TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND...
BAB 11 Pertemuan yang sangat dinantikan Sang Dewi
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 April 2014
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4251

Bacaan






BAB 11

“Hi…”

Dewi berpaling. Lama tergamam. Larut dalam terkesima. Jantungnya berdegup kencang.

Sukar menggambarkan perasaannya di saat itu. Bertembung sekali lagi dengan si dia yang cukup signifikan dalam memorinya. Jujur, memang dia sering terintai-intaikan jirannya yang seorang ini. Hmm…

Manalah dia sangka lelaki itu akan menegurnya lagi? Fikirnya, ‘chapter’ dia dengan lelaki yang bernama Darren itu sudah tamat. Selepas tamatnya peristiwa di suatu pagi itu. Langsung dia tidak mengetahui yang Darren sudahpun pulang dari Australia! Ada perasaan berbuncah-buncah menggempur dadanya.. Matanya terus dipaku oleh wajah itu.

“Tak ingat abang lagi ke…? Cepat sungguh awak lupakan kawan…” perlinya dalam mengusik. Masih membahasakan dirinya sebagai ‘abang’. Untuk beberapa saat bibirnya melirikkan senyum.

‘Lupa…?’ bisik nurani Dewi. Dalam keadaan masih terkedu menatap wajah lelaki yang tiba-tiba saja menjelma semula setelah sekian lama itu. Kelibat yang seolah-olah berhalimunan di antara batas-batas waktu yang cukup menguji penantiannya. Kini betul-betul di depannya.

Ditenungnya lelaki itu yang berpakaian lengkap seperti hendak ke pejabat. Seluar berwarna tanah dan kemeja lengan panjang rona kuning cair. Cuma tali lehernya saja kelihatan terjulur keluar sedikit daripada poketnya. Spontan Dewi tunduk menghakimi pakaian yang membaluti tubuhnya sendiri.

Selekehnya aku…dia berbisik walang.

Hanya baju kurung murahan…kalaulah aku pakai cantik sikit…luah batinnya terkilan. Terkilan kerana pakaiannya terlalu ‘simple’ ketika ditakdirkan bertembung dengan Darren hari itu. Kenapa harus hari ini…? Dia mengeluh terkilan.

Ekor matanya memicing tali leher yang sedikit terjulur dari poket seluar lelaki itu.

Kalau promoter, canvasser atau jurujual, jarang sekali menanggalkan tali leher jika keluar makan seperti itu. Menjangka bila-bila masa sahaja atau di mana-mana sahaja akan bertembung klien atau prospek baru.

Diperhatikan Dewi, fabrik pakaiannya nampak sedikit bersinar diterjah cahaya Sang Surya. Pastinya fabrik mahal…terteka-teka Dewi dibelenggu kompleks inferior tiba-tiba.

“Lain kali tak perlulah nak beramah-tamah sangat dengan mereka…” Kata-kata Darren yang terpacul tiba-tiba itu membuat Dewi terpinga-pinga. Gagal meneka punca dan arah kata-katanya itu. Tiba-tiba saja ungkapan sepelik itu terluah. Berkerut-kerut dahi Dewi menatapnya.

“Mereka. Err…siapa yang abang maksudkan?” Dewi lambat menangkap. Darren mengetap senyumnya bila terbit juga suara Dewi akhirnya. Kepalanya menekur ke tanah, menarik ingatannya pada kata-kata Emir tentang tiga perempuan cantik dari rumah sebelah yang bertamu ke kediaman mereka.

Housemate abang tu. Mereka tu, bukannya mesra-jiran. Sia-sia saja jika berbuat baik dengan mereka.” Tiba-tiba dia ketawa kecil. Teringatkan lakonan Emir seperti yang diceritakan Alegri kepadanya. Fahamlah Dewi. Bercakap tentang lawatan mengejut rakannya Jasmina, Zulaikha dan Irene rupa-rupanya. ‘Cerita spaghetti & cubaan mengorat’ yang tidak menjadi hari itu. Huh!

“Oh…itu ke?” terdiam sesaat. Berkerut-kerut kening Dewi cuba menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

“Bukan saya, tapi rakan-rakan saya yang tak semena-mena teringin sangat nak berbuat baik dengan mereka. Sebenarnya tengahari tu kami ada buat jamuan sedikit. Kami hulurlah apa-apa yang patut pada jiran. Tapi saya tak campur ‘misi kemanusian’ mereka tu . Pasal saya dah boleh agak fi’il kawan-kawan abang tu tentu pongah dan sombong. Harapkan muka saja macam innocent.” Mendengar itu, Darren memanjangkan gelak-gelak halusnya. Lucu juga mendengar komen Dewi tentang rakan serumahnya.

“Jangan percaya dengan apa yang dilihat kali pertama.” Dia berkias. Terdengar mengelirukan di telinga Dewi yang memang lurus orangnya.

And furthermore, appearance can be deceptive…” Dalam terasa lucu itu, sempat pula dia berteka-teki.

Dewi membuka mulut hendak bertanya sesuatu, tetapi kemudian mematikan saja hasratnya. Merasakan jawapan lelaki itu nanti mungkin tidak mampu difahaminya.

“Lain kali hati-hati. Bukan semua jiran tu baik. Kadang-kala tanpa kita sedari, kita sedang berjiran dengan musuh sebenarnya. Kalau yang berjiran itu sebuah keluarga, okey juga. Tapi, inikan orang-orang bujang? Tindakan kawan-kawan awak tu amat bahaya sebenarnya Dewi.” Serius dia menuturkannya. Lama juga Dewi terdiam. Meneka-neka niat pemuda yang bernama Darren itu.

Jujurkah? Atau sedang mengejek perbuatan kawan-kawannya dulu? Wajah tampan itu direnung. Jujur dia mengakui bahawa dia memang tertarik pada wajah itu. Perasaan itu dirasainya sejak dia melihat aksi lelaki itu mengganyang pemuda-pemuda yang mengancamnya dulu. Dengan tutur katanya yang tidak pernah kasar, pandai mengawal emosi supaya tidak kecundang. Cuma sikapnya yang suka menyergah dan tidak tahu memberi salam itu yang kurang dipersetujui hatinya. Kurang didikan agama, mungkin juga.

“Temankan saya makan?” Dewi yang terkesima jadi separuh ternganga. Tidak sangka akan dipelawa makan pula oleh Darren yang sering membuat dia terpegun dan juga membuat hatinya kecimbungan selalu itu.

“Cuaca panas…”Darren melangut ke awan yang tipis. Mengecilkan matanya memandang langit yang tegar membiru. Dewi mengangkat kening agak lama. Tidak faham kenapa Darren menimbulkan isu tentang cuaca tiba-tiba.

“Hidung dan atas dagu awak tu berpeluh. Sebab tu saya ajak awak ke restoran sana. Dalam tu dingin,” senyumnya sambil menuding ke restoran di antara rumah -rumah kedai di situ. Fahamlah Dewi maksud ceritanya tentang cuaca itu.

Tidak sedar dia mengangguk. Dia mengesat hujung hidungnya yang dikatakan berpeluh itu. Kemudian tersengih-sengih mengekori lelaki itu.

Usai memesan makanan, lelaki itu melunjurkan kedua-dua lengannya di meja. Mata berkilaunya fokus ke wajah Dewi.

“Awak bekerja Dewi?” Dewi mengangguk.

“Saya ni kurang berpelajaran jadi, jawatan saya cuma kerani syarikat. Tempat kerja saya pun ada dekat-dekat sini saja.” Darren mengangkat kening. Kemudian mengangguk. Terasa lucu pula dengan kaedah Dewi bermukadimah menjawab soalan ringkasnya.

“Dewi ni macam nama kaum India…” komennya itu membuat Dewi menyengih.

“Ibu ambil nama seorang jiran. Ibu dengan jiran yang namanya Dewi tu memang dah lama berkawan. Hinggalah dia peluk agama kita. Malang nasibnya, bila orang kampong tak suka dia kerana nikah suami orang. Lelaki tu Imam Kampung kami, jauh lebih tua daripada dia. Dia setuju kahwin pun kerana nak belajar agama Islam. Memang perangai ibu saya suka buat kawan dengan sesiapa yang tidak begitu disukai oleh orang lain. Dia cepat kesian melihat orang lain dipulaukan. Mak cik India tu selalu tolong ibu di kebun. Akhirnya terpaksa juga dia pindah lepas suami dia mati. Dia takutkan madunya.” Darren mengerutkan dahinya. Simpati juga dia mendengar cerita Dewi.

Sejurus terdiam, dia menyoal lagi.

“Dewi saja?”

“Oh…nama penuh saya Dewi Salsabila.” Darren mengangguk sekali. Tertarik dengan padanan dua nama itu.

“Salsabila…?” ulangnya bertanya.

“Kata ibu, tu nama salah satu mata air di syurga,” perjelas Dewi. Membuat Darren terdiam sejenak.

Patutlah mataku sejuk saja bila menatap wajahnya. Biarpun sekadar berjubah dan berbaju kurung.…berbisik hati Darren sambil meneliti riak wajah Dewi yang kelihatan canggung-canggung duduk di depannya.

“Sudah berumahtangga?” Dewi mengangguk. Kemudian cepat-cepat menggeleng. Keliru. Akhirnya angguk semula. Bila teringatkan bagaimana dia pernah mengangguk pada Tok Kadhi yang mengijab-kabulkannya dulu.

“Yang mana satu?” Darren menahan senyum. Tubuhnya dianjak sedikit kebelakang. Menyandar dalam posisi sedikit mengiring. Dengan matanya yang semakin fokus. “Dah kahwin atau, belum kahwin? Kejap angguk, kejap geleng.”

“Saya dah kahwin. Tapi, suami dah arwah.”



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku