MR. AND MRS.
BAB : 39
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5461

Bacaan






EILMI ZAHRIN masih lagi bersama Widad biar malam sudah jauh ke tengah. Hatinya tidak mahu berpisah dengan tuan puteri! Sejak berjam- jam yang lalu, akalnya asyik berfikir bagaimana caranya dia dapat meluangkan lebih masa bersama Widad. Mengenali gadis itu lebih dalam dan dekat. Ah... gila dah aku nie! Kalau Amir Bakri tahu, mesti kena bahan kaw- kaw punya!

“Pukul berapa kita nak balik? Hari dah malam benar nie,” Widad mula mengusung pertanyaan. Eilmi Zahrin masih lagi diam dengan wajah yang berkocak. “Baru pukul sebelas lebih,” ucap lelaki itu. Dia benar- benar ingin menghabiskan malam yang indah itu bersama Widad. Bercerita sampai ke pagi mungkin sambil melihat bintang- bintang di langit!

“En. Eilmi ada masalah apa sebenarnya?” akhirnya Widad membuka soalan lain. Jejaka berkulit cerah itu langsung mengangkat muka. “Awak orang Perak kan?” tanya Eilmi Zahrin serius. Nadanya nampak baru. Widad mengangguk. Anak muda itu senyum lagi. Dia sudah pun memikirkan sesuatu yang jauh lebih rumit dari apa yang difikirkannya sebelum ini.

“Di kampung awak ada seni Tekad kan?” soalnya lagi. Widad terus- terusan mengangguk. Wajah Kak Zaimah bertamu di ingatan. Eilmi Zahrin langsung bingkas.“Good!” lanjut lelaki itu gembira. Widad turut bangun dari duduknya. Langkah pria idaman itu dijejak hingga ia masuk ke dalam BMW Z4. “Kita nak ke mana sekarang?” Widad nampak bingung.

“Perak,” ringkas Eilmi Zahrin.

“Buat apa?”

“Saya nak tempah Tekad”.

“Tapi sekarang kan sudah jauh malam!”

“Satu jam lagi, sampailah kita. Perak dengan Kuala Lumpur bukan jauh mana pun,” yakin Eilmi Zahrin cuba menenangkan hati Widad yang gundah. “Tapi takkan kita nak ketuk pintu rumah Kak Zaimah malam- malam buta semata- mata nak tempah Tekad? Ini kerja orang gila En. Eilmi,” Tegas Widad. Eilmi Zahrin memandang gadis itu dengan senyum nakal.

“Saya taklah segila itu, Widad. Apa kata malam nie, kita bermalam di rumah orang tua awak. Esok siang, kita pergilah rumah Kak Zaimah tu,” cadangnya dengan muka tak malu. Widad terdiam. Biar betul dia nie! Aku mana pernah bawa balik makhluk asing ke rumah opah apatah lagi makhluk asing itu lelaki. Malam –malam buta pula lagi. Mahu terkejut beruk opah!

“Kenapa diam?” Widad menggeleng.

“Saya nak pecut nie. Kalau awak seram, awak boleh peluk saya kuat- kuat,” usik Eilmi Zahrin seraya mengenyit mata. Widad menggeleng tanda tidak setuju. Gelengan yang membuka senyum di bibir jejaka berkumis nipis itu. Tangannya memegang tali pinggang keledar. Deruan BMW Z4 itu benar- benar membuatkan tali perutnya mengecut!

Setelah empat puluh lima minit, Eilmi Zahrin berhenti di Hentian Rehat Gopeng. Figura Widad maju ke sudut yang lain. Dia perlu menelifon Yong Lijah yang mungkin sudah dibuai jenak. Sayangnya, panggilan itu tidak bersambut! Widad mencubanya lagi hingga dia dapat bercakap dengan wanita kesayangannya itu.

Lima minit kemudian, Eilmi Zahrin kembali memandu. Kali ini, pemanduannya yang lebih santai hinggalah mereka tiba di kampung halaman Widad. Sunyi menguasai waktu tika langkah kakinya memijak halaman yang luas. Widad naik ke atas rumah. Pintu kayu itu diketuk perlahan sebelum satu wajah menjelma di kanta mata majikannya.

“Inilah opah saya,” bicara Widad ceria. Eilmi Zahrin mengangguk. Entah kenapa dia terasa kekok dan segan pula. Tangan wanita itu diraih dan dicium tanda hormat. Yong Lijah menyambut kedatangan tetamunya itu dengan senyum penuh di muka. “Marilah masuk ke pondok buruk opah nie,” pelawanya bersungguh.

Eilmi Zahrin mengangguk. Langkahnya masuk ke dalam teratak yang seluas padang bola. Melihat wajah tua itu, mengingatkannya pada seseorang yang jauh di tanah kelahirannya. Seseorang yang sangat istimewa di hatinya! Keriang keriut bunyi cerap kayu yang terhasil dari pijakan kakinya sendiri tika kaki dihayun membuatkan figuranya terkaku sejenak.

“Kenapa berdiri kat situ? Mari duduk sini. Minum air panas nie,” ajak Yong Lijah. Eilmi Zahrin menyambung langkah. Kali ini gerakannya lebih perlahan agar keriang keriut lantai papan itu tidak mengundang suasana bising. “Kenapa jalan macam tu? Takut pondok buruk opah nie roboh yer?” usik Yong Lijah dengan tawa mengekek. Eilmi Zahrin jadi malu sendiri.

“Pondok opah nie, usianya jauh lebih tua dari opah tapi masih boleh dijadikan tempat berteduh. Alhamdulillah...” sambung Yong Lijah sambil menuangkan kopi panas ke dalam cawan batu. “Kamu dah makan, Widad?” tanya Yong Lijah saat anak dara itu keluar dari biliknya. Gadis itu mengangguk. Kini dia berasa lebih selesa dengan kain batik dan t shirt polos yang dipakainya.

“Kamu nak makan nasi?” tanya Yong Lijah kepada Eilmi Zahrin pula. Anak muda itu sedikit terperanjat akibat tenungan mata Yong Lijah yang mengekori mata hitamnya ke arah Widad. “Opah panaskan lauk yer. Kamu tunggu sekejap,” ujar Yong Lijah. Saat langkah Yong Lijah berpusing, Eilmi menepuk dahi. Aduh! Widad tu macam magnet betul, mana dia ada, kat situlah mata aku duduk diam! Keluhnya sendiri.

Riuh rendah suara orang bercerita dari ruang dapur memenuhi ruang pendengaran Eilmi Zahrin. Hatinya jadi tertanya- tanya dengan isi perbualan dua beranak itu. Langkahnya maju dengan perlahan sebelum berhenti pada satu sudut. Tiap apa yang terpantul keluar dari mulut Widad dan Yong Lijah sampai terus ke telinganya tanpa ada halangan.

“Pergilah panggil bos kamu tu makan,” suara Yong Lijah kepada Widad membuatkan Eilmi Zahrin termanggu. Dia ingin melangkah semula ke tempat duduknya tadi tapi sempatkah? Kalau aku berlari, lantai papan ni akan mengeluarkan bunyi yang bising! Dan belum sempat dia membuat keputusan, Widad sudah pun muncul di hadapannya.

“En. Eilmi mengintip perbualan saya?” terjah Widad.

“Eh. Tak! Saya baru jer sampai sini. Sebenarnya dari tadi saya nak...” dalih Eilmi Zahrin terhenti di situ. Dia memberi isyarat tangan pula. “Bilik air kat sana,” beritahu Widad. Eilmi Zahrin langsung melangkah. Langkah yang nampak laju dan tergesa- gesa demi menyelamatkan dirinya dari prasangka buruk Widad. Fuh, nasib baik! Ucapnya tika pintu bilik air sudah dirapatkan ke dinding.

“Mari makan,” pelawa Yong Lijah tambah mesra saat Eilmi Zahrin keluar dari bilik kecik. Anak muda itu pantas mengangguk. Dia duduk di hadapan Yong Lijah. Mata hitamnya sedikit membelingas, mencari- cari di mana diamnya figura Widad. “Widad tak makan sekali?” tanya Eilmi Zahrin kepada Yong Lijah. Wanita tua itu sekadar menggeleng.

“Dah kenyang katanya,” ujar Yong Lijah. Eilmi Zahrin mengangguk malas. Dia rasa kosong tanpa Widad. “Kamu memang tinggal di ‘Kolumpo’ye?” tanya Yong Lijah merancakkan lagi perbualan. Eilmi Zahrin makin mengangguk. Kunyahan nasinya nampak makin perlahan. Sebenarnya, dia tidaklah selapar mana!

“Opah tinggal dengan siapa kat kampung nie?”

“Opah tinggal sorang- sorang jer. Sejak Widad sambung belajar di luar negara dan bekerja di sana, opah hilang kawan. Mula- mula dulu memanglah sunyi tapi sekarang opah dah biasa,” cerita Yong Lijah mesra. Senyumnya meleret. Eilmi Zahrin mengangguk. “Mak ayah Widad pun tinggal dekat kampung nie juga?” ajunya lagi.

Yong Lijah terdiam sejenak. “Mak Widad sudah lama meninggal dan ayahnya pula baru pergi meninggalkan kami dua tahun lepas,” cerita Yong Lijah dengan mata berkaca. Eilmi Zahrin terdiam. Kunyahan nasinya terhenti. Dia tidak berniat untuk mengembalikan duka yang lama! “Maafkan saya sebab bertanya,” ucapnya kemudian.

Yong Lijah mengangguk biarpun pandangannya menunduk ke bawah demi menyapu titis- titis air mata yang jatuh. Dia jarang kali berasa sayu begini. Setelah berpuluh- puluh tahun merasa kehilangan, hatinya menjadi tegal dengan takdir yang datang menduga tapi tidak pula pada saat ini. Entah kenapa… “Sikit sangat makan tu, tambah lagi nasi,” tegur Yong Lijah.

“Saya dah kenyang. Terima kasih atas susah payah opah.” Yong Lijah mengangguk. Eilmi Zahrin membasuh tangan di sinki. “Pergilah kamu berehat. Kamu tentu penat. Opah dah sediakan baju t shirt dengan kain pelekat untuk kamu salin kat bilik depan tu,” ujar Yong Lijah. Eilmi Zahrin mengangguk. Langkahnya dihayun dengan rasa bersalah. Dia masuk ke dalam salah satu bilik yang ada di anjung rumah itu.

Tubuhnya terkujat di pintu tika Widad mengalih pandang ke arahnya dengan wajah trenyuh. Di tangannya ada sekeping gambar lama yang sudah hampir lusuh. Eilmi Zahrin terpana. Dia tahu, Widad pasti menangis kerana perbualannya dengan Yong Lijah tadi. “Widad,” panggil Eilmi Zahrin perlahan. Hatinya melunturkan rasa kasihan.

“Bilik En. Eilmi kat sebelah sana,” nyata Widad tersekat dalam sedu sedannya. Entah kenapa kali ini, dia turut gagal menahan kesedihan di jiwa. Eilmi Zahrin kematian kata. Jika diikutkan rasa gila di hati, ingin saja dia memeluk gadis itu sebagai tanda simpatinya tapi mana mungkin! Poket seluar diseluk.

Sapu tangan berwarna ungu tulip dibawa keluar dan diletakkan ke atas meja solek kayu yang masih baru. Eilmi Zahrin pergi dari ruangan itu. Dia tidak mahu, terserempak dengan Yong Lijah. Bimbang kalau- kalau terjadi fitnah atau syak wasangka yang bukan - bukan.

Langkahnya menuju ke bilik depan. Sedu sedan Widad menangis tadi sudah tidak kedengaran cuma masih teriang- iang di cuping telinganya walau waktu sudah lama memisahkan mereka. Betapa sayunya hati itu…! Eilmi Zahrin termanggu bersama rasa yang terbelenggu. Dalam remang pagi yang dingin, waktu menjadi saksi bahawa hati lelakinya sudah pun ditakluki oleh sang putri!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku