TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND...
BAB 10. Nasib Malang Anak Yatim Yang Dianiaya di Asrama Puteri
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 April 2014
Penilaian Purata:
(17 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3638

Bacaan






BAB 10

Selesai berjemaah solat Maghrib bersama para pelajar dan warden asrama, Dewi bermohon diri hendak pulang.

Ruby dan Nury memeluknya erat-erat. Sukar. Sukar sungguh hendak melepaskan. Ruby berusaha menahan sedihnya. Nury pula terasa seolah-olah dia akan ditinggalkan di sebuah rumah asing. Tidak ada yang sayang atau sudi menerimanya. Apatah lagi hendak memahami dirinya. Perasaan itu begitu kuat mencengkam nubarinya. Kedua-dua lengannya memaut pinggang Dewi. Kuat sekali. Nafas Dewi sesak dek perasaan sebak.

“Datanglah selalu umi, bawakan kami makanan banyak-banyak macam tadi ya?” oceh Nury sayu manja. Ruby mengangkat kening. Bibirnya dikemam. Terangguk-angguk mengiakan rayuan adiknya itu. Matanya menengadah sayu. Menatap hiba wajah si ibu tiri.

Rengekan Nury itu membuatkan Dewi terkenangkan makanan yang dihantar rakan-rakannya ke rumah jiran sebelahnya yang biadap itu. Dimakankah oleh mereka atau sebaliknya? Atau dibuang saja…? Rugilah kalau dibuang. Kerana di sekitar premis kediamannya bukannya ada haiwan ternakan. Kalau ada haiwan liar seperti anjing, barangkali ada juga yang menyambutnya. Tetapi, agak mustahil juga buat anjing-anjing liar di situ mahu memamah spaghetti. Kecualilah menu Ayam Kuzi yang ikut disertakan di atas dulang-dulang tersebut oleh rakan-rakannya itu… Huh…Dia melepaskan sebakul gerutu dalam hati. Amat simpati pada Irene, Zulaikha dan Jasmina. Diperhina tanpa belas oleh keenam lelaki itu. Bunian tak guna…hamputnya dalam hati.

Terlalu jauh fikiran membawanya pergi, menyebabkan dia tersentak bila bahunya dicuit oleh warden asrama di situ. Dia menyalami tangan yang dihulur mesra.

“Ya, kami juga nak ucap terima kasih bagi pihak dormitori A. Riang betul nampaknya budak-budak tu tadi.” kata warden tersebut. ”Sedap makanan yang puan bawa tu…” hargainya sambil tersenyum manis.

Sekali lagi Dewi teringatkan Jasmina, Zulaikha dan Irene. Ralat memikirkan yang mereka langsung tidak sempat menjamah makanan yang susah payah mereka sediakan. Semuanya disebabkan trauma dengan sambutan di luar jangkaan oleh jiran sebelah rumahnya petang tadi. Tapi dia lega. Makanan itu tidak terbazir sia-sia. Sebaliknya menjadi sedekah yang dihargai pula. Alhamdulillah. Moga pahalanya dikaut rakannya yang bertiga itu. Doanya sendiri.

“Umi…”lagi rengekan Nury yang masih memeluk pinggangnya. Pudar kisah Irene, Zulaikha dan Jasmina. Warden tersebut menggeleng sebelum meninggalkan mereka bertiga beranak.

Serba-salah Dewi hendak meninggalkan kedua-dua anak yatim piatu tersebut. Sebak sungguh hatinya. Tetapi apalah yang terdaya dilakukannya?

“Umi, tak boleh ke kami tinggal di rumah semula? Kami tak suka tinggal di sini…” Mendengar suara Nury yang mengulum hiba itu, bertambahlah lagi enap kalbu Dewi. Dia mendakap erat-erat Ruby dan Nury.

“Umi memang bercadang nak cari rumah lain supaya Ruby dan Nury boleh tinggal dengan umi. Tapi tu bermakna, rumah arwah ayah tu, kita kena tinggalkan. Kalau Abang Ehsan pulang macam mana? Arwah ayah kan dah pesan suruh umi tunggu sampai abang Ehsan pulang? Banyak urusan yang belum beres. Umi tak ada pilihan sayang…Dulu lain, dulu ayah masih ada…” Dewi memujuk sambil meraup kedua-dua anak tirinya itu rapat-rapat ke dalam dakapannya. Perasaan simpati bagaikan terjunan air yang melimpahi lata.

“Kita dah tunggu lama dah. Tapi abang tu tak pulang-pulang pun! Dia memang tak nak pulanglah umi. Kami pun takut kalau abang tu balik. Pasal ayah tak ada. Tapi kami tak nak tinggal di sini tanpa umi.” Aduhai, Dewi mengetap bibir mendengar keluh-kesah anak tirinya itu. Alangkah kasihan.

Bagaimanalah agaknya perasaan seorang kanak-kanak yang masih mentah tetapi sudah kehilangan ayah dan ibu! Untung sabut, mendapat penjaga yang bersimpati. Tetapi jika sebaliknya… Ya Allah…Dikau lindungilah anak-anak yatim…anak-anak yatim piatu…dan anak-anak terbiar di dunia marcapada ini…terbitkanlah rasa kasihan di hati-hati yang memandang mereka. AMIN!

“Kalau betul, umi carilah rumah lain, ya umi? Kecik pun tak apa. Cukup untuk kita bertiga. Kami sayangkan umi dan hendak tinggal dengan umi. Umi baik…” rayuan Ruby begitu menyayat sukma Dewi. Dewi mengangguk dengan mata yang mulai merembes.

Ada budi yang tersimpan di lubuk hatinya buat arwah ayahanda kedua puteri kecil itu. Dia tidak tergamak melanggar wasiatnya. Tetapi, lagi tidak tergamak melihat anak-anak tirinya dirundung duka nestapa seperti itu.

Dia tersedu-sedan bila melihat Nury yang bertangisan terus mengejar keretanya di waktu Maghrib yang suram itu, hingga dihambat oleh Ruby yang lebih tua. Dari cermin pandang belakang, kelihatan mereka erat sekali berpelukan. Dia tahu Ruby sedang memujuk adiknya. Airmata Dewi terus mencurah turun dengan laju. Anak-anak tidak berayah…dan tidak beribu…esaknya kalut. Dalam duka yang berpanjangan.

“Aku pasti akan cari jalan…Apalah ertinya hidup selesa jika dua darah daging Abang Biyazid itu terpaksa menderita…Duit cukup ditinggalkan oleh ayah mereka. Aku akan cari jalan…Ehsan…pulanglah cepat!”

Agaknya entah bagaimanalah nasib anak-anak yatim piatu yang ditinggalkan menumpang di rumah saudara mara arwah ibu bapa mereka. Terbelakah…? Dikasihikah…? Atau didera? Lagi sedih jika wang yang diperuntukkan kepada waris si mati ini oleh kerajaan yang prihatin, dirampok untuk kegunaan diri sendiri atau anak-anak penjaga. Manakala si yatim piatu yang menumpang ehsan mereka, dibiar hidup seperti gelandangan yang melarat. Atau dibiar bagai melukut di tangga rumah. Pautlah ALLAH swt memberi ganjaran yang sangat besar kepada mereka yang menaungi insan-insan tidak berdaya ini. Alangkah deritanya kehilangan kasih sayang, dan di masa yang sama terpaksa pula hidup terlonta-lonta dikejami!

Hujung minggu berikutnya Dewi tidak berkesempatan menemui mereka. Ada tugas yang menghalang. Seminggu selepas itu barulah Dewi kembali memenuhi jadual rutinnya.

Dia ke asrama sambil membawakan beberapa bungkusan nasi dagang yang ditempahnya dari salah sebuah gerai berhampiran rumahnya. Begitu gembiranya Nury dan Ruby menyambutnya. Terjadi lagi episod berhiba-hiba seperti selalu.

“Umi…” Nury memeluknya. “Nury takut. Nury takut tinggal sini…” Getar suaranya, sayu sekali menyapa cuping telinga. Dewi yang mengesyaki sesuatu, memaksanya berkata jujur. Nury menggeleng. Jelas dia sangat gementar hendak berterus-terang. Tutur katanya juga kedengaran cemerkap.

Seorang murid tahun enam melintasi mereka sambil memicing pada tiga beranak. Di tangannya ada dua bungkus nasi dagang. Memang banyak sekali diborong oleh Dewi untuk penghuni asrama tersebut. Sedekah pahala buat arwah Biyazid…Begitu niatnya ketika membayar kos kesemuanya. Nury melarikan mukanya. Murid tahun enam itu tersenyum, kemudian menghilangkan diri ke domnya.

Bila Ruby berkasar dengan Nury, barulah dia tergagap-gagap membongkar rahsia yang diperapnya selama ini. Dewi tidak dapat menahan perasaan sedih dan geram bila Nury mengadu tentang dirinya yang yang sering dibuli ketua dormitorinya. Ruby hanya ternganga mendengar. Tidak sangka dengan kakak sendiri pun Nury begitu berahsia? Dia benar-benar berang.

“Dah berbulan dah ni. Kenapa baru nak bagi tau? Ruby kenalah tengok-tengokkan adik. Kan umi dah pesan? Kalau mau apa-apa, minta saja kat umi tapi, Ruby kenalah jaga adik. Minggu lepas umi tak dapat datang kerana, kerja berlambak di pejabat. Tapi umi takkan biarkan atau sesiakan kau orang!” Dikeraskan sedikit nada suaranya. Ruby menggeleng mempertahankan dirinya yang tidak bersalah.

Kenapa mesti dia pula yang dipersalahkan?

“Nury tak cakap pun. Kalau dia diam macam tu, macam mana Ruby nak tolong?” protesnya membela diri sambil mengerutkan muka meronanya kepada Nury yang tertunduk-tunduk tidak tentu arah.

“Nury tak berani cakap…” takut-takut terlontarnya. Tertunduk-tunduk kepalanya kerana menyorokkan mukanya.

Sebelum Dewi pulang, warden telah memanggil ketua dom A menghadap mereka untuk berbincang. Murid Tahun Enam itu pada mulanya bersembunyi dalam tandas kerana enggan keluar. Mungkin tidak betah mengurung diri terlalu lama, dia akhirnya keluar juga. Waktu itulah dia ditarik oleh warden ke Dewan Makan Al Raudhah untuk bersemuka dengan Dewi dan anak-anak tirinya.

Pucat wajahnya berdepan dengan Dewi, Ruby dan Nury. Murid yang melintasi mereka tadi rupa-rupanya. Patutlah Nury melarikan mukanya ketakutan…

“Apa yang dah awak buat pada anak aunty ni?” warden bertanya. Bila murid itu hanya membisu, dia mengalihkan pertanyaan kepada Nury pula.

Nury juga sepertinya. Diam membatukan diri. Tidak berani berterus-terang. Setelah dibentak oleh Ruby, barulah Nury mengakui yang ketua dormitori itu gemar meminta wang saku daripadanya. Juga gemar mengambil barang-barang serta keperluannya. Kerap kali pula dia melakukannya tanpa kebenaran daripada Nury sendiri. Katanya dia akan diugut jika enggan patuh kepada kehendaknya.

“Patutlah Ruby perhatikan Nury ni selalu hulur makanan tengaharinya kepada dia ni. Dia ni sekelas dengan Ruby. Berpura alim rupanya. Dan Nury pula, kak Ruby ingat, baiklah sangat adik aku ni. Konon gemar bersedekah! Lepas tu, terhegeh-hegeh pula datang mengecek makanan tengahari dari Ruby, mana cukup? Makanan kat sini ngam-ngam aja. Nasib baik umi bagi biskut banyak.” adu Ruby membuat pelajar itu tunduk dengan wajah yang sungguh pucat. Dewi menggeleng simpati. Wajah Nury yang goyah memandang ketua domnya itu diperhatikan dengan perasaan belas.

Warden itu bertukar pucat mukanya bila perkataan tidak cukup dan ‘ngam-ngam’ itu dikeraskan oleh Ruby. Matanya bertembung dengan pandangan sinis yang cukup menikam daripada Dewi. Tersirat kemarahan halus di situ.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku