MR. AND MRS.
BAB : 48
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6620

Bacaan






CULIK dan kurung! Dua perkataan itu diulang dan diulangnya lagi. Tapi siapa yang aku nak culik nie? Dan siapa pula yang boleh aku upah untuk menjayakan misi ini? Daniel? Daniel tak ada kat sini. Dia masih lagi di Italy! Akal fikir Eilmi Zahrin membuat kesimpulan sendiri. Dari satu wajah ke satu wajah, ternyata lugu juga yang dia dapat.

Keluhannya memberat bila idea gilanya itu seperti tersekat dalam hakikat yang sempit! Dia melangkah turun ke tingkat bawah dengan beg sandang di belakang. Jejaknya terhenti di balik dinding bila perbualan kedua- dua orang tuanya, terdengar mesra di hujung telinga. Dengan laju, cupingnya dibuka luas- luas. Manalah tahu, kalau- kalau mereka sedang berbicara soal menantu pilihan yang dipinangnya semalam.

“Sewaktu saya melihat barang- barang hantaran untuk Eilmi di Butik Qaisy, saya terserempak dengan Tengku Adelia. Makin berseri- seri wajahnya. Kami sama- sama memilih barang hantaran. Tak sangka ya... dia dan Eilmi dah pun bertunang,” cerita Puan Julia penuh minat.

Perhatian Tuan Zakarian pada dada akhbar yang sedang dibacanya nampak tergugat. Pandangannya jatuh ke muka isterinya. Ingatannya masih tercari- cari pemilik wajah bagi nama yang dimaksudkan. Arakian, wajah arwah Tengku Alauddin, salah seorang sahabatnya, mula bermain di mata.

“Dia ada tanya tentang Eilmi...” sambung Puan Julia.

Senyum di bibir wanita itu bagai tidak lekang. Tuan Zakarian cuma mengangguk. Dia tahu, Tengku Adelia memang sukakan anak bujangnya sejak mereka menetap di Italy lagi. Tengku Alauddin sendiri yang membuat pengakuan itu sewaktu mereka menghabiskan masa santai dengan bermain golf kira- kira lima tahun dulu.

“Ayuh kita sarapan pagi bersama Tuan,” tegur Tatiana. Eilmi Zahrin langsung saja melangkah. Sepertinya, dia baru saja menapak di tangga – tangga itu. Puan Julia berkalih pandang. Susuk tubuh anak bujangnya yang nampak segak dengan kemeja biru muda dipandang. Eilmi Zahrin duduk terus di kerusi makan. Dia masih berharap agar perbualan sepasang suami isteri yang diintipnya tadi akan terus berlanjutan.

“Nanti abang temankan saya cari sampin songket ya,” Pinta Puan Julia. Sedikit demi sedikit, kekecewaan pun melurut jatuh ke ruang- ruang hati Eilmi Zahrin bila ibunya membuka tajuk yang lain. Tuan Zakarian hanya mengangguk. Surat khabar yang dibacanya tadi, kini diletakkan ke sisi meja. Sarapan paginya nampak lebih fokus dengan kehadiran anak tunggalnya di meja makan.

Eilmi Zahrin hanya menghirup air kopi di cawannya hingga habis. Kue tiew goreng yang terhidang di depannya langsung tidak dijamah walau sedikit. Begitu juga dengan roti bakar dan telur separuh masak. Semua itu bagai tidak wujud di meja makan. Dia sudah kehilangan selera.

“Kenapa tak makan?” tanya Puan Julia bila matanya menangkap figura Eilmi Zahrin yang sudah bingkas dari kerusi. Kunyahan roti bakar bersama telur separa masak di mulut Tuan Zakarian juga nampak terhenti.

“Eilmi tak laparlah mama. Maaf ya,” ucap anak muda itu. Tangan yang dihulur bagai menanti untuk disambut oleh Puan Julia sebelum dikucup hormat. Dia turut melakukan hal yang sama pada Tuan Zakarian. Setelah itu, beg sandangnya digapai dan langkahnya dibawa pergi dari ruangan itu. Langkahnya masuk ke dalam kereta. Enjinnya dihidupkan dan kenderaan itu dipandu menuju ke jalan besar.

Tengku Jelita Adelia Shaira Tengku Alauddin. Nama itu memang panjang! Sesuai dengan apa yang dingomelkan oleh Puan Julia semalam, bila nama tunangan barunya disoal siasat. Arwah Tengku Alauddin juga antara sahabat terdekat papa! Sesuai pula dengan apa yang diperkatakan oleh Tatiana di taman mini sewaktu urusan peminangan dibangkitkan oleh gadis itu. Eilmi Zahrin membuang keluhan. Wajah gadis pan asia mula berlegar- legar di minda. Tengku Adelia merupakan kawan perempuan yang sangat rapat dengannya.

Bagaimana aku bisa melukakan hati gadis sebaik Adelia? Hati kecilnya mengulum tanya. Dia akui, pilihan ayahnya pada kali ini, seribu kali lebih baik dari pilihan ibunya tiga tahun yang lepas. Tengku Adelia punyai ciri- ciri gadis idaman yang dia mahu tetapi hatinya sudah dimiliki oleh gadis yang lain. Itulah hakikatnya sewaktu arwah Tengku Alauddin menyatakan hasrat hati kepadanya untuk dijadikan menantu!

Apakah hubungan ini akan tetap berjalan dengan baik andai tiada rasa cinta? Hanya, berlandaskan rasa simpati dan atas dasar kawan baik? Pelbagai persoalan mula menujah fikiran. Skyline yang dipandunya itu sudah pun berhenti di hadapan butik. Eilmi Zahrin turun dari keretanya dan perkara pertama yang dicari adalah kereta Widad. Ternyata apa yang dicari, ada di sebelah kanannya.

Dia dah masuk kerja! Be strong Eilmi! Gertak hatinya, menakut- nakutkan sebuah perasaan yang cuba mengurungi dirinya sedari semalam lagi. Langkahnya tersusun ke lobi sebelum dia masuk ke dalam lif namun jejaknya terganggu bila figura Widad terpamer di mata. Gadis itu sudah ada di dalam lif terdahulu darinya. Eilmi Zahrin menahan rasa di jiwa. Punat ‘closed’ ditekan membuatkan pintu besi itu tertutup rapat.

Saat butang tujuh ingin ditekan, dua figura itu seakan berlaga bila masing- masing ingin melakukan hal yang sama. Eilmi Zahrin pantas beranjak ke belakang untuk memberi ruang yang penuh kepada Widad.. Senyuman manis di wajah itu, dibuat nampak tak nampak. Namun Widad tetap juga senyum. Sesekali, cincin yang melekap di tangan, dilayang- layangkan di hadapan anak muda itu. CEO itu hanya mencebik sebelum langkahnya dihambat keluar.

Eilmi Zahrin pula duduk di kerusinya. Otak kanannya kembali ligat berfikir tentang rencananya untuk menculik bakal pengantin pilihan ayahnya pada hari pernikahan mereka kelak. Siapa yang aku nak upah nie? Tengku Adelia tu dah lah tinggi! Persoalan itu kian berbangkit tanpa sebuah jawapan yang pasti.

Mata hitamnya terpaku pada langkah- langkah yang disusun oleh Widad menuju ke pantri. Langkah yang terhenti di tengah- tengah jalan setelah Amir Bakri menyapa gadis itu dari sisi lain. Mereka kelihatan mesra berbual. Entah apa yang dibincangkan, Eilmi Zahrin juga terasa ingin tahu. Melihat wajah Amir Bakri yang tak henti- henti mengukir senyum, memorinya teringatkan Husna dan bekas teman lelakinya.

Bekas teman lelaki Husna tu seorang penyiasat upahan kalau tak silap aku! Suara Eilmi Zahrin. Husna sendiri yang menceritakan hal itu kepadanya. Anak muda itu pantas saja menaip sesuatu pada ruangan kosong yang tertera dalam aplikasi whatsapp setelah profile Husna dibuka. Setiap jawapan balas yang dihantar oleh Husna dibacanya dengan teliti. Mujur ingatannya tidak silap! Oleh yang demikian, dia meminta nombor telifon lelaki itu demi sebuah pertemuan.

Eilmi Zahrin tidak mahu membuang masa. Nombor telifon yang diberikan oleh Husna ditekan sebelum telifonnya dibawa ke sisi telinga. Dia duduk menyandar di kerusi itu. Gelagat Amir Bakri dan Widad menjengah gelanggang. Apalah yang dibualkan tu sampai berminit- minit lamanya? Tempik hatinya cemburu! Satu suara yang parau, menggegarkan telinganya bila nombor peribadi Hussein dikacau. Dia merencanakan sebuah pertemuan sulit dengan lelaki itu demi menggagalkan niat baik ayahnya.

Eilmi Zahrin bingkas dari kerusi. Beg galasnya digapai dan dia keluar dari bilik itu dengan wajah yang jemu. Jemu dengan waktu yang menunggu. Menunggu Widad kembali semula ke bilik itu.

“Nak ke mana, Eilmi?” sapa Amir Bakri yang masih lagi berdiri di hadapan Widad. Gadis itu turut sama berpaling. Eilmi Zahrin tidak menjawab pertanyaan itu. Langkahnya dihayun masuk ke dalam lif dan pintu itu segera pula tertutup hingga Amir Bakri tidak sempat untuk mengejar. Di ruang lobi, langkahnya digamit pula oleh Puan Insyirah. Wanita yang dikenali sebagai Head Fashion Designer itu pantas merapatkan pertemuan.

“En. Eilmi ada satu temujanji baru hari nie. Nama client tu Puan Sri Faridah dan anaknya Raja Kathrina di Royale Suite Royale Chulan, Damansara pukul dua belas tengahari,” beritahu wanita itu. Eilmi Zahrin langsung mengangguk.

“Dan dia minta, En. Eilmi bawa Cik Widad sekali,” tambahnya kemudian. Eilmi Zahrin terdiam. Kalau bukan kerana Puan Sri Faridah tu pelanggan setia Emerald, memang dia akan batalkan saja temujanji tersebut! Puan Insyirah masih lagi menunggu jawapan darinya berkaitan dengan permintaan utama Puan Sri Faridah itu. Tanpa berfikir lanjut, Eilmi Zahrin membuahkan anggukan.

“Maklumkan temujanji tu pada Widad,” pintanya pula. Puan Insyirah menambah anggukan di kepala. Kini, dia tidak lagi menghalang laluan bossnya untuk keluar dari PUTIH. Enjin kereta pantas dihidupkan. Holiday Villa, Subang Jaya. Lokasi itu berada di dalam aplikasi waze Eilmi Zahrin. I’m so sorry Adelia... ucapnya perlahan saat pedal minyak makin ditekan- tekan!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku