MR. AND MRS.
BAB : 33
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7726

Bacaan






SIULAN di bibir Eilmi Zahrin mati terus tika langkah Amir Bakri dilihat menerpa ke arahnya. Dia cuba membelok ke arah lain agar langkah mereka tidak terus bertembung. Ehem! Amir Bakri berdehem kasar bila gerakan kaki CEO it membelok ke kanan. Mahu tak mahu, Eilmi Zahrin terpaksa juga mengalah. Langkahnya terhenti terus.

“Kau ke mana dengan Widad semalam? Takkan dating kut,” serkap Amir Bakri penuh tanda tanya. Senyum manis di bibir Eilmi Zahrin bertukar menjadi tawaan kecil. Lelaki itu langsung masuk ke dalam lif dan Amir Bakri masih lagi mengekorinya.

“Eilmi!” panggil Amir Bakri tika langkah itu sudah laju ke depan meninggalkan jejaknya. Pandangan mata mereka menerkam sesama sendiri tanpa kata dan suara. Entah kenapa Amir Bakri jadi teragak- agak pula untuk bertanya. “Kau tak nak ambil Farid bekerja dengan kita semula?” soalnya perlahan. Wajah yang berkocak itu ditatap jua sesaat dua.

“Kau masih tak tahu? Dia dah pergi temuduga dekat Emerald Sabtu lepas. Dengar cerita, kelayakan dia diterima di butik tu,” ujar Eilmi Zahrin. Kali ini, wajah Amir Bakri pula yang berkocak. Anak bujang itu kembali menapak. Tangannya memulas tombol pintu sebelum langkahnya dibawa masuk ke pejabat.

“Ah! Widad masih belum sampai,” keluh Eilmi Zahrin. Jam tangan yang melekap kemas pada lengannya dipandang sekejapan. Tuk! Tuk! Pintu biliknya diketuk dari luar. Pandangannya terangkat terus. Wajah yang tebal dengan solekan itu dipandang sejenak. Gadis itu merapatkan diri bersama secawan kopi panas.

“Saya ingat awak belum datang lagi. Kenapa awak masih nak make up tebal- tebal?” soal Eilmi Zahrin. Cawan seramik dari tangan Wafa diraih cermat dan ditiup perlahan hingga kepulan asap naik berterbangan. Wafa masih lagi di situ. Akal fikirnya ligat mencari alasan yang paling sesuai untuk diucap keluar.

“Saya rasa selamat macam nie,” jawab Wafa teragak- agak. Eilmi Zahrin tersenyum. Dia tahu, mungkin dengan cara itu, Ungku Aaron tidak dapat mengecam dirinya yang sebenar sepertimana dia gagal menghidu kehadiran Putri Haryati pada awal pertemuan mereka dulu.

“Sedap air kopi nie. Kalau hari- hari saya dapat minum air kopi sesedap ini, saya rasa sayalah manusia yang paling bertuah sekali dalam dunia,” kias lelaki itu. Renungannya melekat tepat ke muka Wafa. Gadis itu sekadar menunjukkan barisan giginya yang putih dan tersusun. Ingat aku kebulur sangat dengan pujian kau tu! Gerutu hatinya meluat.

“Ada apa – apa lagi En. Eilmi?” tanya Wafa dengan muka manis yang dibuat- buat. Eilmi Zahrin sekadar tersenyum. Kali ini, senyumannya terasa lebih manis dari air tuak yang diminumnya ketika dia berkunjung ke Terengganu minggu lepas. Apa hal pula dengan si tokek nie? Menyerongeng tak tentu pasal! Selalu tak macam nie! Wafa makin tertanya- tanya.

“Mesyuarat nanti, saya nak awak duduk di sebelah saya,” pinta anak muda itu. Wajah Wafa berubah memek. Memang sasau dah si tokek nie! Selalu kalau mesyuarat, aku diletakkan di sebelah pokok hiasan! Berdiri lagi! Alasannya, aku masih belum layak duduk di kerusi PUTIH! Mulut Wafa tak henti- henti mengomel. Pintu bilik itu ditarik rapat ke dinding.

Wafa duduk di pantri. Keromot di mukanya mendapat perhatian Puan Fida yang baru ingin memulakan rutin paginya. Kerusi yang masih kosong di hadapan Wafa ditarik sebelum punggungnya diletak. “Kenapa dengan kau ni, Widad?” sergah Puan Fida lembut. Mee goreng daging diletak ke atas meja. Tangannya laju menuang air kopi. Kopi yang masih panas itu ditolakkan ke tepi untuk disejukkan.

“Kak Fida sihat? Ada cerita sensasi tak, sepanjang saya tak ada kat butik nie?” Wafa memulakan perbualan. Puan Fida terpana. Direnungnya muka itu dengan rasa kurang mengerti. Bekas mee goreng dibawa rapat ke dada. Garfu di dalam bekas itu ditarik keluar sebelum dicucuk lembut pada longgokan mee yang nampak pudat dan pedas. Wafa jadi terliur.

Sesekali, mee yang sudah digulung, diangkat tinggi sebelum ditiup hingga aromanya menusuk ke lubang hidung Wafa. Menggoda sungguh! Jerit hati gadis itu seraya menelan air liur. “Kau nie Widad, macam dah lama tak jumpa akak pulak. Kau jangan cuba nak lari tajuk. Jawab dulu soalan akak tadi!” tegas Puan Fida. Wafa terkedu. “Saya cuma pelik dengan sikap aneh si tokek tu Kak Fida,” bisiknya perlahan.

“Nak pelik apa nya?” tanya Puan Fida kurang mesra.

“Selalunya waktu mesyuarat, dia suruh saya berdiri kat pokok hiasan tapi kali nie, dia suruh saya duduk sebelah dia pula. Kan pelik bin ajaib namanya tu?” ujar Wafa. Puan Fida masih lagi meniup- niup gulungan mee di garfunya biar haba panasnya cepat hilang. “Bukan kau orang berdua dah berdamai ker?” bidas Puan Fida dengan mulut yang penuh. Wafa kembali membuat muka.

“Saya nak berdamai dengan si tokek tu? Memang tak adalah kak!” selar Wafa sambil menjeling tajam. Puan Fida mengambil suapan yang baru. Kunyahan di mulutnya nampak semakin teratur. Dipandangnya muka Wafa dengan kepala yang tergeleng- geleng. “Sudah- sudahlah tu. Kalau orang nak berdamai, ada baiknya kau terima. Bak kata pepatah lama, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari!” nasihat Puan Fida.

Wafa terdiam. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Apatah lagi bila nada percakapan Puan Fida kedengaran sedikit meninggi. Air kopinya yang masih berbaki diminum sampai habis. Tubuh genit itu langsung bingkas. Cawan minumnya dibawa ke sinki dan dicuci bersih sebelum digantung pada tempatnya. Puan Fida masih lagi berusaha untuk menghabiskan sarapan paginya sebelum waktu mesyuarat bermula.

“Widad ke depan dulu kak,” ucap Wafa. Puan Fida mengangguk. Matanya masih juga menunduk ke bawah. Wafa tidak memperdulikan situasi itu. Langkahnya dipacu menuju ke ruang kerja. Dari satu sudut, dia jadi terkebil- kebil melihat barangan peribadinya beserta fail- fail kerja diangkat oleh Mukhlis dan dibawa masuk ke dalam bilik Eilmi Zahrin.

“Kenapa awak pindahkan barang- barang saya ke bilik nie? Ini bukan tempat saya! Nanti En. Eilmi marah,” tegur Wafa bila langkahnya mati di hadapan Mukhlis.

“Saya cuma mengikut arahan En. Eilmi saja Cik Widad. Menurut En. Eilmi, mulai hari ini, awak kena duduk di situ,” jawab Mukhlis. Jari telunjuknya menuding ke satu arah. Wafa terpinga. Memang dah buang tabiat si tokek nie! Jerit hati kecilnya bila sebuah meja dan sebiji kerusi pada sudut hadapan bilik itu dipandang. Betul- betul di sebelah pintu diletaknya aku. Apa hal dengan si tokek nie? Bebel Wafa dalam keliru yang membunuh.

“Widad, boss suruh masuk mesyuarat,” beritahu satu suara yang lain. Wafa berpaling. Hasratnya untuk menyoal Mukhlis dengan lebih lanjut jadi terbantut. Dia masuk juga ke bilik CEO itu. Buku catatan hariannya digapai. Langkahnya turun ke tingkat bawah. Pintu kaca bilik mesyuarat ditolak perlahan.

Beberapa pasang mata pantas saja berpusing untuk melihat siapakah yang masuk melalui pintu itu. Eilmi Zahrin menggamit tangannya membuatkan langkah Wafa tersusun terus ke hadapan. Dia duduk di kerusi yang telah dikosongkan untuknya. Tika itu, ada digil di hati dan ritmanya bukan sedikit bila renungan mereka menjadi satu dalam relau matanya.

“Saksikanlah. Saksikanlah oleh mu wahai sang hujan… nyanyian itu bergema dari corong telifon bimbit Eilmi Zahrin. Anak muda itu masih jua menulis- nulis sesuatu di papan putih. Jauh di sudut hati, dia amat berharap agar nyanyian itu sampai ke telinga Widad kerana hanya Widad yang faham maksud yang tersirat di dalam lirik itu. Monolog hati Eilmi Zahrin.

Anak muda itu mula memandang ke depan bila telifonnya senyap dan tidak bergetar. Senyum sinis di wajah Amir Bakri menujah matanya, bersilih pula dengan wajah yang lain. Pandangan Eilmi meluru ke mata Wafa! Gadis itu hanya terkebil- kebil sendiri.“Memang sah... dah buang tabiat si tokek nie! Lagu dangdut tu! Kata jiwa rock puaka!” omel Wafa.

Renungan Eilmi Zahrin gagal ditentang kerana panahannya nampak luar biasa dari kebiasaannya. Apa tenguk- tenguk? Nak kena siku? Hai tokek, baru seminggu aku tak jumpa kau, dah sewel?! Tertelan pil perancang agaknya mamat lima suku nie! Wafa mengejek di dalam hati. Pandangan matanya membidik papan putih di hadapan tanpa ada senyum dan kata- kata.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku