MR. AND MRS.
BAB : 40
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5855

Bacaan






MATA Eilmi Zahrin terpelanting ke sana ke mari mengikut gerak langkah kaki Widad. Gadis itu tetap ayu di matanya walau hanya berkain batik dan berbaju kurung kedah. Ehemm! Isyarat bunyi yang keluar dari bibir tua Yong Lijah membuatkan redup mata Eilmi Zahrin pantas berlari ke sudut lain. Rasa malu mengikat perasaannya hidup- hidup.

“Widad kata, kamu dah bertunang? Betul ker?” Yong Lijah mengacu tanya. Nada- nada sindiran turut terkandung dalam pertanyaan itu. Eilmi Zahrin tersentak. Dia cukup mengerti, kenapa soalan itu diucap keluar dari mulut Yong Lijah. Mahu tak mahu, kepalanya diangguk biarpun pandangan mereka tidak lagi bertemu.

“Eloklah dilangsungkan cepat- cepat. Membujang lama-lama pun tak elok. Apa lagi yang kamu tunggu?” tekan Yong Lijah. Widad menarik kerusi kayu di sebelah opahnya sebelum dia duduk di kerusi itu. Sayur pucuk paku di dalam bekas dipatah- patahkan pucuk mudanya kemudian diasingkan ke dalam bekas lain.

“Lepas Zuhor nanti, saya bawa En. Eilmi ke rumah Kak Zaimah,” ucap Widad membuang sunyi yang berkelompok, renungannya turut dibawa bersama. Eilmi Zahrin mengangguk perlahan. Anak muda itu masih tidak mahu mengangkat muka. Dia bimbang kalau- kalau opah Widad membaca renungannya itu dengan prasangka buruk. Yong Lijah yang cukup perasan dengan perkara itu, mula tersenyum sendiri.

“Bukannya opah marah kamu tenguk si Widad tapi janganlah sampai tak berkedip- kedip mata kamu tu. Kalau kamu bujang lagi tak apa tapi kamu tu tunangan orang, kan tak bagus buat begitu!” jelas Yong Lijah tanpa disuruh. Eilmi Zahrin tetap diam membisu. Ternyata, dia sudah terperangkap dalam situasi yang amat memalukan.

“En. Eilmi nie sebenarnya julinglah opah. Kalau dia tenguk Widad, maknanya dia tenguk opah,” ujar Widad sinis tetapi serius. Senyum mesra di bibir Yong Lijah terbabas ke simpang mati. “Oh yer ker? Mana opah tahu. Kamu pun bukan nak bagitahu opah awal- awal,” bisik Yong Lijah malu. Tangannya mencubit lembut lengan cucunya.

“Kalau opah tak percaya, opah pakai cermin mata opah. Pastu opah tenguklah sendiri mata hitam dia tu,” tambah Widad lagi. Eilmi Zahrin yang turut sama mendengar patah bicara dua beranak itu jadi terkebil- kebil sendiri. Dia tahu gurauan itu semata- mata untuk menyelamatkan dirinya dari satu kesilapan yang dilakukannya tapi dia taklah seteruk itu.

“Ish kamu nie, Widad. Agak- agaklah! Nanti kecik pulak hati boss kamu tu,” bidas Yong Lijah. Kini, jarinya lebih laju mematahkan sayuran pucuk paku yang ada di tangan. Widad memerhati tingkah itu dengan wajah yang berkerut.

“Opah. Widad nak yang pucuk yang muda- muda saja,” suara Widad seraya mengalihkan paku pakis yang sudah tua ke dalam bekas lain. Yong Lijah terdiam sekejap. Pandangan matanya tercampak pada perbuatan Widad. “Opah bukannya nampak sangat. Sudahlah, opah nak ke laman kejap,” jawab Yong Lijah langsung bingkas. Widad masih lagi senyum.

“Opah malulah tu,” suaranya perlahan. Eilmi Zahrin mengangkat muka. Mata hitamnya terendam dalam senyum simpul gadis idamannya. “Terima kasih sebab selamatkan saya tadi,” ucapnya kemudian. Widad senyum lagi. “Lain kali mata tu jangan asyik nak tenung anak dara orang jer. Nasib baik, tak kena cucuk dengan garfu!” ceramah Widad.

“Kata tadi juling. Saya bukan tenguk awak, saya tenguk opah!” Eilmi Zahrin berjenaka. “Macamlah orang tak perasan tadi,” ejek Widad sebelum bingkas. Langkahnya dibawa pula ke ceruk dapur. Kini, perhatiannya lebih terarah kepada tugasnya menyiapkan hidangan tengahari. Eilmi Zahrin turut bingkas. Bau masakan Widad benar- benar menyucuk hidungnya.

“Sedapnya. Awak masak apa tu?” tanya Eilmi Zahrin. Pandangan Widad sedikit berkalih.

“Asam pedas daging,” jawabnya singkat.

“Macam sedap jer.”

“Itulah. Asyik sangat dengan masakan barat! Masakan kampung melayu kita langsung tak kenal.” Eilmi Zahrin mengangkat kening sebelah.

“Nak buat macamana, saya nie dilahirkan dan dibesarkan di negara lain,” hujah lelaki itu tidak mahu mengalah. Kali ini, kening Widad pula yang terangkat. Lidahnya jadi kelu tika figura sasa itu terasa semakin dekat dan rapat.

“Oh ye ker?” ucap Widad seraya meloloskan diri dari ruang yang dirasakan semakin panas dan sempit itu. Degup jantungnya berdegup dalam debar yang laju bila renungan Eilmi Zahrin terasa benar- benar dekat dengan matanya. Dia duduk semula di kerusinya tadi. Bawang merah yang masih bersisa sebiji dua di dalam bekas kuning, diambil dan dikupas kulitnya sebelum dihiris halus. Gigil tangannya masih cuba dikawal.

“En. Eilmi lahir dan membesar di mana?”

“Italy,” jawab anak muda itu. Widad mengangguk. Pandangannya masih lagi menunduk ke bawah. Hirisan bawang di tangannya nampak tidak sekata. “Kenapa lari?” tekan Eilmi Zahrin perlahan. Renungannya menitik di muka Widad.

“Siapa yang lari?” Widad pura- pura tidak mengerti.

“Tak nak mengaku.” Sinis lelaki itu. Widad mencebik.

“Sudah siap masak Widad?” tanya Yong Lijah yang muncul kembali bersama sebiji betik yang sudah ranum di tangan.

“Dah opah. Tinggal nak buat sambal kicap jer untuk cicah ikan bakar.” Yong Lijah senyum.

“Eloklah tu. Boleh kita makan sama- sama. Opah pun dah lapar benar nie,” suara Yong Lijah dari sinki dapur. Widad mengangguk. Satu persatu lauk yang dimasaknya, dibawa ke meja makan. Yong Lijah menanti dengan perut yang sudah berbunyi.

“Mari opah cedukkan nasi kamu,” pelawa Yong Lijah. Eilmi Zahrin mengangguk. Pinggan di tangannya dihulurkan kepada wanita itu. Widad duduk di sebelah Yong Lijah. Setelah membaca doa makan, masing- masing mula mengisi perut. Kunyahan nasi di mulut Yong Lijah nampak berselera sekali.

“Ambilkan lauk untuk boss kamu tu, Widad. Dia tu kan juling, karang dia terambil pulak lauk kat pinggan opah nie,” bisik Yong Lijah ke telinga Widad. Bisikan yang tidaklah perlahan. Bisikan yang membuatkan Widad langsung ketawa. Eilmi Zahrin seakan tersedak bila tawanya melekat di anak tekak. Dia terbatuk- batuk sendiri. Yong Lijah menyuakan air putih dari gelas yang masih belum diusik.

“Opah nie ada- ada jelah,” tukas Widad.

“Kamu juga yang cakap tadi, kalau dia tenguk kamu maknanya, dia tenguk opah,” ulas Yong Lijah. Widad ketawa lagi hinggakan gelak tawa Yong Lijah turut berentetan. Eilmi Zahrin juga tidak dapat menahan lucu di hati. Air matanya bergenang jatuh kerana terlalu gembira. Indahnya saat itu, bisakah berulang lagi? Hatinya mengusik tanya bila wajah yang disayangi bercahaya dalam kemilau bahagia.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku