalau bercakap pun mesti sebab bergaduh. Tak pernah ada kata-kata yang manis dan baik dari Faris kecuali kalau mereka bersama-sama dengan orang lain. Memang lain dengan Rafi. Oh Rafi. Layla pun terkenangkan lelaki itu sejak peristiwa semalam. Otaknya seolah memutarkan segala babak-babak dia bersama Rafi semalam. Berbual, makan-makan dan berbincang. Terasa agak indah. Astaghfirullah! Aku isteri orang!

Mesej Rafi datang lagi. Faris yang baru keluar dari bilik air sambil mengelap rambut mengangkat muka. Wajahnya menyinga. Dia menghampiri Layla dan mencampakkan telefon tersebut ke dinding. Layla tersentak. Telefon itu berderai. Layla menjerit. “ Awak gila ke Faris? Habislah telefon saya!” ujarnya lantas berlari ke dinding mengambil apa yang tinggal dari telefon yang berderai itu. Dia rasa mahu menangis bila lihat telefon itu. Sampainya hati!

     “ Siapa yang gila? Tak habis-habis lelaki tu SMS awak dari pagi. Awak yang dah gila pada lelaki tu kan?“ Alamak! Dia perasan? Bukan dia tidur ke tadi? Desis hati Layla tetapi dia tidak mahu mengalah.

      “ Kalau saya gila pada dia pun apa salahnya? Apa awak nak kisah?” saja Layla mencurah minyak lagi untuk melepaskan perasaan geramnya.

      “Jangan nak malukan saya ye. Sedar sikit awak tu siapa.” Dia seolah memberi amaran.

     “ Saya sedar tapi awaktu layan saya macam sampah. Sekurang-kurangnya lelaki tu layan saya dengan baik. Dia hormati saya.” Faris ketawa sinis.

      “ Mana awak tahu? Lelaki ni selagi dia tak dapat memang sanggup buat apa saja. Kalau dah dapat lebih teruk dari sampah dia layan.” Apa yang dapat dan apa yang tak dapat? Layla bersoal sendiri.

      “ Saya tahu dia orang yang baik”. Faris ketawa lalu mengelilingi gadis itu kemudian menghadapnya.

      “ Ooo…awak jatuh cinta pada dia ye? “ Faris serkap jarang lalu ketawa sinis. Naifnya budak kecik itu!

     “ Ni saya nak bagi tahu awak. Lelaki ni kalau dia mahukan seorang perempuan bukan sebab cinta awak tahu.” kata Faris dari celah ketawanya. Entah apa yang gelihati sangat. Dia menghampiri Layla dan kemudian berbisik ke telinga gadis itu dan menyambung. “Mereka hanya nak seks sahaja. Awak faham?” Mata Layla terbeliak. Hatinya mendidih. Kotornya fikiran Faris!

     “ Awak ingat semua orang macam awak ke Encik Faris? Menganggap wanita sebagai objek seks? “ marah Layla. Hish! Aku pulak yang kena? Desis hati Faris.

     “ You are twisting my word Layla. Saya tak melihat wanita sebagai objek seks tapi saya nak awak faham yang lelaki bukan macam yang wanita fikirkan. Itulah sebabnya wanita terpedaya bila seorang lelaki itu menjadi romantik. Cuba awak tengok kes-kes wanita kena tipu dalam internet tu. Semua terpikat dengan lelaki romantik. Penyudahnya si perempuan bagi semua sampai papa kedana dan maruah tercela. Samalah macam romeo awak tu!. Kalau awak dah bagi apa dia nak, awak ingat dia nak romantik lagi macamtu?” Faris ketawa sinis dengan cara menjengkelkan. Layla tertekan melihatnya. Dia geram kerana buruk betul sangkaan Faris terhadap Rafi yang dia tahu seorang yang baik. Dia masih ingat lagi wajah ibu Rafi yang ditemuinya.

     “ Faris, saya benci awak! Boleh tak awak keluar dari hidup saya? “ jerit Layla. Faris ketawa terbahak-bahak pula. Perlahan-lahan dia menghampiri Layla.

     “ I would love to Puan Layla kalau tak kerana orang tua kat bawah tu!” ujar Faris sinis. Dia menyauk tangan Layla tiba-tiba. Layla ingin leraikan tetapi Faris menguatkan kepitan tangannya dengan tangan gadis itu sehingga gadis itu tiada pilihan.

     “ Kita sarapan ye Puan Layla darling”. Layla yang berwajah kelat terpaksa mengikut sahaja. Apakah pilihan yang dia ada. Hatinya menangis mengingatkan telefon tangan yang pecah. Pasti Rafi masih menunggu balasan mesejnya. Rancangannya untuk berjumpa lelaki itu juga berkecai seperti berkecainya telefon itu. Beratnya hati Layla mahu turun sarapan dengan hatinya yang sedih begitu. Terasa berat untuk dia berlakon di hadapan Tok Zauyah, bapa mertua dan adik-adik iparnya. Mereka jalan beriringan turun tapi hati masing-masing kacau.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku