MR. AND MRS.
BAB : 14
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(15 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15498

Bacaan






AWAN hitam benar- benar sarat. Sesekali guruh menjerit minta diberi perhatian. Wafa adalah antara manusia yang sangat terkesan dengan jeritan itu. Payung bunga merah hadiah Avon dijeling hujung mata. Dia melangkah beberapa derap ke depan. Tangannya melekap pada dinding cermin yang memisahkan dirinya dengan dunia luar.

Ferrari hitam yang duduk terceruk di belakang Porsche Amir Bakri diintip. Dia kenal benar dengan kereta itu. Apa dia buat kat sini? Entah - entah dia mengendap Widad! Bebelnya dengan muncung panjang sedepa. Wafa melihat pusingan jam di tangan. Waktu kerjanya cuma tinggal beberapa minit saja lagi. 

“Kak Fida,” jerit Wafa. Beberapa orang pekerja yang sedang menunggu seisi punch card turut sama berpaling.

“Saya nak tumpang akak balik,” lanjut Wafa.

“Kereta kau buat hal lagi ker, Widad?”

Wafa menggigit jari. Soalan Puan Fida diletakkan ke tepi bila matanya terperosok pada almari kasut di sudut kanan. Puluhan kasut yang ditempah khas untuk raja sehari diamati penuh minat. Langkahnya maju beberapa tapak. Dia mencari- cari saiz kasut yang sesuai dengan kakinya. Sepasang tumit tinggi enam inci dengan potongan A tertanam di mata.

“Kak Fida, saya nak cuba kasut yang tu. Saya nak jadi lebih tinggi dari biasa,” suara Wafa teruja tanpa ada rasa bersalah. Puan Fida ternganga dengan sikap selamba gadis itu. Dan belum sempat dia melarangnya, Wafa sudah pun menyarung kasut berbaldu biru berona manik- manik halus ke ruas kaki. Muat! Jeritnya gembira.

Kini, dia berdiri di depan Puan Fida dengan senyum lebar bila ketinggiannya sudah berubah. Langkahnya mara lagi setapak dua sebelum imbangannya jadi bertambah baik dan sempurna. Perbuatan itu menarik perhatian rakan sekerja yang lain. Puan Fida mengikut figura itu sambil membebel.

Hujung tudung Wafa ditarik kasar bila matanya menangkap figura Tuan Eilmi yang makin mendekat. Langkah gadis itu sedikit tersasar sebelum hilang imbangan. Tubuhnya hampir terlentang ke belakang. Mujur ada yang menyambutnya. Wafa terpana bila renungan itu masuk ke dalam mata. Tepukan kuat bergema dalam ruang bila aksi romantik Mr. and Mrs. berlaku dalam spontan. Eilmi Zahrin pantas membetulkan kemejanya setelah Wafa menolak pelukan itu.

Renungannya berpusing seratus lapan puluh darjah hingga tepukan yang bergema tadi lenyap. Wafa terpaku terus. Kain baju kurungnya dilabuhkan demi menutupi kasut pengantin di kaki. Namun, perbuatan itu tidak dapat lagi disorok. Riak muka itu ditatap dengan mulut yang bergetap. 

“Awak ingat sepasang kasut nie murah ker sayang?” tanya Eilmi Zahrin dengan nada yang masih dapat dikawal. 

“Saya terpaksa pakai kasut nie untuk nampak lebih tinggi dari biasa sebab ada orang jahat sedang mengintip pergerakan saya di luar sana,” jujurnya. CEO itu ketawa besar. Wajahnya melihatkan rasa lucu.

“Tak payah nak paranoid sangat! Ada orang intip konon!” perli Eilmi Zahrin. 

“Saya cakap betul. Ada Ferrari hitam kat belakang Porsche En. Amir sedang mengintip pergerakan saya!” Wafa minta difahami. Eilmi Zahrin melonggarkan ikatan tali leher. Entah kenapa untuk kali ini, timbul pula rasa percaya di hatinya. Figura Danni digamit. 

“Kau pergi tenguk, ada tak Ferrari Hitam kat belakang Porsche En. Amir.” 

“Hah yang lain tunggu apa lagi? Show dah habis! Tak reti- reti nak balik!” tempik Eilmi Zahrin. Separuh dari pekerja PUTIH yang termanggu di ruangan lobi itu bergegas keluar. Ada juga yang masih menunggu kerana dicanai rasa panasaran. Apakah akan tercetus perang dunia ketiga antara dua orang manusia yang mendapat jolokan Mr. and Mrs itu?

“Kalau awak tipu, saya akan denda awak!”  

Seminit kemudian, Danni muncul lagi. Kemunculannya mencuri pandangan yang lain termasuk Wafa dan Eilmi Zahrin.

“Memang ada Ferrari hitam kat hujung selekoh tu, boss. Tuannya pun ada sekali. Kalau saya cakap pada boss siapa tuannya, mesti boss terkejut,” bisik Danni dengan muka berpeluh. Kening Eilmi Zahrin terangkat sebelah. Renungannya singgah semula di muka Wafa. 

“Siapa tuannya, Widad?” soalnya kemudian. 

“Saya tanya nie, siapa orang tu?” ulangnya sekali lagi.

Wafa jadi serba salah. Matanya statik memandang bawah. Perlukah aku beritahu kalau orang yang dimaksudkan oleh Danni itu adalah musuh perniagaan PUTIH? Hatinya teragak- agak. Tanpa diduga, Eilmi Zahrin menarik tangan gadis itu sebelum langkahnya dicatur keluar. Wafa berusaha mengawal imbangan tubuhnya bila tumit tinggi yang dipakai hampir terpelecok.

“Tuan Eilmi. Tolong lepaskan tangan saya,” rayu Wafa dalam langkah mereka yang hampir seiring. Dia bimbang kalau- kalau Aaron dapat mengecam dirinya sebagai Wafa bukan Widad! 

Tuk! Tuk! Pintu cermin kereta mewah itu diketuk terus. Eilmi Zahrin tidak dapat lari dari rasa terkejut sedang Wafa lebih selesa memandang tempat lain. Dia jadi benci dengan lelaki itu. Lelaki yang memberi harapan pada kakaknya dan menghancurkan harapan itu tanpa belas.

“Ada pengintip rupanya. Kau intip aku atau Mrs. aku?” sindir Eilmi Zahrin. Bahu Wafa ditarik rapat ke dada. Aaron terkesima. Dia tidak menyangka, kehadirannya dapat diketahui oleh dua orang manusia itu. 

“Ini bukan kawasan kau! Apa aku nak buat kat sini, itu urusan aku!” bidasnya sambil melirik. Hatinya sakit melihat gadis yang dicintai berada dalam pelukan musuhnya sendiri.

“Tekaan you tak salah, sayang. Memang ada penyangak kat sini!” kata- kata Eilmi Zahrin semakin panas. Aaron berusaha menahan perasaan marahnya dari terus meletus. Dia tidak mahu ada perbalahan yang berlaku kerana hal itu akan memberi impak yang dahsyat pada kerjayanya.

“Kau fikir, kau hebat sangat?” 

Eilmi Zahrin ketawa sinis. 

“She will be mine...” ucapnya. Wafa jadi kurang selesa dengan situasi itu apatah lagi Eilmi Zahrin masih tidak mahu melepaskan pelukannya. Aaron merengus. Pedal minyak ditekan kasar. Eilmi Zahrin hanya melihat kereta itu berlalu dengan hati yang puas. Bibirnya senyum lagi. Wafa tangkas menolak tangan itu 

“Maaf peluk awak kuat- kuat tadi.” 

“Maaf tak diterima!” balas Wafa dengan muka meluat. Eilmi Zahrin senyum lagi. Kali ini senyumnya lebih kemas.

“Tulah, kecik- kecik tak nak makan sayur. Dah tua- tua gini, sibuk pula nak tinggi. Kasut tu, tolong pulangkan balik. Jangan nak buat harta sendiri!”

Wafa mengeluh. Langkahnya terhenti bila tumit tinggi yang dipakainya, ditanggalkan. Harta PUTIH itu diserahkan pada Tuannya. Langkah Wafa nampak lebih laju biar hanya berkaki ayam. 

"Sama- sama!" sindir Eilmi Zahrin bila Wafa tidak pandai mengucapkan terima kasih atas harta yang dipinjamnya. Wafa masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan sebelum pedal minyak ditekan. 

Di laman rumah, kelihatan Aini dan Widad sedang duduk berbual di bangku kayu. 

“Apsal kau balik dengan kaki ayam? Kasut kau mana? Kau jangan cakap kat aku yang tokek dah sorok kasut kau?” sinis Aini.

“Siapa tokek?” tanya Widad pula.

“Eh, taklah. Kasut aku ada dalam kereta. Aku lupa nak pakai,” jawab Wafa sebelum langkahnya masuk ke dalam rumah. Dia tidak mahu membicarakan hal tokek di depan kakaknya. Bahaya!




Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku