MR. AND MRS.
BAB : 41
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5247

Bacaan






CUACA di Kampung Tualang petang itu nampak suram. Widad mendongak ke langit atas saat dentuman guruh bergegar di balik awan mendung yang besar. Tiupan angin datang berpusu- pusu hingga dedauan tualang terliuk ke kiri dan ke kanan. Pandangan Widad mendongak lagi buat kali kedua sebelum ia singgah di wajah Eilmi Zahrin.

“Macam nak hujan jer?” keluh Widad sekadar mengingat.

“Kita naik kereta kan?” tukas Eilmi Zahrin. Widad menggeleng.

“Jambatan hujung kampung tu kecil sangat, kereta tak boleh masuk,” ujar Widad. Langkahnya maju ke bawah rumah.

“Kita naik basikal opah jer,”sambungnya kemudian. Eilmi Zahrin mengangguk juga walau kerut di mukanya sudah bertambah.

“Sempat ker? Kalau hujan lebat macam mana?” lelaki itu masih lagi bertanya. Widad mengangguk. Dia duduk di tempat duduk belakang. Tidak sampai seminit, basikal tua Yong Lijah sudah pun hilang dari laman rumah.

“Terus saja sampai kita jumpa jambatan di hujung kampung nun,” jelas Widad. Eilmi Zahrin terus mengayuh. Setiap mata yang memandang dibuat endah tak endah.

“Kenapa ceruk sangat duduknya? Macam mana perniagaannak maju?” bebel anak muda itu saat kayuhannya mendaki bukit. Bibir Widad membuah senyum. “Ceruk- ceruk pun, orang cari juga tau.” Eilmi Zahrin terdiam. Dia malas membahaskan perkara itu. Hampir lima minit kemudian, mereka tiba di jambatan yang dimaksudkan oleh Widad tadi.

“Ini bukan jambatan! Ini nama titi! Memanglah kereta tak boleh nak masuk,” ngomel Eilmi Zahrin.

“Eh, tau awak yer? Saya ingat tadi, awak tak boleh nak bezakan antara titi dengan jambatan. Maklumlah orang tu kan membesar di Italy,” usik Widad bersahaja.

“Apa, awak ingat kat Italy tu tak ada sekolah?”

Widad ketawa terus. Tangannya menunjuk arah sebelah kanannya dan Eilmi Zahrin pantas mengubah haluan kakinya. Dua minit kemudian, mereka sudah pun berada di hadapan sebuah rumah batu yang tidak kurang besarnya. Kehadiran Widad nyata disambut baik oleh seseorang. Seseorang yang nampak ramah dan mesra di mata kasar Eilmi Zahrin.

“Saya datang nie nak tempah cadar Tekad dekat akak,” Widad pantas saja mengusul hasrat kedatangan mengejutnya itu. Wanita lingkungan umur empat puluhan itu nampak mengangguk. Senyum di bibir bertitip mesra bersama becok mulutnya bertanya itu ini. Widad jadi terdiam. Pandangan matanya dikerlingkan sejenak ke arah Eilmi Zahrin.

“Ish... Widad nie! Orang tanya dia, dia boleh diam pulak. Akak tanya nie, itu ker tunang kamu? Bakal suami kamu yang kemalangan hari tu waktu kamu nak menikah?” nyaring pertanyaan itu melantun semula ke setiap ruang telinga. “Ye kak, sayalah orangnya,” sela Eilmi Zahrin, memendekkan cerita. Pandangan Widad terperosok ke dalam mata hitam lelaki itu.

“Handsome... sepadan betul akak tenguk kamu berdua nie,” puji Kak Zaimah. Eilmi Zahrin berdehem lembut bila kata pujian itu melambung naik ke ruang udara hingga ia tak bisa ditampan dengan kata- kata yang lain. “En. Eilmi... inilah Kak Zaimah, Pengusaha Tekad terkenal di kampung saya nie.”

“En. Eilmi? Alah... nak malu apanya depan akak nie, Widad? Dia tu pun bukannya orang lain, bakal suami kamu kan? Panggil jer dia macam biasa yang kamu panggil tu,” herdik Kak Zaimah dalam nada mengusik. “Entah sayang nie... formal sangat!” Eilmi Zahrin sengaja menambah – nambah kata. Kak Zaimah melurut senyum yang panjang.

“Marilah masuk. Boleh akak tunjukkan contoh- contoh seni Tekad yang akak ada,” ujar wanita berkulit cerah itu. Widad mula melangkah. Eilmi Zahrin hanya menuruti langkah itu. Suasana di ruang tamu rumah yang nampak redup dan sejuk membuatkan hatinya rasa aman ketika langkahnya membekas.

“Tak payahlah buat air kak. Kami dah minum tadi sebelum ke mari. Kami pun tak boleh lama nie, takut hujanlah kak,” suara Widad saat si tuan rumah ingin menghalakan langkahnya ke ruang dapur.

“Ha... yelah,” suara Kak Zaimah dengan langkah yang sudah mati. Perasaannya jadi teragak- agak lalu gerak kakinya berpatah semula sebelum dia masuk ke dalam sebuah bilik yang paling hampir dengan kedudukan Widad. Tangannya langsung saja menggapai beberapa jenis album gambar sebelum album itu diserahkan kepada Widad dan tunangnya.

Eilmi Zahrin menyambut pemberian itu dengan kemas. Dibukanya tiap helaian dengan penuh minat, mencari- cari kalau ada contoh seni Tekad yang berkenaan di hati. Widad turut sama membantu. “Yang ni cantik,” bisik Widad seraya membawa album gambar di tangannya ke arah Eilmi Zahrin.

“Kalau begitu, kita ambil yang ini sajalah tapi saya tak mahu warna merah. Saya nak kain baldunya warna hijau dan Tekadnya dari benang emas, boleh tak kak?” tanya Eilmi Zahrin. “Dia memang bermusuh dengan warna merah kak,” bisik Widad ke telinga wanita itu. Kak Zaimah menggugus senyum yang banyak.

“Akak tanya jangan marah ya. Tekad nie untuk majlis kau orang berdua ker? Bila nak langsungnya nie? Orang kampung kita pun dah banyak yang bertanya. Penat dah mulut opah kamu tu menjawabnya, Widad!” kenyataan yang terpacul keluar dari bibir Kak Zaimah itu membuatkan Widad dan Eilmi Zahrin berpandangan sesama sendiri.

“Cadangnya, bulan depan kak. InsyaALLAH... nanti kami jemput akak dan orang- orang kampung,” jawab Eilmi Zahrin tanpa menunggu lama. Pandangan mata Widad tersasar lagi. Senyum nakal yang terbit dari mulut Eilmi Zahrin dijamah dengan wajah yang penuh keromot.

“Kami balik dululah Kak Zaimah. Hari pun macam dah nak runtuh nie. Akak ambillah duit pendahuluan nie dulu ya. Selebihnya nanti, saya akan bayar bila Tekad sudah siap. Ini kad nama saya. Kad jemputan saya... lain hari ya kak?”

“Eh. Ini pun dah cukup banyak dah nie, Eilmi. Baiklah... kalau begitu. Tak sabar akak nak tenguk kau orang bersanding di atas pelamin,” ujar Kak Zaimah girang. Renungannya membulat pada kepingan not biru di tangannya yang bergulung dengan banyak. Melihat kepada situasi itu, Widad turut sama bingkas.

“Terima kasih kak,” ucap Widad dengan langkah yang tergesa- gesa bila Eilmi Zahrin sudah membawa langkahnya keluar dari rumah itu. “Jangan lupa jemput akak nanti,” bisik Kak Zaimah ke telinga Widad. Wajah gadis itu sedikit merona. Dia mengangguk juga walau hatinya diganyang resah dengan kenyataan gila anak bujang Puan Julia tadi hingga libang libu perasaannya menahan rasa.

“Sempat lagi bergosip,” ngomel Eilmi Zahrin ketika Widad cuba menyaingi langkahnya. “Kenapa En. Eilmi cakap macam tu? Kalau Kak Zaimah cerita pada opah nanti macam mana? Saya juga yang susah! Dah buat kenyataan gila, lari pulak! Tinggalkan kita sorang- sorang duduk mengadap soalan- soalan merapu dari mulut kak Zaimah!” marah Widad panjang lebar.

“Alah... relakslah sayang. Kak Zaimah tu bukannya wartawan media hiburan ataupun penerbit Sinar Harian. Dia tu cuma pengusaha Tekad jer di kampung sayang nie. Nak gelabah apa? Lagipun, apa kita boleh buat... kalau jodoh tu memang dah tertulis milik kita,” ucap Eilmi Zahrin bersahaja. Widad mencebik.

“Kenapa mencebik? Tak percaya?” tanya Eilmi Zahrin. Basikal tua Yong Lijah digapai. Rintik hujan yang turun menjadikan kayuhan Eilmi Zahrin bertambah laju. Widad masih lagi tersenyum- senyum sendiri, bila ingatannya mengenangkan kesungguhan lelaki itu dalam meyakinkan Kak Zaimah tentang hari besar mereka. Namun senyum itu hilang talinya tika sebuah Alphard hitam di tengah laman rumah Yong Lijah menguasai ruang –ruang mata.

“Siapa yang datang sayang?” tanya Eilmi Zahrin di anjung rumah sambil mengibas- ngibas rambut yang basah. Widad menggeleng tanda tidak tahu. Saat langkah mereka menapak masuk ke dalam teratak itu, beberapa pasang mata terpasung ke arah Widad, sedang Eilmi Zahrin masih lagi berdiri di muka pintu, mata hitamnya terperosok pada sebuah tepak sirih dan beberapa buah dulang yang lain.

“Widad,” panggil satu suara. Pandangan Widad berkalih. Wajah Puan Hajjah Basra melambai- lambai dengan mesra.

“Ummi,” suara Widad perlahan. Perlahan dan terkejut.

“Ummi datang nie nak merisik dan meminang anak gadis yang sedang kembang mekar dalam rumah nie untuk anak lelaki ummi, Malik Al- Mulk namanya,” Puan Hajjah Basra menyuarakan hasratnya dengan tenang. Widad tergamam. Bibirnya sedikit bergetap.

“Pergilah mandi dulu, tukar baju tu, Widad. Boss kamu mana?” suara Yong Lijah dengan senyum yang luas. Widad berkalih ke sisi yang lain. Wajah suram Eilmi Zahrin sempat juga dipandang sebelum anak muda itu melangkah turun ke anjung rumah.

“En. Eilmi nak ke mana?” tanya Widad dalam getar perasaannya.

“Saya nak balik KL! Awak boleh naik atas dan teruskan upacara meminang tu. Tak sopan kan kalau awak menghilangkan diri di hadapan tetamu yang membawa harapan sebesar Gunung Everest tu,” kasar dan serak suara anak muda itu.

“Kenapa semudah ini En. Eilmi nak mengalah? Kenapa mesti menyerah kepada takdir sebelum berjuang?” bancuh Widad. Dia cuba menyaingi langkah lelaki itu. “Apa peluang yang saya ada, Widad? Opah awak dah tahu pun yang saya nie tunangan orang! Apa lagi yang boleh saya harapkan dalam situasi begini? Lagipun yang meminang awak tu bukan dari kalangan orang biasa. Naik Alphard lagi, mustahil untuk awak menolaknya kan?!” tekan Eilmi Zahrin dengan pandangan yang tajam. Widad tersentak.

Eilmi Zahrin masuk ke dalam keretanya. Dia tidak lagi melihat ke arah Widad walau gadis itu masih berusaha untuk menghalang kepergiannya kerana rasa sakit di hati. Sakit yang dipungkas rasa kecewa. Kehadiran Yong Lijah di muka pintu membuatkan pergerakan Widad jadi terhenti. Sudahnya, dia hanya mampu melihat BMW Z4 berlalu pergi meninggalkannya dengan mata berkaca dalam rintik hujan yang masih menggila.

“Boss kamu tu nak ke mana pulak?” tanya Yong Lijah saat langkah mereka berselisih temu di muka pintu.

“Dia terpaksa balik ke Kuala Lumpur, opah. Ada hal kecemasan katanya,” bohong Widad dengan muka manis yang dibuat- buat. Gerak kakinya diatur laju menuju ke bilik air. Pili air dipulas dengan deras demi menghasilkan bunyi yang bising. Dan di situlah, esak tangisnya kembali berlagu. Sendu dan pilu berbaur menjadi satu!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku