Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 39
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2014
Buku ini sudah terbit! Sekarang telah berada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku berdekatan dengan anda.Berada di tangga 18 dalam carta Local Best Seller MPH selepas 10 hari :) Jangan ketinggalan mendapatkannya ye!
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
25316

Bacaan






Sebenarnya Tok Zauyah yang ingin membawa Layla membeli belah. Dia lihat baju-baju Layla semuanya lusuh dan kebanyakkannya pun baju kurung. Selama Layla di situ Tok Zauyah perasan asyik baju sama sahaja yang Layla pakai. Tok Zauyah kasihan pada gadis itu. Lagipun Tok Zauyah mahu Layla lebih bergaya di hadapan Faris. Oleh itu diapun meminta Faris membawa Layla bershopping hari itu. Namun Tok Zauyah bagi amaran supaya Faris tidak meninggalkan Layla seperti yang dia pernah buat dahulu.

    “ Tok jangan risau, kali ni saya akan berkepit dengan dia ke mana saja hatta ke bilik air pun.” Ujar Faris nakal sewaktu menunggu Layla bersiap.

     “ Amboi! Sampai ke bilik air kamu nak teman dia? Bukan main lagi.” Tok Zauyah ketawa dengan kata-kata nakal cucunya itu. Faris hanya sengeh. Lagipun ada perkara yang hendak dia lakukan bila bershopping itu nanti. Jadi, bila Tok Zauyah membuat permintaan seperti itu dia akur sahaja.

Setelah Layla bersiap, Faris bawa Layla membeli belah di butik-butik ekslusif di Pavilion dan KLCC. Terlongo Layla jadinya apabila di bawa ke butik Laura Ashley, Dorothy Perkins, DKNY dan beberapa butik lain. Layla tahu barang-barang di situ memang mahal. Takut dia nak pilih apa-apa. Lagi satu baju-baju di situ kebanyakan baju yang moden seperti dress, jeans, blouse, sleeveles dan skirt sedangkan selama ini dia selesa berbaju kurung dan sekali sekala dengan jeans dan T-Shirt lengan panjang tetapi sejak berkahwin dia memang kekalkan baju kurung sahaja.

     “ Pilih apa saja yang awak berkenan di sini. Bosan saya tengok baju kurung awak.” Ujar Faris di salah satu butik ekslusif yang mereka masuk. Memang bosan dia tengok baju kurung Layla itu. Kalau boleh dia mahu bakar semua baju itu dan gantikan dengan pakaian lebih moden. Bosan? Tak habis-habis Faris nak mengutuk baju aku! Desis hati Layla pula.

Layla tidak bergerak melihatkan pakaian dan aksesori di situ. Semua barang di situ cantik dan memang terpegun dia bila masuk kali pertama. Namun bila dia tarik tag baju tersebut tak sanggup pula dia melihat harganya. Tak kan lah sehelai baju boleh berharga beratus-ratus ringgit?. Tak terpilih dia kerana harga itu. Membazir. 

Masuk-masuk sahaja ke butik Laura Ashley beberapa sales girl datang menghampiri mereka. Nampak sangat mereka sudah kenal siapa Faris. Layla menarik Faris ke tepi dan berbisik.

“ Awak, tempat ni kan mahal. Baik awak bawa saya pergi Jusco sahaja. Kalau tak pun kita pergi Jalan TAR. Kat sana murah. Bolehlah jimat duit awaktu.” Faris terasa mahu tergelak. Budak kecik ni buat kelakar pulak. Macamlah Layla tak tahu yang dia anak jutawan. Kalau belanja seribu dua sehari memang tiada masalah. Ada banyak lagi duit dia. Memanglah budak ini tak tahu dia kahwin dengan siapa agaknya. Kalau perempuan lain mesti dah laju memilih. Kalau boleh berbeg-beg. Tapi yang seorang ini mahu dia ke tempat yang lagi murah? Faris mengeleng. Gadis ini spesies dari mana agaknya? Memang lain dari yang lain. Orang bagi peluang tak mahu pulak dia.

   “Pilih sajalah. Awak ingat saya tak boleh bayar ke? Awak jangan nak buat malu saya.” Balas Faris tegas.

    “ Tapi..,”

     “ Ish lembablah awak ni. Pergi pilih cepat! Saya nak awak pakai mana-mana dress di sini dan bukannya baju kurung yang buruk ni” bisiknya sambil menunjuk pada baju kurung Layla seolah macam hina sangat baju itu. Huh! Melampau betul!.

Faris lantas memberi isyarat kepada salesgirl di situ. “ Miss, tolong pilihkan baju yang sesuai untuk dia ye dalam 10 pasang.” Ujarnya selamba. Layla terkujat. 10 pasang? Membazirnya! Banyaknya 10 pasang? Satu pasang harga RM200 kalau 10 pasang dah RM2000. Huish! RM2000 tu macam-macam boleh dibuat. Faris memang membazir.

   “ Mari saya tunjukkan koleksi kami yang baru.” Salesgirl itu pun menunjukkan koleksi pakaian mereka yang terbaru. Kebanyakannya adalah dress dan skirt pendek. Kalau ada blouse pun yang berlengan pendek atau tidak berlengan. Memang fabriknya cantik dan nampak berkualiti tapi Layla resah. Macamana nak pakai semua baju itu. Macamlah Faris tidak tahu yang dia seorang yang menutup aurat. Mana boleh pakai pakaian begitu. Lelaki itu agaknya memang saja nak kenakan dia.

   “ Cik, macamana saya nak pakai semua dress ni ye? Saya ni kan pakai tudung.” Namun, Layla suarakan juga dilemanya pada jurual di situ. Salesgirl itu tersenyum mengerti. Ada ramai gadis-gadis seperti Layla yang datang ke situ. Kalau pandai suai padan boleh saja menutup aurat. Dengan syarat baju tidak ketat dan semua aurat tertutup.

    “ Saya nak panggil cik ke puan ye? “ Tanya salesgirl itu.

    “ Err…cik sajalah” ujar Layla cepat. Faris yang mendengarkan itu terus menyampuk.

    “ Panggil dia Puan! Dia tu isteri orang. Amboi, ada hati nak jadi cik lagi!” marah Faris tiba-tiba. Layla tersentak. Serta merta wajahnya merah kerana malu. Isyh! Dengar pulak dia. Memanglah macam telinga Spiderman si Faris itu! Tapi dulu kata jangan mengaku isteri! Confuselah!

      “ Cik, err Puan…Puan jangan risau. Kami ada koleksi dress panjang. Puan boleh pakai jaket dari kulit atau cardigan untuk tutup lengan. Atau mana-mana jaket di sini. Sebenarnya dress pendek pun boleh pakai. Boleh pakai dengan jeans atau slack. Untuk tutup lengan boleh pakai inner di dalam atau T-shirt lengan panjang. Saya tengok ramai muslimah yang berhijab pakai macamtu. Puan cuba yang ini. Kalau tak suka nanti saya ambilkan yang lain pula” Dia memberikan Layla sehelai dress panjang berwarna salmon yang dikenakan dengan cardigan nipis berwarna cream. Layla ke kotak persalinan. Dia menyarung dress yang disarankan. Dress tersebut selesa walaupun mengikut bentuk badannya tetapi tidak pula ketat. Layla mengenakan pula cardigan tersebut. Serta-merta penampilannya berubah. Nampak trendy. Dia keluar seketika dari kotak persalinan untuk tunjuk pada salesgirl tersebut. Tiba-tiba Faris datang ke situ lantas memandangnya ke bawah dan ke atas. Siapani? Budak kecik yang dia bawa tadi ke? Mengapa nampak cantik sangat pulak? Faris berdehem tidak selesa. Aduhai kalau dia cantik sangat nanti siapa pulak yang susah? Tapi dia tak rela Layla asyik berbaju kurung sahaja.

     “ Err...awak cuba yang ini semua. Bagi tahu saya yang mana sesuai dengan awak” ujar Faris memberikan pada Layla lima pasang dress pendek. Layla membeliakkan matanya. Gila ke apa mamat ni? Tak kan Faris nak suruh dia pakai pakaian seperti itu. Seumur hidup dia tak pernah memakai skirt sekarang Faris meminta dia cuba dress pendek pula? . Nak suruh dia pakai di mana?

       “ Tapi saya tak pakai baju macam ni.”

        “ Saya kata cuba, cuba je lah. Jangan nak banyak soal. Saya yang bayar bukan awak. Suka hati sayalah.” Asyiklah guna dialog itu sahaja tiap kali bila nak memaksa dia. Suka hati…suka hati. Geram sungguh Layla dengan Faris tetapi dia cuba juga dress pendek itu. Hanya 3 pasang sahaja yang sesuai. Seperti diminta dia maklumkan juga pada Faris.

Akhirnya beberapa pakaian dipilih termasuklah dress pendek tiga pasang itu dan yang pelik walaupun dia yang disuruh pilih tetapi Faris juga yang memberikan kata putus mana satu yang hendak dibeli. Setelah beberapa jam mereka berdua keluar setelah membayar lebih dari 10 pasang pakaian terdiri dari blouse, dress, jeans dan jaket. 

Selepas itu Faris membawa dia ke butik tudung pula di situ. Faris tahu bahawa di masa sekarang ada pelbagai fesyen tudung. Dia tahupun melalui pemerhatiannya ke atas pekerja-pekerja perempuan di syarikatnya. Puas dia temubual mereka tentang tudung-tudung terkini yang mereka pakai. Mereka nampak trendy sedangkan isterinya itu asyiklah memakai tudung kain bawal. Dia mahu Layla pakai tudung dan shawl yang berfesyen juga.

 Beberapa helai tudung shawl dibeli dari beberapa butik ternama walaupun Layla bukan minat pun memiliki tudung seperti itu. Mahal sahaja lebih tetapi fesyennya masih juga sama dengan yang ada di kedai-kedai biasa. Masa membeli itu terkejut dia harga tudung boleh mencecah hingga beratus-ratus ringgit. Memanglah pengeluar tudung buat duit. Beruntunglah mereka kalau dapat pelanggan macam Faris yang tidak berkira langsung dalam membeli tudung untuknya. Membazir….membazir…membazir. Tapi kalau dia komplen, Faris marah pula. Ikut sukalah labu bukan duit aku pun, desis hati Layla.

    “ Ingat, jangan lagi pakai tudung bawal tu kalau keluar dengan saya. Saya mahu awak pakai tudung lilit-lilit tu.” Ujar Faris mengingatkan siap angkat jari telunjuk lagi. Nampaknya Layla perlu belajar memakai shawl yang berlilit pula seperti yang ditunjukkan oleh jurujual tudung di butik-butik ekslusif tadi. Faris pulak kalau sudah mengarah memang kalah seorang diktator.

Selepas membeli Faris ajak makan pula.

      “ Jom! Awak nak makan apa harini? Saya follow.“ Wah ajak makan pulak? Kenapa baik sangat lelaki itu dengan dia hari itu? Follow pulak tu. Ada udang di sebalik mee kah? Layla musykil. Sangat musykil. Mesti ada sesuatu yang lelaki itu mahukan darinya.

       “ Err, saya tak kisah. Apa-apapun boleh.” Ujar Layla segan-segan. Dahlah berpasang-pasang baju Faris belikan untuknya tadi termasuk tudung. Tak kanlah nak demand lagi.

     “ Apa-apa tak ada jual sinilah. Ish, cepatlah pilih, apalah yang susah sangat?. Saya dah lapar ni.” Balas Faris kurang sabar. Layla tercangak-cangak. Kemudian dia terlihat outlet subway yang berdekatan. Nampak sungguh menyelerakan. Dia pun tidak pernah makan di Subway. Selalu dia dan Asha asyik ke KFC atau McDonalds sahaja.

     “ Okaylah, kita makan di subway tu boleh tak?” pinta Layla menunjuk pada restoran berdekatan. Faris memandang seketika lalu mengangguk. Subway pun subway lah! Tadi dah kata I follow maka terpaksalah dia. Kalau ikut hati mahu ke Tony Roma atau Madam Kwan tapi hari itu dia memang mahu biarkan Layla yang tentukan. Nak ambik hati sebab dah hempaskan telefon gadis itu. Layla memesan Subway Melts manakala dia Italian BMT. Selepas membayar makanan dan minuman mereka mengambil tempat di bahagian yang agak belakang.

Dah lama sebenarnya Faris tidak ke Subway. Akhir sekali semasa dia di Australia dulu. Itupun sewaktu di High School. Masa itu dia lebih suka membeli veggie delite sebab tidak tertelan pula dia daging tidak halal meskipun dia bukanlah baik pun. Makan di Subway mengimbau kenangan dia di sana menyebabkan dia tersenyum sendiri betapa terujanya bila dapat keluar makan-makan di hari minggu bersama kawan sekolah atau keluar berdating dengan makwe-makwe Aussie yang seksi.

Pada waktu itu hidup terasa begitu indah. Dengan ketinggiannya dan wajahnya itu setiap minggu boleh berdating dengan mana-mana gadis. Boleh dikatakan Faris adalah antara budak lelaki yang popular di sekolahnya. Dating atau ke majlis tari menari pun selalunya dengan gadis-gadis popular. Namun lihatlah takdirnya sekarang. Faris tersenyum sendiri. Bayangkan bahawa dengan kekayaan dan wajahnya dia sebenarnya boleh mendapat mana-mana sahaja wanita dalam hidupnya tetapi jodohnya dimaktubkan dengan gadis di hadapannya itu. Dia perasan yang gadis itu sedang makan sandwich Subway dengan leka dan comot sekali. Faris mahu tergelak bila melihatkan sos barbeque yang terlekat di atas bibir gadis itu yang comel. Namun dia tahan perasaan gelihatinya. Agaknya sedap sangat gadis itu makan sampai tidak perasan bibirnya yang comot.

      “ Ni apa makan comot-comot ni? “ tegur Faris lalu dengan selambanya menyapu mulut Layla dengan napkin kertas yang diberi bersekali dengan pesanan sandwich tadi. Layla yang sangat leka terkejut bila dibuat begitu. Macamlah dia budak kecik. Alamak, buruk sangat ke aku makan?. Hah! Malu! Getus hati Layla. Dahlah begitu Faris pula suka-suka sahaja menyapu mulutnya. Memang sengaja nak malukan dia. Dia melihat sekeliling kalau-kalau orang memerhati. Mujurlah tiada siapa yang memandang. Kalau tidak mana dia nak menyorok. Dia sapu lagi bibirnya manalah tahu ada lagi bekas-bekas sos. Faris menahan ketawa melihat muka Layla yang pelik lalu menjamah sandwichnya dengan nikmat.

      “ Tahulah lapar, tapi janganlah nampak sangat kelaparan awaktu. Hisyh! Buat malu orang je!” sindir Faris sengaja dari celah kunyahannya menyebabkan Layla tarik muka masam. Hilang nikmat sandwich yang dia jamah itu bila mendengar kata-kata Faris itu. Geramnya dia dengan lelaki itu.

Selepas makan Faris membawa dia ke outlet yang menjual telefon bimbit pula. Pada mulanya Layla menyangka telefon itu untuk Faris tetapi rupa-rupanya Faris membelikan telefon bimbit Samsung  itu untuk dia. Hah! Apa mimpi Faris membelikan dia telefon bimbit pula? .

       “ Telefon tu ganti telefon awak yang dah pecah tu. Ingat, telefon ni saya yang bayar bilnya jadi awak jangan suka-suka telefon boyfriend awak pulak. Telefon ni untuk awak telefon keluarga awak di kampung atau kawan perempuan awak sahaja. Kalau saya tahu awak salah guna saya akan tarik balik telefon ni. Amacam, setuju tak? “ ujar Faris seperti tahu apa yang bermain di kotak fikiran Layla. Mendengarkan itu hati Layla seperti disimbah air. 

       “ Terima kasih Faris. Saya setuju. Bolehlah saya telefon ibu dan ayah saya lepas ni.” Ujar gadis itu tersenyum manis. Seronok dia mendapat telefon itu. Nampaknya Faris itu bukanlah selama-lamanya raksasa. Dia juga manusia yang kadang-kadang ‘sweet’ juga, desis hati Layla. 

Faris hanya tersenyum sedikit tapi dalam hati dia juga rasa seronok melihat gadis itu tersenyum begitu. Senyum yang memang jarang-jarang sekali ditujukan padanya. Dan seperkara lagi, sekurang-kurangnya dia tidaklah rasa bersalah lagi pada gadis itu kerana merosakkan telefon gadis itu dulu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku