MR. AND MRS.
BAB : 32
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(33 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14448

Bacaan






DINIHARI, matahari terbit dengan cahaya yang sempurna. Bayu pagi yang berpuput dari arah timur menyingsing rasa yang segar. Sesegar perasaan Eilmi Zahrin pada Widad mungkin! Wajah itu benar- benar mengikat jiwanya. Semalaman dia menelaah perasaan sendiri. Mencari- cari kekuatan hati dalam menerima apa jua kemungkinan andai cintanya ditolak Widad...

Nyanyian dangdut dari telifon bimbit Tatiana membawa ingatannya jauh melayang terkenangkan kenangan malam semalam. Kenangan malam minggu waktu jalan- jalan, berdua jalan kaki saat turun hujan. Basah baju kita, basah hati kita. Lirik itu diulang tanpa lagu. Eilmi bingkas, langkahnya laju mendapatkan Tatiana di ruang dapur.

“Tati... lagu apa tu?” bisik Eilmi Zahrin.

“Maksud Tuan Eilmi lagu yang ini?” tanya Tatiana sambil menunjukkan telifon bimbitnya. Eilmi Zahrin mengangguk. Tatiana senyum lagi. Jelingan matanya bagai menggambarkan sesuatu. Sesuatu yang sedang bermain di dalam fikirannya mungkin.

“Memori Daun Pisang dendangan Iwan sama Amelina. Kenapa Tuan?” Tatiana masih lagi bertanya. Eilmi Zahrin menggeleng. Cawan milo yang dipegang, diletakkan semula ke atas meja sebelum langkahnya dipacu menuju ke bilik. Telifon bimbit digapai. Mr. Google disapa terus sebelum pertolongannya diperlukan bila patah perkataan Tatiana tadi ditaip laju pada ruangan yang sentiasa kosong itu.

Eilmi Zahrin langsung memuat turun lagu itu ke dalam telifon bimbitnya. Setelah selesai, butang play mula ditekan membuatkan suara- suara guruh bergema kuat mencerap sunyi reruang. Anak muda itu langsung termanggu di birai katil demi menghayati nyanyian cinta pasangan duet paling ngetop era 90 an.

“Saksikanlah.. saksikanlah oleh mu wahai sang hujan. Aku yang telah jatuh dilanda asmara...” syair cinta itu benar- benar mencairkan perasaan yang dikandungnya sejak malam semalam. Bibirnya mengungkap senyum bila lamunan paling indah itu menggigit- gigit ingatan. Saat mata bertentang mata. Rintik hujan bukan halangannya untuk dua hati itu menyingkap tabir cinta.

Tuk! Tuk! Pintu biliknya diketuk seseorang. Eilmi Zahrin terpaksa juga bingkas. Daun pintu dikuak sedikit. Wajah Puan Julia yang nampak kehairanan ditatap pandang. Mungkin wanita itu berasa sangat pelik dengan alunan lagu dangdut yang sedang dimainkan dengan kuat di dalam bilik anak bujangnya.

“Jom sarapan. Ayah dah tunggu tu,” ajak Puan Julia. Eilmi Zahrin mengangguk. Dia turun juga bila Puan Julia menggunakan alasan Tuan Zakarian sedang menunggunya di meja makan.

“Tulusnya cintaku ini bukannya emas sepuhan, tak akan ku lari dari abang seorang...” nyanyian itu bergema pula dari mulut Tatiana saat nasi goreng cendawan diletakkan ke pinggan Eilmi Zahrin. Anak tunggal majikannya hanya menggaru belakang telinga dengan renungan penuh isyarat. Mukanya merah padam bila diperli begitu.

“Patutlah semalam baju Tuan Eilmi basah semua, Ibu Julia. Main hujan rupanya,” suara Tatiana kemudian.

“Main hujan?” ulang Puan Julia. Kerut di mukanya makin bertambah.

“Orang lagi dalam asmara, Ibu Julia. Memang asyik kalau bermain hujan. Biar nanti indah dalam kenangan. Apatah lagi kenangan itu, kenangan malam minggu. Tak gitu Tuan Eilmi?” usik Tatiana. Puan Julia tergamam. Renungannya berkalih pada wajah anak bujangnya, sedang Tuan Zakarian hanya menyimpul senyum.

Ternyata Eilmi Zahrin tidak mampu untuk mematahkan kata- kata itu. Nasi goreng di pinggan dikunyah dengan laju, biar cepat habis. Tidak sanggup lagi rasanya untuk dia duduk lebih lama di ruangan gosip itu. Sebelum Puan Julia membuka kertas siasatan, lebih baik aku beredar dulu. Nanti kalau sudah ketahuan, aku juga yang malu! Keluh hati Eilmi Zahrin.

“Eilmi main hujan dengan siapa malam tadi? Mama suruh Eilmi pergi Festival Fashion untuk melihat rekaan- rekaan terkini fesyen semasa bukannya pergi main hujan sampai basah satu badan!” akhirnya bebelan itu terbit dari mulut Puan Julia.

“Apa yang pasti, gadis itu bukan Cik Zara sebab semalam Cik Zara ada datang cari Tuan Eilmi di sini,” Tatiana terdahulu menyampuk. Tuan Zakarian senyum lagi. Nasi goreng di dalam mulut, dikunyahnya dengan perlahan saat matanya mengerling lucu ke wajah anak lelaki kesayangan.

“Heeh... abang nie dari tadi duk tersenyum- senyum... tersipu- sipu sendiri, kenapa? Tati sedang bercakap soal Eilmi bukan soal kita!” terpa Puan Julia dalam nada geram. Dia mengharapkan lelaki itu mengaju soalan yang sama pada anak lelaki mereka. Kalau ayahnya yang bertanya, memang laju dia menjawab! Detik hati Puan Julia.

“Abang pun teringin juga ke nak main hujan? Atau abang teringatkan kekasih lama abang di Munich?” tambah Puan Julia kemudian dengan nada berombak cemburu. Tuan Zakarian langsung ketawa. Kepalanya nampak tergeleng- geleng. Eilmi Zahrin mengambil kesempatan itu untuk beredar pergi dari meja makan sebaik saja sarapan paginya sudah licin di pinggan.

“Eilmi, mama tanya nie...” agak tegas nada Puan Julia. Pandangannya mengutip resah yang bercumbu. Entah kenapa, hatinya jadi penasaran pula.

“Maaf mama. Eilmi nak siap pergi butik. Nanti terlambat pula masuk meeting,” anak mudanya itu cuba mencari alasan yang boleh diterima akal. Puan Julia menggubah riak di wajah. Jelingannya mempamerkan sesuatu yang menumpuk di hati. Sesuatu yang tidak bisa dipadam buang.

“Aduh! Tati nie... tak boleh nak simpan rahsia langsung. Baju basah pun sibuk nak beritahu semua orang! Adoii…” dengus Eilmi Zahrin. Baju kemeja kuning cair disaruk ke badan setelah t- shirt kelabu dilucut buang sebelum dipadankan pula dengan seluar slack hitam.

Wajah tampannya dibawa ke cermin. Rambut yang sudah panjang beberapa inci dari ukuran biasa disebak ke tepi. Semangatnya untuk masuk ke butik pagi ini begitu membara seperti api yang sudah matang menyala. Dalam denyut nadinya, ada rindu yang masih panas. Hangatnya membuang dingin di hati bila wajah persis bidadari itu menyelinap masuk ke taman cintanya yang seluas taman syurgawi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku