MR. AND MRS.
BAB : 26
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
10105

Bacaan






PAGI yang mendung itu mengundang suasana dingin dan suram. Widad jadi menguap panjang. Matanya terasa berat untuk diangkat. Semalaman dia menghabiskan masa untuk menjahit manik dan labuci pada baju resepsi Cik Fiza. Jam di dinding dijelingnya lagi, masih terlalu pagi untuk dia menyediakan secawan kopi buat Tuan CEO. Tidur pun sedap nie! Suara Widad sambil menggeliat.

Widad menguap lagi bila hawa sejuk penghawa dingin menerpa lembut tubuhnya yang dibaluti teluki asli China. Kelopak matanya jadi semakin berat. Nikmat tidur kian giat menggoda hingga akhirnya, dia benar- benar ketiduran. Kruhh.. kruhh... dengkuran halus sudah kedengaran. Lalu sunyi pun berpecah mengikut perasaan.

Ting! Pintu lif terbuka luas. Eilmi Zahrin melangkah keluar. Dia sengaja datang awal ke pejabatnya untuk mencari tahu perihal gadis berkerudung kuning pinang masak yang ditemuinya lewat petang kelmarin. Laju langkahnya menapak jauh hingga langkah itu terhenti di hadapan pintu pejabat. Sorotan matanya terbuang pada figura Widad yang nyenyak dibuai mimpi.

Apahal pulak dia tidur kat sini pagi- pagi buta nie! Bebel Eilmi Zahrin. Dia masuk ke dalam biliknya. Pintu itu ditutup kasar biar ada jasad yang terbangun kerananya. Namun, saat kepala dijengah keluar, jasad itu kelihatan tidak menguit walau sedikit. Tidur mati badut nie! Kutuknya kemudian. Dia keluar semula dari biliknya dengan rasa yang pegap.

Pergelangan baju dibutang dengan tertib. Blazer hitam dikemaskan, biar nampak lebih segak. Langkah Eilmi Zahrin masuk semula ke dalam lif. Kehadirannya di lobi mengundang seribu pertanyaan pada benak fikir Puan Murni. Tiap wajah yang menerpa dari pintu masuk utama diteliti dengan penuh ingatan. Hampir satu jam lamanya dia berdiri di kaunter pertanyaan tanpa sepatah kata.

Sunyi mula bertapak saat pintu berkaca itu tidak lagi ditujah oleh sesiapa. Waktu kerja sudah pun bermula tanpa dapat lagi ditangguh. Eilmi Zahrin mengeluh kecil. Mana dia nie! Hatinya turut sama membebel sambil jari telunjuknya menggaru belakang telinga yang tidak gatal. Memek muka Puan Murni dijamah juga dengan senyum yang dicubit gelisah.

“Kenapa En. Eilmi buat muka macam tu?” tanya Puan Murni hairan. Anak manja Puan Julia itu segera pula menggeleng. Langkahnya jadi berpusing. Dia masuk ke dalam lif dengan rasa kecewa. Di tingkat tujuh, redup matanya menggamit satu wajah yang masih nyenyak ketiduran. Dengkurannya makin kuat kedengaran. Tak bangun- bangun lagi badut nih! Gerutu Eilmi Zahrin dengan muka menyampah.

Dia pantas menyuruh Farid membawa satu jag air. Lelaki itu hanya menuruti arahan itu tanpa banyak soal. Dan dengan perlahan, air dari jag plastik itu dijirus terus ke atas kepala Widad membuatkan anak gadis itu melompat bangun. Terkebil- kebil matanya menatap wajah sombong dan angkuh Eilmi Zahrin sambil memegang kain tudungnya yang kebasahan.

“Maaf En. Eilmi. Saya mengantuk sangat. Saya tak cukup tidur...”

“Sekali lagi! Saya nampak awak buat perkara yang sama, saya pecat awak tanpa notis!” tempik lelaki itu memotong percakapan Widad. Gadis itu mengangguk. Renungannya berkalih pula pada figura Puan Julia yang baru muncul dari pintu lif. Senyum di bibir wanita berusia awal lima puluhan itu disambut dengan rasa serba salah.

“Ada awak beli keropok lekor yang saya pesan tu Widad?” tanya Puan Julia lembut. Eilmi Zahrin hanya mencebik. Dia masuk ke dalam biliknya dengan mulut yang masih mengomel. Mengajuk- ngajuk percakapan ibunya dengan rasa meluat yang kuat.

“Ada puan. Nanti saya bawa kan ya.”

Puan Julia senyum lagi. Kali ini senyumannya lebih manis dari biasa. Senyum yang menyimpan rasa -rasa bahagia. Widad makin ditelan rasa bersalah. Wajah Wafa mula bergentayangan di fikiran. Dia perlu menelifon adindanya itu dengan kadar segera. Widad berlari ke sudut belakang. Nombor telifon Wafa ditekan laju. Suara halus di hujung telinga merebahkan segenap rasa.

“Wafa, tolong belikan Widad keropok lekor,” bicara Widad perlahan. Beberapa saat kemudian, talian pun dimatikan. Widad mengubah senyum di muka. Dia melompat kecil bila permintaannya sudi ditunaikan. “Moga ada rezeki Puan Julia,” harap Widad dengan langkah yang berpusing. Dia ingin keluar dari pintu itu namun tubuh sado yang menyandar di tiang pintu sambil berpeluk tubuh membuatkan hasratnya terkendala.

“Baru nak pesan rupanya? Tadi awak cakap dengan Puan Julia, sudah ada!” perli Eilmi Zahrin. Widad terdiam. Wajahnya berubah terus. “Saya tertinggal keropok tu di Terengganu tempoh hari. Kelam kabut sangat nak balik Kuala Lumpur,” Widad memberi alasan. Pandangannya menunduk ke lantai. Eilmi Zahrin merenung figura itu dengan hati yang berteka- teki. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan tetapi apa dia? Hati kecilnya bertanya.

“Boleh saya tumpang lalu?” akhirnya Widad meminta izin. Eilmi Zahrin bingkas dari lamunan. “Kalau saya kata... tak boleh?” jawab lelaki itu bersahaja. Widad terpempan. Hatinya dikemam sesuatu bila renungan lelaki Eilmi Zahrin singgah di matanya tanpa sebarang bicara.

“Saya jerit nanti,” ugut Widad. Dia jadi tidak selesa dengan situasi itu. Eilmi Zahrin ketawa. Pelukan tangan di tubuh makin diperkemaskan. Renungannya mati di wajah itu hingga Widad jadi tidak ketahuan. “Apa yang En. Eilmi mahu?” soalnya.

“Kenapa Aaron mengintip awak tempoh hari?” perkataan itu nampak lurus dan serius. Widad terpana. Hatinya berdetak seribu. Cemas yang dipungkal lewat berminggu- minggu yang lalu mula menampakkan diri. Macam mana dia boleh tahu aku kerja kat sini? Atau dia datang mencari Wafa? Fikirannya dihimpit tanya.

“Kenapa diam?”

Widad menggeleng.

“Saya tak tahu kenapa dia buat macam tu,” ujar Widad perlahan. Jujurnya, dia ketinggalan cerita. Dia tidak tahu kisah yang sebenar kerana Wafa tidak pernah membuka cerita tentang bekas tunangnya itu. Apa yang lebih menakutkan, dia bimbang kalau- kalau apa yang keluar dari mulutnya tidak selari dengan apa yang disaksikan oleh mata lelaki di hadapannya.

“Awak pasti tahu sebabnya. Jangan cuba nak berdalih!” bidas Eilmi Zahrin. Widad hilang kata- kata. Baginya, diam itu lebih baik dari bercakap tentang sesuatu yang kita tidak tahu hujung pangkalnya tapi desakan itu... “Apa sebenarnya hubungan awak dengan dia?” tanya anak muda itu lagi. Pertanyaan yang kedengaran biasa itu menikam detak jantung Widad. Dipandang juga wajah itu sekejap- sekejap.

“Mungkin dia nak cari bekas tunang dia,” kali ini, Widad terpaksa bercakap jujur. Eilmi Zahrin terdiam. Wajahnya berubah rona. “Aaron mahu bertemu dengan awak untuk bertanya tentang Haryati? Putri Haryati? Itu maksud awak?” tanya Eilmi Zahrin. Intonasinya turun mendadak. Renungannya melekat terus ke wajah yang tebal dengan solekan itu.

Widad jadi kelu bila nama Putri Haryati disebut- sebut. Dalam diamnya itu, dia mengangguk juga. Eilmi Zahrin tangkas merapatkan kedudukan. Perasaannya bertukar teruja bila si badut yang dibencinya sedang menyimpan rahsia besar tentang Putri Haryati.

“Awak tahu di mana Putri Haryati sekarang? Selepas pernikahannya dibatalkan, dia menghilangkan diri tanpa dapat dijejak,” pertanyaan itu menguasai ruang dan suasana. Widad berpaling bila wajah itu terasa begitu dekat dengan mukanya. Fakta yang diucapkan oleh lelaki itu begitu menyakitkan. Ia tidak ubah seperti mencarik luka yang masih belum sembuh.

“Kenapa sedih? Saya tanya awak tentang Haryati, yang awak tiba- tiba saja awak jadi emosional, kenapa?” teguran itu lebih kepada mengejek pula. Widad gagal menahan air mata. Mahu tak mahu, tubuh sado itu terpaksa dirempuh untuk memboloskan diri. Rempuhan yang tidak berhasil. Widad masih tidak mengalah.

“Tolong beri saya laluan!” 

“Beritahu saya dulu, di mana Haryati sekarang?”

“Saya dah janji untuk menyimpan rahsia ini. Maaf kerana tak dapat memberitahu En. Eilmi.”

Eilmi Zahrin mengeluh. Ekor matanya terpacu pada Mukhlis yang sedang melangkah ke arahnya. Tiga pasang mata itu saling merenung sebelum anak muda Puan Julia keluar dari ruangan itu terlebih dahulu. Widad membuang nafas panjang. Hatinya diculik gentar. Kalau Wafa yang cengih tu pun boleh gelabah dengan si tokek, inikan pulak aku tapi kenapa dia nak tahu di mana Haryati? Untuk apa? Widad bermonolog sendiri dalam langkah yang belum pasti arah tujuannya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku