TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND...
konklusi BAB 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 April 2014
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3537

Bacaan






“Adik sama-sama menumpang tinggal di sini untuk meneruskan persekolahan. Kenapa bersikap kejam kepada sesama sendiri? Tak takutkah pada kemurkaan Allah?” tazkirah Dewi.

Setelah diberi amaran, dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya membuli Nury lagi. Dia masih menangis sewaktu beredar ke dormitorinya. Mungkin menyesal agaknya dengan apa yang telah dilakukannya kepada pelajar kecil macam Nury. Juga bimbangkan perbuatannya itu jadi gossip nanti. Malunya! Argh…esok sudah jadi satu ancaman buatnya. Balasan dosa menganiayai orang lain, anak yatim piatu pula…

Dewi berpaling kepada warden tersebut.

“Kanak-kanak di sini tidak diberi izinkah menambah makanannya kalau belum kenyang? Budak-budak pada tahap usia begini memang cepat lapar disebabkan tahap keaktifan mereka. Kalau tidak cukup dialas perut tu, takut diserang gastrik pula nanti!”

“Kami akan perhatikan perkara ini…” Warden tersebut menjawab tidak sepenuh hati. Tetapi tidak menafikan kelemahan sistem di situ.

Dewi tergeleng. Dia arif benar tentang dana-dana yang sering mengalir tidak pada tempat yang seyogianya. Perkara itu bukan baharu. Selalunya ia tersekat di bahagian pangkal. Di bahagian pengagihan. Tanggunglah dosanya buat mereka yang gemar membiasakan diri merompak hak orang lain seperti itu!

Kepada anak-anak tirinya Dewi berpesan,

“Zikirlah selalu nama-nama Allah jika diri dan hati tak tenteram. Kan umi dah bilang, baca ni, hasbunallah…waniqmal waqil. Itu wirid Nabi Ibrahim as ketika dia dipaksa campak ke dalam api atas arahan Raja Namrud. Baca juga doa Nabi Yunus ketika berada dalam perut Ikan Nun…’Lailahailla anta, subhanaka inni kuntuminadzalimiin…Nury lupa ya? Dan baca ikut tulisan jawi seperti yang umi pernah ajarkan dulu…” Dua anak tirinya mengangguk patuh. Warden tersenyum memerhatikan.

“Patutlah Nury selalu macam orang lapar je. Bila tanya apasal biskut dan nestum yang umi bagi cepat sangat habis, dia diam je. Lepas tu kecek Ruby punya. Kesian…kena buli rupanya.” geleng Ruby simpati.

“Nury akan ikut apa yang umi ajar tu…” seperti berbisik Nury berjanji. Warden tersenyum.

Dewi mendakap mereka dengan penuh perasaan kasih. Terasa dia tidak bersendirian dengan adanya mereka. Mereka berdua adalah anugerah terindah dari Khaliq buatnya. Terasa dirinya begitu diperlukan.

“Umi datanglah tiap-tiap minggu. Minggu lepas umi tak datang. Nury menangis sepanjang hari menunggu umi.” Ruby mengadu.

Aduhai…Dewi kembali tertusuk..

“Lepas ni tentu tak menangis lagi kerana dah tak ada yang buli Nury di sini kan? Yang minggu lepas tu, umi akan qada pada hari Selasa nanti, boleh? Umi akan minta cuti…” mendengar itu mereka berdua bergayut keriangan di lehernya. Hampir tersungkur Dewi dibuat mereka.

“Ada sebab kenapa puan ditakdirkan bertemu arwah ayah mereka, Tuan Biyazid. Saya lihat puan adalah sebaik-baik dan semulia-mulia ibu tiri…” Warden asrama memujinya. Dewi tersentuh.

KINI, kembali berada di halaman rumahnya, Dewi termangu seorang diri. Matanya merah akibat menangis sepanjang memandu tadi. Menangis sudah jadi rutin stereotaip buatnya. Argh perit, perit bila tiba waktu hendak melambai Ruby dan Nury yang amat manja dengannya. Berpisah dengan mereka adalah sesuatu yang amat menjerihkan sukmanya. Cuma mengenang situasi itu pun, air matanya sudah merembes. Apatah lagi bila terbayang semula keadaan dua beradik tadi.

“Apa hal menangis depan rumah macam ni. Cari publisiti ke?” menegur seseorang dari belakang. Dewi yang terkejut spontan menyapu air matanya. Dia menoleh. Lantas tergamam melihat Assad tercegat di pagar pemisah. Tenar memerhatikan perbuatannya. Lelaki itu memang gemar merenung curi. Dia jugalah yang membuat Dewi curiga selalu.

“Cari publisiti? Ada orang ke di sekeliling? Lagipun ini rumah aku, aku punya sukalah.” Geram juga dia bila diperli dan disindir seperti itu. Suaranya agak bergumam. Maklum baru lepas menangis.

“Betul ke ini rumah kau? Cara apa ya kau dapatkan rumah ni? Kau beli, atau kau dapat rumah ni dengan percuma? Atau dengan cara jual bodi?” ejeknya menghina. “Perempuan kalau menangis pasal jantan, macam nak runtuh langit dibuatnya. Tak ada langsung perasaan malu.” Dia menyindir lagi.

Dewi tergamam dituduh begitu. Sungguh biadap!

“Oi, kau tu peduli apa kalau rumah ni aku dapat cara mencuri ke, jual bodi ke. Kau sedara aku ke?” Terlalu geram dia mara menghadap lelaki itu.

“Huh… Nama pun pelik. Ke kau sepupu si Ashaad Basaar Syria yang kejam dan suka membunuh tu? Aku bukan menangis pasal jantan, kau faham tak? Tapi pasal budak-budak di rumah ni yang terpaksa aku letak di asrama tu.. Aku ini penjaga mereka! Setiap kali aku pergi jumpa mereka, mereka meraung. Semua disebabkan abang tiri mereka yang satu hapah pun tak berguna tu, kau tau?” Darah yang mendidih, sudah menyirap-nyirap ke muka. “Lagipun kau peduli apa kalau rumah ni aku dapat dengan cara apa? Kau sedara aku ke?” Dia mengulangi tempelakannya tadi oleh terlalu panas hati.

Membuang santunnya, Dewi menjegil kepada pemuda itu yang tiba-tiba terkedu dengan reaksi berangnya. Tidak disangkanya Dewi segarang itu bila diusik.

“Sayang sekali aku tak boleh bawak mereka tinggal di rumah ni. Aku takut abang mereka tu kerjakan mereka. Hanya kerana dendamkan ibu mereka. Sedangkan ibu mereka dah tak ada. Dah mati! Ayah mereka juga dah tak ada. Dah meninggal. Dah meninggal tau tak? Entah bila malaon tu nak pulang dan ambil rumah ini pun, aku tak tau. Lagi cepat lagi baik supaya aku boleh berambus dari rumah ni. Boleh hidup aman dengan budak-budak tu!” Nafasnya turun naik melontar amarah.

Assad tersentap. Hampir setengah jam dia berdiri terpaku di situ meskipun Dewi sudah lama masuk ke dalam dengan berangnya yang meluap-luap.

Di ruang tamu,, Dewi termangu. Sungguh biadap sekali jiran sebelah rumah aku tu…Manusia ke binatang? Ke serigala siluman? Gerutunya dengan darah mendidih. Akhirnya tersedar sesuatu…

Aduh…aku memang gila…bisiknya. Apalah gilanya aku bercerita pasal Ehsan dan anak-anak tiri aku pada lelaki yang aku tak kenal langsung. Bertegur sapa pun, hanya inilah sekali. Menyesal betul…keluhnya benar-benar kesal. Nasi sudah menjadi bubur. Daripada orang tidak tahu, kini menjadi tahu. Lagi dia meresah kesal. Keselamatan anak-anak tirinya cukup penting. Dia yang sudah tidak tentu arah, mundar mandir di ruang tamu itu dengan fikiran yang simpang perinang.

Akhirnya dia ke kabinet hiasan lalu menarik keluar sebuah album gambar lama kerana hendak melarikan fikirannya yang kusut dan berserabut itu.

“Aku rindukan ibu dan adikku Mila. Tapi bagaimana kalau Abang Ngah tiba-tiba muncul kat rumah tu, masa aku pulang nanti? Kak Long pula entah macam manalah nanti akan menghamput aku. Aku tak sampai hati membuat benak ibu jadi tak tentu arah dan tak boleh berfikir! Eii…parah!” lontarnya sambil menyelak dengan kasar satu persatu halaman album tersebut. Masih bengkak dengan perilaku biadap jirannya tadi.

Sepatutnya aku humban saja foto abang dan rakan-rakan dia yang tak senereh ni…rungutnya sambil mengeluarkan sekeping foto lama. Dia mengamat-amati foto tersebut dan terkedu memerhatikan salah seorang rakan abangnya Rohan.

Aku takkan lupa muka ni!

Akhirnya dia menyimpan semula album itu sesudah menyiat-nyiat foto Rohan dan rakan-rakannya menjadi carik-carik kecil yang tidak tentu bentuknya. Dilontarnya hingga berserakan di atas lantai.

Semak! Dia mencebik.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku