MR. AND MRS.
BAB : 46
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4182

Bacaan






MEJA kerja Widad yang kosong dan tidak berpenghuni itu direnungnya bersama hati yang lebam. Eilmi Zahrin bingkas dari kerusinya. Langkah Puan Fida yang baru muncul di muka pintu biliknya hanya dipandang dengan wajah yang semu. Anak muda itu nampak menggeleng bila Puan Fida meminta izin untuk masuk ke bilik itu.

Eilmi Zahrin bingkas, langkahnya tetap juga dihayun keluar dari ruangan itu. Langkah – langkah yang membuatkan Puan Fida termanggu sendirian di muka pintu bersama secawan kopi yang masih lagi berasap. Belum sempat diminta jamah, kelibat itu sudah menghilang di dalam lif, menuju ke tingkat paling bawah mungkin. Di ruangan lobi, langkah kaki itu berselisih temu dengan Amir Bakri.

“Nak ke mana? Aku ada berita gembira nak kongsi dengan kau,” sapa Amir Bakri ceria. Mahu tak mahu, Eilmi Zahrin terpaksa juga mematikan langkahnya di hadapan jejaka kepala botak itu. Beg sandang di belakangnya, diperkemaskan kedudukannya agar tidak terus melurut ke bawah. Amir Bakri membawa mulutnya dekat dengan cuping telinga CEO PUTIH.

“Pagi nie saja, kita dah dapat tiga tempahan baru bagi baju resepsi yang Widad jahitkan untuk majlis persandingan Cik Fiza tempoh hari. Belum masuk yang semalam punya tempahan lagi. Kalau tak silap aku, ada dalam lapan tempahan semuanya. Tiga daripada mereka adalah pelanggan tetap Emerald Boutique. Hebat tak...” bisik Amir Bakri. Eilmi Zahrin hanya mengangguk. Reaksinya biasa- biasa saja. Setelah itu langkahnya dicatur semula hinggalah ia masuk ke dalam Skyline.

Amir Bakri yang perasan dengan perkara itu, hanya menggaru kepala. Memek muka Eilmi Zahrin yang nampak moody itu membuatkan hatinya jadi tertanya- tanya terus. Namun segala pertanyaan itu hilang begitu saja bila wajah keibuan Puan Julia muncul dari satu sisi kanannya.

“Tenguk apa tu Bakri sampai tak berkedip- kedip mata?” tegur Puan Julia mesra. Pandangan wanita itu turut sama mencanak ke luar butik. Amir Bakri pantas menggeleng apatah lagi pada saat itu kereta Eilmi Zahrin sudah beredar pergi dari lot parkirnya yang terletak betul- betul di hadapan PUTIH.

“Saya nak minta pertolongan Bakri boleh?” ucap Puan Julia.

“Macam penting sangat bunyinya...” jawab Amir Bakri.

“Bakri pernah pergi ke rumah Widad kan? Maksud saya, kampung halamannya Widad?” tanya Puan Julia lagi. Kali ini, senyumannya nampak lebih berbunga. Amir Bakri mengangguk lagi. “Kalau begitu, saya mahu Bakri temankan saya dengan Uncle Zakarian pergi ke kampung halaman Widad.”

“Ada urusan apa Puan Julia?” Amir Bakri tidak segera memberi kata setuju malah ditanya lagi hingga hatinya berasa puas dengan maksud ajakan itu.

“Saya nak meminang Widad untuk CEO kita,” bisik Puan Julia. Amir Bakri terpempan. Benarkah? Hatinya mengulang tanya.

“Bila nak pergi tu?”

“Sekarang,” jawab Puan Julia bersungguh. Amir Bakri menggubah senyum di wajah. Khabar ini khabar yang sangat gembira untuk didengar dan dikongsi kebahagiaannya tapi muka Eilmi Zahrin yang masam mencuka tadi apa pula kisahnya? Amir Bakri berbicara sendiri. Langkah Puan Julia diikut jejaknya. Hari masih pagi! Hatinya berbisik.

Tidak lama kemudian, muncul sebuah MPV. Wajah – wajah yang dikenalinya mula menyapa dengan senyum yang manis. Amir Bakri masuk ke dalam Alphard hitam. Puan Julia juga. Riuh rendah suara wanita itu bercerita menguasai ruang dan suasana. Sesekali, Pak Mian yang sudah lama menjadi pemandu peribadi Tuan Zakarian, turut sama menyampuk.

Ah! Siapa tidak gembira bila anak bujangnya jatuh cinta pada anak dara orang. Itu lumrah bagi lelaki muda dan bujang seperti Eilmi Zahrin. Dan perjalanan ini, pastinya akan sentiasa dihujani gelak tawa dan senyuman. Andai pinangan ini diterima, maka senyuman yang bakal mengiringi perjalanan pulang mereka nanti pastinya lebih bergugus. Detik hati Amir Bakri. Entah kenapa, dia terkenangkan kata- kata Eilmi Zahrin di pub awal pagi kelmarin.

Wajah Widad bersimpuh di ruang mata. Di sebelahnya pula berdiri seorang lelaki kacak dan lebih dikenali ramai sebagai Ikon fashion. Ish! Tak padan langsung. Hatinya mengejek cemburu. Nasiblah aku dah kahwin... kalau tidak, memang kena kebas dah Widad tu jadi bini aku! Gerutu hati Amir Bakri dengan muka mencebik.

“Senyap jer Bakri?” tegur Puan Julia.

“Eilmi tahu tak yang kita semua nak pergi meminang Widad?” pertanyaan yang menyemak di laman fikirnya tadi diaju keluar. Puan Julia tampak menggeleng.

“Kami buat senyap- senyap jer. Pada hari ulangtahun perkahwinan kami nanti, barulah kami akan maklumkan kepada dia,” jelas Puan Julia. Amir Bakri hanya mengangguk faham. Papan tanda arah Kampar- Gopeng tertera jelas di ruang mata setelah satu jam lebih dia berada di dalam kereta itu. Maka dengan itu, khidmatnya sebagai penunjuk arah ke Kampung Tualang pun bermula. Saat itu wajah Puan Julia nampak bertambah- tambah serinya.

Cuaca yang sangat baik pada hari itu bagaikan merestui ikatan pada dua hati yang ingin disatukan dengan penuh rukun dan adat. Dulang- dulang hantaran yang tersusun di bahagian belakang menarik perhatian Amir Bakri. Dia pernah merasai pengalaman sebegini saat dia mengikuti Puan Julia dalam upacara peminangan anak Tan Sri Raiz Zainuddin untuk Eilmi Zahrin kira- kira tiga tahun yang sudah.

Hubungan yang tidak menjanjikan apa- apa harapan bagi kedua- dua belah pihak. Amir Bakri tahu itu tapi bak kata Puan Sri Nora sewaktu upacara peminangan berlangsung... kita cubalah dulu. Tak cuba, kita tak tahu. Kata harapan yang disambut baik oleh Puan Julia dan Tuan Zakarian tetapi tidak Eilmi Zahrin. Amir Bakri menggeleng kepala bila kenangan itu dikenang- kenang dengan sengaja.

Gila dah Eilmi tu Bakri. Kita nie risaukan dia, umur dah lanjut tapi masih juga membujang. Nak kata, tak ada rupa... elok jer saya tenguk. Nak kata duit simpanan tak cukup... tiap- tiap tahun tukar kereta. Apalah nasib saya nie... anak lelaki itulah sorang tapi muda- muda lagi dah nyanyuk, Bakri! Leteran dan keluhan Puan Julia kembali teriang- iang di cuping telinganya.

“Nyanyuk?” ulang Amir Bakri.

“Mana tak nya... kita sibuk nak carikan dia isteri tapi dia duk tunggu Tuan Puteri Ulek Mayang tu. Saya pun dah tak tahu nak cari budak tu kat mana lagi! Merata dah saya bertanya tapi tak ada yang tahu. Kalau setahun dua tak apa tapi dah nak masuk sepuluh tahun, gilanya si Eilmi tu masih tak berubah. Nak tunggu sampai bila? Sampai beruban rambut! Entah- entah Tuan Puteri Ulek Mayang dia tu dah kahwin. Dia saja yang membujang hingga ke tua!” tukas Puan Julia geram. Amir Bakri hanya menggeleng kepala bila penjelasan itu masuk ke dalam telinganya.

“Banyak lagi perempuan yang cantik di luar sana, Eilmi...” pujuk Amir Bakri pula pada malam ulangtahun kelahiran Eilmi Zahrin setahun lepas. Anak muda itu sekadar mencebik. Nafasnya membungkam keluhan yang padat. “Ini bukan soal cantik Bakri tapi soal cinta pandang pertama,” bidasnya.

Amir Bakri ketawa terus. Wajah sepupu rapatnya itu berubah merah bila ungkapan cinta pandang pertamanya disindirkan dengan tawaan besar. Tajam renungannya ketika itu menikam anak mata. Amir Bakri langsung terdiam. Dia tidak jadi untuk meneruskan perbahasannya mengenai perkara itu, bimbang nanti ada yang naik angin pula.

“Bakri!” panggil Puan Julia. Bahu pemuda yang muda empat tahun dari anak lelaki tunggalnya itu disentuh lembut. Amir Bakri bangun dari lamunan. Wajah Puan Julia yang berkerut itu ditatap dengan rasa kelam kelibut. Pandangannya mencanak ke setiap arah. Dia jadi pelik bila MPV yang dinaikinya itu berhenti di tepi jalan.

“Kereta rosak ker Puan Julia?” ungkapnya kemudian.

“Kami dari tadi duk tanya Bakri nak masuk simpang mana sekarang nie... kiri atau kanan tapi Bakri duk melamun pula,” bahasa Puan Julia seakan berleter. Amir Bakri terdiam. Wajah Tuan Zakarian yang panjang dalam senyuman diintai tenguk bersama hati yang malu.

“Kita dah nak sampai nie. Rumah Widad terletak di hujung simpang sana. Kita jalan terus kemudian belok ke kanan, ” tegas Amir Bakri. Pandangan mata Puan Julia, Tuan Zakarian dan Pak Mian tersasar ke arah simpang yang dimaksudkan oleh Amir Bakri tadi. Lalu pedal minyak ditekan. Amir Bakri kembali menyandar. Hatinya dibelah dua dalam penjuru yang berbeza- beza bila susuk tubuh seorang wanita tua wujud di dalam pandangan saat kereta yang dipandu Pak Mian berhenti di tengah halaman.

“Widad!” tempik Yong Lijah bila sebuah kereta Alphard hitam bertamu di matanya. Widad yang baru usai memasak pantas saja menjenguk dari jenang jendela. Yong Lijah tiada di situ. Pandangan Widad terbawa ke arah yang lain. Kelibat Yong Lijah kelihatan sudah ada di halaman rumah dan di hadapan wanita itu, terpamer sebuah Alphard hitam yang sudah dimatikan enjinnya.

“Ummi datang lagi?” tanya Widad sendiri. Langkahnya turut sama mara naik ke tingkat atas menuju ruang tamu. Saat pintu hadapan dikuak, kelibat Amir Bakri terlihat jelas di depan mata.

“Amir Bakri?” tutur Widad dengan rasa terkejut. Puan Julia? Nama itu mula menjadi sebutannya bila figura Penasihat PUTIH turut melangkah turun dari Alphard tersebut. Disusuli pula dengan dua wajah lain. Widad yang tidak kenali tetapi nampak sangat mesra dengan Penasihat butiknya.

“Jemput naik semua,” pelawa Yong Lijah hormat. Puan Julia mengangguk bersama senyum yang tak putus- putus. Widad kembali ke ruang dapur. Dia rasa ada sesuatu yang tidak kena bila Amir Bakri membawa keluar tepak sirih. Debar di dada bukan kepalang. Takkan En. Amir nak pinang aku? Mulutnya mengomel tanya tika kopi dan gula bersatu di dalam teko. Sesekali, gelak tawa Puan Julia dan Yong Lijah mencuri masuk ke corong telinga.

“Widad! Bawakan air kopi,” laung Yong Lijah dari ruang depan. Widad pantas mengemaskan kain tudungnya biar tidak nampak selekeh di mata- mata yang melihatnya nanti. Dengan hanya berbaju t- shirt dan berkain batik, langkahnya dihayun menuju ke ruang tamu bersama dulang di tangan. Gerak mata Amir Bakri dan dua orang lagi lelaki yang duduk di sebelah Puan Julia tidak dapat ditepis.

“Widad sihat?” sapa Puan Julia, nadanya mesra seperti selalu. Anak gadis itu cuma menguntum senyum sebelum anggukan dinampakkan.

“Saya terus terang sajalah ya. Tujuan saya ke mari untuk meminang Widad buat anak lelaki tunggal saya. Eilmi Zahrin namanya,” tutur Puan Julia tertib dan tersusun. Widad terpempan. Apa aku tersalah dengar? Hati kecilnya menjerit tanya. Yong Lijah yang turut sama mendengar patah kata itu turut terpinga.

“Siapa Eilmi Zahrin?” tanya Yong Lijah spontan. Pandangan Puan Julia terkalih ke wajah yang lain. Riak di muka mencubit sedikit rasa. “Anak saya tu, boss di tempat kerja Widad,” ujarnya. Yong Lijah mengangguk. Satu wajah yang pernah hadir di rumahnya beberapa hari lepas kembali menyapa ingatan.

“Boss kamu yang juling tu ya Widad?” bisik Yong Lijah bertanya. Bisikan yang tidaklah perlahan mana. Kali ini, bukan wajah Widad sahaja yang berubah. Sekalian yang ada turut sama mempamerkan memek muka yang sekata. Pandangan pun bersilih ganti hingga akhirnya, ia mati di dalam renungan mata Yong Lijah.

“Opah nie, cakaplah perlahan sikit,” bisik Widad malu.

“Ada hari tu, dia datang ke mari tapi bukankah dia dah bertunang?” tanya Yong Lijah seperti ada nada- nada hairan. Puan Julia mengetip senyum dari terus jatuh. Mata hitam itu bertatapan dengan mata Yong Lijah.

“Memang dia dah bertunang tapi dah putus,” jelas Puan Julia. Tuan Zakarian dilihat terangguk- angguk.

“Bila putusnya?” soal Yong Lijah habis- habisan. Puan Julia pantas saja memandang wajah suaminya bila soalan itu yang diasak oleh Yong Lijah. Tuan Zakarian seperti meminta isterinya menjawab sejujur yang mungkin.

“Err... semalam,” jawab Puan Julia. Yong Lijah makin melopong.

“Semalam?” ulangnya seperti tidak percaya sebelum tawaannya bertandang. Dipandangnya Widad dengan muka yang inginkan penjelasan.

“Kamu setuju ker Widad?” tanya Yong Lijah terus. Wajah Widad merona merah. Hatinya ditaut malu bila setiap mata yang ada merenung laju ke arahnya.

“Kalau boleh adik Julia, kita terus tunangkan sajalah mereka nie. Awal bulan depan kita langsungkan majlis nikahnya,” suara Yong Lijah memberi kata putus. Puan Julia pantas mengunjukkan cincin permata yang dibawanya. Cincin itu memang sudah lama dibeli untuk menantu pilihan tapi sayang saiznya tidak cocok di jari manis Zara.

“Ish! Mahal cincin nie,” puji Yong Lijah. Puan Julia senyum lagi.

“Anak gadis ibu lagi mahal harganya dan tak bisa dibeli dengan wang ringgit walau seberapa jumlah sekali pun,” sela Tuan Zakarian yang sedari tadi mendiamkan diri. Yong Lijah ketawa mengekek. Sikapnya telus dan tidak dibuat—buat. Malah Puan Julia berasa cukup senang dengan perkara itu.

“Cucu saya nie... bukan anak,” jujur Yong Lijah demi membetulkan tanggapan Tuan Zakarian. Lelaki berumur yang masih segak itu mengangguk faham. Senyum di bibir dibiarkan berjela. Widad menghulurkan tangannya saat Puan Julia menalakan cincin di hadapannya.

“Alhamdulillah. Cincin nie muat di jari manis Widad. Memang jodoh mereka barangkali,” ucap Puan Julia terharu. Air mata keibuannya hampir saja menitis. Dipeluknya tubuh anak dara itu dengan penuh erat bersama linangan air mata. Sayu meresapi manisnya waktu bila Yong Lijah turut sama memeluk kelibat itu. Esak tangisnya juga sedikit kedengaran.

“Cantikkan bang bakal menantu kita tu bang,” bisik Puan Julia. Tuan Zakarian mengangguk tanda setuju. “Muka dia macam Putri Haryati,” bisik Tuan Zakarian pula bila wajah yang berada dalam lukisan- lukisan anak bujangnya terimbau di celah ingatan. Puan Julia langsung saja memegang erat bahu suaminya sebelum mulutnya kembali berbisik.

“Dialah Putri Haryati, bang. Tuan Puteri Ulek Mayang yang anak kita tergila- gilakan tu.” Tuan Zakarian terpana. Melihat kepada kecantikan yang menguasai rupa paras anak gadis itu membuatkan dia faham kenapa anak lelakinya seperti orang gila bayang. Dan kerana itu... jauh di sudut hati, dia memanjat doa kepada ILAHI agar hubungan ini akan berakhir dengan ikatan ijab dan kabul yang suci.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku