MR. AND MRS.
BAB : 31
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7142

Bacaan






PINTU kayu itu diketuk setelah loceng rumah ditekannya berulang- ulang kali. Eilmi Zahrin masih lagi di situ biarpun sudah lebih tiga puluh minit Widad meninggalkannya tanpa sebarang jawapan. Loceng rumah ditekan lagi bila sunyi terasa makin luas menemani. Widad! Nama itu dilaung. Bunyi tombol pintu dipulas membuatkan matanya lurus ke hadapan.

“Saya minta maaf,” ucap Eilmi Zahrin bila Widad muncul di pintu.

“Maaf diterima. Awak baliklah,” ucap Widad. Matanya kelejuhan.

“Jom keluar. Ada perkara yang saya nak bincangkan,” ajak lelaki itu. Widad mengangguk. Entah kenapa dia langsung bersetuju walaupun hatinya ada keberatan. Eilmi Zahrin masuk semula ke dalam kereta. Dia lebih selesa menunggu di situ dari hadapan pintu rumah Widad. Lima minit kemudian, gadis itu menampakkan diri. Wajahnya polos!

Eilmi Zahrin terus saja menekan pedal minyak setelah Widad memakai tali pinggang keledar. Wajah- wajah sunyi dibiarkan melata. Dia tidak mahu lagi bertanya itu dan ini. Dia sedar, dia tidak punya hak langsung untuk memaksa gadis itu menceritakan tiap kisah hanya kerana rasa cemburu di hati lelakinya.

Keadaan segi tiga emas Kuala Lumpur pada malam itu tetap asli seperti biasa. Puluhan pasangan kekasih dilihat menyusuri kaki- kaki lima sambil berpegangan tangan. Eilmi Zahrin bingkas dari perut kereta. Widad juga. Langkah gadis itu mula bertaut bila susuk tubuh Eilmi Zahrin sudah berdiri di sebelahnya.

Angin sejuk yang bertiup kian mengibas- ngibas sayapnya yang dingin hingga kain tudung Widad beralun lembut kerananya. Sesekali, pandangannya menongkat ke langit atas dan sesekali itulah, Eilmi Zahrin mencuri pandang ke wajahnya. Hati lelaki itu masih ingin bertanya tapi... dia bimbang kalau- kalau pertemuaan itu akan berakhir dengan tiba- tiba.

“Kenapa diam?” akhirnya dia gagal menahan mulut dari bertanya. Nadanya lebih lembut dari biasa. Widad menggeleng. Langkahnya mati bila Eilmi Zahrin duduk di atas tembok simen. “Apa yang En. Eilmi nak bincangkan dengan saya?” soal gadis itu padat. Renungan matanya singgah sekejap di wajah Eilmi Zahrin sebelum dilarikan semula ke sudut lain.

Anak lelaki Puan Julia seperti memerlukan sedikit masa untuk memulakan bicara hingga Widad jadi tertunggu – tunggu terus. “Saya dah tak ada perasaan sayang langsung pada dia,” jujur Widad setelah dua minit masa berlalu. Eilmi Zahrin berpaling lagi. Matanya mencari jejak mata Widad. “Siapa?” tanya lelaki itu sengaja ingin menduga.

“Aaron,” sebut Widad tanpa berselindung. Eilmi Zahrin terdiam. Sungguh dia tidak menyangka, Widad akan membuka cerita yang mereka tinggalkan tadi. “Saya masih pakai baju tu sebab ia masih elok, tak ada sebab lain.” Widad bertambah jujur dalam kata- kata. Luahan gadis itu seperti terganggu oleh sesuatu hingga arah mata Eilmi Zahrin turut berubah tempat.

“Wow, tak sangka dapat jumpa Mr. and Mrs. kat sini!” sinis satu suara keras bersama senyuman jelek. Eilmi Zahrin tidak memperdulikan sapaan itu. Malah renungannya melekap pada satu figura yang lain. Zara pantas saja menarik lengannya dari terus berada dalam pelukan tangan Ungku Shamrin. Tadi adik, nie abang pulak! Apalah buruknya nasib aku hari nie! Sumpah Eilmi dalam hati.

“Tak salah lah you keluar dengan I, sayang sebab tunang you pun keluar dengan perempuan lain,” bisik Ungku Shamrin rapat ke telinga Zara. Kakinya sedikit menjingkit. “Putri Haryati, hebat juga awak nie ya! Dulu, awak goda adik saya tapi sekarang CEO PUTIH pula. Inai di jari pun masih belum hilang merahnya tapi awak dah cari pengganti adik saya. Keep it up Haryati! Well done!” sindiran Ungku Shamrin makin sadis.

“Jom babe, banyak lalat lah kat sini!” herdik Eilmi Zahrin selamba. Tangan Widad disasar sebelum diraih. Langkah gadis itu jadi tidak tersusun apabila tangannya terus ditarik begitu. Namun dia masih dapat mengimbangi gerakan badannya agar tubuhnya tidak jatuh tersungkur di kaki – kaki anak orang ternama itu.

“Cik Zara tu, tunang En. Eilmi kan?” soal Widad walau emosi Eilmi Zahrin dilihat masih belum reda. Keromot di wajah itu, kedutnya seribu dan berliku.

“Awak lebih mengenali Ungku Shamrin dari saya. Dan saya yakin, bukan sekali dua, awak pernah nampak mereka keluar bersama kan Widad? Sejujurnya, saya dan Zara memang tiada harapan untuk hidup bersama. Malah kami tidak sepatutnya bertunang!” tegas Eilmi Zahrin. Widad hanya menggigit hujung bibir. Dia berharap lelaki itu tidak  terpengaruh dengan kata- kata sindiran Ungku Shamrin tadi.

“Saya memang perasan dengan inai merah di jari awak tu cuma saya tak tahu nak tanya macamana,” tambah anak muda itu lagi. Pandangannya mempamerkan rasa serba salah. Widad menarik nafas dalam- dalam. Dan dia seperti mengeluh bila nafas itu dihela keluar.

“Saya adalah pengantin yang paling malang dalam dekad ini, En. Eilmi.”

“Eilmi saja. Tak perlu berencik- encik,” potong Eilmi Zahrin. Mata hitam Widad tersasar ke wajah itu.

“Saya adalah pengantin yang diceraikan sebelum akad bermula tanpa ada ihsan dan belas kasihan. Sepuluh tahun kami bercinta tapi akhirnya, ini yang saya dapat,” luah Widad perlahan. Matanya sudah berkaca bila sayu di hati sudah mula berkelana. Melawat duka dan luka semalam yang masih belum sembuh.

“Apa yang telah berlaku amat menyakitkan! Maruah diri seperti diinjak- injak tapi saya tak menyesal kerana saya yakin, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” sambung Widad lagi. “Macam mana awak boleh kenal dengan dia?” soal Eilmi Zahrin. Widad menyeka air mata yang jatuh sebelum meneruskan cerita.

“Kami bertemu pada Malam Gala Fashion Bride. Saya adalah wakil pelajar UITM untuk memperagakan koleksi terbaru gaun pengantin hasil rekaan pelajar- pelajar senior kami,” ringkas Widad. Eilmi Zahrin yang sedari tadi hanya menjadi seorang pendengar, kini mula berdehem.

“Cinta pandang pertamalah nie?” sinisnya berbaur cemburu. Widad menggetap bibir bawah. Dia ingin mengangguk tapi tengkuknya terasa keras seperti batu.

“Putri Haryati, satu nama yang cukup gah dalam dunia fesyen antarabangsa. Malah gaun pengantin rekaan awak cukup popular di Kota London. Bertahun- tahun lamanya, awak membina empayar di negara orang tapi kenapa awak mahu nama yang sudah gah dan disegani itu hilang macam tu saja?”

“Putri Haryati tu nama ibu saya. Jawapannya mudah Eilmi, kelukaan di hati saya yang membuatkan Putri Haryati hilang bersama kehebatannya,” jelas Widad. Air matanya masih menitik bila luka itu disiat untuk sebuah jawapan. Eilmi Zahrin mengangguk faham. Kain sapu tangan dari poket seluarnya dibawa keluar lalu diberikan kepada Widad. Dia tidak mahu lagi bertanya itu ini.

Guruh di langit memekik kuat untuk memberi isyarat tentang kehadiran awan hitam yang sudah larat. Widad mendongak ke langit atas. Tik! Tik! Tik! Rintik kasar sudah mula menitis ke muka. Dia bingkas, pandangannya tercari- cari di mana letaknya figura Eilmi Zahrin yang tiba- tiba menghilang.

Tidak jauh dari kedudukannya, dapat dilihat dengan jelas CEO itu sedang berjual beli dengan seorang budak lelaki lingkungan umur sebelas tahun. Setelah menghulurkan sejumlah not ringgit, dia kembali menapak dengan jambangan mawar di tangan. Arakian, dalam rintiknya hujan, dua pandangan itu bertaut kebasahan saat bunga merah bertukar tuan.

“Untuk awak,” ucap Eilmi Zahrin lembut. Widad masih terkesima. Manisnya senyum yang terukir di bibir lelaki itu bisa menggegarkan jiwa wanitanya. Saat bunga dibawa ke dalam dakapan, rintik- rintik hujan sudah makin lebat. Widad ingin berlari mencari teduhan namun Eilmi Zahrin tangkas memaut lengan itu membuatkan pandangan mereka bertemu lagi.

“Temankan saya main hujan,” ajak lelaki itu serius. Widad terpana sebelum ajakan itu disambut dengan sebuah anggukan. Mawar merah yang berkuntum- kuntum itu dicium aromanya. Apakah ini permulaan baru bagi hidupnya yang sudah kepatahan hati? Sedang luka ini sayang... darahnya masih lagi mengalir, merubah bait- bait rindu menjadi benci dan dendam yang tidak terungkap!

Dua wajah itu saling berpandangan dan bertukar senyum. Bagi Eilmi Zahrin, pastinya ada satu kepayahan untuk dia memiliki cinta gadis itu tapi peluang yang terbuka ini tidak harus dipersiakan. Aku sudah lama menyintai dia cuma pertemuan itu, dikira terlewat bila bunga idamannya sudah ada kumbang lain yang hinggap. Andai takdir punya rencana yang tidak bisa aku harungi dengan kedhaifan diri, aku mohon padaMu ya ALLAH, bukakan satu jalan agar dia menjadi halal untukku!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku