MR. AND MRS.
BAB : 45
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4637

Bacaan






TINGKAP kayu di ruang tamu masih jua dibiarkan terbuka. Angin malam yang menerpa masuk ke teratak itu membuai lembut rambut Widad yang ikal beralun. Yong Lijah baru usai dari solatnya. Dia langsung duduk di kerusi rotan demi membuang lelah yang sedikit. Sesekali, batuknya kedengaran. Batuk yang berjejeran hingga menarik perhatian Widad.

“Opah dah makan ubat?” pertanyaan Widad bercampur nada- nada risau. Yong Lijah mengangguk walau batuknya masih belum berhenti. Widad langsung meluru turun ke dapur. Air suam panas ditatang dengan langkah yang cepat, dihulurkan kepada wanita tua di hadapannya. Yong Lijah meraih cawan itu lalu diminumnya juga seteguk dua.

Widad meletakkan cawan batu ke tepi dinding. Belakang Yong Lijah dilurut lembut hingga batuknya beransur- ansur hilang. Dia jadi lega dengan situasi itu. Kemudian, Widad duduk melutut di hadapan opahnya. Senyuman di bibir dibiarkan menipis bersama secangkir rasa yang sangat manis. Yong Lijah hanya meremas- remas kepala lututnya.

“Tua sangat dah opah nie Widad,” suara wanita itu serak kesan dari batuknya tadi. Widad kembali menayang senyum yang sama. Tangannya turut sama meremas lembut lutut Yong Lijah yang sudah keras kematu.

“Tua- tua opah pun, opah masih kuat lagi,” tepis Widad sekadar menyedapkan hati. Wanita berusia lewat tujuh puluhan itu menggeleng. Sepertinya, dia tidak bersetuju dengan kenyataan yang keluar dari mulut mungil Widad tadi. Matanya merenung sayu ke wajah cucu kesayangannya.

“Orang kampung dah mula bertanya pada opah... bila lagi nak dilangsungkan pernikahan kamu yang tertunda hari tu,” cerita Yong Lijah. Widad terpana. Difikirnya tadi Yong Lijah tidak akan membangkitkan hal tersebut. Dek kerana itu, pandangan Widad terlari terus ke sudut lain.

“Dah tiga bulan lebih dah nie, Widad. Mulut –mulut orang kampung pun dah tak boleh nak tutup. Ada jer yang bercerita itu ini. Mereka sudah mula berfikir yang bukan- bukan. Ramai juga yang bertanya keadaan bakal suami kamu tu pada opah akibat dari kemalangan tu tapi opah hanya boleh menjawab yang dia masih belum pulih sepenuhnya. Apa lagi yang opah boleh cakap?” tanya Yong Lijah terus kepada Widad. gadis itu terkemam lagi. Terasa berat mulutnya untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Pernikahan yang kita tunggu- tunggu tu takkan berlangsung, opah. Aaron telah pun memutuskan untuk membatalkan pernikahan kami. Aaron tak kemalangan pun opah. Itu cuma cerita bohong Widad untuk menutup malu,” suara gadis itu. Nadanya nampak perlahan, seperti ada sebak yang mengiringi. Yong Lijah kelihatan tercengang. Direnungnya wajah Widad dengan mata yang mencari. Mencari sebuah kepastian mungkin.

“Kenapa pula dia batalkan? Apa salah kita?” akhirnya Yong Lijah bertanya setelah Widad masih bersikap mendiamkan diri. Gadis itu menggeleng sebak. Air matanya menitis jatuh. Berlinang menelusuri susur lekuk di muka dengan derasnya. “Widad juga tidak tahu kenapa. Tiba- tiba saja opah, dia membuat keputusan yang begitu.”

Yong Lijah mengemam bibir yang kering. Pandangannya terbawa ke sudut lain bila kelopak matanya turut menakung titis- titis jernih. Hatinya makin dipaut bimbang. Andai pernikahan yang tertunda itu tidak akan berlangsung, apa lagi yang nak diharapkan dari lelaki itu? Bagaimana pula dia mahu menutup mulut- mulut murai di kampungnya? Kelak, akibat dari mulut jahat mereka, pasti ada hati yang tercalar kerananya selain dari hatinya sendiri. Dan maruah Widad pula akan dijaja dengan cerita- cerita buruk.

“Opah jangan menangis. Kita tak rugi apa pun. Widad masih punya maruah diri. Widad tak pernah menodai kesucian Widad sebagai seorang gadis. Widad selalu ingat pada pesanan opah yang satu itu,” suara Widad minta dipercayai. Yong Lijah nampak mengangguk. Diraihnya kepala Widad sebelum dahi itu diciumnya berkali- kali.

“Opah tak malu kalau dia batalkan pernikahan kamu tapi opah akan malu kalau kamu memberikan kegadisan kamu itu kepada yang bukan hak. Opah bangga dengan kamu Widad. Walau bertahun- tahun lamanya kamu tinggal di negara orang tapi pesan opah kamu tak pernah abaikan. Opah doakan semoga jodoh kamu dengan orang yang baik- baik seperti anak lelakinya Hajjah Basra,” ucap Yong Lijah sambil melurut – lurut rambut cucunya.

Widad terdiam. Dia cuba untuk senyum tapi kata- kata terakhir pada ucapan Yong Lijah itu mengingatkannya pada rombongan meminang Puan Hajjah Basra semalam. Resah yang bertumpuk di wajah gagal disingkir jauh bila senyuman manis Eilmi Zahrin terimbau di dalam kenangan. Widad jadi rindu pula. Rindu yang sangat hebat hingga igauan itu membebat jenak malamnya. Tapi opah dah terima pinangan tu... Apa lagi yang mahu aku harapkan dalam pertemuan ini? keluh Widad sendiri.

“Opah,” panggil Widad. Yong Lijah pantas saja menghadapkan mukanya ke muka Widad. Pipi yang kebasahan itu diseka dengan ruas ibu jarinya. “Cincin yang Puan Hajjah Basra bawa semalam, tak muat di jari manis Widad,” sambungnya teragak- agak. Nadanya berbaur di hujung. Yong Lijah menguntum senyum bersama raut muka yang sangat melucukan.

“Siapa kata cincin tu untuk Widad?” tanya Yong Lijah memutik rasa- rasa hairan. Widad terpinga. Direnungnya wajah itu dengan renungan yang tidak mengerti. “Puan Hajjah Basra datang semalam untuk meminang Wafa sebagai calon isterinya Imam Maliq,” jelas Yong Lijah lanjut. Widad terpana pula. Benarkah? Hatinya mencarik tanya. Yong Lijah tersenyum lagi.

“Wafa tak pernah beritahu Widad tentang hubungan istimewanya dengan Imam Maliq?” pertanyaan Yong Lijah masih dipaut hairan. Widad menggeleng. Ingatannya mempamerkan beberapa wajah. Kalau Wafa nikah dengan Imam Maliq, Eilmi Zahrin? Hati kecilnya memukas tanya. Dia perlu kembali ke Kuala Lumpur dalam kadar yang segera demi sebuah penjelasan yang lebih.

“Widad jangan lama sangat membujang. Opah teringin sangat nak menimang cucu,” suara Yong Lijah menggusar di hujung. Dan Widad hanya mengilas senyum yang merah.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku