MR. AND MRS.
BAB : 27
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6061

Bacaan






CERMIN besar itu melantunkan gerak tari tubuhnya yang penuh gemalai. Langkah yang dibuka, dipastikan berada dalam posisi dan gerakan yang betul. Sudah lama dia meninggalkan dunia tariannya, sejak Aaron membawa dia tinggal di bumi London. Peluh kecil yang merenek di ruas dahi dikesat dengan hujung selendang. Mengingati Kota London seperti mengingatkan dirinya kepada Putri Haryati.

Sudah hampir tiga jam, Widad menghabiskan masa di bilik itu. Bilik yang disediakan khas oleh Tuan CEO untuk pekerjanya membuat latihan tarian Ulek Mayang. Entah kenapa, lelaki itu terlalu obses dengan lagenda dongeng negeri pantai timur itu. Widad duduk menyandar di tepi dinding cermin. Botol air digapai. Air mineral putih diteguk hingga habis. Matanya terpaku pada jam di tangan. Waktu sudah hampir menjelang senja.

Widad bingkas, beg galas dibawa bersama. Dia harus segera pulang. PUTIH yang gah dengan nama dan populariti itu ditinggalkan dengan hati yang separuh. Esok lusa, apakah dia dapat kembali lagi ke butik ini? Tanya hati Widad sendiri tika langkahnya masuk ke dalam Suzuki Swift kerana dia sedar cuti Wafa masih berbaki tiga hari.

Dua puluh minit kemudian, dia sudah pun berada di halaman rumah sewa Wafa. Dalam perjalanannya menuju ke simpang masuk tadi, matanya terserempak dengan kereta Toyota Camry Puan Khalida. Di sebelah wanita itu, ada sahabat baiknya, Puan Fida. Dia tahu, dua orang kuat PUTIH itu sudah dalam perjalanan menuju ke Bukit Bintang.

Widad masuk ke dalam rumah. Kain kerudungnya ditanggal dan dicampak ke atas katil. Blouse berwarna jingga dan seluar leggin putih turut dilepaskan dari badan. Langkahnya masuk ke dalam kamar mandi. Air pancuran dipulas laju. Titis- titis air yang jatuh berderai dikenakan ke susuk tubuh. Dinginnya mendamaikan sebuah perasaan.

Kain sal digapai dan dibalutkan ke badan. Alat pengering rambut dihidupkan dan ditala pada uraian rambutnya yang lembab. Hampir sepuluh minit kemudian, rambutnya yang ikal mayang itu sudah pun kering sepenuhnya. Widad melangkah keluar dari kamar mandi dengan perasaan yang segar.

Gerak kakinya menuju ke pintu almari. Blouse biru cair ditarik keluar bersama seluar leggin getah berwarna hitam. Dua jenis pakaian itu disarukkan terus ke badan. Kain tudung digapai semula. Dia sudah lambat untuk ke majlis makan malam PUTIH. Beg tangan jenama LV dipaut sebelum langkahnya berlari masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kenderaan itu dipacu deras menuju ke tengah kota.

Hotel Marriot, Bukit Bintang muncul di dalam perhatiannya. Widad langsung saja ke bilik 1201 sepertimana yang dipintakan oleh Puan Fida lewat pertemuan mereka siang hari tadi. Loceng pintu ditekan sekali. Tidak lama kemudian, pintu itu dibuka sebelum satu wajah menjengah keluar. “Cari siapa?” tanya Puan Khalida dengan muka tertanya- tanya. Widad menguntum senyum. Wajahnya yang polos itu membuatkan wanita itu tidak dapat mengecam siapa dirinya yang sebenar.

“Widad? Kenapa lambat?” sapa Puan Fida yang turut menjengah ke muka pintu. Puan Khalida terpana manakala Widad sudah masuk ke dalam bilik itu. Dia meletakkan beg tangannya di satu sudut sebelum langkahnya laju mengambil wudhu’. Puan Fida, Puan Khalida, Ku Monalisa dan Puan Suraya semuanya sudah bersiap sedia untuk menyembah yang ESA. Setelah usai menunaikan solat, Widad menyerahkan mukanya bulat- bulat kepada Dalila, salah seorang juru solek PUTIH.

“Tuan –tuan puteri semua dah siap?” tegur Puan Khalida hampir satu jam berikutnya. Beberapa orang pekerja PUTIH yang ditugaskan untuk memegang watak sebagai Tuan Puteri pantas saja mengangguk. Puan Khalida senyum lagi. Matanya tercari- cari wajah Tuan Puteri Ketujuh, antara watak yang paling penting dalam sketsa Ulek Mayang itu. Raut muka Widad yang baru usai dirias, ditatap dengan senyum lapang.

Tuk... tuk... Pintu bilik diketuk seseorang. Puan Fida menarik dedaun kayu itu ke dalam. Senyum manis dari bibir Mukhlis menjamah mata hitamnya. Lelaki itu nampak segak dengan seragam hulubalang istana. “Majlis baru saja bermula. Puan Julia sudah sampai. Sekarang nie En. Eilmi sedang berucap. Mungkin sepuluh minit lagi, selesailah ucapannya tu. Tuan Puteri semua sudah siap ker belum?” tanya Mukhlis agak cemas. Puan Fida mengangguk.

“Putera raja dengan hulubalangnya serta yang lain- lain sudah bersiap?” tanya Puan Fida pula. Mukhlis mengangguk. Dia cuba mencuri pandang ke dalam bilik yang cukup riuh dengan gelak tawa itu tapi perbuatannya segera dihalang oleh Puan Fida.

“Nak kena korek biji mata tu?” marah Puan Fida sambil mencekak pinggang. Mukhlis menggeleng. Mulutnya menyengih serta merta. Mahu tak mahu, dia terpaksa beredar dari situ. Puan Fida bertepuk tangannya sambil bertempik. Suasana yang hingar seperti pasar itu menjadi senyap dalam sekelip mata.

“Jom kita turun. Acara Ulek Mayang dah nak bermula,” jerit wanita itu dengan nada gembira. Sekalian yang ada mula memperkemaskan solekan buat kali terakhir. Kemudian, masing- masing turun ke tingkat bawah. Widad masih melihat wajahnya di cermin. Solekannya tidaklah setebal yang diharapkan. Hatinya dipaut culas. Dia jadi gementar pula untuk berhadapan dengan CEO PUTIH.

“Cantiknya adik nie,” puji Dalila ikhlas. Widad mencuit senyum di bibir. Tumit tinggi disarukkan ke kaki. Langkahnya agak ketinggalan dari pelakon -pelakon sketsa yang lain. Gerak kakinya jadi sedikit berlari demi mengejar kumpulan itu. Dia bimbang kalau- kalau wataknya gagal muncul pada babak waktu yang tepat.

Di hujung lobi menuju ke Astaka, langkah kakinya hilang imbangan bila seorang pemuda menolak kasar pintu masuk itu. Widad jatuh tersungkur ke lantai. Eilmi Zahrin yang perasan dengan perkara itu pantas saja menghulurkan tangannya namun gadis itu lebih selesa untuk bangun sendiri. Huluran tangan Eilmi Zahrin hanya dibuat nampak tak nampak.

“Awak tak apa- apa?” nada itu terkandung rasa prihatin. Widad menggeleng sebelum wajahnya berkalih. Arakian, detik waktu yang bertamu pada saat itu telah meruntuhkan sebuah perasaan yang sudah lama diperam dalam kubu hati sang arjuna. Apakah aku bermimpi? Bisik hati Eilmi Zahrin dengan rasa tidak percaya. Pandangannya terpaku lama di situ.

"Haryati? Putri Haryati... awak buat apa kat sini?” soal Eilmi Zahrin terus. Dua mata itu berlaga temu dalam sesaatnya lagi sebelum Widad pergi dari ruangan itu. Eilmi Zahrin membatalkan niatnya untuk ke kereta. Langkahnya masuk semula ke dalam astaka. Dia harus mencari tahu, di mana diamnya Putri Haryati. Sudah dua bulan, dia mencari gadis itu. Pencarian yang acapkali diulit kecewa.

Bunyi tiupan bayu yang menderu dari CD yang dimainkan membuatkan Widad sedar bahwa sketsa sudah pun bermula. Langkahnya dicatur menuju ke belakang pentas. “Kenapa lambat?” tanya Puan Fida cemas. Widad cuma menggeleng. Lidahnya masih kelu untuk berkata- kata. Renungan Eilmi Zahrin tadi bagai memendam sesuatu yang sangat luar biasa kuasanya.

Gementar di hati mula bercengkerama bila lagu Ulek Mayang dimainkan. ‘Ulek mayang ku ulek. Ulek dengan jala jemala. Nak ulek mayang ku ulek. Ulek dengan tuannya putri...’ Widad melihat langkah gemalai Che Norazlina naik ke atas pentas sebagai Tuan Puteri Kedua disusuli dengan langkah –langkah teman sekerjanya yang lain.

Entah kenapa, Widad berasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia melihat dengan anak matanya sendiri, ada susuk tubuh yang lain di sisi rakan- rakannya. Semuanya berpakaian kuning diraja. Liuk badan dan jari jemari mereka nampak seiring dengan alunan musik. Pesonanya begitu mengasyikkan. Widad terpempan. Siapakah mereka?

Sesekali... lirikan matanya bertemu dengan hujung mata mereka. Widad yakin, wajah- wajah yang dilihat itu bukanlah wajah rakan- rakannya yang berkumpul di bilik 1201 tadi. Apa yang lebih menghairankan, rakan- rakannya tidak pula menunjukkan reaksi yang pelik. Tarian mereka tetap selari dan cantik walau ruang untuk mereka menari nampak sempit di mata halus Widad.

Tiba- tiba, muncul pula satu bayangan yang lain di sebelahnya. Gadis itu jauh lebih mulus wajah dan tariannya. Widad tetap juga menari seperti biasa walau peluh- peluh dingin sudah membasahi ruas dahi. Perhatian Widad jadi terganggu terus sebelum tubuhnya rebah dengan serta merta. Nyanyian ulek mayang masih lagi menghalusi anak telinganya sebelum alunan suara itu terasa semakin jauh dan menghilang entah ke mana.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku