MR. AND MRS.
BAB : 38
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5236

Bacaan






SABTU, sembilan malam. Suasana terasa makin hangat dan meriah dengan ketibaan kereta- kereta mewah yang membawa kerabat- kerabat diraja, para- para menteri serta sekalian saudara dan sahabat handai bagi meraikan malam resepsi majlis perkahwinan anak gadis sulung Tan Sri Faiz. Senyum bertukar senyum, kata berbalas kata hingga terkalih segala perhatian saat sebuah Limousin hitam berhenti di perkarangan PWTC.

Sepasang pengantin, sama cantik sama padan diarak masuk dengan paluan kompang dan renjisan air mawar. Langkah mereka nampak seiring menuju panca persada. Eilmi Zahrin dicuit senyum tika baju rekaan PUTIH melekap cantik pada susuk tubuh mempelai itu. Kata- kata pujian jelas kedengaran di mana jua matanya memandang.

Perhatian Eilmi Zahrin melilau mencari satu wajah yang telah berjaya mencipta sejarah baru buat PUTIH. Pencarian yang terhenti di wajah Amir Bakri bila lelaki itu nampak sangat teruja dengan hidangan pembuka majlis, Pistacio Baklava bersama secawan latte yang ditambah susu segar. “Aku tak nampak dia pun. Takkan dia tak datang!” rungut Eilmi dengan muka kecewa.

“Siapa?” tanya Amir Bakri pura- pura tak faham.

“Widad!” keluh Eilmi Zahrin.

“Cik Widad kita rupanya, ingatkan Cik Zara tadi!” perli Amir Bakri. Eilmi Zahrin terdiam. Dia jadi malas untuk memanjangkan perbualan. Kopi espresso yang masih penuh di dalam cawannya, diminum seteguk dua namun hatinya masih belum puas bila figura Widad gagal dijejak.

“Cuba kau cari dia di meja Puan Julia. Mesti kau akan jumpa,” bisik Amir Bakri demi mengurangkan kerut- kerut halus yang bergetir di dahi luas anak kesayangan pakciknya. Anak muda itu menyasarkan mata hitamnya ke satu arah. Pandangannya melekap lama di satu wajah.

“Jangan tenung lama- lama, anak dara orang tu! Jangan nak perasan sangat, belum tentu dia tu kau yang punya!” sinis Amir Bakri, tangannya menyiku lengan Eilmi Zahrin. “She’s look so different tonight sampai aku tak perasan langsung,” ujar lelaki terhangat di pasaran itu. Amir Bakri mencebik.

“Ulat bulu sudah keluar,” usik Amir Bakri. Husna ketawa kecil.

“Biarlah bang. Kalau memang dah tertulis jodoh mereka, kita doakan saja,” luah wanita kelahiran Johor itu. Eilmi Zahrin pantas menunjuk isyarat bagus kepada Husna. “Amin ya Rabbal ‘alamin,” ucapnya dengan tangan yang tertadah sedang mata hitamnya masih lagi mencuri pandang pada wajah yang sama. Dia jadi tidak senang duduk. Macam mana aku nak duduk dekat dengan dia? Meja tu dah penuh. Takkan aku nak menyempit kat Puan Julia pulak! Hurm.. Akal fikir Eilmi ligat beroperasi.

Kemudian, pandangannya terkalih ke wajah yang lain. Puan Fida! Mungkin wanita itu bisa membantunya. Eilmi Zahrin pantas mengeluarkan telifon bimbit dari kocek seluar. Sebuah pesanan ringkas dihantar terus ke nombor peribadi Puan Fida tanpa lagi dibawa berfikir. Kini, pandangannya tercampak pada gelagat sahabat baik Puan Julia itu.

Kerut di muka wanita itu membuatkan wajahnya turut sama berkerut. Aku minta tukar tempat duduk jer pun! Kenapa kerutnya macam tu? Bebel Eilmi Zahrin tidak faham. Di matanya, kelihatan Puan Fida mendongak pandang seperti tercari- cari sesuatu. Eilmi Zahrin langsung bingkas bila anggukan setiausaha Puan Julia masuk ke dalam matanya.

“Ini betul- betul dah naik daun!” Amir Bakri mencelah saat Puan Fida makin menghampiri meja mereka. “Good Luck babe,” ucap Husna. “Bakri, kau dah kahwin kan? Kau duduk sini diam- diam! Bagi peluang pada lelaki terlajak bujang macam aku nie pula. Thanks a lot Husna,” tutur Eilmi Zahrin. Amir Bakri masih lagi mencebik.

“Kenapa nie En. Eilmi?” tanya Puan Fida masih tak mengerti. Eilmi Zahrin mengungkap senyum yang paling manis.

“Terima kasih Puan Fida,” ucapnya sebelum langkah diatur kemas. Rambut yang sedikit jatuh disebak rapi. Debar di dada mula berkocak saat pandangan Widad masuk ke dalam matanya. Tepat dan melekat! “Eilmi, kenapa tukar tempat pulak nie?” tanya Puan Julia, hairan.

“Jangan nak buat hal kat sini. Ini bukan butik. Malu kalau orang tenguk! Ramai kenalan mama dan papa ada di sini!” suara Puan Julia sedikit menekan. Dia bimbang kalau- kalau terjadi satu pertelingkahan yang tidak diingini antara dua manusia itu. Widad jadi terdiam. Rancak ceritanya tadi, terus hilang dengan tidak semena- mena.

“Kenapa Eilmi tak duduk dengan Zara? Kerusi sebelah Zara tu masih kosong! Pergi duduk sana! Malu dengan mulut- mulut orang. Dah bertunang tapi masih macam orang asing!” bidas Puan Julia. Eilmi Zahrin jadi kematian rasa. Riak mukanya berubah kelat. Dia bingkas lagi dari duduknya yang tidak sampai seminit itu. Langkahnya mara pula ke meja yang lain.

Kali ini, Eilmi duduk pula di sebelah Zara, sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Puan Julia tadi. “You tak nampak Iker sayang? Kalau ya pun you tak sukakan I, janganlah tunjuk sangat. Nanti apa pula kata teman- teman rapat keluarga I,” perli Zara. Eilmi Zahrin tidak mahu bertelingkah walau hatinya terasa makin sakit. Wajah Zara dipandang kosong.

Kemeriahan majlis yang sedang berlangsung mula terasa hambar. Sesekali, pandangannya menyerbu jauh ke arah Widad. Bagai menghayati anugerah yang sangat indah pada malam itu. Dan sesekali itu jugalah, pandangan mereka bertemu. Sesekali yang akhirnya menjadi berkali- kali. Saling melihat, saling pula merenung dan saling memendam rasa mungkin!

“Kenapa tak duduk sebelah dia jer!” sinis Zara seolah- olah cemburu. Eilmi Zahrin bingkas. Dia jadi rimas bila diperli –perli begitu. Puan Sri Nora yang duduk di sebelah Zara turut berubah wajah saat langkah bakal menantu lelakinya berlalu pergi. Anak muda itu duduk semula di sebelah Widad. Sekali lagi, wajah Puan Julia berubah riak.

“Apahalnya nie, Eilmi? Macam cacing kepanasan jer mama tenguk!”

“Zara suruh Eilmi duduk semeja dengan mama.”

“Mana taknya. Mata kamu tu asyik pandang ke sini jer! Kalau mama jadi Zara, mama pun cemburu!” tegur Puan Julia. Eilmi Zahrin menghela nafas panjang. “Mama pun tak suka Eilmi duduk kat sini? How about you, Widad? Just be honest…” tanya lelaki itu dengan nada yang sudah berkocak. Puan Julia terdiam. Tajam matanya tadi hilang ditelan rasa.

Widad terpempan. Dia tidak mahu menjawab pertanyaan itu bila renungan Puan Julia singgah di mukanya. Eilmi Zahrin bingkas lagi. Kali ini, dia tidak memperdulikan sesiapa. Laju langkahnya keluar meninggalkan majlis yang baru saja berlangsung. Puan Julia mula diusik bimbang. “Pergi pujuk dia, Widad!” gesanya. Widad makin terpana. “Pujuk dia?” Widad mengulangi kata arahan itu.

“Pergi cepat Widad! Bahaya kalau dia memandu dalam keadaan marah!” gusar Puan Julia kian bertambah. Widad langsung bingkas bila gesaan itu sudah seperti mendesak. Langkahnya sedikit berlari demi mencari figura Eilmi Zahrin yang sudah hilang jejaknya dari majlis itu. Pencarian dilanjutkan di bahagian pintu masuk PWTC yang agak lengang.

“Cari siapa?” tanya suara itu. Widad langsung berpaling.

“Buat orang risau jelah!” marah Widad dalam jelingannya.

“Risau? Kenapa pula?”

“Puan Julia panggil En. Eilmi,” ujar Widad tanpa menjawab soalan itu. Eilmi Zahrin menggeleng tanda tidak mahu. “Saya nak makan kat tempat lain. Awak nak ikut?” pelawanya kemudian. Widad mengangguk. Dia khuatir dengan kata- kata Puan Julia tadi. Langkahnya masuk terus ke dalam BMW Z4. Kenderaan mewah itu menderu laju di jalan- jalan besar hingga Widad digamit resah. Dia jadi risau dengan tingkah Eilmi Zahrin yang tidak mahu memandang ke depan bila stereng berada dalam tangannya.

“Boleh tolong tenguk depan tak? Dahlah bawa macam orang gila. Saya belum kahwin lagi tau!” marah Widad.

“Saya pun belum kahwin lagi. Kita kahwin nak?” tanya Eilmi Zahrin serius. Widad terkesima. Bergetar jiwanya dengan pertanyaan selamba lelaki itu. Pemanduan yang tadinya laju kini bertukar menjadi perlahan dan semakin perlahan. Akhirnya, Widad mengalah. Wajah Eilmi ditatap dengan renungan yang sama. “Nak tenguk sangat kan, tenguklah puas- puas!”

“Awak nie cantiklah Haryati! Saya tak nafikan, hati saya cair bila tenguk awak,” jujur anak teruna Puan Julia. Widad jadi tertunduk. Dia tidak sanggup lagi untuk mengangkat muka. “Jangan panggil saya Haryati dan jangan pandang saya macam tu lagi,” nadanya kendur. Dia takut untuk berhadapan dengan perasaannya sendiri.

“Habis, nak pandang macam mana? Macam nie,” usik Eilmi Zahrin sambil membuat mata hitamnya juling ke dalam. Widad langsung tersenyum. Senyum yang akhirnya bertukar menjadi tawaan kecil bila mata juling Eilmi bertahan dalam saat yang lama. Malam itu, mereka makan di Bora Asmara. Walau hidangannya cukup ringkas, cuma salad sayur dan susu segar tetapi ada bahagia yang menyelinap ke dalam dua keping hati itu.

Bagi Eilmi Zahrin, indahnya malam itu bagaikan hati yang dimabuk cinta. Detik jam yang berlalu sungguh tidak terasa. Widad memandang wajah rembulan di dada langit bila senyuman arjuna di hadapannya terasa lebih manis dari madu. Segala angan- angan, bisakah menjadi kenyataan? Akan tercalarlah hati ini jika impian yang baru saja dibina masih tidak bisa digubah menjadi titik- titik kenyataan!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku