TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND...
Pengakhir BAB 11[konklusi]
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 April 2014
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3993

Bacaan






“Oh…balulah ni?” Darren terkejut.

Dewi mengangguk. Berjurus lamanya Darren terdiam. Seolah-olah mindanya menuntut seratus peratus energi untuk berfikir. Tidak disangkanya bahawa perempuan yang berjiran dengannya selama ini sudahpun berstatus balu. Terlalu muda. Itu yang buat dia tersentak.

Dia menyepetkan matanya merenung Dewi. Keningnya berkerut menganalisis. Usia sementah itu sudah ditinggalkan suaminya? Seusia itu sudahpun merenangi hidup yang begitu perih lagi cadas. Patutlah jubah rona gelap sering jadi pilihannya. Masih berkabung agaknya…getus hati Darren.

“Abang ucap takziah,” ucapnya membuatkan Dewi membundarkan mata.

Takziah saja…Mana ucapan Innalillahiwainna Ilaihi Rajiunnya? Tergeleng Dewi.

“Dewi ada anak?”Sekali lagi, teragak-agak Dewi mengangguk.

“Bolehkan, kalau abang panggil Dewi saja?” Sekali lagi Dewi mengangguk. Dia baru saja memberitahu lelaki itu yang dia sudahpun punya anak. Tetapi reaksi Darren tidaklah seterkesima dibandingkan ketika diberitahu yang dia sudahpun bergelar balu tadi. Hairan…

Namun ada sekilas kilauan di matanya. Tersirat sesuatu yang tidak mungkin mampu difahami Dewi. Sehinggalah Darren meluahkannya.

“Abang perhatikan, Dewi ni seperti perempuan yang belum berumahtangga. Masih macam seorang gadis. Jadi, tambah pelik rasanya bila Dewi mengaku dah ada anak,” lontarnya tersenyum. Dewi benar-benar terpaku. Pandai lelaki ni meneka. Psikiatris ke dia ni…? Hati dan benak bersoal-jawab sendiri.

“Mana abang tau? Oops…alamak… Maksud saya, pandai-pandai je abang serkap jarang. Saya ni kan balu. Mananya gadis lagi?”

“Hmm…” Tenungan Darren kian dalam. Menggali sesuatu yang tidak muncul di wajah itu.

“Berapa orang anak?” soalnya tidak bersedia. Lantas tergamam bila Dewi menjawab sesuatu yang di luar jangkaannya.

“Dua orang. Mereka tinggal di Asrama Puteri.” Darren menguja nafas. Sangkanya seorang. Rupa-rupanya dua! Meskipun dia tidak pernah melihat ‘anak’ yang dikatakan itu. Sudah masuk asrama, maknanya sudah besar. Di usia berapa agaknya gadis ini berkahwin? Dia tercengang. Betul-betul tercengang. Otak yang keliru menghitung-hitung usia Dewi.

“13 tahun? 14 tahun? Ni nikah zaman Jepun ni!” tertawanya dalam hati.

“Lain kali kalau ada yang bertanyakan tentang anak-anak Dewi, jangan cepat sangat iklankan yang mereka tu tinggal di asrama. Mendedahkan tempat tinggal anak-anak kepada orang asing sangat besar bahayanya. Kan anak-anak tu tinggal berasingan daripada kita? Apa lagi kalau yang bertanya tu menyimpan niat salah.” Sekali lagi kata-katanya membungkam Dewi. “Penjahat ada di mana-mana saja Dewi. Pandai-pandailah menjaga diri. Sedangkan rakan sendiri pun semakin sukar untuk kita percayai sekarang ni…Jangan sampai yang bertanya tahu Dewi tinggal sendirian, bahaya!”

Dewi diam menatap wajah di depannya itu. Nampaknya jejaka ini gemar memberi tips tentang menjaga keselamatan diri. Cukup bertanggungjawab dan prihatin orangnya. Hatinya mengelopak indah. Pertemuan itu sudah membuncahkan kegirangan. Dan perasaan membara itu mengimarah ke seluruh petala hatinya.

Pun, jujurkah Darren bila menasihatinya? Dia berasa sedikit aneh. Juga bimbang. Sebelumnya, dia sudahpun terlepaskan rahsia itu kepada Assad yang sungguh mencurigakan itu.

“Abang ni anggota polis ke?” Mendengar itu, terpacul tawa Darren. “Abang ni bekerja sebagai apa sebenarnya…” Tidak mampu lagi mengekang debaran ingin tahunya, terus saja dia ke soalan fokal. Apa agaknya pekerjaan lelaki di depannya ini? Penampilannya bukan sembarangan!

“Lupakan isu tadi, makanlah. Abang ni berniaga secara kecil-kecilan saja. Ekspot belacan ke Siam. Cukuplah untuk kais pagi makan pagi…” balasnya menguntai senyum kecil. Dewi terdiam. Merendah dirilah pulak…bisiknya.

Mengambil nafas, ditenungnya wajah Darren sewaktu mata lelaki itu berkalih kepada pelayan yang menghantarkan hidangan ke meja mereka. Sedikitpun dia tidak percaya lelaki itu berniaga belacan.

Akhirnya bibir diketap bila terasa lucu yang teramat. Belacan? Siam?

“Terima kasih…” ucap Darren kepada sang pelayan. “Makan Dewi!” Aik… arahan atau menyilakan?

Dilihat Dewi, Darren hanya menjamah sedikit saja makanannya. Sudah memilih diam. Lebih banyak melayangkan fikirannya. Mungkin yang menyentuh perniagaannya. Mungkin juga hal peribadi. Mungkin sedang berangan-angan. Lalu peluang itu digunakan Dewi untuk menelusuri gerak-gerinya. Cuba membaca bahasa tubuh lelaki itu. Memang dia seorang yang mampu menimbulkan tanda-tanya kepada yang baru mengenali. Meskipun bukan tanda-tanya yang menakutkan, seperti rakan serumahnya si Assad!

Ironinya bila disuruh menemankan makan, alih-alih sidia yang mempelawa bertukar menjadi pemenung pula di depan. Baru sahaja ramah bertanyakan itu ini. Tetapi keadaannya yang sedang termangu itu memberikan peluang pula kepada Dewi untuk menghabiskan nasi ayamnya.

Sewaktu hendak berpisah ke kereta masing-masing sekali lagi Darren menitipkan pesan.

“Lain kali jangan layan sangat rakan-rakan serumah abang tu. Dewi sorang saja di rumah tu. Jadi, pandai-pandailah jaga diri. Harus ingat, mereka tu semua lelaki. Sebaik manapun seorang lelaki tu, mereka tetap lelaki. Dewi fahamkan maksud abang?” Dewi yang tersentuh hatinya hanya angguk dan memilih diam.

Baik betul hatinya memberikan nasihat seperti itu kepadaku, akan aku jadikan azimat nasihatnya itu...sukmanya sekali lagi tersentuh.

DI RUMAH, dia membaringkan diri di sofa sambil menggambarkan di ingatan akan wajah dan sikap Darren. Seorang pemuda yang tidak banyak cakap tetapi boleh pula bertukar semesra itu! Dia juga bersikap sopan terhadapnya. Adakah dia sesopan itu juga dalam lingkaran pergaulannya dengan wanita-wanita lain? Ciri-ciri jejaka idaman Malaya. Apapun, pemuda itu tetap suatu enigma kepadanya. Lagilah dia bertambah ingin mengenali peribadinya…

Tidak sampai setengah jam berbaring memikirkan Darren, dia terlena di sofanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku